Rabu, 11 Julai 2012

Danial


Ketebalan habuk di blog ini sama tebalnya habuk yang ada di permukaan basikal aku. Bukannya apa, mood ada sedikit kurang. Aku lebih suka menulis ketika hati sedang gembira. Macam tu jugak dengan basikal — berbasikal ketika hati senang.

Itu sebabnya cerita-cerita aku dalam blog ini lebih kepada kisah-kisah yang gembira dan keseronokan. Dengan harapan, pembaca aku turut enjoy dengan cerita-cerita aku.

Walaupun cerita aku ada unsur gabra atau tahyul, aku cuba mengolahnya menjadi lebih santai.

Tapi, untuk sementara ini hati aku sebenarnya tidak gembira langsung. Ini kerana anak aku Danial yang pernah aku ceritakan di sini sedang melawan penyakit yang dikenali sebagai Juvenile Dermatomyositis atau juga Auto-immune Disease.

Pada bulan Februari, ketika latihan lari bersama aku. Selepas
bulan-bulan berikutnya, kaki sudah mula rasa sakit.

Agak janggal nama penyakit tersebut seperti nama-nama komponen roket NASA. Aku juga mengambil masa untuk ingat dalam kepala otak aku ini.

Ianya baru dikesan pada minggu lepas hari Selasa apabila sedang dirawat di Hospital Pakar An-Nur Bangi.

Danial berumur cukup 7 tahun bulan lepas dan aku percaya usia sebegini dia cukup kuat melawan penyakit ini. Ini kerana aku pernah berlari dengan dia dan dia boleh berlari 2 km tanpa henti sambil bercakap.

Ini menunjukkan semangatnya kental.

Ketika dimasukkan ke dalam wad Hospital Putrajaya.

Cik Misi sedang mengambil tekanan darah.

Okeylah, aku cerita serba sedikit tentang penyakit Juvenile Dermatomyositis. Penyakit ini agak kompleks kerana antibodi pesakit bertindak tidak normal seperti kita semua. Biasanya antibodi kerjanya adalah menyerang sel-sel yang tidak sepatutnya ada di dalam badan kita atau menyerang virus-virus jahat di dalam tubuh kita.

Tetapi, sebaliknya terjadi kepada anak aku. Antibodinya menjadi keliru dan menyerang sel-sel seperti sel otot, sendi dan kulit. Ini mengakibatkan pergerakan anak aku menjadi perlahan dan setiap ototnya menjadi sakit. Hingga satu tahap perlu diberi bantuan ketika mahu baring dan bangun dari tidur.

Waktu malam, Danial akan ulangkaji pelajaran. Apabila
duduk, badannya terpaksa dibongkokkan. Danial Kata
belakangnya rasa penat...

Sekiranya lewat dikesan, antibodi di dalam badannya terus menyerang pada organ yang penting seperti hati, buah pinggang dan lain-lain. Apabila terjadi hal yang demikian, ianya sudah terlewat...

Oh ye, tiada ubat untuk memulihkan antibodi tersebut. Hanya ada satu jenis ubat iaitu Steroid (bukan dadah jenis untuk ahli sukan) bagi menekan antibodi tersebut menjadi normal dan seterusnya berhenti menyerang sel-sel yang baik di dalam badan kita.

Hari ke 4 di Hospital Putrajaya, kesihatannya sedikit
terganggu dan perlu dimasukkan air.

Kegemarannya adalah apa-apa yang melibatkan buku dan
warna.

Tetapi itu bersifat sementara. Antibodinya akan kembali aktif dan menyerang semula sel-sel dalam badan kita apabila satu jangka masa yang tak pasti. Mungkin 4 atau 5 bulan selepas itu...

Jadi, orang yang paling hampir dengannya seharian perlu memberi perhatian khusus dan perlu bertindak cepat sekiranya kesihatannya mula menurun.

Aku percaya, Allah melindungi Danial hingga suatu hari nanti boleh melakukan Triathlon, Powerman atau mungkin juga Ironman.

Terkini: Aku baru je pulang dari melawat anak aku di hospital. Pagi tadi Danial ada pembedahan kecil untuk mengambil sampel tisu di bahagian peha. Sampel tersebut perlu dibawa ke Universiti Malaya untuk dianalisa dan akan memberi keputusan dalam masa 7 hari.

Hasil daripada tisu tersebut, doktor akan dapat mengenal pasti dengan lebih terperinci. Selepas itu proses rawatan akan dimulakan secepat mungkin.

Selepas melakukan pembedahan kecil.

Sementara ini, anak aku tidak diberikan apa-apa jenis ubat sehinggalah hasil ujian daripada sampel tisu itu diterima.

Aku harapkan para pembaca blog ini dapat mendoakan kesejahteraan Danial agar sakitnya itu berkurangan dan seterusnya hilang. Manalah tahu suatu hari nanti penyakit Juvenile Dermatomyositis dapat diubati hingga sembuh sepenuhnya.

Danial, kuatkan semangat! Oh, yeah!

PS: Jangan risau. Allah kan ada.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...