Rabu, 6 Julai 2011

Hari ke Tujuh: Windsor Castle, Stonehenge & Oxford


Hari ini, aku bangun tidur sangat awal; iaitu pukul 5 pagi dan di luar sana sudah pun sedikit cerah seperti pukul 6.45 kita di Malaysia.

Macam biasa, tabiat mandi pagi sudah sebati; aku tak kira jam pukul berapa, aku terus masuk bilik air dan mandi seperti biasa. Kebetulan pulak air panas lambat panas dan mandi dengan air yang sejuknya macam ais. Sejuk airnya seperti keluar daripada peti ais jenama Samsung.

Pukul 6.30 pagi, kami berdua keluar dari hotel dan terus menuju ke stesen Old Street dan seterusnya menuju ke stesen bersebelahan, iaitu stesen Angel. Setibanya di stesen Angel, kami terus menuju ke jalanraya dan berpandukan peta Google Map yang dicetak, kami mencari arah ke Hotel Jurys Inn di Islington. Ini kerana bas Evan Evans Tours mengambil penumpang pada pukul 7.45 pagi di hadapan hotel tersebut.

Islington - Jalan masih lengang ketika ini.

Dalam keadaan sejuk di bawah paras 7 darjah selcius, kami berdua mencari hotel tersebut hampir 15 minit dan hotelnya langsung tak nampak. Nasib baik ada seorang lelaki berumur lingkungan 50 tahun sedang bekerja menyapu sampah di tepi jalan. Aku tanya kat dia dan dia cakap hotel ni tak pernah nampak pun. Hah! Naya kalau aku tak jumpa hotel tu!

Berkerut jugak dahi aku bila dia bagi respon macam tu. Lepas tu, dia cakap teruskan perjalanan aku sebab jalan yang aku tengah lalu ni dah betul. Oh ok, kerut kat dahi aku terus hilang kerana di sebalik ayat beliau terkandung sedikit harapan.

Dalam 30 meter aku jalan, hotel yang aku cari betul-betul depan aku. Ini maknanya, dari tempat aku tanya kat Mat Salleh tadi tu sangat dekat. Hampeh betul, macam mana dia cakap tak pernah nampak hotel ni!

Islington - Abaikan aksi muka aku. Jangan harap kehenseman
datang di waktu pagi.

Setelah 30 minit menunggu dalam kesejukan, tepat pukul 7.45 pagi bas Evan Evans Tours pun sampai. Ketika kami menaiki bas, takde sorang pun ada di dalam bas tersebut melainkan pemandu dan pembantunya sahaja.

Bas ini akan mengambil penumpang di sekitar London sebelum menurunkan ke semua penumpang untuk menukar bas yang lain. Bas ini hanya mengambil pelanggan mereka dahulu dan bukannya membawa terus ke Windsor, Stonehenge dan Oxford.

Setibanya di perhentian bas pelancongan, kami semua diarahkan turun dan diasingkan mengikut senarai nombor tempahan secara online yang aku buat ketika 2 hari sebelum bertolak ke London. Kami berdua diasingkan kedalam kumpulan yang pemandu pelancongnya bernama Kevin. Seterusnya, Kevin membawa kami semua ke dalam bangunan untuk memberi sedikit taklimat.

London - Keadaan masih agak lengang sedangkan hari ini
hari Isnin.

Sedang menunggu arahan yang seterusnya daripada Kevin, isteri aku pulak nak ke tandas. Dalam 3 minit lepas isteri aku ke tandas, Kevin memberi arahan kepada kumpulan kami untuk menaiki bas. Hah, sudah! Mana pulak bini aku ni! Tunggu punya tunggu, kelibat bini aku tak jugak nampak.

Kevin dengan yang lain-lain dah hilang. Ah, sudah! Panik menyerang aku dan aku terus mencari Kevin dan malangnya tak jumpa. Aku dah bayangkan macam-macam. Habislah aku kali ni. Aku patah balik kat tempat berhimpun tadi untuk cari bini aku pulak. Bini aku pun tak ada kat situ lagi. Aku pusing je bini aku dah terpacak kat belakang aku sambil menunjukkan tanda peace sambil tersengih. Aku tengok kat tangan dia ada kacang dan snek.

Patutlah lambat!

