Isnin, 31 Oktober 2011

Kayuhan di Pagi Ahad: Misi Mendaki Bukit Limau Manis, Kajang


Aktiviti sebagai penutup hujung minggu bagi bulan Oktober dimulakan dengan kayuhan kesihatan yang bermula dari:

Presint Diplomatik, Putrajaya > Dengkil > Kota Warisan, Salak Tinggi > De Palma Inn, Sepang > Kampung Limau Manis, Kajang > Presint Diplomatik, Putrajaya.

Jam 7:18 pagi sekitar Putrajaya. Sedang menaiki kereta
menuju Presint Diplomatik.

Tepat Jam 7:45 pagi, kami yang terdiri daripada wakil setiap daerah Wilayah Persekutuan dan Selangor seramai 6 orang mula bergerak keluar daripada Putrajaya menuju ke Dengkil dengan kayuhan cadence.

Presint Diplomatik - Sebelum mulakan kayuhan, ambik
gambar dulu. Karang masa kayuh memang takkan dapat
ambik gambar.

Sepanjang laluan daerah Dengkil, kadar kelajuan secara puratanya 38 - 45 km/j. Sekali-sekala terlajak jugak 50 km/j. Tapi, kena kawal sedikit kelajuan sebab perjalanan jauh lagi. Lagipun ada beberapa bukit yang sedang menanti di penghujung kayuhan.

Kayuhan diteruskan hingga ke Salak Tinggi, Sepang untuk menuju ke De Palma Inn. Laluan ini ada satu bukit yang agak panjang sekitar 700 meter. Bukit ini Lance Armstrong tak pernah lalu - Mungkin gerun dengan ketinggian bukit yang agak panjang ini dan seterusnya mengambil keputusan mendaki Mont Ventoux yang terletak di Selatan Perancis sahaja.

Selepas bukit panjang De Palma Inn tadi, kami kayuh selaju yang boleh sehingga memasuki daerah Kampung Limau Manis, Kajang. Purata kelajuan setakat ini masih 30 km/j.

Setiba di bukit-bukit tinggi Limau Manis, purata kelajuan makin menurun hingga mencecah 27 km/j. Ini kerana bukit-bukitnya yang tinggi dan panjang. Kalau satu atau dua bukit sahaja, tak apalah. Ini ada lima bukit yang agak tinggi jugalah yang perlu didaki.

Ini belum masuk bukit Alamanda yang panjang tu!

Memang bukit-bukit di sekitar Limau Manis memang mencabar mental. Aku nak cerita banyak pun tak reti. Korang kena merasa sendiri. Perlu diingatkan Jan Ullrich pun tak pernah jejak kakinya di sini. Ini mungkin kerana di awal-awal lagi beliau sudah surrender dengar nama Limau Manis, Kajang!

Lepas habis azab mendaki bukit-bukit Limau Manis, kami terus memasuki Putrajaya dan seterusnya melalui bukit Alamanda dengan kelajuan di meter sekitar 22 km/j.

Presint Diplomatik - Baru habis kayuh.

Basikal milik Norman.

Specialized S-Works milik Iskandar dan Scott Addict milik
aku.

BMC SLX01 milik Faizul Hashim.

Orbea Diva kaler pink milik Man.

Pinarello FP3 kepunyaan Shahrul.

Kami tamatkan kayuhan sekitar jam 9:57 pagi. Secara keseluruhannya, kayuhan kali ini:
Purata Kelajuan: 27.68 km/j
Kalori: 1776 kcal
Jarak: 58.72 km
Masa: 2h:07m:08s
Kayuhan kali ini agak meletihkan kerana angin yang kuat serta angkara bukit-bukit durjana. Walaupun sejauh 58.72 km, sudah cukup untuk buatkan degupan jantung mencanak naik mencecah 196 bpm.

