Ahad, 22 Januari 2012

Resepi Hari Minggu: Pasta Ayajartup, Siap Dimasak Sedap Di Makan


Seingat aku, resepi yang pernah aku kongsikan dengan korang semua adalah pada tahun lepas iaitu tentang bagaimana membuat Bar Protein.

Hari ini aku kembali lagi untuk membawa anda ke dapur aku dan seterusnya berkongsi resepi Pasta Ayajartup. Resepi ini adalah asli turun temurun daripada keluarga aku yang berasal dari Itali dan Greek.

Untuk pengetahuan anda, Pasta Ayajartup adalah gabungan bahasa Itali dan Greek. Pasta adalah daripada bahasa Itali dan Ayajartup pula adalah daripada bahasa Greek yang bermaksud Putrajaya.

Beginilah rupanya Pasta Ayajartup.

Okey, sekarang korang sudah pun tahu sejarah resepi aku ini. Jadi, moleklah sekiranya kita teruskan sahaja agenda kita.

Bahan-bahannya adalah:
  • Pasta
  • Minyak Zaitun
  • Garam
  • Serbuk Keju
  • Sosej

Di bawah ni aku sertakan gambar untuk memudahkan korang cari kat pasaraya nanti:

Pasta jenama Liguori berharga sekitar RM5. Kalau tak silap
aku lah. Aku pun tak berapa ingat.

Minyak zaitun jenama Colavita berharga RM29.95.

Serbuk keju jenama Formaggio berharga sekitar RM8

Sosej jenama Ramly. Harga aku tak ingat pulak.

Bahan-bahannya mudah sahaja. Nak masak pun sangatlah senang. Caranya:

Rebus pasta dan sosej serentak dengan air bersih selama 10 - 15 minit (bergantung pada kekuatan api dapur). Bila nampak pasta tu dah kembang kiranya dah masaklah. Lepas tu buang air rebus tersebut dengan menggunakan penapis dan letakkan pasta dalam pinggan.

Taburkan secubit garam dan diikuti serbuk keju. Garam tu jangan banyak sangat, secubit pun dah cukup. Serbuk keju tu pun dalam 5 cubit pun dah ok.

Akhir sekali baru tuang minyak zaitun dan gaulkan dengan tangan hingga rata. Minyak zaitun tu pulak jangan tuang banyak sangat. Sekadar ratakan keseluruhan pasta pun sudah memandai.

Lepas tu dah boleh makan Pasta Ayajartup dengan penuh yakin.

Mudah kan? Kalau korang nak kayuh basikal atau marathon, elok sangat le. Korang boleh rasakan prestasi sama hebat dengan minyak Shell V-Power.

Selamat mencuba!

PS: Ramuan-ramuan tu semua aku beli kat Carrefour, Alamanda Putrajaya. Kalau kat kedai runcit mamak, tak ada kot.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Sabtu, 21 Januari 2012

Tri-Paku Nite Ride: Laluan Sejauh 43 km yang Selesa


Setiap Jumaat sememangnya hari kayuhan kesihatan Tri-Paku Night Ride; dan berbelas-belas penunggang basikal turut serta. Pelbagai jenama basikal akan ada seperti Scott, Specialized, BMC, Pinarello, Proton, Fondriest, Merida dan jugak jenama-jenama yang aku sendiri tak ingat namanya.

Tetapi, malangnya aku tak dapat turut serta kayuhan kesihatan yang berprestij ini akibat betis aku tercedera sejak Rabu lepas.

Ikut hati memanglah nak kayuh jugak. Tetapi, atas nasihat jurulatih ilusi aku melarang aku daripada terus mengikut hati.

Tak apalah, sebagai menunjukkan komitmen terhadap kayuhan tersebut, aku menawarkan diri sebagai kereta pengiring. Tugas aku adalah menarik pelaton selaju 45 km/j sejauh 43 km.

Seorang Ahli Bomba sedang mengepam basikal.

Seorang usahawan dengan jersi Tri-Paku.

Kayuhan bermula jam 9:50 malam dan ianya agak lewat seperti biasa yang sepatutnya 9:30 malam. Laluan juga sudah sedikit bertukar dan ianya lebih banyak bukit daripada laluan yang sebelumnya.

Sedang berbincang tentang laluan baru.

Sementara yang lain berbincang, yang seorang ni masih
belum pakai kasut karbon.

