Selasa, 8 November 2011

Kronologi Sepanjang 360 Hari Yang Lalu


Okey, sama-sama ikut aku menyanyi lagu Hari Jadi sambil diselangi tiupan trompet:

Selamat Hari Jadi...Selamat Hari Jadi...
Selamat Hari Jadi Pahlawan...Selamat Hari Jadi...
Oh, terima kasih kerana turut sama menyanyikannya bersama-sama aku. Sesungguhnya aku sangat terharu.


Jangan salah faham. Sebenarnya, hari ini bukanlah hari jadi aku. Sebaliknya, hari ini adalah genapnya setahun aku mengayuh basikal lumba.

Sepanjang 360 hari yang lepas, pelbagai perkara yang telah terjadi dan segalanya tak pernah aku bayangkan. Daripada berbasikal biasa-biasa hinggalah kepada basikal luar biasa yang hampir-hampir diluar kemampuan aku!

Marilah ikut aku mengembara dengan mesin masa jenama Scott yang aku cipta ini; khusus mengimbau kronologi yang nonkriminal tentang aku dan basikal:

Sabtu, 16 October 2010
22 hari sebelum berbasikal - Hari ini hari Sabtu dan seperti biasa, aku mulakan larian aku jam 7:45 pagi. Dalam 500 meter berlari, aku mula rasakan lutut kiri aku sengal-sengal. Aku sangkakan mungkin disebabkan tiada regangan sebelum larian. Jadi, aku perlahankan larian dan sampai satu tahap aku rasakan kaki aku tidak boleh bergerak lagi.

Aku berjalan terhinjut-hinjut sejauh 2 km untuk pulang ke rumah.


Selasa, 19 October 2010
Aku masih MC hari ini. Sedang berehat di ruang tamu, aku terpandang sekumpulan penunggang basikal Mountain Bike sedang menuju ke PCP, Taman Cabaran.

Sedang tercapik-capik menuju ke dapur, terpandang pula jiran aku sedang mengusung basikal. Ah, ini seperti petanda dan aku perlu lakukan sesuatu!

Sabtu, 6 November 2010
Hari ini aku mula rasakan yang aku boleh berjalan dengan normal. Tiada sakit-sakit di sekitar lutut aku. Seperti biasa, jam 7:45 pagi aku mulakan larian perlahan dan diselang-selikan dengan berjalan sekitar PICC, Putrajaya.

Selepas larian, aku pergi ke Presint 9 untuk membeli sarapan. Dan, disinilah segala-galanya bermula; Aku terpandang kain rentang yang besar dengan perkataan "RODALINK KINI DIBUKA DI PRESINT DIPLOMATIK". Aku tak tau apa itu Rodalink, tapi yang menarik perhatian aku ada gambar basikal di atas kain rentang tersebut.

Rodalink Putrajaya - Ketika acara perasmian sedang
berlangsung.

Disebelah petangnya, aku bawa keluarga aku pergi ke Rodalink untuk melihat-lihat basikal apa yang ada disitu. Dan, inilah pertama kalinya aku berjumpa dengan staf Rodalink iaitu Zakhir dan Fadhli Khairon.

Sebelum pulang, aku sempat berkata pada Zakhir bahawa esok aku akan datang lagi untuk membeli basikal.

Ahad, 7 November 2010
Sekitar jam 11.30 pagi, aku sudah pun tercegat di hadapan Rodalink dan terus membeli basikal jenama Polygon model Helios F100 yang harganya RM1145:


Polygon model Helios F100 - Basikal pertama aku.

Facebook - Aku kerap kemaskinikan aktiviti berbasikal aku
dalam Facebook.

Sejak daripada itu, aku sudah mula rajin ke Rodalink untuk minta nasihat tentang basikal dan cara-cara mengayuh basikal dengan betul.

Disamping itu juga aku kerap ke laman Bicycle Buy & Sell untuk menyertai ruang sembang. Disinilah aku mula kenal beberapa orang rakan dan ada di antara mereka menjadi rakan sekayuh hingga kini.

* Terima kasih kepada Cawan yang bertanggungjawab kenalkan aku laman web tersebut!


Ahad, 7 Desember 2010
Inilah pertama kalinya dalam sejarah hidup aku mengayuh basikal sejauh 60 km dan kelajuannya mencecah 38 km/j. Ini semua angkara Iskandar Specialized, Zul BMC, Shahrul Bianchi dan Tuah Giant. Dah lah kayuh laju-laju, jauh pulak tu. Lepas tu pulak pekena bukit Limau Manis!

Sampai rumah, aku terus rasa macam nak demam!

Ahad, 12 Desember 2010
Buat pertama kalinya aku menyertai acara berbasikal iaitu Kayuhan Kesihatan Putrajaya 2010 Anjuran myJICA. Anda boleh ke pos aku yang terdahulu untuk cerita selanjutnya. Klik sini.

Sabtu, 31 Desember 2010
Aku turut serta Kayuhan Tahun Baru Interpark Ride Putrajaya anjuran Perbadanan Putrajaya. Buat pertama kalinya berjumpa dengan ahli laman web Bicycle Buy & Sell.

Aku tak ada dalam gambar ni.

Ahad, 1 Januari 2011
Keesokannya, hasil perbincangan aktiviti hari Ahad, buat pertama kalinya aku ke Hulu Langat untuk mendaki bukit Perez yang terkenal dengan aktiviti mendaki sambil berbasikal.