PS: Aku sudah timbang berat basikal aku semalam iaitu 7.96 kg dan sedang berusaha untuk turunkan lagi 200 gram sehingga hujung bulan November ini. Berikan aku sedikit duit wang emas semangat!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 26 Oktober 2011

Kisah Lima Pahlawan Berjuang di Pagi Deepavali


"Esok Rabu jam 7.00 pagi berkumpul di Ali Bistro. Kayuhan Ekstrem kat Putrajaya > Dengkil > Kajang > Limau Manis > Putrajaya = 60 - 70 km. Mahukah anda turut serta? Mohd Fadzil, Fadhli Khairon, Fariz Atraz, Mohd Faisal, Faizul Hashim, Akmal Fauzan, Iskandar Rombli, Nordschleife Programm, Abd Halim Abd Aziz, Rosmawi Ismail..."

Begitulah bunyi status Facebook aku malam tadi setelah pulang dari kerja. Dengan harapan kesemua Pahlawan Basikal dapat turut serta kayuhan esok pagi.

Setiba di Ali Bistro Presint 15, hanya ada 5 orang sahaja yang dapat turut serta; yang lainnya ada yang ke Bukit Fraser, Lenggeng dan beberapa lokasi yang dianggap rahsia.

Putrajaya - Kabus tebal sekitar jam 7.15 pagi.

Jam 8:09 pagi, kami berlima mulakan kayuhan keluar Putrajaya menuju ke arah Dengkil. Kadar kelajuan mengikut meter basikal aku adalah sekitar 45 - 51 km/j sehinggalah memasuki Bangi. Sepanjang kayuhan dengan berkelajuan seperti tadi, aku tak sempat menelan air liur sendiri.

Setiba di sekitar Bangi, kadar kelajuan turun kepada 36 - 40 km/j disebabkan laluan yang agak sibuk dan jalannya bengkang-bengkok.

Sehinggalah memasuki Jalan Sungai Merab, kami berlima sengaja memilih laluan ini yang katanya kawasan ini kaya dengan bukit-bukit yang tinggi.

Sungai Merab - Ini bukit yang pertama. Ada lagi 3 bukit
yang lebih kurang sama tingginya menunggu kami berlima.

Bukit ini memang mencabar - Tak boleh kayuh sambil duduk sebaliknya kena berdiri. Tayar siap tergelincir ketika sedang kayuh. Tatkala ini anda boleh mengira berapa spoke rim basikal anda sendiri sambil mendaki.

Baru je lepas mendaki bukit tadi. Dalam gambar memang tak
nampak letih. Tapi, kalau dalam video, boleh nampak air liur
meleleh kepenatan.

Sepanjang laluan Kampung Sungai Merab, purata kelajuan pada meter makin turun hingga mencecah 28.9 km/j.

Selepas melalui Sungai Merab, kami berlima terus memasuki Presint 14 untuk menuju ke Presint Diplomatik untuk tamatkan kayuhan.

Kalau ada ramai yang sertai kayuhan ini, boleh lajak sampai 70 km. Tapi, dengan peloton yang terdiri daripada 5 orang agak meletihkan. Keseronokan pun ada sedikit kurang. Jadi, kami habiskan kayuhan ini lebih awal.

Fariz dengan basikal TT Kuota Kalibur.

Ni basikal aku. Perjalanan hidup yang penuh dengan
hitam putih.

Ini Iskandar. Dari atas sampai bawah, semua barang
Specialized.

Zul - Basikal BMC SLX01 yang hensem.

Norman - Dialah yang bertanggungjawab bawa kami semua
mendaki segala bukit yang ada di Kampung Sungai Merab.

Ya, kamilah yang bertanggungjawab dengan Kayuhan di Hari Deepavali pagi tadi dengan kayuhan sejauh 45.38 km selama 01 jam 36 minit dengan purata kelajuan 28.5 km/j. Jumlah tenaga yang telah diguna adalah sebanyak 1372 kcal.