Di awal kayuhan, hujan mula rintik dan aku mula rasakan nasib baik aku tak kayuh. Dalam 5 minit hujan rintik berhenti, aku dah mula rasakan bahawasanya ruginya aku tak kayuh.

Sekitar Presint 1 dan menghala ke Cyberjaya.

Kayuhan berkelajuan sekitar 30 - 35 km/j selepas keluar daripada Presint 1. Ketika ini aku tak dapat mengambil banyak gambar kerana fokus dengan tugas aku iaitu kenderaan aku mestilah tidak terlalu perlahan atau terlampau laju.

Apabila tiba di Cyberjaya, kayuhan menjadi sedikit perlahan kerana bukit-bukit yang melambak berserta lampu isyarat yang bersepah.

Tiba di sekitar PICC, Putrajaya semula sekitar jam 10:45 malam. Ini bermakna kayuhan fasa pertama dapat dihabiskan awal iaitu 55 minit sahaja — walaupun bukit yang banyak serta panjang.

Di sini, masing-masing menunggu yang masih berada di belakang sebelum menyambung kayuhan fasa ke-dua.

Sedang menunggu seorang dua lagi yang terputus pelaton.

Bersedia untuk menghabiskan 13 km yang berbaki.

Kayuhan fasa ke-dua agak mencabar kerana sepanjang laluan Presint 5 ke arah Presint 15, angin sememangnya kuat. Tak kira lah hari nak hujan ke, tak hujan ke, memang anginnya kuat sepanjang masa.

Ditambahkan dengan bukit Alamanda yang panjang... Fuh!

Sepanjang laluan ini aku menarik dengan kelajuan sekitar 38 - 40 km/j. Setibanya di bukit Alamanda, aku perlahankan kelajuan sekitar 31 km/j.

Seperti biasa, ramai yang akan terputus pelaton di sini. Memang tak boleh buat apa dah. Tawakal aje lah...

Sekali sekala aku cuba kekalkan kelajuan 45 km/j bila perlu.

Kayuhan ditamatkan sekitar jam 12:20 pagi. Boleh aku katakan 75% adalah kawasan berbukit untuk laluan kali ini. Walaupun berbukit, kayuhan dapat ditamatkan dalam masa 1 jam 25 minit.

Sebelum pulang, bincang untuk kayuhan hari Ahad esok.

Inilah Tok Batin yang memaksa kayuhan mestilah
berkelajuan 45 km/j.

Kesimpulannya, kayuhan kali ini sangat selesa sambil dikelilingi penghawa dingin, tidak letih langsung dan langsung tak minum air. Ini berdasarkan aku sebagai tugas perngiring berkereta.

Yang lain-lain tu aku tak taulah azabnya macam mana...

PS: Kebanyakan daripada kami akan sertai Kuantan Century Ride 160 km pada bulan Mac 2012 nanti. Kepada pembaca blog ini yang akan turut serta kayuhan tersebut, kita jumpa sahaja di sana nanti.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Sabtu, 14 Januari 2012

Selamat Hari Sabtu!


Selamat Hari Sabtu aku ucapkan kepada pembaca-pembaca blog BrekKejap.com. Aku harap para Pahlawan Basikal seperti anda tidak mengayuh basikal pada hari yang indah ini — sebaliknya berehat dan kosongkan fikiran daripada terus memikirkan tentang Dura Ace terbaru, seatpost terbaru, saddle terbaru dan segala apa yang boleh dianggap baru tentang basikal.

Aku juga untuk sementara ini berhenti daripada menaik-taraf basikal aku untuk sementara waktu — sebaliknya menumpukan wang simpanan terus bertambah dan memperuntukkan sedikit wang ke atas kelas viola anak aku nanti.

Viola tak apa aku rasa sebab aku tak pernah dengar orang menaik-taraf viola sampai beribu-ribu Ringgit Malaysia macam basikal.

Minima umur untuk kanak-kanak belajar bermain viola adalah 6 tahun.
Nasib baik tak ada viola jenama Pinarello. Kalau ada,
harganya mungkin RM18,000.

Oklah, aku tak bercadang untuk menaip panjang berjela memandangkan hari ini hari untuk santai bersama keluarga. Jadi, sebelum itu, nikmatilah muzik video di bawah ini sebagai penutup bicara:


PS: Dulu ramai orang nak jadi macam orang Jepun. Sekarang ni rata-rata remaja Malaysia berprofilkan identiti orang Korea di dalam Facebook. Klik sini untuk baca sampai habis...

