Isnin, 31 Disember 2012

Susurmasa 2012: Hidup Ini Sangat Menarik!


Hari ini adalah hari penutup bagi tahun 2012 dan aku berjaya melakukan kayuhan sejauh 86 km di dalam Putrajaya hingga Cyberjaya sebanyak dua pusingan. Cuaca agak romantik — redup hingga ke tengahari.

Dengan cuaca yang agak dingin anginnya, rugi kalau tak kayuh. Lagipun, esok dah masuk 2013. Kalau tak ada kayuhan penutup, rugilah!

PICC, Putrajaya. Mendung dan segar sepanjang hari.

Sepanjang tahun 2012, sebanyak 26 pos cerita yang berjaya aku tulis dalam blog ini. Bukan kerja senang tau. Itu belum masuk artikel yang aku tulis separuh jalan dan aku delete kalau rasa cerita aku ntahapaapa.

Okey, mari imbau susurmasa sepanjang 2012 yang aku rasa sesetengah cerita itu ada dramatiknya...

1 Januari 2012 - Pembukaan Tahun 2012 yang Ngeri
Seramai 17 Pahlawan dari setiap suku masing-masing sertai kayuhan ke PD yang sepatutnya jarak adalah 135 km je. Tapi, aku sesat sampai ke Nilai 3 jadikan jaraknya menjadi 147 km. Dah le sesat sorang-sorang, habis kayuh pukul 4 petang pulak tu. Itu belum masuk bab pandangan serong orang ramai sepanjang pukul 2 - 4 petang!

Cerita penuhnya ada di sini: Kayuhan ke PD: Episod Ngeri di Bawah Mentari

Kayuhan Tahun Baru 2012 ke Port Dickson.

22 Februari 2012 - Tragedi Botol Air
Macam biasa, setiap hari Rabu di malam harinya akan ada kayuhan sejauh 42 km yang laluannya melewati Putrajaya hingga ke Cyberjaya. Kelajuan adalah maksima dan degupan jantung boleh mencecah 193 bpm. Disebabkan keletihan yang melampau, salah seorang daripada kami jatuh ketika hendak meletakkan botol air, pada masa yang sama hilang kawalan dan terjatuh.

Cerita penuhnya ada di sini: Wednesday Night Ride: Tragedi Botol Air

Tangan kiri Zuraidy patah dan dikejarkan ke hospital Putrajaya.

05 Mac 2012 - Persiapan Kuantan Century Ride
Semakin hampir KCR, semakin kurang kayuhan aku. Jadi, aku di dalam keadaan terdesak waktu itu. Destinasi diputuskan iaitu ke Lenggeng sejauh 111 km. Buat pertama kalinya kedua-dua belah peha aku cramp bagai nak gila. Memang azab! Terpaksa minta bantuan Halim untuk hantarkan aku pulang ke rumah.

Cerita penuhnya ada di sini: Kayuhan ke Lenggeng: Inilah Kekejangan yang Sebenar!

Pelanggan tetap kat kedai kopi Bukit Mandum.

25hb Mac 2012 - Kuantan Century Ride
Hari besar sudah tiba. Ini le upacara pertama Century Ride dalam seumur hidup aku. Aku tak pernah kayuh 160 km sebelum ni. Jadi, aku kena pastikan segalanya menarik dan boleh aku eksyen dengan member-member aku kat kampung nanti. Walau apa pun, ini adalah pengalaman pertama aku yang paling menarik dalam 2012.

Cerita penuhnya ada di sini: Kisah Kuantan Century Ride sejauh 160 km

Ini buktinya untuk orang kampung aku. Karang kata aku beda'ah pulak.

Jun, Julai dan Ogos 2012 - Dugaan Besar
Ini adalah tentang anak aku iaitu Danial yang berumur 7 tahun. Bertangan kidal dan banyak membaca, melukis dan bermain game Ipod Touch ketika di rumah. Disahkan menghidapi Juvenile Dermatomyositis iaitu serangan anti-body sendiri terhadap sel-sel dalam badan seperti kulit, otot dan hati. Segala aktiviti sukan aku terhenti serta merta dan menumpukan 100% perhatian ke atas anak aku. Ya, ini saat paling sukar aku dan hanya 20% sahaja aku ceritakan di sini, Danial.