PS: Kalau ikutkan hati, mahu je aku ke Bukit Fraser. Tapi, apakan daya kerana beberapa kerja sedang menanti aku untuk disiapkan.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Isnin, 24 Oktober 2011

Kayuhan Nafsu ke Hulu Langat


Aku namakan kayuhan Ahad semalam adalah Kayuhan Nafsu. Ini kerana seminggu tak kayuh basikal yang disebabkan hujan rahmat setiap malam di sekitar Putrajaya.

Aku sebenarnya hanya mengikut Jami Centre Team (Aku namakan kumpulan ni sempena nama kedai basikal Jami). Aku pun tak tau pun sebenarnya ke mana arahnya kayuhan kali ini. Tapi yang pasti kayuhan kali ini berkemungkinan besar sejauh 80 km - Memandangkan jumlah yang menyertai kayuhan kali ini dalam lingkungan 20 orang.

Aku bersama Iskandar di hadapan kedai basikal Jami Centre,
yang terletak di Taman Koperasi Cuepacs, Kajang. 

Sudah bersedia untuk melancarkan senjata masing-masing.

Kayuhan bermula jam 7.30 pagi. Laluannya pula melewati Kajang - Semenyih - Hulu Langat - Perez (sempadan Jelebu, Negeri Sembilan) - Batu 9, Cheras - Kajang. Secara puratanya, kelajuan dalam sekitar 27 km/j:


Pada aku, ada beberapa bukit yang agak mencabar iaitu sekitar empangan di Jalan Sungai Lalang dan Perez. Laluan melalui empangan tersebut semua terpaksa melaluinya kerana tiada jalan lain. Tapi, yang menaiki Perez hanya 5 orang sahaja - yang lain semua terus ke pekan Hulu Langat. Oh ye, puncak Perez adalah 1661 kaki (506.28 meter) dari paras laut sejauh 8 km.

Semenyih - Sedang menunggu beberapa orang yang
tersangkut di persimpangan lampu trafik.

Jalan Sungai Lalang - Berhenti sebentar sambil menunggu
rakan lain sebelum mendaki empangan Jalan Sungai Lalang.  

Perez - Di sempadan Jelebu, Negeri Sembilan. Mendaki
sejauh 8 km selama 27 minit dengan purata kelajuan 21 km/j

Selepas turun dari Perez hingga di Kampung Gabai, kami berlima kayuh dengan kadar kelajuan 35 - 40 km/j sambil memotong sekumpulan Mat Saleh. Ini boleh menimbulkan kepanasan melampau ke atas Mat Saleh tersebut - Lalu terjadilah perlumbaan pendek yang berkelajuan 50 km/j hinggalah tiba di pekan Batu 18, Hulu Langat.

Batu 18, Hulu Langat - Mereka berdua inilah yang
bertanggungjawab membuatkan sekumpulan Mat Saleh
tadi rasa tercabar.

Hulu Langat - Berhenti berehat sebelum pulang ke
Taman Cuepacs.

Kami berlima teruskan kayuhan hingga ke pekan Hulu Langat untuk berkumpul semula dengan rakan-rakan yang lain yang tidak mendaki Perez dan seterusnya menuju ke Jami Bike Centre, Kajang semula.

Secara keseluruhannya, kayuhan mengambil masa selama 3 jam 18 minit sejauh 88.40 km dengan penggunaan tenaga sebanyak 2673 kcal.

PS: Aku masih ingat lagi buat pertama kalinya aku mendakit bukit Perez, azabnya seperti sedang menyimpan duit ke dalam ASB!
PPS: Terima kasih kepada jurufoto iaitu Fadzil (Awe).
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 18 Oktober 2011

Larian 10K di Putrajaya Night Marathon 2011


Selepas Maghrib pada Sabtu, 15hb Oktober lepas, aku terus bersiap-siap hendak ke Putrajaya Night Marathon 2011 yang dianjurkan oleh BSN. Jarak antara rumah aku ke kawasan bermulanya marathon adalah 4.3 km.

