Khamis, 26 April 2012

Ulasan Meter SIGMA dan Cerita Tentang...


Minggu lepas sedang aku menyiapkan pos tentang Misteri Anak Bukit di Presint 5, Putrajaya, aku terima sms daripada seseorang yang berbunyi begini:

"Boleh buat review tentang meter Sigma ko tu kat blog ko?"
Ermmm, aku pun tak pasti apa yang hendak aku ulaskan tentang meter Sigma BC 1909 HR STS Wireless. Lagipun aku baru je pakai. Jadi tak tahu apa kelemahannya lagi. Setakat ini, apa yang boleh aku simpulkan, aku sangat berpuas hati dengan meter tersebut.

Sigma BC 1909 HR STS Wireless.

Sepanjang 1186 km aku pakai meter ni, tak ada benda belik-pelik terjadi. Cuma pernah dua atau tiga kali fungsi cadence hilang dengan tiba-tiba. Aku tak pasti kenapa terjadi. Biasanya bila jadi macam tu, aku akan tekan segala butang yang ada pada meter tersebut dan fungsi cadence akan beroperasi seperti biasa.

DailyMile.com - Segala gajet yang aku beli akan direkodkan
dalam akaun Daily Mile. Ini memudahkan aku untuk
mengesan jangka hayat setiap barang yang dipakai.

Sejak aku guna meter ini, aku boleh melihat beberapa perkara seperti:
  • Purata cadence
  • Degupan jantung di tahap maksima
  • Purata degupan jantung
  • Purata kelajuan
  • Kelajuan maksima
  • Suhu ketika itu
  • Kalori yang dipakai

Inilah pengesan cadence.

Heart rate belt.

Ada juga beberapa fungsi yang tidak aku nyatakan di atas. Yang aku terangkan tadi hanyalah perkara-perkara yang aku rasakan penting.

Dan juga dengan harga rm390, aku rasa sangat berbaloi dengan kelebihan-kelebihan yang aku terangkan tadi.

Cuma yang aku tak puas hati adalah beratnya. Mengikut laman web yang aku jumpa di internet, berat keseluruhannya adalah 453 gram. Ini bermakna, hampir setengah kilo.

Oh ye, 3 bijik bateri jenis CR 2450 3V diperlukan untuk meter, cadence dan heart rate. Bateri jenis ini juga khabarnya agak sukar dicari dan juga boleh tahan mahal harganya.

Itu sahaja yang aku boleh simpulkan tentang Sigma BC 1909 HR STS Wireless.

Kesibukan Sepanjang Minggu
Aku juga agak sibuk sepanjang beberapa minggu lepas. Bukannya sibuk dengan kerja — tetapi, sibuk dengan proses menaik-taraf basikal aku ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Pada 12hb April lepas, aku menghantar basikal aku di Jami Bike Centre, kajang untuk memasang set Dura Ace CS-7900.

Dura Ace CS-7900.

BR-7900 brakes.

RD-7900-SS rear derailleur.

FC-7900 crankset 53-39. Sengaja aku letakkan tape bagi
mengelakkan daripada calar.

Sedang engineer memasang set Dura Ace tersebut, aku berlegar-legar di dalam kedai dan terambil pula pedal karbon Ultegra model 2012:

Ultegra model 2012 jenis karbon.

Ini menjadikan kos meningkat kepada RM6056. Tak apa... Masih murah berbanding daripada negara jiran.

Pada tengahari sebelumnya, aku telah singgah di kedai KHCycle Damansara Perdana untuk membeli skewer seringan mungkin. Dengan bantuan Saiful selaku engineer di KHCycle, aku berjaya membeli skewer jenama Carbon-Ti yang harganya RM429.

Carbon-Ti skewer.

Skewer yang telah dipasang.

Ini bahagian depannya pula.

Apa yang menarik benda ni, beratnya hanya 32 gram sepasang!

Segala salah laku aku tadi telah mengakibatkan berat basikal turun mendadak kepada 6.86 kg! Setelah diletakkan meter dan juga pam di sisi bingkai basikal aku, berat telah naik sedikit:

Berat terakhir secara rasminya adalah 7.07 kg.

Sebagai perisa tambahan, aku juga telah membeli sepasang carbon bottle cage dengan hanya rm100 sahaja melalui penjual di dalam www.bicyclebuysell.com.

Karbon buatan Taiwan.

Sebagai penutup segala duit yang berbaki, aku juga telah membeli helmet jenama Uvex model HTC Columbia Highroad 2010. Aku beli di eBay dengan harga RM290.

Besar jugak kotaknya. Nasib baik tak kena cukai.

