Sabtu, 28 Mei 2011

Himpunan Sejuta Belia: Standard Chartered 5KM Fun Run


Seperti biasa, jam 6.00 pagi aku dah pun bangun dari tidur. Tapi, hari ini ada special sikit, sebab aku kena berlari di Standard Chartered 5KM Fun Run. Pada masa yang sama, karnival "Himpunan Sejuta Belia - Hari Belia Negara Mei 2011 Putrajaya" sedang berlangsung.

Pukul 7.35 pagi di tapak "Himpunan Sejuta Belia -
Hari Belia Negara Mei 2011 Putrajaya".

Aku keluar rumah pukul 6.55 pagi dan terus berlari ke tempat perhimpunan di mana tempat bermulanya Standard Chartered 5KM Fun Run. Para peserta dah pun ramai ketika aku sampai. Masing-masing aku tengok tak sabar nak berlari sangat.

Ketika aku di dalam kelompok semua pelari di garisan permulaan, macam-macam bau minyak wangi ada. Sedangkan aku, baju dah pun basah dengan peluh. Ye lah beb, 4 km aku berlari dari rumah semata-mata nak turut serta acara seperti ini.

Para peserta sudah pun ramai di garisan permulaan.

Macam-macam style ada.

Ini adalah peta laluan sepanjang 5 km tersebut.

Baju dah berat dengan peluh dah ni. Ahhhh, belasah je lah. Baju kering sekali pun, bukannya aku boleh menang. Oh ye, sebut pasal menang, hadiahnya boleh tahan juga:
  • Tempat Pertama: RM1000 & Hadiah
  • Tempat ke Dua: RM800 & Hadiah
  • Tempat ke Tiga: RM600 & Hadiah
  • Tempat ke Empat: RM400
  • Tempat ke Lima: RM200
  • Tempat ke Enam hingga Sepuluh: RM150
  • Tempat ke Berapa Pun: Dapat sijil

Selepas di garisan penamat.

Aku berjaya habiskan 5 km dalam masa 39 minit 14 saat. Seksa jugak aku rasa larian kali ini. Seingat aku, kali terakhir aku berlari adalah 4 bulan lepas. Ketika itu, aku berjaya habiskan 11 km dalam masa 1 jam 10 minit. Kira ok lah tu apabila dibandingkan masa aku mula-mula berlari. Baru 1 km, aku dah teringat rancangan Astro channel 413.

Selepas habis lari, kena ambik sijil. Berebut-rebut orang nak
kan sijil.

Habis berlari, aku menuju ke bawah khemah untuk mendapatkan sijil. Lepas ambik sijil, dapat pulak surat khabar Kosmo percuma. Sambil-sambil tu pulak aku merayau tengok apa yang ada di sekitarnya.

Berhadapan dengan tempat mengambil sijil, ada sajian air
100 Plus.

Di bawah khemah ni ada permainan ala-ala fun fair.

Ada persembahan lagu daripada siapa, aku pun tak tahu.

Ini peserta Larian Berseragam dan Selebriti sejauh 3 km.

Super Girl pun ada. Tak boleh aku bayangkan Super Girl
berlari 3 km. Yang aku tau Super Girl ni terbang je kerjanya.

Masa dalam perjalan nak balik, ada lagi yang baru sampai.

Sepanjang perjalanan akan ada banyak khemah. Mereka
akan bermalam di sini sepanjang karnival berlangsung.

Simbol kejayaan sejauh 5 km.

Kepada sesiapa yang mahu datang ke "Himpunan Sejuta Belia - Hari Belia Negara Mei 2011 Putrajaya", masih berpeluang lagi. Cumanya, larian yang aku ceritakan tadi je dah habis.

Sepanjang karnival berlangsung, macam-macam ada. Nak semayang berjemaah pun boleh sebab dekat dengan Masjid Besi dan Masjid Putra. Boleh pilih mana satu masjid kesukaan. Jadi, bawaklah keluarga anda datang ke Putajaya sekarang juga!