Race Kit sampai ke tangan aku seminggu sebelum
Putrajaya Night Marathon.

Inilah apa yang ada dalam race kit Putrajaya Night Marathon.

Jadi, aku bercadang untuk ke sana hanya berjalan kaki sahaja. Aku tak mahu pening kepala mencari tempat pakir kereta. Lagipun, laluan utama nak ke sana kebanyakannya ditutup untuk acara marathon tu nanti.

Tepat jam 7.45 malam selepas membuat sedikit regangan berpandukan video di YouTube, aku terus keluar rumah.



Ketika sedang berjalan dengan keadaan kelam kabut sekitar PICC, ada seorang pakcik yang sedang memandu kereta Perodua Kelisa ajak tumpang keretanya. Pada awalnya, nak je aku menolak sebab aku memang sengaja berjalan kaki disamping untuk memanaskan badan.

Tapi, aku tak sanggup nak menolak pelawaannya kerana dengan muka yang ceria dia berkata, "Saya pun nak ke sana untuk marathon!". Aku pun terus masuk ke dalam kereta dan beliau memperkenalkan dirinya sebagai Pak Ya dari Pulau Pinang. Aku anggarkan umurnya sekitar 50 tahun keatas.

Tiba-tiba aku terfikir, kalaulah Pak Ya sebenarnya nak menculik aku, habislah acara marathon tu nanti. Aku memang begini, imaginasi adakalanya melampaui batas!

Tapi, aku selamat sampai di Palace of Justice, Putrajaya di mana akan bermulanya acara 5K, 10K, 21K dan 42K sebentar lagi. Alhamdulillah, tiada apa perkara buruk yang terjadi sepanjang perjalanan bersama Pak Ya.

Setibanya aku di sana, sudah ramai yang ada di situ. Ye lah, lagi 20 minit kategori 21K akan berlangsung dan kategori 42K pula baru sahaja berlepas.

Palace of Justice - Kategori 42K baru sahaja lepas.

Palace of Justice - Kategori 21K sedang bersiap sedia.

Selepas kategori 21K berlangsung, aku terus menunggu untuk kategori 10K pula. Oh ye, lupa pulak aku nak bagitau yang aku sebenarnya masuk kategori 10K.

Palace of Justice - Kategori 10K sedang bersiap sedia.

Palace of Justice - Aku pulak turut serta di dalam kelompok
ini dan menunggu masa untuk berlari.

Dipendekkan cerita, aku tamatkan larian sejauh 10 km dalam masa 1 jam 5 minit 30 saat. Sepanjang 5 km pertama, aku masih lagi dapat kekalkan kelajuan 5:15 per km. Tapi, bila masuk 6 km, larian aku mula perlahan.

Larian aku jadi lebih perlahan lagi bila ada awek omputih memotong aku lagi 3 km terakhir dengan selambanya dan kemudiannya hilang dicelah-celah peserta lain. Stress betul!

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, masih ada lagi
peserta 10K baru tiba di garisan penamat.

Garisan penamat kategori 21K dan 42K.

Secara rasminya, aku gagal lakukan catatan peribadi bawah 60 minit bagi kategori 10K - Walaupun Nike Sportband merekodkan masa aku 57 minit 30 saat. Ini sangat mengecewakan aku!

Sesetengah orang memandang perkara sebegini dengan mudah. Tetapi, tidak pada aku. Aku mahu suatu hari nanti apabila anak aku bertanya, "Ayah lari 10 km berapa minit?" dan takkan aku nak jawap, "Ayah lari 1 jam 05 minit".

Jadi, aku anggapkan jawapan sebegitu tidak memberi motivasi yang baik kepada anak aku suatu hari nanti; Sedangkan jawapan yang sepatutnya, "Ayah berjaya lakukan 45 minit!".

Ini adalah untuk anak aku lihat apabila tiba di rumah nanti.