Hulu Langat - Bersama basikal aku yang sudah diubahsuai
menjadi basikal lumba. Kebonjolan perut aku juga masih
terserlah ketika ini.

Jumaat, 8 Januari 2011
Pertama kali aku turut serta kayuhan Tri Paku Nite Ride. Dan, hingga sekarang aku masih lagi mengikut aktiviti kumpulan ini berkayuh setiap malam Rabu dan Jumaat.

Tri Paku Nite Ride setiap malam Rabu dan Jumaat.

Ahad, 30 Januari 2011
Hari ini sangat mengujakan; Secara rasminya aku bertukar basikal kepada basikal lumba yang asli iaitu BMC model Streetfire SSX 2009. Proses pemasangannya dilakukan di Jami Bike Centre, Kajang. Kos keseluruhannya mencecah RM4500:

BMC Streetfire SSX 2009.

Sejak berbasikal BMC ini, aku memang tak duduk diam. Ada sahaja aktiviti setiap hujung minggu. Dalam waktu yang sama aku kerap melakukan latihan seperti berlari. Sepanjang tahun 2011 juga aku banyak berlatih bersama Team Tri Paku.

Tri Paku Nite Ride.

Ahad, 20 Februari 2011
Aku sertai Criterium Kencana-SIC Bikeathon 2011. Keseluruhannya, seramai 600 peserta dan 12 pusingan litar adalah wajib. Tapi, aku cuma mampu buat 2 pusingan sahaja. Selanjutnya ada disini.

Ahad, 6 March 2011
Kayuhan paling jauh yang pernah aku lakukan sehingga kini iaitu 114 km ke Bagan Lalang. Aku pernah ceritakan kayuhan tersebut di sini.

Sabtu, 10 Jun 2011
Sekali lagi terjadi ketika sedang berlari - Lutut aku tercedera lagi. Kali ini sebelah kanan.

Lutut kanan aku pulak cedera. Mengambil masa hampir dua
minggu untuk sembuh.

Ahad, 25 September 2011
Setelah 10 bulan bersama BMC Streetfire SSX, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menukar basikal kepada jenama Scott Addict R3. Anda boleh membaca kisahnya di sini.

Rodalink Putrajaya - Inilah hasilnya setelah menjalankan
pembedahan selama 3 jam 30 minit.

Ahad, 9 Oktober 2011
Aku tak pernah mengikut kumpulan Jami Bike Centre mengayuh basikal. Hari ini aku mengambil keputusan untuk mencuba laluan kumpulan ini. Kalau laluannya menarik, bolehlah aku turut serta kayuhan mereka pada masa-masa akan datang.

Setelah pulang dari kayuhan ke Lenggeng, Negeri Sembilan yang jauhnya 76.57 km selama 3 jam, aku terus memasang set roda Reynolds Assault yang berharga RM3800.

Jami Bike Centre - Reynolds Assault Clincher RM3800.

Jami Bike Centre - Proses pemasangan sedang berlangsung.

Scott Addict R3 2010 - Beginilah rupanya basikal aku yang
terkini.

Ahad, 23 Oktober 2011
Sekali lagi aku mengikut Kumpulan Jami Bike Centre ke Hulu Langat yang jauhnya 87.5 km dan mengambil masa selama 3 jam 15 minit. Ceritanya ada di sini.

Team Jami Bike Centre - Kayuhan ke Hulu Langat.

Ahad, 30 Oktober 2011
Akhirnya aku menjual rangka basikal BMC Streetfire SSX aku kepada rakan sekayuh. Cadangnya basikal ini aku nak jadikan basikal ke dua aku. Tapi, memandang kosnya boleh jadi berganda; maka, aku batalkan sahaja niat aku. Jalan penyelesaian untuk selamatkan duit aku, aku jualkan sahaja!

---

Begitulah perjalanan kisah aku sepanjang setahun aku melibatkan diri dalam dunia basikal. Sekarang ini berat badan aku sudah turun kepada 62 kg berbanding sebelum aku kayuh basikal iaitu 74 kg.

Degup jantung ketika rehat pula sudah turun kepada 58 bpm berbanding sebelumnya iaitu 83 bpm.

Ini aku anggapkan perubahan positif yang ketara dalam tempoh 360 hari yang lepas. Perubahan ini sudah pun menjadi gaya hidup dan tabiat aku. Dan, nampaknya tabiat ini sukar untuk diubah!

PS: Orang kata hobi berbasikal ini sangat mahal. Aku perlu mengakuinya.

10 ulasan:

  1. tu yg mencanak canak kayuh sekarang ni hahaha

    BalasPadam
  2. hehehe dalam setahun je macam² boleh jadi

    BalasPadam
  3. tu yg terjun dari touring bike ke scott R3 sepantas kilat tu hehehehe

    BalasPadam
  4. baru aku perasan. agak jauh larinya drpd touring bike ke scott r3 :D

    BalasPadam
  5. ~berat kita hampir sama..hehhe..~
    :fariz atraz..

    BalasPadam
  6. fariz, tapi kaki aku tak cukup kuat mcm ko lagi hihihi

    BalasPadam
  7. Alamak, Raub tu jauh sangat :D hehehe

    BalasPadam
  8. Mmg byk perubahan yg sy nmpk pd awk..dr laju semakin laju kayuhan tu...awk blh mnjdi idola sy...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...