Isnin, 2 Januari 2012

Kayuhan ke PD: Episod Ngeri di Bawah Mentari


Genapnya Tahun Baru 2012, seramai 17 orang Pahlawan Basikal bersedia menyahut cabaran kayuhan 140 km ke Port Dickson, Negeri Sembilan mewakili setiap suku kaum masing-masing yang menetap sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor Darul Ehsan.

Status Facebook aku memanggil kesemua para Pahlawan Basikal untuk berjuang
menentang angin, mentari dan segala bahaya di jalanraya.

Jam 7:15 pagi, walaupun lambat aku masih sempat mengambil gambar.
Janji 7:30 pagi mulakan kayuhan. Tapi, biasalah...

Kayuhan bermula agak lewat; iaitu sekitar jam 8:09 pagi. Sebabnya, bukan aku sorang je yang lambat - Ada 4 orang lagi yang lagi lambat daripada aku!

Sebahagian Pahlawan Basikal yang dalam keadaan
berjaga-jaga.

Sedang kutuk mengutuk sambil menunggu 4 orang lagi yang
masih dalam perjalanan ke Information Centre, Putrajaya.

Kami seterusnya menuju keluar dari Presint 1, Putrajaya dan menuju ke Kampung Limau Manis yang diketuai Faisal. Baru kayuh 3 km dah kena naik bukit. Kat sini nafas masing-masing dah bunyi nafas lembu korban - Termasuk aku!

Selepas habis kerjakan bukit-bukit Kampung Limau Manis, aku tengok meter baru 5 km. Hah!

Presint 1 - Sedang menuju keluar dari Putrajaya.
*Gambar hak milik Azlan.

Berhenti sebentar di persimpangan lampu isyarat di
sekitar Dengkil untuk menunggu yang masih di belakang.
*Gambar hak milik Fadzil.

Sudah jauh meninggalkan Kampung Limau Manis dan
sedang menuju ke Sepang.
*Gambar hak milik Azlan.

Ketika ini kelajuan masih dalam keadaan terkawal iaitu 25 - 30 km/j. Aku berada di belakang sekali untuk memastikan tiada siapa yang cuba patah balik atau menaiki teksi.

Di sekitar Kampung Jenderam Hulu dan sedang menuju
bukit De Palma, Sepang.
*Gambar hak milik Azlan.

Sebaik sahaja melepasi Kampung Lembah Paya, Sepang aku mulakan aksi panas sambil menekan 60 km/j dan diikuti beberapa pahlawan lain yang turut sama jugak melakukan aksi yang sama - Aksi sama yang boleh jugak membuatkan yang lain turut sama tak boleh tahan menekan pedal sehabis daya.

Aksi tersebut tamat betul-betul di hadapan Shell pekan Sepang.

Berhenti sebentar di hadapan Shell pekan Sepang.
*Gambar hak milik Azlan.

10 minit sudah pun berlalu dan perjalanan perlu diteruskan...

Laluan seterusnya adalah Bukit Pelanduk yang bukit-bukitnya boleh tahan juga. Di sini semua pahlawan mula agak kacau mentalnya - kayuh basikal sambil mendaki bukit di bawah panas matahari, tak ada sapa yang suka.

Kat sini ramai juga yang tercicir. Aku dan Iskandar mengambil keputusan berhenti sebentar untuk menunggu yang masih di belakang. 30 saat kemudian, Mawi pula menyusul dan diikuti yang lain-lainnya.

Iskandar dan Mawi cuba posing dalam keadaan letih. Aku
tak risau dua orang ni pasal diorang berlatih dua kali sehari.

Ada lagi 4 orang yang masih di belakang. 2 orang sudah laju
di depan dan menunggu di Pekan Lukut.

Kami semua teruskan perjalanan hingga ke pekan Lukut.

Pekan Lukut, Negeri Sembilan.

Lukut - Berbincang untuk berhenti di mana sebelum
menyambung perjalanan ke Putrajaya semula.

Sudah nampak laut.

Berhenti di Kedai Kopi Pak Lang, Port Dickson.

Shahrul, Halim dan Zolkepeli Haron.

Sedang bancuh air kelapa campur power gel.