Tapi, tak mengapa... Biarkan sahaja aku melayan emosi yang terganggu ini. Dan, anda sepatutnya lihat video bagi kategori 21K dan 42K di bawah:


PS: Siapakah awek omputih yang berjaya memotong aku tanpa kasihan itu? Ini adalah kali ke 2 aku tersempak beliau di dalam kelompok marathon-marathon di Putrajaya. Arghhhhh!!!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Sabtu, 15 Oktober 2011

Temuramah: Triathlete Muda yang Serius


Pahlawan Basikal: Assalamualaikum Fariz. Lama tak nampak kau kayuh sekarang. Ada "secret training"ke?
Fariz Atraz: Waalaikumussalam. Tak ada lah! Aku tengah sibuk dengan jemputan kenduri kahwin. Maklumlah, cuti sekolah lah katakan. Ni pun kejap lagi ada lagi jemputan kenduri kahwin.

Pahlawan Basikal: Oklah Fariz, kita mulakan sesi temuduga terbuka kita ni sebelum kau pergi kenduri kahwin kejap lagi.
Fariz Atraz: Okey.

Pahlawan Basikal: Boleh kau ceritakan tentang siapakah kau dan apa matlamat kau dalam bidang yang diceburi sekarang ini?
Fariz Atraz: Okey, nama aku Fariz Atraz Fauzi dan berumur 21 tahun. Aku terjebak dengan bidang sukan Triathlon ni sejak berumur 17 tahun. Ketika itu, aku lebih kepada sebagai perenang relay Kumpulan Maktab Tentera. Setahun selepas itu pula, aku mula melakukan sukan Triathlon secara individu.

Fariz Atraz, ketika latihan.

Triathlon adalah sukan yang aku paling minati. Sebabnya, tak semua orang mampu berenang, berbasikal dan berlari jarak jauh dalam satu masa.

Seiring dengan itu, aku sudah pun menetapkan matlamat aku untuk terus mendapat keputusan yang terbaik bagi setiap kejohanan Triathlon yang disertai.

Oh ye, aku baru je menamatkan pengajian aku di Utara tanah air dan masih menunggu peluang pekerjaan.

Pahlawan Basikal: Jadi, sejak bila kau mula berbasikal?
Fariz Atraz: Pada tahun 2006 sewaktu menjadi pelapis kepada pasukan Triathlon Maktab Tentera Diraja sebagai perenang, ibu bapa aku menghadiahkan aku basikal Fuji sebagai dorongan agar aku dapat pergi lebih jauh dalam bidang yg aku minati.

Memandangkan aku ketika itu berada di dalam sekolah tentera, jarang sekali dapat berbasikal. Ini kerana jadual yang terlalu padat dan penuh dengan aktiviti ketenteraan.



Minat dalam renang juga masih kuat ketika itu. Jadi, aku lebih fokuskan kepada renang memandangkan bidang ini memerlukan stamina, latihan khusus dan disiplin yang tinggi.

Lepas habis pengajian dari Maktab Tentera, barulah aku mula fokus kepada basikal pula. Antara laluan kegemaran sebagai latihan aku adalah dari Kuala Lipis ke Raub, Pahang.

Pahlawan Basikal: Aku percaya yang sekarang ini kau mesti ada lebih daripada 1 basikal. Boleh kau ceritakan tentang basikal-basikal kau tu?
Fariz Atraz: Pandailah kau! Aku ada satu basikal je tau. Aku cuma ada basikal Giant model Aero yg dibeli pada tahun 2008. Basikal ni banyak membantu aku ketika drafting dan juga berfungsi lebih baik ketika kayuhan secara solo. Ini kerana bingkainya berbentuk aero dan sesuai dengan namanya.

Dan satu lagi, berat bingkai basikal ini sangat membantu aku kerana berat badan aku sekitar 60 kg. Jadi, momentum basikal itu seiring dengan berat badan aku dan menjadikannya satu kelebihan.