Danial ketika pembedahan kecil di peha kiri.


September 2012 - Persiapan Powerman
Ini pun waktu sukar aku jugak. Selepas melahap menu-menu hari raya, kena pulak Powerman bakal menjelang tiba. Dengan kurangnya latihan lari dan basikal, aku perlu tempuh Powerman dua bulan lagi. Ini sangat kejam! Dengan berat badan daripada 62 kg meningkat naik kepada 68.5 kg. Sedikit sebanyak mengganggu prestasi aku dan tahap kecergasan aku di tahap sangat kasihan.

Latihan Powerman tak kira siang atau malam, harus dilaksanakan juga.

21 Oktober 2012 - Persiapan Powerman, Kayuhan ke Ampangan 2
Last minit training untuk Powerman yang berbaki 11 hari je lagi. 9 orang Pahlawan menyahut cabaran 127 km ke Ampangan 2, Negeri Sembilan. Boleh dikatakan kayuhan ini sangat menarik. Kelajuan yang sederhana dan lancar menjadikannya menarik. Tahap kecergasan aku walaupun tidak seperti sebelum ini, tapi sudah cukup syarat untuk menyertai Powerman nanti.

Cerita penuhnya ada di sini: Para Pahlawan Basikal Beraksi di LEKAS

Aksi ini masuk dalam majalah Roda Pantas tau!

04 November 2012 - Misi Powerman Berjaya!
Walaupun berat badan aku agak sipi-sipi ISO Compliance, aku berjaya juga memegang gelaran Powerman. Aku akui, ini bukan kerja mudah. Dengan tahap kecerdasan yang sederhana, aku perlu menamatkan upacara kejam edisi 2012 ini. Lari 11.4 km, kemudian basikal 64 km, dan kena lari balik 11.4 km. Fuh, ini bukanlah waktu untuk kontrol hensem!

Cerita penuhnya ada di sini: Saya Sudah Powerman, Anda Bila Lagi?

Ada lagi 5.4 km berbaki.

13 November 2012 - 161 km Melalui Bukit Tangga
Baru 19 hari penangan Powerman, ada azab sedang menanti. Ingatkan dah habis, rupa-rupanya ada lagi. Sepanjang 161 km, banyak bukit-bukit terpaksa dilalui. Kampung Broga, Kampung Mandum, Bukit Tangga, Genting Peras, habis kena tarah. Hampir cramp jugak kaki ni. Mana taknya, 6 jam 30 minit dok kayuh basikal. Tahap kesukaran aku letakkan di nombor 2 selepas Powerman.

Cerita penuhnya ada di sini: Kayuhan Jahanam Sejauh 161 km di Hari Deepavali

Kayuhan Jahanam aku gelarkan.

16 Disember 2012 - Membeli Treadmill atas alasan untuk Kekal Cerdas
Dengan jumlah keseluruhan RM2050, aku berjaya mendapatkan treadmill terpakai. Nak beli baru, mahal sangat. Jadi, dapat yang terpakai pun jadilah. Ini adalah untuk menjayakan misi tahun 2013. Aku perlu mengembalikan berat badan seperti awal tahun ini dan kelajuan larian aku dapat dipulihkan. Ini adalah perkara yang agak sukar; tetapi boleh dilaksanakan. Cuma berikan aku sedikit masa...

Cerita penuhnya ada di sini: Treadmill Aku Datang

Treadmill untuk misi-misi penting sepanjang 2013.

Ya, terima kasih aku ucapkan kerana sudi menyelusuri susurmasa sepanjang 2012 bersama aku. Ianya bermula dengan bagus dan dipertengahan jalan diuji dengan hebat; dan diakhiri pula dengan cerita-cerita menarik.

Tahun 2013 aku perlu berusaha untuk jadikan perjalanan yang lebih menarik dan seterusnya berkongsi cerita dengan anda semua.

Selamat Tahun Baru 2013!