Uvex model HTC Columbia Highroad 2010

Bulan ini sahaja aku berjaya mengeluarkan wang sebanyak RM6875. Ok, aku dah tak ada apa-apa yang nak dinaik-tarafkan lagi. Cukup setakat ini sahaja!

Ermmm...

Tetapi, sebelum itu aku perlu tukar stem karbon dan handle bar karbon jenama PRO. Lepas tu aku nak berhenti menaik-taraf basikal aku.
.
.
.
.

Atau mungkin selepas menukar bingkai karbon Scott model Foil 2012...

PS: Tentang basikal, ceritanya tidak akan tamat.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Sabtu, 14 April 2012

Misteri Anak Bukit di Presint 5, Putrajaya


Sebenarnya, aku ada satu cerita misteri yang nak dikongsikan dengan korang semua. Satu je, tak banyak. Ye lah, kalau ikutkan cerita misteri ni, banyak jugak le pengalaman aku.

Contohnya, 12 tahun dulu masa pulang dari rumah kawan, aku tersempak dengan hantu naik basikal. Cerita betul ni, bukannya aku sengaja reka-reka tau. Dan, aku juga pernah diangkat ketika tidur di chelet Darulaman Golf Resort, Kedah.

Tapi, itu cerita lama; yang aku nak cerita ni pulak cerita baru. Cerita yang baru aku tau bulan lepas.

PICC di Putrajaya.

Seboleh-bolehnya aku memang tak nak ambik tau benda-benda macam ni. Nanti menyusahkan aku. Tapi, mulut orang mana boleh tutup. Kalau dah bagitau, tak kan aku nak tutup telinga pulak.

Cerita yang aku dapat tau ni pun daripada orang yang duduk sekitar Putrajaya, terdapat beberapa bukit yang dikatakan berpenunggu iaitu di Presint 4 dan di Presint 5.

Apa yang menariknya, bukit-bukit tu le laluan aku masa aku berlari dan berbasikal pada malam-malam tertentu.

Bukit yang dikatakan berpenunggu yang kat Presint 4 tu adalah laluan aku ketika latihan berlari. Dan, bukit Presint 5 tu pulak adalah laluan aku pulang dari lumba mini Tri Paku setiap malam Rabu dan Jumaat.

Yang menariknya, aku akan lalu sebelah bukit tu tepat jam 12.05 tengah malam!

Di bawah ini adalah lokasinya:

Lihat Bukit Harimau Jadian dalam peta yang lebih besar.

Apa yang aku dengar cerita orang, bukit-bukit yang aku sebutkan tadi tu ada persamaan — bukit tu tak dapat dipecahkan bagi tujuan pembinaan bangunan.

Tapi, apa yang buat bezanya antara dua bukit tersebut adalah bukit di Presint 5 tu ada Harimau Jadian dan bukit di Presint 4 pulak tak ada.

Aku tak pasti sejauh mana benarnya cerita ini. Untuk kepastian, aku cuba googled tentang "misteri bukit Putrajaya" dan memang ada cerita-cerita seram tentang bukit yang aku sebutkan tadi.

Bukit inilah yang aku maksudkan. Aiseh, ada pokok lindung
pulak!

Okey, aku dah panjat naik ke atas benteng.
Ini lah bukitnya.

Sepanjang pengalaman aku pulak, tak pernah pulak jadi benda-benda pelik setiap kali aku lalu bukit-bukit tu. Bukanlah aku cakap besar. Aku pun takut jugak kalau betul-betul ada Harimau Jadian melompat depan aku. Usahkan harimau, anjing menyalak 50 meter dari aku pun aku akan tukar crank besar sepantas mungkin.

Salah satu perhentian bas yang terdapat di sekitarnya.

Sekeliling bukit tersebut mempunyai kesan-kesan pecah
yang mungkin daripada jentolak.

Di sekeliling bukit tersebut terdapat kesan peninggalan kerja-kerja pemecahan bukit itu. Terdapat juga jaring-jaring berwarna hijau di sekeliling bukit yang dibiarkan mereput macam tu sahaja.

Dalam erti kata lain, kelihatan ianya hasil kerja separuh jalan dan ditinggalkan serta merta.

Aku percaya ada jugak yang tak tahu cerita ini. Kepada mereka yang baru je tahu hasil daripada cerita aku ini, anggap sahaja cerita aku ini sebagai hiburan. Aku pun hanya mendengar cerita daripada penduduk setempat. Jadi, aku pun tak tahu samada betul atau pun tak.