Pahlawan Basikal: Macam mana pulak perlumbaan yang kau pernah sertai? Boleh kongsikan pengalaman terbaik dan terburuk kau dengan pembaca blog aku?
Fariz Atraz: Bolehhhh... Aku mulakan pengalaman terburuk aku dulu. Ianya terjadi ketika di ATM Triathlon 2011 dimana aku hanya dapat menamatkan perlumbaan selama 03 jam 06 minit 42 saat. Ini adalah Triathlon yang pertama sejak 2 tahun lamanya aku berehat kerana menyambung pelajaran.

Pahlawan Basikal: Ohhhh, okey, okey. Pengalaman terbaik kau pulak macam mana?
Fariz Atraz: Ini adalah pencapaian terbaik aku setakat ini. Aku dapat habiskan perlumbaan dengan catatan masa 02 jam 21 minit 03 saat ketika PD Triathlon 2011.

PD Triathlon 2011 - Selesai acara berenang.

PD Triathlon 2011 - Acara berbasikal.

PD Triathlon 2011 - Sebelum menamatkan perlumbaan.

Pahlawan Basikal: Agak jauh bezanya pencapaian kau ketika ATM Triathlon 2011.
Fariz Atraz: Ya. Ini kerana aku sudah bersedia 100% untuk perlumbaan ini; Sebulan sebelum tiba di hari perlumbaan, aku banyak membuat latihan dengan mereka yang berpengalaman dalam Triathlon.

Pahlawan Basikal: Ini kerja berat dan kau kena fokus sepenuhnya setiap latihan kau buat. Jadi, macam mana kau boleh laksanakan latihan tanpa mengganggu tugas harian?
Fariz Atraz: Memandangkan aku ni seorang penganggur dan masih lagi mencari kerja, jadi aku ada banyak masa untuk berlatih. Latihan dimulakan waktu awal pagi dengan berbasikal, petangnya pula berlari dan disebelah malamnya aku membuat latihan berenang.

Aku hanya berehat pada hari Sabtu dan Isnin je. Hanya waktu ini lah aku dapat mengorat awek-awek di sekitar Bangi.

Pahlawan Basikal: Jadi, bila masanya kau cari kerja?
Fariz Atraz: A’ah lah. Aku pun tak perasan pasal ni!

Pahlawan Basikal: Bagaimana dengan kumpulan basikal yang kau sertai? Ceritakan tentang kumpulan basikal kau tu.
Fariz Atraz: Tak lain dan tak bukan, Team Tri Paku. Ini adalah jalan pintas kepada sesiapa yang ingin berlatih meningkatkan kelajuan semaksima mungkin. Ini secara tak langsung dapat menguatkan kaki kerana trek kayuhan mereka agak jauh juga iaitu sekitar 50 km.

Perlumbaan yang pertama di bawah Team Tri Paku.

Pasukan ini juga mempunyai ramai pelumba yang kerap melakukan serangan (attack) dan ini membolehkan seseorang itu dapat membuat latihan interval sekiranya dapat bersaing dengan mereka.

Pahlawan Basikal: Ya, tentang ini aku setuju kerana aku pun mempunyai pengalaman yang sama. Aku ingat lagi masa...
Fariz Atraz: Kau cerita lain harilah - Inikan sesi temuramah aku!

Pahlawan Basikal: Ermmm, betul juga. Ok tak apa, soalan seterusnya...
Fariz Atraz: Eh, boleh tunggu kejap tak? Aku nak...

Pahlawan Basikal: Ahhh, kau jangan nak buat trik ni. Aku tau dah trik jenis ni; kau nak pegi bancuh Milo kan?
Fariz Atraz: Eh, mana kau tau trik ni?

Pahlawan Basikal: Aku dah kena dengan temuramah lepas. Buktinya ada disini: Temuramah: Bersama Ironman Muda
Fariz Atraz: Cisss, Fadhli Khairon dah curi trik aku dulu!