PS: Hidup ini sangat hebat dan menarik. Alhamdulillah.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 19 Disember 2012

Treadmill Aku Datang


Nampaknya, bulan Desember ini aku agak kurang aktiviti sukan di luar rumah. Kurang bukan bermaksud tiada langsung — cuma tidak agresif seperti bulan-bulan yang sebelumnya. Jadi ini membuatkan bulan ini kekurangan cerita untuk pembaca blog ini.

Berat badan aku pulak daripada 63 kg terus meningkat kepada 67 kg dan ianya sedikit mengganggu ketika upacara berlari. Ini juga menyebabkan beberapa kali Vastus Medialis aku cedera; mungkin disebabkan berat badan bertambah dan ianya membebankan otot-otot kaki aku.

Untuk mengurangkan impak jalan tar dan seterusnya mengekalkan tahap kecerdasan, aku pun membeli treadmill terpakai daripada rakan pejabat aku:

Treadmill jenama Horizon Fitness model Omega GT tahun 2011.

Kehebatan treadmill tersebut boleh baca di laman web Horizon Fitness.

Harga yang perlu aku bayar adalah RM1500 dan boleh bayar 2 atau 3 kali... hehehehe... Ditambah pula  dengan RM550 iaitu kos penghantaran oleh Johnson Fitness.

Aku lihat 80% kondisinya masih lagi elok dan mengikut kata Juruteknik yang memasang treadmill tersebut, dengan harga RM1500 ianya agak murah kerana harga asalnya ada RM4000 hingga RM5000.

Juruteknik daripada Johnson Fitness sedang menyelenggara treadmill aku.

Aku tak pernah lari atas treadmill sepanjang 34 tahun aku bernafas di atas muka bumi ini. Apa yang boleh aku katakan, lari atas treadmill lebih penat dan bosan berbanding lari di atas jalanraya.

Setakat ini paling lama aku berlari atas treadmill adalah 1 jam 10 minit tanpa henti. Nasib baik ianya menghadap tv dan bolehlah berlari sambil tengok filem Istanbul Aku datang. Tak adalah bosan sangat!

Papan pemuka Horizon Fitness model Omega GT 2011.

Dengan adanya treadmill ini, bolehlah aku lari ketika hari hujan dan larian jarak pendek sebelum bersiap ke pejabat.

Walaupun aku ada alat anti-sosial ini, tidak bermakna aku mengabaikan larian di atas jalan tar. Pada aku, lari di luar rumah lebih seronok, lebih nikmat dan lebih senang.

Sejak akhir-akhir ini, aktiviti larian mendominasi statistik DailyMile aku.

Ini juga mendorong aku menaiktaraf akaun Dailymile.com kepada versi PRO dengan bayaran RM22.00 sebulan. Boleh aku katakan yang ini adalah sebahagian daripada motivasi aku untuk tahun 2013 yang bakal tiba nanti.

Tiada lagi marathon 10k pada 2013 - Segalanya 21k dengan catatan masa sebaik mungkin!

PS: Full Marathon? Tahun 2014 kot.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 20 November 2012

Bebaskan Palestin: Tabung A2G Emergency Relief



TABUNG A2G EMERGENCY RELIEF
AQSA SYARIF BERHAD

Hulurkan sumbangan melalui akaun:
Maybank Islamic: 5515 7500 4299
Bank Islam: 1 2092 0100 3490 4

PS: Lidah jadi kelu. Nak melawak pun takde mood.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 14 November 2012

Kayuhan Jahanam Sejauh 161 km di Hari Deepavali


Kayuhan cuti Deepavali kali ini memang sangat mencabar. Cadangan asal kayuhan mestilah sejauh 150 km lebih. Bukit pula adalah optional. Ada pun takpe, tak ada pun lagi bagus.

Ye lah, mustahil le tak ada bukit. Kalau tak ada bukit, tak adalah penyeri kayuhan.

Tapi, bukit-bukit kali ini bukan lagi sebagai penyeri kayuhan. Bukit-bukit ini aku sifatkan sangat melampau dan sukar dimaafkan!

Okey, macam biasa, lagi dua hari kayuhan bakal berlangsung akan adalah pengumuman dalam group facebook "Tri Paku Night Ride!":

Lain-lain perkara boleh percaya. Tapi yang "Waktu kayuhan" tu
usah percaya sangat

Biasanya, tak lebih 10 orang yang akan turut serta. Selebihnya akan ada komen-komen seperti pergi kenduri kawin, balik kampung, merajuk dan juga kayuh kat tempat lain.