Dari sudut perspektif aku pula, mungkin kerja-kerja meratakan bukit itu terpaksa dihentikan serta merta kerana majikan syarikat tersebut melarikan diri daripada diburu oleh PTPTN — rekod silam 10 tahun dahulu dibongkar semula dan masih terdapat baki tunggakan sebanyak RM5,000.

Dan, beliau terpaksa menyamar menjadi harimau dan menyorok di atas bukit tersebut...

PS: Aku sedang belajar berenang sekarang ni. Cikgu aku adalah bekas perenang Maktab Tentera Diraja. Kalau aku dapat berenang tanpa henti sejauh 1500 meter, baru aku yakin untuk daftar PD Triathlon 2012.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Sabtu, 7 April 2012

Kisah Kuantan Century Ride sejauh 160 km


Lama sungguh aku tak kemaskini blog ni. Sejak balik dari Kuantan Century Ride pada dua minggu lepas, hinggalah ke hari ini aku masih lagi sibuk dengan kerja-kerja pejabat.

Kayuh basikal pun dapat dua kali sahaja, iaitu pada Ahad lepas dan juga yang terbarunya adalah hari Rabu baru-baru ni. Semalam terpaksa skip kayuhan Tri Paku Nite Ride disebabkan kesesakan lebuhraya LDP yang melampau.

Oklah, ada baiknya aku teruskan cerita aku tentang pengalaman aku ketika Kuantan Century Ride sejauh 160 km bebaru ni. Untuk pengetahuan korang semua, inilah acara Century Ride pertama dalam hidup aku.


Bila bercakap tentang sesuatu yang pertama dalam hidup, sudah tentu perasaan gabra secara automatiknya akan sentiasa bermain dalam fikiran ― Panas, tekanan, angin lintang, jatuh, bukit dan paling aku takut adalah cramp!

Itu sebab aku bawak Anti Cramp Spray masa kayuh basikal itu hari:

Penyembur ajaib ini dililit dengan getah agar tidak melantun
daripada poket belakang ketika sedang kayuh basikal.

Segala bekalan untuk mengelak daripada Cramp.

Hari Sabtu, 24hb Mac 2012, aku sekeluarga bertolak ke Kuantan, Pahang. Sebelum keluar daripada Putrajaya, aku sempat singgah Rodalink di Presint Diplomatik untuk membeli Hammer Perpetuem Solids. Pada masa yang sama jugak, aku mintak nasihat daripada staff Rodalink iaitu Fadli Khairon tentang persediaan yang patut aku buat sehari sebelum Century Ride.

Rodalink Putrajaya.

Sedang memilih perisa Hammer Perpetuem Solids.

Aku tiba di hotel MS Garden, Kuantan jam 4:55 petang dan orang ramai sudah pun berada di persekitaran hotel dengan basikal masing-masing. Difahamkan bahawa para peserta perlu mengambil race kit di tingkat M. Lepas je aku simpan basikal di dalam bilik hotel, aku terus ke tingkat M dan mengambil race kit aku.

MS Garden, Kuantan.

Bilik Executive Suite satu malam RM441.

Untung basikal aku dapat menginap hotel taraf eksekutif.

Sebenarnya, aku takde niat pun nak menyewa bilik hotel taraf eksekutif. Tapi, aku takde pilihan lain sebab aku lambat menempah bilik hotel — hanya Executive Suite yang ada. Bilik-bilik murah semuanya dah penuh!

Kandungan Race Kit Kuantan Century Ride.

Jersi rasmi Kuantan Century Ride.

Sebelah malamnya pula, aku mengikut rakan aku iaitu Mawi yang salah seorang ahli Tri Paku ke 'Welcome Dinner' anjuran oleh Menteri Pahang khas untuk Kuantan Century Ride. Di sinilah kami bertemu dengan ahli-ahli Tri Paku yang lain.

Orang sudah mula ramai ketika aku sampai.

Ada yang sedang beratur untuk mengambil nasik. Dan, ramai
juga sedang makan besar.

Seperti biasa, kalau dah lewat malam, aku memang tak makan nasik, rempah ratus dan makanan-makanan yang melampau minyaknya. Aku tengok semua orang hayun makan serupa kenduri kawin, aku pun ambik lah sikit nasik dan ayam goreng agar tiada bezanya dengan kelakuan mereka yang lain.

Aku lihat, ketika ini ramai jugak kawan-kawan aku sertai acara ini; maksud aku acara makan-makan — acara kayuhan esok pagi belum boleh aku simpulkan lagi.

Sedang aku perati kawan-kawan aku makan, lahhhhhh baru aku sedar yang aku tak ambik makan tengahari dan petang. Air juga hanya 4 gelas sahaja yang sempat aku minum sepanjang hari. Boleh jadi bala kalau aku sepanjang kayuhan esok hari, sedangkan aku tak mengambil makanan dan minum air yang cukup.