PS: Sedang aku menaip blog ini, kaki masih sakit dan lenguh-lenguh. Sejak berbasikal ni, aku dah tak berlari langsung. Mungkin lepas ini aku kena berlari jugak lah.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 24 Mei 2011

Hari ke Empat: Dari Paris Pulang ke London


Pada 22hb April, 2011; Secara rasminya aku sudah pun 4 hari berada di luar liputan Maxis, Digi, Celcom mahupun Astro.

Pukul 7.50 pagi, aku keluar dari hotel Libertel Canal Saint-Martin, menaiki Metro di Jaurès dan seterusnya menuju ke stesen Gare du Nord. Dan, jam 8.10 pagi aku sudah pun sampai di stesen tersebut.

Dalam stesen Metro di Gare du Nord, sekali lagi aku tersesat. Aku tak tahu macam mana nak keluar daripada stesen Metro untuk menuju ke stesen Eurostar. Yang pastinya, stesen Eurostar juga berada di dalam stesen Gare du Nord. Memanglah ada papan tanda menunjuk arah ke stesen Eurostar. Tapi, bila aku ikut arah papan tanda yang tersedia ada, aku akan berbalik ke arah yang sama aku datang tadi.

Aihhh, dah serupa papan tanda kat Malaysia pulak!

Suasana sekitar stesen Gare du Nord di waktu pagi.

Akhirnya, aku ternampak 4 orang polis Perancis di suatu sudut; tiga lelaki dan seorang perempuan. Nasib baik ada polis. Boleh jugak aku tanya kat mana stesen Eurostar. Lalu, aku menuju terus ke arah polis wanita tersebut. Polis lelaki, aku abaikan dahulu. Lagipun, polis perempuan tu nampak agak cun jugak. Ehem!

Sebaik sahaja aku nak bukak mulut nak tanya soalan mudah, laju je polis perempuan tu angkat tangan sambil menunjukkan isyarat "Tidak". Tuih! Sombong betul polis Perancis ni. Dah la baju seragam diorang macam mekanik. Topi pulak macam topi pengakap. Sombong pulak dengan pelancong. Bengang betul aku.

Kalau korang tak percaya pakaian seragam diorang macam aku cakap tadi, korang tengok sendiri gambar kat bawah ni:

Mekanik + Pengakap = Polis Perancis.

Seperti biasa, kekadang sesuatu yang kita tak suka terjadi mesti ada hikmahnya. Masa polis Perancis tadi menunjukkan isyarat "Tidak" pada aku, aku ternampak lambang seperti perkataan Eurostar di dinding belakang kepala dia. Jadi, aku pun menolak sekuat hati kepala polis Perancis perempuan yang menghalang pandangan aku untuk pastikan samada betul ke itu lambang Eurostar. Dan, situasi menjadi kecoh dan berlaku pergaduhan yang amat...

...perkara sebegitu tak terjadi sebenarnya. Aku cuma membayangkannya sahaja!

Selepas itu, aku pun memanggil isteri aku dan terus menuju ke arah stesen Eurostar. Sebenarnya, aku dah tak sabar sangat nak balik ke London semula. Ini mungkin kerana perangai orang Perancis itu sendiri yang sombong dan berlagak cun membuatkan perasaan tersebut secara automatiknya datang.

Dipendekkan cerita, keretapi Eurostar bertolak pukul 10.14 pagi waktu Paris dan sampai London jam 11.28 pagi waktu London.

St. Pancras International - Kehangatan Olimpik sudah terasa.

St. Pancras International - Basikal ada di mana-mana.

St. Pancras International - Penunggang basikal sedang
membeli tiket keretapi.

St. Pancras International - Sudah beli tiket keretapi dan
sedang menuju ke stesen Underground.

St. Pancras International - Basikal Pinarello hanya disandarkan
di tiang sementara tuannya ke tandas.

Sampai di London, aku terasa lega sangat. Aku dah mula tak sabar nak ke hotel Travelodge Old Street untuk simpan beg yang sangat berat. Seterusnya, boleh meneruskan aktiviti yang sudah dirancang.

Pukul 12.10 tengahari, kami berdua sampai di stesen Old Street. Sebaik sahaja keluar daripada stesen tersebut, aku mula keliru dengan jalan-jalan yang ada di hadapan mata aku apabila dibandingkan dengan peta Google Map yang aku cetak. Aku tak pasti aku sebenarnya berada di kedudukan mana satu. Ini kerana dalam stesen tersebut mempunya 8 pintu keluar untuk ke pelbagai arah.