Pada asalnya, 11 orang jugak le yang kata nak ikut kayuhan kali ini. Tengok-tengok muka 7 orang ini jugak:

Muka ini jugak le yang menyahut cabaran kali ini.
*Hak milik Jaja

Seperti biasa, tempat berkumpul adalah di Presint Diplomatik. Disebabkan ada yang lewat, kayuhan dimulakan jam 8:00 pagi. Agak lewat, tapi misi harus diteruskan seperti yang dirancang.

Kali ini ada kereta sokongan akan mengiringi kami semua sepanjang perjalanan. Ini sudah bagus. Aku langsung tak tahu tentang perkara ini. Dan kereta sokongan ini pula dipandu oleh Jaja.

Oh ye, laluannya adalah Jalan P14 Putrajaya, Sungai Merab, Jalan Bangi Lama, Jalan Semenyih, Kampung Broga, Kampung Mandum, Bukit Tangga, Kampung Ulu Klawang, Titi, Genting Peras, Hulu Langat dan terus pulang ke Putrajaya melalui Lebuhraya SILK.

Dimulakan dengan bacaan doa selamat.
*Hak milik Jaja

Yang baju Saxo Bank kaler merah tu jangan main-main. Hari tu langsung
tak ada cramp!
*Hak milik Jaja

Ketika keluar daripada Putrajaya, kayuhan santai sahaja. Kelajuan hanya sekitar 25 - 28 km/j. Sepanjang laluan Sungai Merab, jalan agak landai berbukit. Lama-lama terasa jugak letihnya.

Ketika di Jalan Bangi melewati Agensi Nuklear Malaysia, kelajuan ditingkatkan kepada 28 - 35 km/j hingga susur keluar daripada Jalan Bangi Lama.

Ketika di Jalan Semenyih menuju ke Bukit Broga, kayuhan sekitar 28 - 32 km/j. Daripada Broga ke Lenggeng seperti tersedia maklum, permukaan jalannya agak beralun. Meter pula sudah pun mencecah hampir 60 km ketika tiba di pekan Lenggeng.

Sesi mendaki Bukit Mendum.
*Hak milik Jaja

Aku ingatkan ada le berhenti di kedai kopi untuk acara makan-makan seperti geng Jami Bike Centre selalu buat. Rupanya, tak ada. Nak atau tak, tanpa rehat yang secukupkan, upacara mendaki Bukit Mendum harus dilakukan secepat mungkin.

Aku tak pasti berapa jauh Bukit Mendum sebenarnya. Anggaran aku sekitar 1 km. Walaupun pendek, bukitnya agak tegap berdiri. Meter aku sekitar 8 - 10 km/j ketika mendaki — sangat perlahan dan terasa seperti mahu mengelupur sambil mengayuh pedal.

Lepas mendaki bukit, breakaway siapa dapat air Coke dulu.
*Hak milik Jaja

Ketika menuruni Bukit Mendum, meter aku mencecah 75 km/j. Hah, bayangkan masa mendaki tadi macam mana. Turun bukit pun kelajuan hampir mencecah 80 km/j. Kiranya kayuhan yang berkelajuan 8 - 10 km/j tadi tu dah kira sangat laju tau! Jadi, jangan banyak komplen kenapa kayuhan aku macam mana boleh perlahan sangat.

Ok sambung balik...

Sebaik sahaja sampai di persimpangan Jalan Jelebu, aku nampak beberapa kawan aku sedang menikmati air Coke. Rupa-rupanya Jaja bawak air coke, milo, air mineral, rivive, 100 plus, pisang dan kuih-muih tradisional seperti karipap. Memang rasa macam syurga sekarang ni!

Nasib baik ada kereta sokongan sepanjang kayuhan ni.
*Hak milik Jaja

Setelah semua sudah tiba daripada mendaki Bukit Mendum, kami semua menyambung perjalanan yang berbaki lagi 89 km dengan menuju ke arah Bukit Tangga.