Khamis, 12 Januari 2012

Temuramah: Hasan si Raja Gunung


Pahlawan Basikal: Assalamualaikum Hasan. Lawa hari ni, nak ke mana?
Hasan Karim: Waalaikumussalam. Tak ke mana lah. Memang aku tengah tunggu kau.

Pahlawan Basikal: Oh ye ke? Kalau macam tu, kita mulakan sesi temuramah kita. Ermmm, boleh ceritakan secara ringkas siapa itu Hasan Karim kepada pembaca blog aku?
Hasan Karim: Ok, nama aku Hasan Karim dan berumur 29 tahun. Aku sekarang ni bekerja sebagai Jurulatih Sukan di Mont Kiara International School. Aku juga masih bujang dan sedang menyimpan duit untuk berkahwin.

Hi, sayalah Hasan Karim.

Pahlawan Basikal: Ooohh, aku ingatkan kau dah kahwin. Takpe, takpe... Sejak bila kau mula melibatkan diri dalam sukan basikal?
Hasan Karim: Ermmm... Kalau tak silap aku dalam tahun 2006. Ketika itu juga buat pertama kali aku sertai Port Dickson International Triathlon.

Pahlawan Basikal: Kau ni... Aku tanya sepatah, kau jawab sepatah. Kau janganlah malu-malu dengan aku.
Hasan Karim: Hahahaha... Aku tak reti le nak cerita pasal diri sendiri. Karang cerita lebih-lebih, awek aku gergaji rangka basikal karbon aku pulak!

Pahlawan Basikal: Kalau macam tu, kau cerita aje pasal awek... Ermm, maksud aku basikal kau. Berapa bijik basikal yang kau ada?
Hasan Karim: Eh kau ni, lebih-lebih pulak. Ok, basikal aku ye? Aku ada 5 buah basikal.

Pahlawan Basikal: Banyaknya! Bila masa kau naik basikal-basikal tu?
Hasan Karim: Ianya bergantung pada sesuatu pertandingan dan latihan. Contohnya, basikal Polygon Cyclos model 2002 Limited Edition yang aku akan gunakan ketika acara Triathlon.

Giant XTC Team model 2008 pula biasanya aku akan gunakan ketika Jamboree.

Proton T-Bolt pulak aku gunakan untuk latihan dan bersantai.

Lapierre Prorace 200 model 2011 ni pulak aku mula pakai pada September bebaru ni khusus untuk Perlumbaan XC. Keistimewaan basikal ini adalah sangat bagus ketika mendaki serta teknikalnya sangat baik.

Basikal paling baru adalah Lapierre Prorace 2012 yang baru sahaja dibeli 19 Desember 2011.

Hasan Karim bersama bingkai MTB Lapierre Prorace 2012.

Pahlawan Basikal: Apa persiapan kau ye sebelum menyertai sesuatu pertandingan?
Hasan Karim: Aku akan pastikan tiga perkara iaitu latihan yang cukup, menjaga pemakanan dan juga rehat yang secukupnya. Tiga perkara itu memandai pada aku. Walaupun sibuk macam mana sekali pun, apa yang aku sebutkan tadi tu mesti ada.

Aku percaya, Norman Hakim pun buat 3 perkara yang aku sebutkan tadi.

Pahlawan Basikal: Bagaimana pula dengan pengalaman tentang perlumbaan atau jambori yang pernah kau sertai dan ianya kau akan ingat sampai bila-bila?
Hasan Karim: ...yang aku akan ingat sampai bila-bila ye? Sudah pasti ketika LIMBC 2011 iaitu Langkawi International Mountain Bike 2011. Ianya mengambil masa selama 5 hari; hari pertama pada 18 October 2011 dan tamat pada 22 October 2011. Ketika itu aku berpeluang berlumba dengan juara nombor 6 dunia iaitu Burry Standler.

Pahlawan Basikal: Ya, acara ini aku ada lihat di Buletin Utama TV3. Memang menarik!
Hasan Karim: Kau nampak aku tak kat dalam TV?

Pahlawan Basikal: Tak...
Hasan Karim:




Tak apa lah kalau macam tu. Oh ye, ada satu lagi pengalaman yang tak boleh aku lupakan - aku jatuh ketika jamboree di Melaka pada 1 Mei 2011 dan menyebabkan tulang aku patah.

