Isnin, 31 Disember 2012

Susurmasa 2012: Hidup Ini Sangat Menarik!


Hari ini adalah hari penutup bagi tahun 2012 dan aku berjaya melakukan kayuhan sejauh 86 km di dalam Putrajaya hingga Cyberjaya sebanyak dua pusingan. Cuaca agak romantik — redup hingga ke tengahari.

Dengan cuaca yang agak dingin anginnya, rugi kalau tak kayuh. Lagipun, esok dah masuk 2013. Kalau tak ada kayuhan penutup, rugilah!

PICC, Putrajaya. Mendung dan segar sepanjang hari.

Sepanjang tahun 2012, sebanyak 26 pos cerita yang berjaya aku tulis dalam blog ini. Bukan kerja senang tau. Itu belum masuk artikel yang aku tulis separuh jalan dan aku delete kalau rasa cerita aku ntahapaapa.

Okey, mari imbau susurmasa sepanjang 2012 yang aku rasa sesetengah cerita itu ada dramatiknya...

1 Januari 2012 - Pembukaan Tahun 2012 yang Ngeri
Seramai 17 Pahlawan dari setiap suku masing-masing sertai kayuhan ke PD yang sepatutnya jarak adalah 135 km je. Tapi, aku sesat sampai ke Nilai 3 jadikan jaraknya menjadi 147 km. Dah le sesat sorang-sorang, habis kayuh pukul 4 petang pulak tu. Itu belum masuk bab pandangan serong orang ramai sepanjang pukul 2 - 4 petang!

Cerita penuhnya ada di sini: Kayuhan ke PD: Episod Ngeri di Bawah Mentari

Kayuhan Tahun Baru 2012 ke Port Dickson.

22 Februari 2012 - Tragedi Botol Air
Macam biasa, setiap hari Rabu di malam harinya akan ada kayuhan sejauh 42 km yang laluannya melewati Putrajaya hingga ke Cyberjaya. Kelajuan adalah maksima dan degupan jantung boleh mencecah 193 bpm. Disebabkan keletihan yang melampau, salah seorang daripada kami jatuh ketika hendak meletakkan botol air, pada masa yang sama hilang kawalan dan terjatuh.

Cerita penuhnya ada di sini: Wednesday Night Ride: Tragedi Botol Air

Tangan kiri Zuraidy patah dan dikejarkan ke hospital Putrajaya.

05 Mac 2012 - Persiapan Kuantan Century Ride
Semakin hampir KCR, semakin kurang kayuhan aku. Jadi, aku di dalam keadaan terdesak waktu itu. Destinasi diputuskan iaitu ke Lenggeng sejauh 111 km. Buat pertama kalinya kedua-dua belah peha aku cramp bagai nak gila. Memang azab! Terpaksa minta bantuan Halim untuk hantarkan aku pulang ke rumah.

Cerita penuhnya ada di sini: Kayuhan ke Lenggeng: Inilah Kekejangan yang Sebenar!

Pelanggan tetap kat kedai kopi Bukit Mandum.

25hb Mac 2012 - Kuantan Century Ride
Hari besar sudah tiba. Ini le upacara pertama Century Ride dalam seumur hidup aku. Aku tak pernah kayuh 160 km sebelum ni. Jadi, aku kena pastikan segalanya menarik dan boleh aku eksyen dengan member-member aku kat kampung nanti. Walau apa pun, ini adalah pengalaman pertama aku yang paling menarik dalam 2012.

Cerita penuhnya ada di sini: Kisah Kuantan Century Ride sejauh 160 km

Ini buktinya untuk orang kampung aku. Karang kata aku beda'ah pulak.

Jun, Julai dan Ogos 2012 - Dugaan Besar
Ini adalah tentang anak aku iaitu Danial yang berumur 7 tahun. Bertangan kidal dan banyak membaca, melukis dan bermain game Ipod Touch ketika di rumah. Disahkan menghidapi Juvenile Dermatomyositis iaitu serangan anti-body sendiri terhadap sel-sel dalam badan seperti kulit, otot dan hati. Segala aktiviti sukan aku terhenti serta merta dan menumpukan 100% perhatian ke atas anak aku. Ya, ini saat paling sukar aku dan hanya 20% sahaja aku ceritakan di sini, Danial.

Danial ketika pembedahan kecil di peha kiri.


September 2012 - Persiapan Powerman
Ini pun waktu sukar aku jugak. Selepas melahap menu-menu hari raya, kena pulak Powerman bakal menjelang tiba. Dengan kurangnya latihan lari dan basikal, aku perlu tempuh Powerman dua bulan lagi. Ini sangat kejam! Dengan berat badan daripada 62 kg meningkat naik kepada 68.5 kg. Sedikit sebanyak mengganggu prestasi aku dan tahap kecergasan aku di tahap sangat kasihan.

Latihan Powerman tak kira siang atau malam, harus dilaksanakan juga.

21 Oktober 2012 - Persiapan Powerman, Kayuhan ke Ampangan 2
Last minit training untuk Powerman yang berbaki 11 hari je lagi. 9 orang Pahlawan menyahut cabaran 127 km ke Ampangan 2, Negeri Sembilan. Boleh dikatakan kayuhan ini sangat menarik. Kelajuan yang sederhana dan lancar menjadikannya menarik. Tahap kecergasan aku walaupun tidak seperti sebelum ini, tapi sudah cukup syarat untuk menyertai Powerman nanti.

Cerita penuhnya ada di sini: Para Pahlawan Basikal Beraksi di LEKAS

Aksi ini masuk dalam majalah Roda Pantas tau!