Aku tak pasti berapa jauh Bukit Tangga. Anggaran aku sekitar 10 km. Siapa yang pernah kayuh basikal naik bukit ni taulah azabnya macam mana.

Berhenti untuk berkumpul sehingga semua tiba sambil minum air Coke.
*Hak milik Jaja

Selepas tamat beraksi di Bukit Tangga, kami semua menuju ke Genting Peras melalui jalan Kuala Klawang dan Titi.

Genting Peras atau lebih dikenali dengan nama Genting Peres adalah penutup segala bukit-bukau untuk hari ini. Bunyinya seakan berita gembira. Berita gembira apa ke bendanya. Sekarang ni dah 100 km lebih pun kena panjat bukit lagi.

Sedang mendaki Genting Peras.
*Hak milik Jaja

Nak tak nak, kena le jugak kayuh pelan-pelan sejauh 14 km. Empat orang lagi dah jauh kat depan. Belakang aku ada lagi 2 orang yang tercedera.

Dan kat sini boleh pulak cramp kat peha kiri aku. Nasib baik cramp sekejap je dalam seminit lebih.

Tunggu sekejap kat puncak Genting Peras. Ada dua orang lagi sedang
mendaki jauh di belakang.
*Hak milik Jaja

Kat sini aku agak mental dan mata aku terkebil-kebil seakan-akan tidak percaya dengan apa yang aku sedang lalui. Filem James Bond pun tak macam ni — sangat ngeri dengan permukaan jalannya tiada sikit pun ada sifat belas kasihan terhadap aku.

14 km tu bukannya dekat. Turun bukit tu lainlah ceritanya. Ini cerita tentang kayuh basikal sambil mendaki bukit sejauh 14 km. Okey?!

Ketika ini aku perhatikan jam sudah dua petang lebih. Langit sekitar Hulu Langat sudah gelap dan kemungkinan hujan.

Kami semua terpaksa turun daripada puncak Genting Peras secepat mungkin kerana takut tanah runtuh kat tengah-tengah jalan nanti. Ketika menuruni bukit, ada batu besar dah pun selamat jatuh kat laluan kiri. Aku rasa baru je jadi ni...

Batu besar jatuh dari atas bukit.
*Hak milik Jaja

Lagi beberapa km nak tiba batu 14, Hulu Langat, seorang rakan kami terpaksa menaiki kereta kerana kecederaan lututnya datang kembali. Ketika ini perjalanan sudah pun sejauh 120 km.

Sepanjang di batu 14, Hulu Langat kami kayuh dalam hujan. Hujan berhenti ketika kami mula memasuki lebuhraya SILK dan terus menuju ke Presint 14, Putrajaya.

Ketika memasuki lebuhraya Cheras - Kajang menuju ke lebuhraya SILK.
*Hak milik Jaja

Berjaya juga akhirnya!

Kami semua selamat tiba di Presint 14, Putrajaya tanpa musibah besar. Kayuhan kali ini pada aku memang sangat mencabar. Terlalu banyak bukit yang tinggi dan jauh perlu ditempuhi.

Kesimpulannya, kayuhan sejauh 161 km selama 6 jam 30 minit akhirnya berjaya dilakukan. Terima kasih untuk Jaja dan anak teruna Norman yang sanggup mengiringi dengan kereta di sepanjang kayuhan kali ini.

Dan, cerita ini mungkin boleh bertahan selama 11 keturunan yang boleh diceritakan turun temurun.

PS: Aku tak nak dah buat keje macam ni lagi.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 7 November 2012

Saya Sudah Powerman, Anda Bila Lagi?


Alhamdulillah. Aku berjaya juga habiskan Malakoff Powerman Asian Duathlon Championships 2012 yang telah berlangsung dengan jayanya di Presint 3, Putrajaya pada 4hb November baru-baru ini.

Seperti yang diberitahu, peserta kali ini adalah seramai 1850 orang yang terdiri daripada 30 buah negara seperti Switzerland, Perancis, Belgium, Czech Republic, Rusia, Amerika, Kenya, Jepun, Filipina, Singapura dan beberapa negara yang lain lagi.