Pahlawan Basikal: Boleh kau ceritakan pulak acara King of Mountain 2011 yang telah berlangsung di Cameron Highlands pada 9 Oktober 2011 yang lepas?
Hasan Karim: KOM 2011 di Cameron Highlands memang best. Disebabkan bestlah aku dapat naik podium kategori MTB King of Mountain! Bukan senang nak naik podium tau. Ini mungkin kerana semangat aku lain macam sikit masa race tu, maklumlah acara favorite.

Ketika di Jamboree Karnival Lipis.

Tempat pertama di Jamboree Felda 2011.

Pahlawan Basikal: Ya, betul tu. Bukan senang nak naik podium. Adlin Aman Ramlie pun tak pernah menang mana-mana perlumbaan basikal tau. Inikan KOM, silap-silap Datuk Yusuf Haslam pun ambik kau berlakon drama Gerak Khas.
Hasan Karim: Eh, ye ke? Kau bikin aku malu sahaja. Tapi, kalau betul, apa salahnya.

Pahlawan Basikal: Memandangkan kau boleh memang dalam perlumbaan basikal, mesti kau berlatih macam Lance Armstrong masa muda-muda dulu. Masa bila kau berlatih memandangkan kau bekerja?
Hasan Karim: Tak ada masalah langsung. Waktu aku berlatih adalah selepas waktu bekerja dan juga waktu malam.

Pahlawan Basikal: Setiap orang yang serius berbasikal, mesti ada kumpulan sendiri. Bagaimana dengan kau, ada sertai mana-mana kumpulan?
Hasan Karim: Masa aku mula-mula serius dengan basikal, aku bersama dengan kumpulan DUKECT. Tak lama selepas itu, aku sertai kumpulan E.T. Riders. Kalau nak diikutkan, aku mula lebih serius bersama Team Mercury. Tetapi, selepas itu aku mengambil keputusan untuk tidak menyertai mana-mana kumpulan dan bergerak secara solo. Ini kerana senang utk aku posting.

Alhamdulillah, rezeki aku murah dan kerana aku mendapat tajaan daripada H2C. Dan, bermulalah episod baru dalam hidup aku. Nama aku mula melonjak dalam sukan basikal.

Itu cerita dulu. Sekarang ni aku sudah bersama LAPIERRE Team KT Cyclone. Mereka inilah yang taja aku sekarang ini. Kumpulan LAPIERRE terdiri daripada Suhardi Hassan (kapten), Wan Mohd Najmee, Halim, Ah Chan, Ah Boy, Iskandar dan juga aku.

Ketika bersama kumpulan H2C

LAPIERRE Team KT Cyclone.

Pahlawan Basikal: Menarik jugak cerita kau ni. Banyak kumpulan jugak kau sertai sepanjang kau melibatkan diri dalam sukan basikal.
Hasan Karim: Ya, memang banyak. Dari situ aku dapat pengalaman. Dan, pengalaman-pengalaman ini aku akan manfaatkannya sebaik mungkin.

Pahlawan Basikal: Ya, betul tu. Aku percaya yang kau juga perlukan motivasi yang konsisten. Apa motivasinya hingga dapat kekalkan prestasi seperti sekarang?
Hasan Karim: Aku selalu katakan dengan diri aku sendiri yang aku selalu ingin menjadi yang paling baik di antara yang terbaik. Dalam pada masa yang sama sentiasa mencari kelemahan diri dan akan memperbaikinya dari masa ke semasa.

Setiap orang mempunyai medium motivasi yang pelbagai mengikut kesesuaian seseorang. Tapi, cara yang aku sebutkan tadi adalah sangat berkesan pada diri aku sendiri.

Ketika Jamboree di Sepang pada 2011.

Pahlawan Basikal: Sekiranya kau diberikan peluang, di manakah dalam dunia ini kau ingin mengayuh basikal?
Hasan Karim: Sudah semestinya Tour de Timor, Australia dan Eropah!

Pahlawan Basikal: Amboi, semangat sungguh! Ok, tak apa. Soalan seterusnya, selain berbasikal, sukan apakah yang kau lakukan untuk kekalkan stamina.
Hasan Karim: Ermmm... 3 jenis sukan aku lakukan untuk kekalkan stamina iaitu triathlon, berenang dan lari.