Stesen Underground Old Street - Aku sepatutnya mengikut
arah 'Exit 4' untuk ke Travelodge Old Street.

Setelah berlegar-legar sekitar jalan yang ada di stesen Old Street, aku mula minta bantuan seorang wanita yang kebetulan melalui jalan yang sama. Apabila ditanya, dia pun keliru mana satu jalan yang sebenarnya untuk ke hotel Travelodge.

Orang kat situ pun tak paham jalan sekitar Old Street, inikan aku yang baru je sampai.

Jadi, berbekalkan kecerdasan mental yang ada disaat itu, aku berjaya mengesan hotel Travelodge Old Street. Jarak antara stesen Old Street ke Travelodge Old Street adalah 300 meter.

Aku sampai awal di Travelodge Old Street iaitu pukul 12.35 tengahari. Waktu masuk hotel adalah sepatutnya pukul 3 petang. Tapi, takkan lah aku nak tunggu sampai pukul 3 petang kot. Jadi, aku terus ke mesin 'Express Check-In' untuk mengesahkan tempahan yang dibuat 4 bulan lepas.

Travelodge Old Street - Mesin 'Express Check-In'.

Travelodge Old Street - Ruang lobi.

Untuk pengesahan menggunakan mesin 'Express Check-In', aku perlu masukkan kad kredit yang sama ketika menempah bilik secara online 4 bulan lepas. Selepas itu baru akan keluar arahan seterusnya dan aku hanya perlu mengikutnya sahaja. Untuk masuk hotel lebih awal, aku perlu membayar extra ₤10 dan menjadikan jumlah keseluruhannya adalah ₤367 untuk penginapan selama 6 hari.

Travelodge Old Street - Resit yang berjumlah ₤367.00 untuk
penginapan selama 6 hari.

Setelah selesaikan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar, aku terus menuju ke tingkat dua dengan menaiki lif dan mencari biliknya yang bernombor 224.

Travelodge Old Street - Sedang mencari bilik bernombor 224.

Travelodge Old Street - Ruang bilik yang agak besar.

Travelodge Old Street - Bilik air.

Pukul 2.10 petang kami berdua keluar semula untuk ke Trafalgar Square dan National Gallery. Dengan menaiki keretapi bawah tanah di stesen Old Street; turun di stesen King's Cross untuk menukar keretapi yang menghala ke Charing Cross.

Aku mengambil masa 3 hari untuk memahami sepenuhnya sistem keretapi Underground. Ini kerana laluannya yang komplek dan boleh menimbulkan kekeliruan yang serius serta mampu merosakkan 50% daripada 100 billion neurons yang ada dalam otak kita.

Jadi, untuk mengelakkan perkara sedemikian berlaku, aku perlu memahami bagaimana laluan keretapi bawah tanah beroperasi dengan memahami gambarajah di bawah:

Maklumat selanjutnya boleh didapati di http://www.tfl.gov.uk

Sedikit penerangan dan perbandingan: Sekiranya LRT Star kita di sini, akan ada laluan ke Ampang, Sentul Timur dan Sri Petaling. Underground Tube pula ada Bakerloo, Central dan lain-lain tadi tu adalah umpama Ampang, Sentul Timur dan Sri Petaling lah. Jadi, untuk ke sesuatu tempat, anda perlu pastikan keretapi tersebut samada Bakerloo, Central atau lain-lain dan kemudian barulah pastikan di stesen mana mahu turun.

Mudah kan? Dengar cerita orang memang macam senang. Kalau pergi sendiri tengok. Hah, baru tau!

Kedudukan Trafalgar Square adalah berhadapan dengan National Gallery. Ketika kami berdua sampai di Trafalgar Square, ada pementasan teater "Passion of Jesus" secara terbuka.

Anda boleh melihat suasana sebenar sekitar Trafalgar Square melalui video di bawah ini:


Trafalgar Square - Pementasan "Passion of Jesus" secara
langsung.