Jika nak dibandingkan antara aku dengan mereka yang dari negara-negara yang aku sebutkan tadi, apalah sangat — umpama Amir Raja Lawak dengan Daniel Craig.

Jangan tak kenal mana satu James Bond, sudah!

Okey, lupakan tentang Amir Raja Lawak dan Daniel Craig, mari ikut aku kembali ke susurmasa 4 hari yang lepas...

Sabtu, 3 November 2012
Macam biasa, pukul 6:30 pagi aku bangun dari tidur. Jam 7:00 pagi aku keluar untuk jogging sejauh 2 km. Selepas jogging, aku membuat kayuhan 5.3 km untuk memastikan kondisi basikal aku dalam keadaan baik.

Segala-galanya nampak dalam keadaan baik. Lagipun basikal aku baru 3 hari lepas siap diservis oleh Rodalink Putrajaya. Cuma hati aku tak berapa sedap sangat apabila melihat usia tayar aku sudah pun mencecah 4300 km.

Nak tukar, duit lagi... Atas nasihat rakan-rakan terdekat, aku mengambil keputusan untuk terus memakai tayar tersebut. Hanya sekadar menukar tiub sahaja.

Hari Jumaat malam sebelumnya aku sempat menukar tiub.
Masih lagi tiub berjenama Continental.

Jam 12:30 tengahari pula aku dan dua rakan lagi pergi ke Putrajaya Marriott Hotel untuk mengambil goodies dan nombor bib.

Semua yang melalui arah ini hanya dengan satu matlamat –
Menyelesaikan misi Powerman 2012 dengan bergaya.

Masing-masing sedang memeriksa nama samada tersenarai atau tidak.

Nama aku tersenarai di antara mereka ini. Yelah, aku dah bayar RM170
beberapa bulan lepas. Kalau masih tak ada, memang sajalah!

Sedang beratur untuk mengambil goodies.

Diorang ni memang cekap tengok nombor.

Nasib baik ada jual Powerbar. Tak payah aku ke farmasi cari benda ni.

Goodies; kecuali 3 keping Powerbar tersebut.

Setelah selesai urusan mengambil goodies dan nombor bib, aku terus ke alamanda untuk membeli spaghetti, pizza dan beberapa persiapan lain.

Sebaik sahaja aku sampai di rumah, aku terus masak spaghetti.
Pizza, spaghetti dan ais krim mahal ini aku perlu habiskan sebelum jam
7 malam.

Sambil makan, aku membuat persiapan terakhir dan semua barang-barang aku letakkan di dalam bekas untuk digunakan semasa waktu transaksi ketika acara sedang berlangsung nanti.

Cramp spray ini sangat penting. Benda wajib.

5 bungkus serbuk garam yang dibeli di farmasi. Perlu diambil sebelum tidur
dan sebelum keluar rumah esok pagi.

Aku tak tahu apa rasanya. Kata orang makanan tambahan ini sangat
bagus. Esok pagi sebelum lari aku kena telan sampai habis.

Set 2xu untuk bergaya esok hari.

Okey, semua sudah siap!

Setelah berpuas hati dengan persediaan aku, jam 9:35 malam aku terus masuk tidur. Dengan satu harapan — berjaya bangun seawal 4:15 pagi!

Ahad, 4 November 2012
Sebagai permulaan, aku berjaya bangun tidur seperti yang ditetapkan. Ini satu permulaan yang baik!

Setelah mandi, aku makan sekeping Powerbar dan minum 400 ml air garam ORS dan 500 ml air Accelerade.

Jam 5:25 pagi, aku keluar dari rumah dan menuju ke tapak parkir kereta bersebelahan Mahkamah Presint 3. Ruang parkir masih lagi banyak dan ini menjimatkan masa aku. Terus sahaja parkir dan keluarkan basikal aku daripada kereta.

Hari masih lagi gelap. Tapak parkir juga semakin penuh.

Jam 5:45 pagi aku terus ke tapak transaksi untuk meletakkan segala barang-barang aku dan juga basikal.

Sedang menuju ke ruang transaksi aku. Agak jauh ke dalam.

Senjata masing-masing sangat mengerunkan!