Pahlawan Basikal: Kita baru je melangkah ke Tahun Baru. Jadi, apa harapan atau matlamat kau pada tahun 2012 ini?
Hasan Karim: Harapan aku ya? Aku harap dapat memantapkan lagi latihan demi mengekalkan kejuaraan aku sebelum ini. Aku akan cuba lakukan yang terbaik untuk melayakan diri ke Tour de Timor 2012.

Selain itu, ingin memasuki Ironman 2012 dan juga menjadi suami yang baik... hihihihihihi

Pahlawan Basikal: Kelakarnya cara kau gelak.
Hasan Karim: Ah, kau diam!

Ketika LIMBC 2011 di Langkawi.

Pahlawan Basikal: Ini adalah soalan terakhir aku dan kau perlu bersedia.
Hasan Karim: Apa soalannya?

Pahlawan Basikal: Apa pendapat kau tentang A. Razak Mohaideen?
Hasan Karim: Sifu & Tongga! Hahahaha... Hanya satu patah perkataan, “Best!”.

Pahlawan Basikal: Oklah Hasan, terima kasih sebab sudi terima pelawaan aku untuk ditemubual. Semoga kau akan berjaya dengan misi-misi kau; terutamanya misi melayakan diri ke Tour de Timor 2012.
Hasan Karim: Terima kasih kembali pada kau yang sudi menemubual aku dan mengharapkan doa-doa para pembaca blog BrekKejap.com agar misi melayakan diri ke Tour de Timor 2012 berjaya.

PS: Sebenarnya, temuramah ini sepatutnya disiarkan pada Desember tahun lepas iaitu sebagai penutup artikel bagi tahun 2011. Tetapi, aku sangat sibuk dengan kerja di pejabat dan banyak kali tertangguh untuk menyunting temuramah kali ini.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Isnin, 2 Januari 2012

Kayuhan ke PD: Episod Ngeri di Bawah Mentari


Genapnya Tahun Baru 2012, seramai 17 orang Pahlawan Basikal bersedia menyahut cabaran kayuhan 140 km ke Port Dickson, Negeri Sembilan mewakili setiap suku kaum masing-masing yang menetap sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor Darul Ehsan.

Status Facebook aku memanggil kesemua para Pahlawan Basikal untuk berjuang
menentang angin, mentari dan segala bahaya di jalanraya.

Jam 7:15 pagi, walaupun lambat aku masih sempat mengambil gambar.
Janji 7:30 pagi mulakan kayuhan. Tapi, biasalah...

Kayuhan bermula agak lewat; iaitu sekitar jam 8:09 pagi. Sebabnya, bukan aku sorang je yang lambat - Ada 4 orang lagi yang lagi lambat daripada aku!

Sebahagian Pahlawan Basikal yang dalam keadaan
berjaga-jaga.

Sedang kutuk mengutuk sambil menunggu 4 orang lagi yang
masih dalam perjalanan ke Information Centre, Putrajaya.

Kami seterusnya menuju keluar dari Presint 1, Putrajaya dan menuju ke Kampung Limau Manis yang diketuai Faisal. Baru kayuh 3 km dah kena naik bukit. Kat sini nafas masing-masing dah bunyi nafas lembu korban - Termasuk aku!

Selepas habis kerjakan bukit-bukit Kampung Limau Manis, aku tengok meter baru 5 km. Hah!

Presint 1 - Sedang menuju keluar dari Putrajaya.
*Gambar hak milik Azlan.

Berhenti sebentar di persimpangan lampu isyarat di
sekitar Dengkil untuk menunggu yang masih di belakang.
*Gambar hak milik Fadzil.

Sudah jauh meninggalkan Kampung Limau Manis dan
sedang menuju ke Sepang.
*Gambar hak milik Azlan.

Ketika ini kelajuan masih dalam keadaan terkawal iaitu 25 - 30 km/j. Aku berada di belakang sekali untuk memastikan tiada siapa yang cuba patah balik atau menaiki teksi.

Di sekitar Kampung Jenderam Hulu dan sedang menuju
bukit De Palma, Sepang.
*Gambar hak milik Azlan.

Sebaik sahaja melepasi Kampung Lembah Paya, Sepang aku mulakan aksi panas sambil menekan 60 km/j dan diikuti beberapa pahlawan lain yang turut sama jugak melakukan aksi yang sama - Aksi sama yang boleh jugak membuatkan yang lain turut sama tak boleh tahan menekan pedal sehabis daya.