Kami berdua berlari terus ke arah tapak bas-bas yang sedang menunggu dan bertembung dengan Kevin yang sedang kalut juga. Kevin terus senyum sambil cakap dalam bahasa Inggeris, "Eh, Saya sedang mencari awak berdua. Jangan panik, tak ada apa yang perlu panik." Ini mungkin dia tengok muka aku dah stress dan berasap.

Kami naik bas dan tempat duduk dah pun penuh. Jadi, kami berdua duduk berasingan. Aku duduk di sebelah remaja lelaki Amerika yang berbadan besar. Memang langsung tak selesa. Ini semua bini aku punya pasal!

Evan Evans Tours - Bas dah penuh. Memang haru betul
dapat tempat duduk yang tak best!

Perjalanan ke Windsor Castle, Berkshire yang terletak di luar kota London mengambil masa selama 45 minit iaitu sejauh 41 km daripada kota London. Sepanjang perjalanannya, tidak apa apa yang menarik sangat kerana bas melalui lebuhraya dan lebuhrayanya sama seperti lebuhraya kita di sini.

Kami sampai di Windsor Castle pukul 10.35 pagi. Kami difahamkan oleh Kevin bahawa hari ini Ratu England akan datang ke Windsor Castle untuk berehat.

Windsor Castle - Yang berdiri itu lah Kevin. Dia suka buat
lawak. Kalau orang gelak, aku pun eksyen gelak sekali
buat-buat faham.

Windsor Castle - Laluan untuk ke Windsor Castle.

Windsor Castle - Sedang beratur untuk mengambil tiket
masuk ke dalam istana.

Windsor Castle - Istana ini dibina oleh William si Penakluk
pada dekad selepas penaklukan Norman pada tahun 1066.

Windsor Castle - Salah satu meriam lama yang ada di dalam
istana.

Windsor Castle - Sedang masuk ke dalam
Queen Mary's Dolls' House.

Untuk pengetahuan korang semua, Queen Mary's Dolls' House ni tempat segala mainan Queen Mary disimpan. Ianya adalah barang-barang permainan asal seperti anak patung yang kecik-kecik sampailah yang besar ke paras pinggang. Dalam dunia ni ada satu salinan je. Jadi, sepanjang dalam bilik tu, lampu agak malap untuk mengelakkan orang mengambil gambar dan membuat pendua segala apa yang ada dalam bilik tersebut.

Windsor Castle - Askar sedang berkawat di padang lapang.

Pukul 11.55 pagi, kami semua sudah menaiki bas dan bersedia menuju ke Stonehenge, Wiltshire. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 20 minit sejauh 106 km. Jadi, aku pun mengeluarkan iPod aku dan pasang album Yuna. Remaja Amerika berbadan besar sebelah aku sudah pun berdengkur. Oh ye, rambut beliau sama seperti Shane Embury pemain bass kumpulan Napalm Death.

Apabila keluar daripada kota London, permandangan seperti
ini adalah normal.

Kami tiba di Stonehenge pukul 1.15 tengahari. Cuaca agak terik tetapi sejuknya lebih sejuk di London. Nasib baik cuaca sejuk. Boleh aku bergaya dengan jaket kulit!

Stonehenge - Agak ramai juga orang ketika ini.

Stonehenge - Inilah Stonehenge yang dah wujud sejak
1600 sebelum masihi.

Stonehenge - Permukaan batu dari jarak dekat.

Stonehenge - Aku bersama Stonehenge.

Aku ingatkan para pelancong boleh menyentuh batu Stonehenge. Rupa-rupanya di sekeliling batu tersebut ada tali berupa pagar dan para pelancong tidak boleh menghampiri atau menyentuh batu Stonehenge. Tapi, aku tengok drama "Cinta Antara Benua" pada tahun 1997, elok je si Arni Nazira menari-nari sambil menyanyi sebelah batu Stonehenge. Takde pun pagar-pagar ni.

Stonehenge - Kambing biri-biri juga banyak di sekitar
Stonehenge.

Di Stonehenge, kami hanya diberi masa selama 45 minit sahaja. Dengan alasan, ianya hanya batu. Tak ada apa sangat yang apa kita boleh buat dengan batu tersebut.

Pada aku, ianya lebih daripada sekadar batu. Ianya tentang impian aku selama hampir 20 tahun aku simpan. Aku menyimpan hasrat terlampau lama untuk datang ke sini. Ianya bukan sesuatu kerja yang mudah!