Pesanan terakhir aku kepada beliau, "Inilah masanya kau perlu berbakti
pada tuan kau. Jangan ada masalah teknikal, lagi-lagi pancit di tengah jalan."

Di kesempatan ini aku mengambil separuh lagi Powerbar dan minum air Livita madu sambil disulami dengan gel EFS. Rasa gel EFS buatkan aku nak termuntah. Rasa ubat batuk! Aku tak boleh nak habiskan gel tersebut.

Kemudian, aku tinggalkan basikal aku dan menuju keluar daripada kawasan transaksi sambil menegur beberapa rakan-rakan aku yang baru sahaja tiba.

Sebahagian ahli Tri Paku.
*Hak milik Tri Paku.

Larian Pertama, 11.4 km
Tepat jam 7:01 pagi, larian sejauh 11.4 km pun bermula. Sepanjang larian segalanya berjalan dengan lancar. Otot pun tak rasa ketat atau tak selesa. Ini mungkin 20 minit sebelum larian dimulakan aku sudah pun membuat larian warm up. Kelajuan sekitar 5'39"/km - 6'06"/km tanpa tekanan buatkan aku sangat selesa.

Aku tak berani lari macam orang gila macam pernah aku buat bawah satu jam. Lepas tu aku dah tak larat kayuh basikal. Aku tak nak macam tu. Jadi, aku cuba mengawal emosi aku agar larian aku dalam keadaan terkawal.

Sudah hampir ke kawasan transaksi untuk bertukar kepada acara basikal.
*Hak milik Nurina Van Oostrum Abdullah

Aku tak mahu emosi aku mengatasi matlamat aku. Perlu diingatkan, matlamat aku adalah:
  1. Selamat tiba di garisan penamat
  2. Tiada kemalangan atau kecederaan
  3. Menikmati keseronokan tanpa tekanan
Sekiranya aku dapat habiskan bawah 5 jam, ianya hanyalah satu bonus.

Permukaan jalan pula agak landai dengan beberapa bukit yang sedikit panjang. Aku tak pernah berlatih lari di laluan ini. Tetapi, aku pernah melalui laluan ini ketika Himpunan Sejuta Belia Standard Chartered 5KM Fun Run. Jadi, pengalaman tersebut sedikit sebanyak membantu aku.

Aku berjaya menamatkan larian aku selama 1 jam 08 minit 32 saat.

Basikal, 64 km
Ketika proses transaksi, aku mengambil masa yang sangat lama iaitu 07 minit 49 saat. Ini memang kelemahan aku. Pergerakan aku lambat dan ini banyak merugikan aku.

Ketika berbasikal segalanya berjalan dengan lancar. Hati aku tak putus-putus berdoa agar tayar aku tak pancit di tengah jalan.

Baru habis kayuh kot. Aku pun tak pasti.
*Hak milik Vivien Tay.

Sepanjang 32 km yang pertama, aku tak banyak tekan ketika kayuhan. Aku kena hati-hati sebab silap gaya boleh kejang kaki aku. Ini memang biasa dah kejap terjadi kat aku.

Untuk selamat, kayuh je macam biasa aku berlatih. Cumanya, di 40 km yang terakhir aku mula meningkatkan kelajuan hingga mencecah 60 km/j ketika menuruni bukit.

Lagi 8 km nak habis, Marshall marah-marah sambil memandang ke arah aku. Apa ke jadahnya sound aku. Sepanjang kayuhan aku tak ada pun drafting sapa-sapa pun. Eh, ntah-ntah orang yang drafting aku kot. Tengok belakang, wahhhh sedapnya mamat sorang ni dok drafting aku. Dah berapa lama agaknya dia buat keje ni kat belakang aku.

Patutlah Marshall meroyan. Tak pasal-pasal aku jugak dicop bersubahat!

Oh ye, aku berjaya menamatkan kayuhan selama 2 jam 02 minit 27 saat. Ini bukan masa terbaik aku dan aku percaya aku boleh buat lebih baik daripada ini.

Larian Terakhir, 11.4 km
Seperti yang aku ceritakan tadi, kelemahan aku adalah ketika transaksi. Kali ini lagi teruk; 08 minit 20 saat tau! Pesakit Parkinson pun boleh pakai kasut lagi laju daripada aku.