Aksi tersebut tamat betul-betul di hadapan Shell pekan Sepang.

Berhenti sebentar di hadapan Shell pekan Sepang.
*Gambar hak milik Azlan.

10 minit sudah pun berlalu dan perjalanan perlu diteruskan...

Laluan seterusnya adalah Bukit Pelanduk yang bukit-bukitnya boleh tahan juga. Di sini semua pahlawan mula agak kacau mentalnya - kayuh basikal sambil mendaki bukit di bawah panas matahari, tak ada sapa yang suka.

Kat sini ramai juga yang tercicir. Aku dan Iskandar mengambil keputusan berhenti sebentar untuk menunggu yang masih di belakang. 30 saat kemudian, Mawi pula menyusul dan diikuti yang lain-lainnya.

Iskandar dan Mawi cuba posing dalam keadaan letih. Aku
tak risau dua orang ni pasal diorang berlatih dua kali sehari.

Ada lagi 4 orang yang masih di belakang. 2 orang sudah laju
di depan dan menunggu di Pekan Lukut.

Kami semua teruskan perjalanan hingga ke pekan Lukut.

Pekan Lukut, Negeri Sembilan.

Lukut - Berbincang untuk berhenti di mana sebelum
menyambung perjalanan ke Putrajaya semula.

Sudah nampak laut.

Berhenti di Kedai Kopi Pak Lang, Port Dickson.

Shahrul, Halim dan Zolkepeli Haron.

Sedang bancuh air kelapa campur power gel.

Habis mengisi perut dengan pelbagai menu, kami semua mengambil gambar seramai yang boleh dengan bantuan seorang Jaga sebagai jurugambar. Hasilnya:

17 Pahlawan Basikal bersama senjata berkuasa tinggi; dan,
setiap seorang mewakili suku kaum masing-masing dari
pelbagai daerah dan mukim.

Dan, bermulalah detik ngeri ketika menyambung perjalanan pulang ke Putrajaya. Perlu diingatkan, sepanjang kayuhan berlangsung, tiada kereta pengiring. Dan, segala kesulitan perlu diatasi dengan tulang empat kerat. Tak ada Jami, Jami dah. Jami pun tengah sibuk kat Malakoff Penang waktu tu!

Ikuti kejadian-kejadian ketika pulang ke Putrajaya:

Kejadian Pertama
Kaki seorang pahlawan dari mukim mana aku pun tak pasti, sudah kejang ketika mendaki bukit di sekitar pekan Lukut; dan keadaannya agak serius. Terpaksa menelefon isterinya untuk menyelamatkan beliau.

Kejadian ke-Dua
Pada masa yang sama, salah seorang daripada kami tayarnya pancit di hadapan Pasaraya Giant, Lukut. Aku dan dua orang lagi terpaksa patah balik dalam 1.3 km untuk memberi bantuan.

Yang lain-lainnya sudah pun berada jauh di hadapan.

Setelah selesai menukar tiub, kami berlima cuba kayuh dengan lajunya untuk berada di dalam pelaton semula - Walaupun aku tahu ianya mustahil.

Memang azab bila terputus pelaton sambil kayuh selaju yang boleh di bawah terik matahari dan angin yang agak kuat.

Ketika ini mereka semua terselamat daripada azab dunia yang
sedang aku tempuhi.
*Gambar hak milik Azlan.

Kejadian ke-Tiga
Ketika di hadapan Balai Polis Ladang Tanah Merah, Lukut, aku menerima panggilan daripada Faizal yang katanya rantai putus. Ketika ini Faizal berada jauh di hadapan yang aku percaya berbatu-batu jauhnya.

Kejadian ke-Empat
Seorang lagi Pahlawan tewas; di mana, aku tak berapa pasti. Faizul Hashim yang sudah bertukar basikal BMC kepada jenama Pinarello telah pitam ketika perjalanan pulang. Bantuan tiba dengan kereta untuk membawa pulang dua orang sekali gus.

Ketika ini mereka berdua juga terputus pelaton iaitu
Faizul Hashim dan juga Zolkepeli Haron.
*Gambar hak milik Zolkepeli.