04 November 2012 - Misi Powerman Berjaya!
Walaupun berat badan aku agak sipi-sipi ISO Compliance, aku berjaya juga memegang gelaran Powerman. Aku akui, ini bukan kerja mudah. Dengan tahap kecerdasan yang sederhana, aku perlu menamatkan upacara kejam edisi 2012 ini. Lari 11.4 km, kemudian basikal 64 km, dan kena lari balik 11.4 km. Fuh, ini bukanlah waktu untuk kontrol hensem!

Cerita penuhnya ada di sini: Saya Sudah Powerman, Anda Bila Lagi?

Ada lagi 5.4 km berbaki.

13 November 2012 - 161 km Melalui Bukit Tangga
Baru 19 hari penangan Powerman, ada azab sedang menanti. Ingatkan dah habis, rupa-rupanya ada lagi. Sepanjang 161 km, banyak bukit-bukit terpaksa dilalui. Kampung Broga, Kampung Mandum, Bukit Tangga, Genting Peras, habis kena tarah. Hampir cramp jugak kaki ni. Mana taknya, 6 jam 30 minit dok kayuh basikal. Tahap kesukaran aku letakkan di nombor 2 selepas Powerman.

Cerita penuhnya ada di sini: Kayuhan Jahanam Sejauh 161 km di Hari Deepavali

Kayuhan Jahanam aku gelarkan.

16 Disember 2012 - Membeli Treadmill atas alasan untuk Kekal Cerdas
Dengan jumlah keseluruhan RM2050, aku berjaya mendapatkan treadmill terpakai. Nak beli baru, mahal sangat. Jadi, dapat yang terpakai pun jadilah. Ini adalah untuk menjayakan misi tahun 2013. Aku perlu mengembalikan berat badan seperti awal tahun ini dan kelajuan larian aku dapat dipulihkan. Ini adalah perkara yang agak sukar; tetapi boleh dilaksanakan. Cuma berikan aku sedikit masa...

Cerita penuhnya ada di sini: Treadmill Aku Datang

Treadmill untuk misi-misi penting sepanjang 2013.

Ya, terima kasih aku ucapkan kerana sudi menyelusuri susurmasa sepanjang 2012 bersama aku. Ianya bermula dengan bagus dan dipertengahan jalan diuji dengan hebat; dan diakhiri pula dengan cerita-cerita menarik.

Tahun 2013 aku perlu berusaha untuk jadikan perjalanan yang lebih menarik dan seterusnya berkongsi cerita dengan anda semua.

Selamat Tahun Baru 2013!

PS: Hidup ini sangat hebat dan menarik. Alhamdulillah.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 19 Disember 2012

Treadmill Aku Datang


Nampaknya, bulan Desember ini aku agak kurang aktiviti sukan di luar rumah. Kurang bukan bermaksud tiada langsung — cuma tidak agresif seperti bulan-bulan yang sebelumnya. Jadi ini membuatkan bulan ini kekurangan cerita untuk pembaca blog ini.

Berat badan aku pulak daripada 63 kg terus meningkat kepada 67 kg dan ianya sedikit mengganggu ketika upacara berlari. Ini juga menyebabkan beberapa kali Vastus Medialis aku cedera; mungkin disebabkan berat badan bertambah dan ianya membebankan otot-otot kaki aku.

Untuk mengurangkan impak jalan tar dan seterusnya mengekalkan tahap kecerdasan, aku pun membeli treadmill terpakai daripada rakan pejabat aku:

Treadmill jenama Horizon Fitness model Omega GT tahun 2011.

Kehebatan treadmill tersebut boleh baca di laman web Horizon Fitness.

Harga yang perlu aku bayar adalah RM1500 dan boleh bayar 2 atau 3 kali... hehehehe... Ditambah pula  dengan RM550 iaitu kos penghantaran oleh Johnson Fitness.

Aku lihat 80% kondisinya masih lagi elok dan mengikut kata Juruteknik yang memasang treadmill tersebut, dengan harga RM1500 ianya agak murah kerana harga asalnya ada RM4000 hingga RM5000.

Juruteknik daripada Johnson Fitness sedang menyelenggara treadmill aku.

Aku tak pernah lari atas treadmill sepanjang 34 tahun aku bernafas di atas muka bumi ini. Apa yang boleh aku katakan, lari atas treadmill lebih penat dan bosan berbanding lari di atas jalanraya.

Setakat ini paling lama aku berlari atas treadmill adalah 1 jam 10 minit tanpa henti. Nasib baik ianya menghadap tv dan bolehlah berlari sambil tengok filem Istanbul Aku datang. Tak adalah bosan sangat!

Papan pemuka Horizon Fitness model Omega GT 2011.

Dengan adanya treadmill ini, bolehlah aku lari ketika hari hujan dan larian jarak pendek sebelum bersiap ke pejabat.

Walaupun aku ada alat anti-sosial ini, tidak bermakna aku mengabaikan larian di atas jalan tar. Pada aku, lari di luar rumah lebih seronok, lebih nikmat dan lebih senang.

Sejak akhir-akhir ini, aktiviti larian mendominasi statistik DailyMile aku.

Ini juga mendorong aku menaiktaraf akaun Dailymile.com kepada versi PRO dengan bayaran RM22.00 sebulan. Boleh aku katakan yang ini adalah sebahagian daripada motivasi aku untuk tahun 2013 yang bakal tiba nanti.

Tiada lagi marathon 10k pada 2013 - Segalanya 21k dengan catatan masa sebaik mungkin!

PS: Full Marathon? Tahun 2014 kot.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...