Ye lah, aku lah bawak kereta, angkat barang-barang yang banyak ke dalam dalam bilik dan bayar duit hotel. Bini aku tak dapat nak tolong bayar sebab pasal sibuk jaga anak-anak aku...

Jadi, sebaik sahaja pulang dari acara makan-makan tadi, aku terus singgah restoran di hotel MS Garden yang terletak di lobby dan memesan dua ketul burger special.

Dua ketul burger menjadi santapan kecemasan lewat malam;
dengan harapan sempat hadam dalam tempoh 9 jam.

Nasib baik aku sempat beli air mineral 5.5 liter di pasaraya Putrajaya sebelum bertolak ke Pahang. Jadi, dalam tempoh sejam setengah aku berjaya mengambil 2 liter air; termasuk air garam sebanyak 500 ml.

Fuhhh, nasib baik!

Harinya Sudah Tiba — Kuantan Century Ride 160 km
Setelah berjaya tidur yang agak awal iaitu 11.30 malam, akhirnya aku berjaya bangun pukul 5.15 pagi. Ini permulaan yang baik. Kepercayaan aku, kalau permulaannya baik, penamatnya juga seharusnya juga baik. Jadi, aku percaya aku dapat habiskan 160 km; kayuhan paling jauh yang pernah aku buat.

Bangun je tidur, aku terus ambil 500 ml air EFS yang aku bancuh sebelum tidur. Lepas mandi, aku ambil 500 ml air garam Oralite yang aku beli di farmasi 2 hari lepas.

Seperti biasa, pagi-pagi sebegini perut aku akan memberontak; 4 kali jugak le aku keluar masuk tandas. Aku tengok jam sudah pun pukul 6:20 pagi. Nak tak nak, sakit perut macam mana sekali pun, aku kena keluar daripada hotel jam 6:40 pagi.

Seperti yang dirancang, aku kayuh basikal ke tapak perhimpunan yang jauhnya sekitar 3 km dan tiba di situ jam 6:58 pagi.

Orang sudah pun ramai ketika aku sampai.

Di sini aku dapat lihat ramai rakan-rakan aku yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan tertentu seperti Tri Paku, Jami Bike Centre, Proton, Bukit Jelutong dan lain-lain. Secara automatiknya, aku tak terasa asing dan berasa selesa dengan keadaan sekeliling.

Tepat jam 7:30 pagi, acara dimulakan dan ketika inilah silap aku; aku leka dan lalai hingga kesemua rakan-rakan aku hilang dari pandangan. Tatkala ini aku sibuk memerhatikan basikal-basikal dan amoi-amoi. Sehingga di kilometer yang ke-15, baru aku sedar yang aku sebenarnya sudah ketinggalan jauh daripada peloton paling hadapan sekali.

Salah seorang ahli Tri Paku iaitu Faizal berada di kelompok
hadapan.
*Hak milik Azmi (Galeri)

Di sini aku tingkatkan kelajuan sekitar 40 - 47 km/j. Adakalanya aku terpaksa memperlahankan kelajuan dengan tiba-tiba kerana mengelak botol-botol air yang terjatuh di tengah jalan.

Ketika di 27 km, inilah peluang aku untuk mengejar peloton dihadapan kerana aku percaya rakan-rakan aku mesti ramai di dalam kelompok tersebut. Oh ye, di 27 km tersebut, keadaan bukitnya agak tinggi sedikit sejauh 2 km kalau tidak silap aku.

Di sinilah Power Gel yang pertama aku rasmikan.

*Hak milik Azmi (Galeri)

Ketika turun bukit, aku kayuh selaju boleh dan bertembung dengan kumpulan Jami Bike Centre dan aku terus memecut bersama mereka hingga berjaya bercantum dengan peloton yang agak besar jumlahnya. Di hadapan sekali aku terperasan seorang berjersey Tri Paku - iaitu Mawi.

Lega betul bila ternampak satu geng.

Rupa-rupanya dalam peloton tersebut ada beberapa rakan-rakan aku seperti Mawi, Norman, Syaful dan Sani. Lagilah Lega!

Sepanjang di dalam peloton, kelajuan adalah sekitar 40 - 45 km/j. Ketika di dalam peloton, aku cuba pulihkan tenaga aku semula akibat letih mengejar peloton ini.

Di kilometer yang ke-100, badan akan masih segar. Kaki aku juga tidak ada tanda-tanda nak cramp. Apabila di kilometer yang ke-110, aku mula rasakan otot lutut aku sengal-sengal. Aku faham sangatlah bila rasa macam ni — bila-bila je boleh cramp!