Trafalgar Square - Sekitar Trafalgar Square. Chewahh, tengok
mamat Negro tu, siap pakai seluar kaler pink datang tengok
"Passion of Jesus".

Nak mengambil gambar pun tak berapa syok sangat sebab sekarang ni ramai sangat orang. Jadi, kami berdua terus ke National Gallery yang berhadapan dengan Trafalgar Square.

National Gallery - Di dalamnya terdapat lukisan-lukisan lama
dan potrait bangsawan-bangsawan Inggeris.

Di dalam National Gallery tak boleh mengambil gambar. Nak curi-curi ambil gambar pun tak berpeluang kerana setiap sudut terdapat penjaga yang sedang memerhati setiap pelawat.

Selepas itu, kami keluar daripada National Gallery dan mencari telefon awam terdekat untuk menghubungi ejen pelancongan Evan Evans Tour bagi pengesahan tempahan pakej melawat Windsor, Stonehenge & Oxford pada Isnin hadapan.

Di sekitar Trafalgar Square ada banyak telefon awam yang kaler merah tu. Kaler hitam pun ada, tapi cuma ada dua unit sahaja. Selebihnya kaler merah. Lalu, aku masuk untuk membuat panggilan dan telefon tersebut gagal berfungsi. Jadi aku mencuba pondok telefon yang disebelahnya pula. Sebaik sahaja masuk, fuhhhhh hancing tak ingat! Bau pekat! Dalam pondok telefon siap ada iklan-iklan lucah.

Cepat-cepat aku keluar dan mencuba satu lagi telefon dan alhamdulillah telefon tersebut berfungsi dengan baik.

Bergaya di sebelah telefon awam orang Inggeris.

Aktiviti seterusnya, kami berdua menuju ke Tower of London dan Tower Bridge. Daripada Trafalgar Square agak jauh juga nak ke sini. Kami perlu menaiki keretapi bawah tanah di stesen Charing Cross yang berdekatan dengan Trafalgar Square dan menuju ke stesen Tower Hill.

Jam dah menunjukkan pukul 5.00 petang ketika kami sampai di Tower of London. Waktu masuk ke dalam istana pun dah tamat. Jadi, kami berdua bergambar di luar kawasan istana dan berehat di tebing sungai Thames sambil mengemaskinikan status Facebook.

Tower of London - Tower Bridge di sebalik belakang istana.

Tower of London - Dari sudut lain.

Tower Bridge - Ramai orang bergambar di tebing
Sungai Thames.

Jam sudah pun hampir pukul 6 petang. Ya, waktu untuk pulang ke hotel dan berehat sepuas-puasnya. Hari Ahad ni aku akan kembali ke sini lagi dengan menaiki Big Bus Tour yang tiketnya sudah dibeli online bulan lepas. Hari ini aku hanya sekadar penuhkan waktu terluang dengan aktiviti bebas.

Aku sampai di stesen Old Street sekitar jam 6.20 petang. Perut sudah lapar dan singgah sebentar kedai Kebab Turkey di seberang jalan dan order satu kebab saiz besar yang harganya ₤4.00 dan ayam goreng untuk 2 orang yang berharga ₤4.99 serta 2 tin Pepsi.

Old Street - Di dalam kedai kebab orang Turkey.

Old Street - Makanannya agak murah jugak. Itu pasal order
ikut nafsu.

Jumlah kesemuanya adalah ₤13. Ingatkan sikit, rupa-rupanya
stok makan untuk 3 hari.

Old Street - Ketika dalam perjalanan melepasi stesen
keretapi bawah tanah Old Street, aku perasan ada satu
basikal Specialized tiada tayar belakang. Kena curi agaknya.

Esok adalah hari Sabtu dan hari yang ditunggu-tunggu kerana kami berdua akan ke Hyde Park, Marble Arch, Malaysia Hall, Primark Shopping Complex, Hard Rock Cafe dan Piccadilly Circus. Jadi, nantikan kesinambungan cerita aku yang penuh aksi ini!