Habis mengisi perut dengan pelbagai menu, kami semua mengambil gambar seramai yang boleh dengan bantuan seorang Jaga sebagai jurugambar. Hasilnya:

17 Pahlawan Basikal bersama senjata berkuasa tinggi; dan,
setiap seorang mewakili suku kaum masing-masing dari
pelbagai daerah dan mukim.

Dan, bermulalah detik ngeri ketika menyambung perjalanan pulang ke Putrajaya. Perlu diingatkan, sepanjang kayuhan berlangsung, tiada kereta pengiring. Dan, segala kesulitan perlu diatasi dengan tulang empat kerat. Tak ada Jami, Jami dah. Jami pun tengah sibuk kat Malakoff Penang waktu tu!

Ikuti kejadian-kejadian ketika pulang ke Putrajaya:

Kejadian Pertama
Kaki seorang pahlawan dari mukim mana aku pun tak pasti, sudah kejang ketika mendaki bukit di sekitar pekan Lukut; dan keadaannya agak serius. Terpaksa menelefon isterinya untuk menyelamatkan beliau.

Kejadian ke-Dua
Pada masa yang sama, salah seorang daripada kami tayarnya pancit di hadapan Pasaraya Giant, Lukut. Aku dan dua orang lagi terpaksa patah balik dalam 1.3 km untuk memberi bantuan.

Yang lain-lainnya sudah pun berada jauh di hadapan.

Setelah selesai menukar tiub, kami berlima cuba kayuh dengan lajunya untuk berada di dalam pelaton semula - Walaupun aku tahu ianya mustahil.

Memang azab bila terputus pelaton sambil kayuh selaju yang boleh di bawah terik matahari dan angin yang agak kuat.

Ketika ini mereka semua terselamat daripada azab dunia yang
sedang aku tempuhi.
*Gambar hak milik Azlan.

Kejadian ke-Tiga
Ketika di hadapan Balai Polis Ladang Tanah Merah, Lukut, aku menerima panggilan daripada Faizal yang katanya rantai putus. Ketika ini Faizal berada jauh di hadapan yang aku percaya berbatu-batu jauhnya.

Kejadian ke-Empat
Seorang lagi Pahlawan tewas; di mana, aku tak berapa pasti. Faizul Hashim yang sudah bertukar basikal BMC kepada jenama Pinarello telah pitam ketika perjalanan pulang. Bantuan tiba dengan kereta untuk membawa pulang dua orang sekali gus.

Ketika ini mereka berdua juga terputus pelaton iaitu
Faizul Hashim dan juga Zolkepeli Haron.
*Gambar hak milik Zolkepeli.

Kejadian ke-Lima
Ketika dipersimpangan Salak, Sepang, kami berlima tersalah masuk simpang dan termasuk jalan menuju ke Pekan Nilai. Disini aku sudah mula mental memandangkan bahang matahari dan juga pada masa yang sama tersesat pula.

Jadi, nak tak nak kenalah teruskan perjalanan. Takkan nak patah balik kerana ianya akan memakan masa yang lama memandangkan jam sudah pukul 2:00 petang.

Aku pernah tersesat di Paris, jadi dalam hati aku berkata, "Mustahil boleh terkandas sampai malam di Pekan Nilai. Sedangkan Paris aku dapat atasi 30 minit sahaja."

Tatkala itu juga aku kembali bersemangat. Disebabkan semangat itulah membuatkan aku terputus dengan 4 orang lagi di belakang aku. Kayuhan aku terlampau laju dengan kadar 38 - 40 km/j di bawah terik mentari.

Ketika ini aku sudah berada di Bandar Baru Salak Tinggi. Di sini aku sudah biasa dan aku tahu jarak sekitar 23 km ke Information Centre, Putrajaya.

Kejadian ke-Enam
Akibat terputus dengan aku yang sudah pun berada di Bandar Salak Tinggi, Halim dan seorang lagi pahlawan keluar daripada lebuhraya dan memasuki De Palma, Sepang dan teruskan perjalanan melalui Bukit-bukit Limau Manis.

Kejadian ke-Tujuh
Rizal dan seorang lagi juga terputus pelaton di sekitar pekan Nilai. Jadi, terpaksa menelefon isterinya untuk mengambil daripada terus tersesat lagi.