Aku pun tak taulah apa yang buatkan aku lama sangat kat situ. Ah, malaslah aku nak cerita bab ni!

Keluar je daripada pintu kawasan transaksi, aku terus berlari dengan kelajuan sekitar 7'00"/km. Baru je lari tak sampai 100 meter, kedua-dua belah peha aku cramp!

Baru 1 pusingan. Ada lagi 5.7 km lagi kena setel. Stress betul!

Aku cuba tahan sakit dan teruskan larian. Tapi, ianya makin sakit dan aku terpaksa berhenti dan semburkan cramp spray yang sentiasa aku bawa daripada tadi.

Memang betul orang cakap, senjata yang paling mustajab adalah DOA! Tambahan pula ketika itu dalam keadaan terdesak, lagilah mustajab.

Sambil sembur cramp spray dengan separa sedar aku berdoa dalam hati. Korang tau apa yang aku doa?
"Ya Allah, kalau betullah kau nak bagi kaki aku ni sakit, jangan le kau sakitkan kaki aku sekarang ni. Biar aku habiskan misi aku ni dengan selamat. Lepas tu kalau nak sakit pun tak apalah."
Tak lama lepas tu, cramp kat kaki aku hilang!

Aku berjaya habiskan satu pusingan tanpa sebarang masalah dan langsung tak rasa sebarang sakit kat kaki. Aku teruskan larian dan semakin lama semakin perlahan dan aku kehabisan tenaga. Sebagai penyelesaiannya, setiap water station aku berjalan sambil minum air.

Dengan cara itu sahajalah yang aku boleh bertahan hingga tamat permainan kejam ini.

Sehingga satu tahap, aku mula berfikir yang bukan-bukan ketika sedang berlari:
  1. Kalau aku pegi Korea ikut bini aku bercuti sekarang ni pun tak apa
  2. Kalau aku tak register Powerman aku tak rugi satu sen pun
  3. Kalau aku itu, kalau aku ini...
Walaupun aku meroyan tak tentu hala, tapi semangat aku masih kuat. Aku tak terfikir langsung nak menyerah kalah. Walau macam mana sekali pun, aku mesti habiskan Powerman ini. Powerman ini adalah maruah aku. Kalau aku menyerah kalah, macam mana aku nak ceritakan pengalaman aku ini kat anak-anak aku?

Iva dan Danial.

Tak kan aku nak cerita kat anak aku yang ending-nya macam ni: "Ayah tak larat nak lari dah. Jadi, ayah pun tahan marshal, menumbuk perutnya sambil merampas motorsikal dan terus pulang ke rumah untuk berehat."

Dah le tak habis Powerman, samseng pulak tu!

Jadi, apabila membayangkan muka anak-anak aku, aku terus bersemangat dan teruskan larian aku yang hanya tinggal lagi 1.5 km sahaja.

Dan, aku berjaya. Puas hati aku tau! Walaupun catatan masa larian terakhir aku sangat teruk iaitu 1 jam 27 minit 57 saat, tapi yang penting misi aku tercapai. Bukan senang weh nak habiskan 23 km lari dan 64 km basikal.

Medal sebagai bukti kecekalan semangat aku.

Ini juga boleh dijadikan sebagai bukti atau alat untuk eksyen dengan orang.

Oh ye, lupa aku nak cerita pasal kaki aku ni. Elok je aku sampai rumah, kaki aku dua-dua belah terus sakit. Nak sembahyang pun susah. Sampaikan esok aku terpaksa ambik mc. Memang mustajab doa aku tu.

Balik rumah, terus aku rendam kaki aku dalam ais.

Sebagai hadiah, aku turut terima cuti sehari oleh doktor.

Okey, keputusan sudah pun keluar pagi tadi. Aku di tempat yang ke-149 untuk kategori 30 - 39 dengan catatan masa 4 jam 55 minit 31 saat. Fuh, misi tercapai akhirnya.

PS: Dengar cerita Powerman 2013 nanti akan diadakan di Putrajaya jugak. Wah, ini sangat bagus! Tak sabar aku nak meroyan lagi.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...