PS: Di Travelodge, untuk mengetahui arah kiblat, kita perlu pergi tanya sendiri di kaunter lobi. Orang yang menjaga kaunter tu Islam agaknya kerana dia tahu arah kiblat.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 17 Mei 2011

Hari ke Tiga: Sehari Suntuk di Kota Paris


Pukul 8.20 pagi kami berdua keluar daripada hotel dan menaiki keretapi bawah tanah Metro menuju ke Stesen Metro Champ de Mars / Tour Eiffel seperti semalam. Agenda utama hari ini adalah menaiki bas bertingkat Les Cars Rouges City Sightseeing.

Les Cars Rouges - Aku suka duduk di atas bas untuk
menikmati permandangan sekitar Paris.

Bas ini akan bermula dari Eiffel Tower dan tamat pun di Eiffel Tower juga. Sepanjang perjalanan, bas ini akan melalui 9 destinasi utama seperti:
  • Eiffel Tower
  • Champ de Mars
  • Louvre
  • Notré-Dame
  • Musée d'Orsay
  • Opéra
  • Champs Elysées-Etoile
  • Grand Palais
  • Trocadéro
Keseluruhan perjalanan mengambil masa selama 2 jam 15 minit untuk melalui 9 kawasan utama tersebut.

Cuaca agak panas terik. Walaupun terik, anginnya sejuk. Masih boleh berjalan dengan selesa dan tak berpeluh. Tapi, tak sesejuk di London. Kat London kita boleh bergaya dengan jaket kulit dan berjalan sambil seluk poket. Kat Paris aku tak rasa boleh bergaya macam tu. Nampak sangat menipu diri sendiri; pakai jaket konon-kononnya sejuk. Tapi, tak sejuk mana pun.

Eiffel Tower - Ketika melalui sekitar Eiffel Tower
dengan menaiki bas Les Cars Rouges.

 Les Invalides - Dengan nama lainnya adalah
The National Residence of the Invalids. Meriam tembaga yang
tersusun tu wujud sekitar kurun ke 17 dan 18.


La Seine - Sungai ni besar dan berada di tengah-
tengah kota Paris.

Salah satu bangunan yang berhampiran dengan La Seine.

Sepanjang perjalanan, boleh aku katakan bandar Paris sangat cantik. Bangunan-bangunan yang ada di Paris lebih menarik berbanding kota London. Kota Paris banyak hasil tinggalan kerajaan Roman sekitar 2000 tahun lalu. Walaupun bangunan-bangunan tersebut amat lama kewujudannya, ianya masih lagi dalam keadaan baik.

Notre Dame - Kelihatan orang ramai beratur untuk masuk ke
dalam gereja lama tersebut.

La Seine - Masih lagi melalui sekitar sungai kebanggaan
orang Paris.

Tribunal de Commerce - Bangunan mahkamah.

Salah satu papan tanda yang ada di Paris. Aku hanya
tengok gambar untuk mengagak arahannya.

Ketika ini, aku tak fikir apa dah. Kiri dan kanan penuh dengan bangunan-bangunan menarik. Siapa yang salah tidur dan terseliuh tengkuknya ketika ini, amatlah malangnya. Alhamdulillah, disaat ini tengkuk aku sihat walafiat. Aku tak ada masalah mendongak dan menoleh kepala aku dan seterusnya menangkap gambar untuk dikongsikan dengan pembaca blog ini.

Musée d'Orsay - Muzium dalam stesen
keretapi terbesar dibina pada tahun 1900.

Opéra de Paris - Atau dengan nama lainnya adalah
Palais Garnier. Mempunyai sejumlah 1600 kerusi di dalamnya.

Perancangan aku yang seterusnya adalah untuk berhenti di Place de la Concorde dan berjalan kaki ke arah Arch de Triomphe. Jauhnya pula adalah 2.2 kilometer. Apa yang pasti, ketika itu aku amat teruja untuk merasai bagaimana perasaannya ketika berjalan kaki menuju ke salah satu mercu tanda orang Roman.

Jadi, untuk meneruskan agenda tersebut, kami berdua turun daripada bas Les Cars Rouges dan meneliti peta dan buku panduan "Must See Paris" yang sentiasa aku bawak bersama.

Seminit telah berlalu... Aku masih membelek peta. 3 minit berlalu dan aku masih membelek peta...