Pahlawan Basikal: Tak apa lah, benda dah pun terjadi. Usah dikenangkan lagi. Aku teruskan soalan seterusnya; Apakah perkara yang boleh memberikan motivasi kepada kau dalam aktiviti sukan Triathlon?
Fariz Atraz: Sememangnya cara terbaik untuk memotivasikan diri adalah dengan mencontohi orang yang paling berjaya dalam sesuatu bidang dan jadikan beliau sebagai idola. Seperti aku, Javier Gomez merupakan salah seorang atlet Triathlon yang sentiasa aku ikuti perkembangannya.

Menonton video pertandingan Triathlon di YouTube juga dapat membantu mengembalikan semangat aku yang adakalanya luntur.

Pahlawan Basikal: Sekiranya berpeluang, di manakah dalam dunia ini kau ingin mengayuh basikal?
Fariz Atraz: Sudah tentu di Perancis dan Sepanyol - Tempat perlumbaan berbasikal paling berprestij di dunia!

Pahlawan Basikal: Sebut tentang Perancis, aku pernah ke Arc de Triomphe di mana peringkat terakhir Le Tour de France dilangsungkan. Kau nak tengok gambar aku? Ni dia:

Arc de Triomphe, Perancis.

Fariz Atraz: Kau ni eksyen sungguh! Ini kan sesi temuramah aku. Bagilah aku yang eksyen dalam ruangan ni!

Pahlawan Basikal: Aku cuma nak beri kau semangat je. Ok, ok... Soalan seterusnya, disamping berbasikal, kau juga seorang pelari. Ceritakan serba sedikit tentang larian dan pengalaman kau sendiri.
Fariz Atraz: Dalam larian ni, aku mempunyai disiplin yang lemah. Awal tahun ni, aku baru je mulakan latihan dengan Team Adination of Runners Putrajaya. Merekalah yang banyak beri tunjuk ajar dalam teknik-teknik dan latihan yang betul. Larian biasa sahaja tak mampu mempercepatkan langkah ketika berlari.

Pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah apabila dapat menamatkan acara Full Marathon di Standard Chartered KL Marathon 2011. Seminggu sebelum pertandingan, hati aku memang gabra semacam memandangkan larian ini sangat jauh dan tidak penah terfikir untuk melakukannya sebelum ini.

Standard Chartered KL Marathon 2011 - Sebelum acara
marathon bermula.

Lagipun, memang aku tak pernah memasuki mana-mana pertandingan Full Marathon sebelum ni.

Oh ye, aku berjaya menamatkan larian sejauh 42 km selama 04 jam 43 minit 29 saat.

Pahlawan Basikal: Apa harapan kau kepada pengguna-pengguna jalanraya yang lain terhadap penunggang basikal dan pelari?
Fariz Atraz: Kepada pengguna-pengguna jalanraya yang lain janganlah mengunakan jalanraya ini sebagai tempat perlumbaan haram dan tempat menunjukan skil yang merbahaya. Ini bukan sahaja membahayakan nyawa pemandu itu sendiri malah pengguna lain seperti penunggang basikal dan pelari.

Pahlawan Basikal: Soalan terakhir yang sedikit terkeluar tajuknya, apa pendapat kau tentang Lisa Surihani?
Fariz Atraz: Memandangkan dia sudah berpunya, maka tidak ada apa yang kita semua boleh lakukan. (Jawapan ini jawapan asli daripada beliau tanpa disunting)

Pahlawan Basikal: Kah kah kah, jawapan kau kelakar!
Fariz Atraz: Kau jangan gelakkan aku!

Fariz Atraz Fauzi bangun dari kerusi, melangkah lima tapak ke arah Barat Daya dan berpaling ke arah aku sambil berkata:

“Kita beradu tenaga malam Jumaat ini seperti biasa!”

Dan, beliau melangkah pergi dengan penuh aksi seperti dalam filem-filem Hollywood karya Michael Bay.

PS: Agak stress juga temuramah kali ini. Almaklumlah, beliau bekas pelajar Maktab Tentera Diraja.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...