Selepas melawat Stonehenge, kami teruskan perjalanan ke pekan Oxford pula. Oxford sangat menarik kerana ianya hanyalah pekan kecil dengan bangunan-bangunan lama tersergam indah. Jalannya tidak sesibuk London dan kebanyakan penghuninya adalah pelajar-pelajar di dalam Oxford itu sendiri.

Di Oxford, kami diberi masa selama 1 jam 30 minit untuk bebas berjalan di sekitarnya. Kalau nak ikut Kevin pun boleh. Kami berdua bersama beberapa pelancong lain mengambil keputusan untuk mengikut Kevin. Kalau ikut Kevin, dah tentu dia boleh terangkan sejarah Oxford dan bawa ke tempat yang menarik.

Oxford - Pekan Oxford yang sangat tenang.

Oxford - Salah satu bangunan lama yang terdapat di sini.

Oxford - Bangunan The Randolph.

Oxford - Bangunan ni nampak seram. Siap ada akar menjalar
di dindingnya.

Oxford - Kedai minum yang terdapat di sekitar pekan Oxford.

Oxford - Beginilah keadaan pekan kecil Oxford.

Kevin membawa kami semua ke satu bangunan iaitu perpustakaan yang katanya peminat Harry Potter mesti datang ke sini. Kevin cakap bangunan yang di hadapan kami itu adalah dimana seringkalinya penulis cerita Harry Potter iaitu JK Rowling datang ke sini untuk mendapatkan idea.

Idea parut di dahi Harry Potter pun asalnya adalah diambil pada lantai di hadapan perpustakaan tersebut.

Oxford - Perpustakaan di mana JK Rowling berdiri dan
terpandang ke bawah...

...dan ternampak satu tanda di hadapannya dan terus
mendapat idea untuk parut di dahi Harry Potter!

Harry Potter.

Oxford - Sepanjang lorong ini dipenuhi dengan
basikal-basikal yang disandarkan pada dinding bangunan.

Oxford - Sebelum balik, aku sempat membeli-belah barangan
Oxford sekitar ₤65.

Pada pukul 6.00 petang, kami semua bertolak ke London semula. Ketika balik, inilah pertama kali aku merasa bagaimana keadaan kesesakan lalulintas di lebuhraya negara Union Jack ni. Boleh tahan jugak sesaknya. Tetapi, walaupun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, pemandunya kelihatan tenang sahaja. Tak ada satu kenderaan cuba memotong, menghimpit kenderaan lain dan menggunakan laluan kecemasan.

Sopan santun mereka di jalan raya jauh lebih baik berbanding dengan kita di sini.

Bas Evan Evans Tours berhentikan kami berdua di Victoria. Ketika turun daripada bas, kami memberi sedikit tips di dalam bekas yang disediakan. Seperti biasa, budaya orang melayu, aku sempat salam dengan Kevin dan mengucapkan terima kasih.

Ketika di Victoria, sedang mencari stesen keretapi bawah tanah, terjumpa tandas di tepi jalan. Jadi, singgah sekejap di tandas tersebut. Apa yang menarik dengan tandas ini, anda perlu memasukkan ₤1 di ruang yang disediakan dan barulah pintunya boleh ditutup. Anda cuma ada masa selama 20 minit sahaja dan pintu itu akan terbuka dengan sendirinya. Jadi, bayangkan anda dalam keadaan sakit perut dan sedang melepas, pintu itu akan terbuka dengan sendirinya setelah cukup tempoh 20 minit. Tak ke haru?!


Kami tiba di stesen Old Street pada pukul 7.30 malam dan seperti biasa, kami singgah di kedai Turki untuk membeli kebab dan burger.

PS: Aktiviti yang sangat padat membuatkan aku rasa percutian ini sangat berbaloi. Dalam satu hari, aku dapat pergi ke 3 tempat yang jauh daripada kota London!

6 ulasan:

  1. Mcm mana u makan ye masa trip ni?

    BalasPadam
    Balasan
    1. ye tak ye jugak. saya pun tak ingat pun pasal makan. biasa saya makan waktu petang beli on the way masa balik hotel :D

      Padam
  2. berapa harga untuk tour sehari ni?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dua orang £37.40. Tak termasuk tiket masuk Windsor Castle & Stonehenge. Oxford tak ada bayar apa-apa.

      Padam
  3. assalamualaikum, boleh saya dapat kan contact number tour guide ni? :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam, ini nombornya: 020 7950 1777 dan laman web: https://evanevanstours.com untuk tempahan.

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...