Tak boleh jadi! Aku memang ada masalah membaca peta dan ianya satu penyakit semulajadi. Jadi, aku mengambil keputusan untuk berjalan terus sambil cuba mengingat bangunan yang aku tempuh tadi ketika menaiki bas.

Aku tak pasti ada kat mana sekarang ini. Tapi, aku percaya
hala jalan yang aku tuju boleh membawa aku ke
Place de la Concorde.

Issey Miyake - Salah satu butik untuk golongan elit.

Sebelum masuk ke butik Issey Miyake, anda perlu melalui
terowong ini.

Kedai-kedai sekitar jalan yang aku lalui agak berprofil tinggi dan hanya golongan elit sahaja mampu membelinya. Isteri aku sibuk sangat nak masuk butik Issey Miyake dan aku cuba menghalangnya. Tapi, tak sempat menghalangnya, beliau sudah pun masuk ke dalam butik tersebut.

Tak sampai 3 minit beliau keluar tanpa sebarang bungkusan dibeli dan mengatakan sebotol minyak wangi berharga €90. Oh, ok!

Perjalanan diteruskan dan masih mengharap akan ternampak tugu Place de la Concorde. Tak jauh daripada butik yang kami singgah tadi, aku sudah boleh nampak Place de la Concorde tersergam kukuh.

Gambar ini diambil kali ke 7 oleh isteri aku.
Selebihnya semua jahanam. Isteri aku ambik
gambar cincai dan muka aku muka bengang.

Place de la Concorde - Inilah tugu tersebut
dari jarak dekat.

Place de la Concorde - Gambar keseluruhan
objek yang dikatakan tugu peringatan.

Place de la Concorde - Pandangan dari sudut
berlainan pula.

Place de la Concorde - Penerangannya dalam bahasa Perancis.

Pada lantai Place de la Concorde, ada penerangan tentang tugu tersebut di dalam bahasa Perancis. Setelah dialih bahasa, ianya berbunyi begini:

Tempat ini
Dirasmikan pada tahun 1763.
Diawalnya namanya
Tempat Louis XV

Dari November 1792 hingga Mei 1795
Kemudian disebut
Place de la Revolusion.
Ini adalah tempat utama
Siksaan Umum.
Termasuk Louis XVI
Pada 21 Januari 1793
Dan Marie - Antoinette
Pada 16 Oktober 1793

Ntah betul ntah tidak samada betul ke tugu ini hanya untuk memperingati kisah tersebut. Aku pulak mempunyai pandangan dari sudut yang berbeza tentang tugu ini.

Apabila sudah berada di Place de la Concorde, adalah tidak sukar untuk mengenal pasti macam mana nak menuju ke Arch de Triomphe. Ini kerana kedudukan antara Place de la Concorde dan Arch de Triomphe amatlah strategik:



(A) Place de la Concorde dan (B) pula adalah Arch de Triomphe. Senang kan?

Selama ini anda mungkin bayangkan yang anda berada di suatu tempat dan mungkin selama 20 tahun anda membayang perkara yang sama. Dan, suatu hari yang sudah ditetapkan, anda berada di situ dan sedang menikmatinya. Bukankah ianya satu kepuasan?

Jalan yang lurus menuju ke Arch de Triomphe.

Taman bunga yang ada ketika dalam perjalanan.

Butik Adidas - Cadangnya nak beli jersey bola. Tak jadi beli
sebab harga terlampau mahal.

Tengah-tengah pekan pun ada bomba. Tak tau sapa yang
tersangkut dalam lif.

Dah nak sampai sangat ni. Di hadapan dah mula ramai orang
sedang mengambil gambar.

Arch de Triomphe - Ada seorang sedang bergaya
seperti patung. Dan, dihadapannya ada tin berisi
duit syiling yang diberi oleh pelancong.

Arch de Triomphe - Tu dia! Hasil tangan orang Roman.

Arch de Triomphe - Ianya dikelilingi jalanraya berbentuk
bulatan. Jalannya sibuk dan tanpa isyarat lalulintas.

Aku tak pasti berapa lama aku berada di situ. Aku khusyuk menikmatinya daripada jauh seperti dalam gambar yang pernah aku lihat sebelum ini. Oh ye, aku tak pergi pun bawah Arch de Triomphe tu. Sebenarnya, boleh naik ke atas dengan kadar bayaran tertentu.