------

Aku teruskan perjalanan secara solo dengan kadar kelajuan yang sederhana dengan harapan empat orang rakan di belakang aku akan menyusul.

Lagi 10 km hendak sampai Putrajaya, aku dah mula rasa tertekan. Tertekan disebabkan orang ramai memandang aku ketika berhenti di lampu isyarat. Jam 3:20 petang kayuh basikal macam orang gila - memang patutlah orang tengok penuh syak wasangka!

Nampak macam dekat dah kan? Tapi, ada lagi 8 km untuk
sampai ke Information Centre, Putrajaya.

Ketika melalui lebuhraya, ternampaklah PICC, Putrajaya. Barulah lega dan kayuhan diperlahankan sekitar 25 km/j sehinggalah tiba di Information Centre, Putrajaya. Dan, tamatlah kayuhan solo aku di bawah matahari rembang Tahun Baru 2012.

Dalam 15 minit kemudian, Halim dan sorang Pahlawan lagi
tiba dan menceritakan detik-detik hitam yang mencabar
ketika melalui bukit-bukit Kampung Limau Manis.

Kesimpulannya, aku dapat mengatasi segala tekanan di bawah kepanasan melampau 34º Celsius ketika sesat dan juga meneruskan kayuhan solo di bawah bahang matahari. Kayuhan selama 5 jam 26 minit sejauh 147 km berjaya ditamatkan dengan penuh gaya, mutu dan keunggulan ketika jam menunjukkan 4:08 petang.

Okey, kita lihat pengajarannya pula:
  1. Setiap orang perlu ada pam tangan yang bertekanan 120 psi dan juga tiub
  2. Kayuhan melebihi 100 km perlu ada kereta sokongan yang mengiringi orang yang paling akhir di belakang peloton
  3. Kayuhan perlu dilakukan di dalam peloton dan elakkan daripada terputus. Ini adalah yang paling penting sekali kerana terputusnya pelaton, anda akan menjadi seorang komando di atas jalanraya
  4. Mental perlu kuat
  5. Keselamatan sentiasa di dalam kepala walaupun ketika sedang dalam keadaan tertekan
Walaupun perkara sedemikian terjadi, aku masih boleh anggapkan ianya satu pengalaman yang menarik dan boleh dijadikan panduan untuk mereka yang ingin kayuh basikal ke Port Dickson.

Kepada yang ingin ke Port Dickson dengan mengayuh basikal, teruskan hajat anda itu - 1001 cerita yang bakal anda tempuhi boleh diceritakan kepada anak-anak anda dan akan diingati hingga 7 keturunan!

PS: Malam tadi aku belasah 24 cucuk sate untuk dapatkan tenaga ketika tidur dan aku mimpi sesat di kota Bangkok! Dalam mimpi pun boleh perli lagi tu...

8 ulasan:

  1. Macam macam ada. Hahaha. Tahniah dapat habis kayuh! Betul anggapan aku, ku mesti tak tahan nak tekan. Hehehe

    BalasPadam
  2. syaful, nasib baik ko di trek yg betul - di Malakoff Penang. Tekan selagi boleh :D

    BalasPadam
  3. Day Ride ke PD memang seronok, yang tak seronok biasanya masa nak balik jer.. sure memacam hal.. Anyway, jangan patah semangat...next ride buat route lain plak. kalau dah biasa banyak route, susah nak sesat. Syabas dan tahniah kepada semua pahlawan beskal.. YEH BEBEH

    BalasPadam
  4. Mansid, terima kasih kerana komen pos terbaru saya. ya betul, biasanya masa baliklah yang agak banyak cabarannya :D

    tapi, itu semua biasalah. kalau tak sesat, tak banyak yg boleh cerita dalam blog hehehe

    BalasPadam
  5. next time g pd naik keta jer la bro...br x mental,heheh

    BalasPadam
  6. faizal, lepas ni ke frazer/sempah pulak :D

    BalasPadam
  7. Terbaiklah korang. Tahniah kerana dapat mengharungi segala cabaran semasa kayuh.

    BalasPadam
  8. Anonymous, tq dgn kata² semangat itu :D

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...