Kejadian ke-Lima
Ketika dipersimpangan Salak, Sepang, kami berlima tersalah masuk simpang dan termasuk jalan menuju ke Pekan Nilai. Disini aku sudah mula mental memandangkan bahang matahari dan juga pada masa yang sama tersesat pula.

Jadi, nak tak nak kenalah teruskan perjalanan. Takkan nak patah balik kerana ianya akan memakan masa yang lama memandangkan jam sudah pukul 2:00 petang.

Aku pernah tersesat di Paris, jadi dalam hati aku berkata, "Mustahil boleh terkandas sampai malam di Pekan Nilai. Sedangkan Paris aku dapat atasi 30 minit sahaja."

Tatkala itu juga aku kembali bersemangat. Disebabkan semangat itulah membuatkan aku terputus dengan 4 orang lagi di belakang aku. Kayuhan aku terlampau laju dengan kadar 38 - 40 km/j di bawah terik mentari.

Ketika ini aku sudah berada di Bandar Baru Salak Tinggi. Di sini aku sudah biasa dan aku tahu jarak sekitar 23 km ke Information Centre, Putrajaya.

Kejadian ke-Enam
Akibat terputus dengan aku yang sudah pun berada di Bandar Salak Tinggi, Halim dan seorang lagi pahlawan keluar daripada lebuhraya dan memasuki De Palma, Sepang dan teruskan perjalanan melalui Bukit-bukit Limau Manis.

Kejadian ke-Tujuh
Rizal dan seorang lagi juga terputus pelaton di sekitar pekan Nilai. Jadi, terpaksa menelefon isterinya untuk mengambil daripada terus tersesat lagi.

------

Aku teruskan perjalanan secara solo dengan kadar kelajuan yang sederhana dengan harapan empat orang rakan di belakang aku akan menyusul.

Lagi 10 km hendak sampai Putrajaya, aku dah mula rasa tertekan. Tertekan disebabkan orang ramai memandang aku ketika berhenti di lampu isyarat. Jam 3:20 petang kayuh basikal macam orang gila - memang patutlah orang tengok penuh syak wasangka!

Nampak macam dekat dah kan? Tapi, ada lagi 8 km untuk
sampai ke Information Centre, Putrajaya.

Ketika melalui lebuhraya, ternampaklah PICC, Putrajaya. Barulah lega dan kayuhan diperlahankan sekitar 25 km/j sehinggalah tiba di Information Centre, Putrajaya. Dan, tamatlah kayuhan solo aku di bawah matahari rembang Tahun Baru 2012.

Dalam 15 minit kemudian, Halim dan sorang Pahlawan lagi
tiba dan menceritakan detik-detik hitam yang mencabar
ketika melalui bukit-bukit Kampung Limau Manis.

Kesimpulannya, aku dapat mengatasi segala tekanan di bawah kepanasan melampau 34ยบ Celsius ketika sesat dan juga meneruskan kayuhan solo di bawah bahang matahari. Kayuhan selama 5 jam 26 minit sejauh 147 km berjaya ditamatkan dengan penuh gaya, mutu dan keunggulan ketika jam menunjukkan 4:08 petang.

Okey, kita lihat pengajarannya pula:
  1. Setiap orang perlu ada pam tangan yang bertekanan 120 psi dan juga tiub
  2. Kayuhan melebihi 100 km perlu ada kereta sokongan yang mengiringi orang yang paling akhir di belakang peloton
  3. Kayuhan perlu dilakukan di dalam peloton dan elakkan daripada terputus. Ini adalah yang paling penting sekali kerana terputusnya pelaton, anda akan menjadi seorang komando di atas jalanraya
  4. Mental perlu kuat
  5. Keselamatan sentiasa di dalam kepala walaupun ketika sedang dalam keadaan tertekan
Walaupun perkara sedemikian terjadi, aku masih boleh anggapkan ianya satu pengalaman yang menarik dan boleh dijadikan panduan untuk mereka yang ingin kayuh basikal ke Port Dickson.

Kepada yang ingin ke Port Dickson dengan mengayuh basikal, teruskan hajat anda itu - 1001 cerita yang bakal anda tempuhi boleh diceritakan kepada anak-anak anda dan akan diingati hingga 7 keturunan!

PS: Malam tadi aku belasah 24 cucuk sate untuk dapatkan tenaga ketika tidur dan aku mimpi sesat di kota Bangkok! Dalam mimpi pun boleh perli lagi tu...
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...