Sampai kat sini lah bateri kamera aku habis. Ini semua gara-gara tersalah beli universal plug yang dibeli semalam. Haru betul!

Kemudian, kami menaiki bas Les Cars Rouges semula dan bercadang untuk ke Louvre di mana adanya potret Mona Lisa. Ok lah, aku bagitau awal-awal di sini bahawa aku gagal mencari Louvre. Beberapa kali aku cuba bertanyakan pemandu bas tersebut dan aku tak faham sepatah haram pun apa yang dia sampaikan.

Di sinilah aku mula menyampah dengan orang Perancis. Dan, aku mula terfikir mungkin disebabkan inilah orang Inggeris menyerang orang Perancis suatu ketika dahulu!

Sampai suatu tempat yang aku tak pasti di mana sebenarnya aku berada. Aku pun turun daripada bas Les Cars Rouges. Waktu itu jam sudah pun menunjukkan pukul 12.50 tengahari. Aku jalan-jalan sekitar kawasan tersebut dan ternampak pameran lukisan yang bertema "NATURE ET IDEAL". Tanpa berlengah, aku pun membeli 2 keping tiket dan jumlah keseluruhannya adalah €22.

Ada dua pameran serentak dalam satu bangunan. Aku
memilih pameran lukisan bertemakan permandangan.

Ok, berita terkini: Sedang aku mengemaskinikan gambar sebentar tadi dan tiba-tiba teringat akan kamera digital Canon sebagai back up sekiranya kamera Nikon habis bateri. Kamera tersebut dalam jagaan isteri aku ketika di Paris. Lalu aku pun menyalin semua gambar-gambar ke dalam komputer aku.

Tiba-tiba aku ternampak satu gambar bangunan yang isteri aku ambik. Aku besarkan dan nah!

Musée du Louvre - Inilah bangunannya!

Perkataan Musée du Louvre yang teramat kecil untuk dibaca!

Ini maknanya aku sudah pun lalu di hadapan bangunan tersebut pada hari pertama aku sampai Paris! Ok, tutup cerita pasal Musée du Louvre dan jangan sebut apa-apa perkataan Mona Lisa!

Sebut nama Lisa Surihani tak apa...

Sepanjang perjalanan ketika mencari Musée du Louvre, agak jauh juga aku berjalan. Sebahagian sungai La Seine hingga ke seberang semata-mata mencari Musée du Louvre. Jam sudah pun menunjukkan pukul 5.20 petang dan perut pulak dah lapar. Singgah kedai arab dan order yang mana ada gambar nasik.

Kedai Halal orang Arab. Tak pasti Arab mana, janji halal.

Berkerut aku tengok jenis makanan mcm ni. Tak pasti nak
makan mana satu dulu.

Selepas membayar €32 untuk makanan tadi, aku pun beredar dan mencari stesen Metro untuk pulang ke hotel.

Tiba di Jaurés pukul 6.00 petang. Masih awal lagi kalau nak balik ke hotel. Jadi, ada baiknya kami berjalan-jalan di sekitar hotel dan melihat apa yang ada di situ.

Libertel Canal Saint Martin - Ni lah hotel yang
aku menginap.

Jaurés - Sekitar Avenue Secrétan.

Jaurés - Kelihatan Yahudi Ortodoks sedang berjalan.
Rothchild Foundation juga ada di sekitar ini.

Jaurés - Kedai bunga.

Jaurés - Sekitar Avenue Secrétan.

Jaurés - Singgah beli sekilo strawberi.

Selepas itu, kami berdua singgah di pasaraya semalam dan cari universal plug yang betul dan beli beberapa makanan untuk makan esok pagi.

Esok pagi aku akan pulang semula ke London dengan menaiki Eurostar. Aku akan pastikan segala bateri sudah di cas dan pastikan aku tak terlajak tidur.

PS: Secara keseluruhannya, aku berpuas hati dengan kota Paris. Orang kata kota Paris kota romantik. Ntah le, aku tak tau kat mana yang romantiknya. Yang aku nampak, banyak sangat bangunan tinggalan orang Roman.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...