Aku beritahu Norman tentang kaki aku dan beliau mengarahkan aku duduk di tengah-tengah peloton. Sedikit sebanyak ianya membantu mengurangkan tekanan pada otot-otot kaki aku.

Aku terpaksa mengambil Power Gel kali yang ke-dua untuk mengelakkan kaki aku cramp. Hingga sampai satu tahap, aku terpaksa mengeluarkan Anti Cramp Spray daripada poket belakang dan semburkan terus ke peha dan lutut aku. Sebelum cramp menyerang, baik aku sembur siap-siap. Kalau dah cramp, dah terlambat untuk aku pulihkan balik.

Inilah bekalan sepanjang kayuhan yang aku bawa. Coke tu
aku minum di kilometer yang ke-130.

Di kilometer yang ke-120 hinggalah ke-140, aku mula rasakan badan menjadi lesu dan kaki makin stress. Di sinilah peranan kereta sokongan yang dibawa khas dari Dengkil. Zainal yang berada di dalam Pajero tersebut  menawarkan air minaral pada aku dan ini sangat membantu tatkala badan aku hampir lesu akibat kekurangan air.

Lepas je aku minum dalam 300 ml, tak lama lepas tu badan aku rasa segar. Cuma kaki aku tak rasa sebarang perubahan.

Dan, aku sembur lagi Anti Cramp Spray ke tempat yang sama. Rupa-rupanya, bukan aku je sengsara. Ramai juga yang kaki nak cramp. Kat sinilah tiba-tiba tin kecik yang aku bawak ni berperanan besar. 4 - 5 orang jugak le minta bantuan untuk menggunakan Anti Cramp Spray aku tu.

Secara ikhlasnya, aku berasa berbangga jugak le sebab dapat membantu mereka yang memerlukan. Dalam keadaan getir, hanya mereka yang berada di sekeliling kita memerlukan pertolongan - dan, aku bersedia memberi pertolongan.

Janji jangan suruh aku turun daripada basikal!

Apabila di kilometer yang ke-150, tiba-tiba aku rasakan kaki aku sihat walafiat. Tak ada langsung tanda-tanda cramp. Badan pun rasa steady je. Ini petanda baik dan aku meningkatkan kelajuan sekitar 45 - 47 km/j.

Lagi 1 km nak tiba di garisan penamat, aku tengok Sani mula tunjukkan aksi sprint-nya. Begitu juga dengan Norman. Aku pun ikut jugak lah hingga ke garisan penamat.

Secara rasminya, aku berjaya catatkan masa peribadi dengan masa 4 jam 40 minit 48 saat dan berada di kedudukan yang ke-71 daripada 781 orang peserta.

Ni nombor aku, 017.

Medal dan sijil Kuantan Century Ride.

Inilah aku yang baru je habis kayuh:

ABI_3482 copy
Kelly Benefits beraksi di bawah naungan Tri Paku.
*Hak milik Azmi (Galeri)

Lepas habis je kayuhan dan berehat di tapak perhimpunan di mana acara tersebut bermula dan berakhir, aku terus kayuh pulang ke hotel. Ini kerana aku perlu keluar dari hotel pada jam 3:00 petang.

Bersedia untuk berkemas dan pulang ke Putrajaya.

Medal ini menjadi bukti untuk anak aku apabila besar nanti.

Jam 4:00 petang, aku terus bertolak ke Putrajaya dan berpuas hati dengan pencapaian aku sepanjang kayuhan berlangsung.

Tahniah untuk diri aku dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Perkara yang Aku Belajar sepanjang Kuantan Century Ride
  1. Jangan lengah-lengahkan untuk menempah bilik hotel. Lagi sebulan acara berlangsung, terus tempah tempat penginapan untuk mengelakkan kos yang tinggi
  2. Cari tempat yang paling hampir di tapak perhimpunan sebelum acara berlangsung.
  3. Bawa bekalan untuk kayuhan seperti air mineral dan pisang
  4. Jangan lupa makan yang berupa serat dan mudah hadam sehari sebelum acara
  5. Jangan lupa minum air sekurang-kurangnya 3 liter sehari sebelum acara
  6. Lepas habis kayuh, minum lagi 1.5 liter air mineral untuk mengekalkan air dan suhu dalam badan
PS: 160 km bukan kerja senang. Aku sudah pun merasa azabnya. Anda, bila lagi?
PPS: Ipoh Century Ride jatuh pada 15hb Julai 2012. Harap-harap aku dapat sertai acara tersebut dengan jayanya :D
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...