Ahad, 23 Jun 2013

Sangap di Musim Jerebu


Powerman 2013 bakal menjelang tiba. Ini berita baik – kepada mereka yang tak masuk. Yang masuk, lain pula ceritanya...

Pada 7 June lepas, dengan nekadnya aku pun mendaftar Malakoff Powerman Asian Championships 2013. Dengan satu harapan, waktu transaksi daripada lari ke basikal dan basikal ke lari dapat dikurangkan sebanyak 50%.

Oleh sebab itulah aku mulakan latihan dengan larian ringan pada dua minggu lepas.

Pembuka latihan aku lari bersama Encik Danial. Lepas lari,
beliau terus demam.

Sebenarnya, aku dah lama tak lari. Erti kata lainnya, dah malas nak lari dah. Tapi, disebabkan Powerman aku paksakan diri untuk rajin berlari.

Untuk kelihatan segak bergaya sebelum Powerman, aku pun mendaftar Men's Health & Shape Night Run 2013 pada 13 hari lepas.

Larian ni tak jauh, cuma 12 km je. Cuma aku mahu tengok bagaimana larian aku selepas melahap lemang dan makanan tradisi Hari Raya Aidilfitri nanti.

Untuk waktu normal, berat aku sekitar 65 kg.

Aku tak mahu jadi macam waktu Powerman tahun lepas yang berat aku mencecah 68 kg. Ini semua salah sebatang lemang yang aku habiskan ketika Hari Raya pertama tersebut!

Ketika Hari Raya nanti, aku akan tumbuk perut sesiapa sahaja sekali pun yang sengaja tayang sebatang lemang di hadapan aku.

Kalau sudah dipotong dan diletakkan atas pinggan, itu tak apa.

Jerebu di Putrajaya yang IPU nya mencecah 100*.

Jerebu pun satu hal juga. Ini mengganggu aktiviti kayuhan yang sering dilakukan ketika hari Rabu, Jumaat dan hari minggu.

Untuk tidak menjadi jerebu tersebut sebagai batu penghalang, aku perbanyakkan latihan 'Core Strength' di rumah setiap hari dan juga berlari di atas treadmill.

Horleys Ice Whey Protein. Sebelum kayuh atau lari, sejam sebelumnya aku akan
mengambil protein untuk kuatkan otot-otot aku.

Mesin ini menjadi penyelamat aku ketika jerebu yang teruk sekarang ini.

Sekurang-kurangnya, tak adalah aku mengangkang depan tv je kerjanya. Nak lari kat luar, jerebu teruk pulak. Alangkah baiknya kalau aku ada 'Trainer'. Boleh jugak aku berlatih 'transition' daripada lari ke basikal dan basikal ke lari.

Segalanya berlaku dalam rumah ketika musim jerebu dan hujan. Syurga!

PS: Hari ini hari Ahad. Sepatutnya aku sudah pun kayuh 100 km di waktu tengahari sebegini. Disebabkan jerebu, aku terkandas di rumah tanpa kayuhan jarak jauh.

PPS: Kurangkan aktiviti luar ketika jerebu. Kesihatan harus diutamakan.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 4 Jun 2013

Al-kisah Kuantan Century Ride 2013


Prolog
Kembali pada tahun 1813, tujuh bersaudara datang ke Tanah Melayu daripada Sulawesi dan berpecah mengikut firasat masing-masing ke setiap negeri untuk berkhidmat kepada Kerajaan-kerajaan yang ada ketika itu.

Salah seorang yang sulungnya berkhidmat dengan Sultan Perak ketika itu sebagai Hulubalang yang hebat di dalam sejarah Negeri Perak.

Berpuluh tahun selepas itu, mak aku bersama kembarnya dilahirkan dan dibesarkan di dalam Istana Kuning dan berkawan rapat dengan anak-anak Raja Melayu Perak di dalam Istana Kuning. Hinggalah emak aku berkahwin dan mengikut bapak aku keluar daripada istana.

Moyang aku yang datang daripada Sulawesi tu orang tempatan panggil Tok Hitam. Itu yang emak aku cerita kat aku lah. Kalau emak aku tipu, aku pun turut bersubahat sama...

Sehari Sebelum Kuantan Century Ride 2013
Pukul 8:15 pagi hari Sabtu, dengan kelam kabutnya aku sekeluarga menuju ke Presint 14. Ini kerana beberapa ahli kumpulan NOGLB berkumpul di situ untuk ke Kuantan bersama-sama.

Kuantan Century Ride 2013.
*Hak milik http://www.kuantan160.asia/

Kali ini tak macam tahun lepas. Aku macam rasakan aku belum cukup bersedia kali ini. Ini semua kerana kurang latihan akibat kerja-kerja pejabat yang terlalu sibuk.

Aku jugak terpaksa menghantar basikal aku ke KHCycle Damansara Perdana pada pagi Jumaat. Difahamkan hanger masih ada sedikit bengkok yang menyebabkan gear aku menjadi sedikit lambat bertukar ke cassette yang rendah.

Selepas balik kerja, aku terus bersiap barang-barang keperluan
dan longgokkan satu tempat.

Oh ye, kali ini aku berdaftar dibawah naungan NOGLB. Ada juga antara kami mendaftar dibawah kumpulan Jami Bike Centre dan beberapa orang sebagai Individu.

Tak kisah daftar bawah sapa pun; orangnya tetap sama yang kayuh setiap malam Rabu dan Jumaat. Misi juga sama — Habiskan kayuhan 160 km sehabis baik.

Pukul 9:35 pagi kami tiba di Petronas Serdang untuk mengambil Faizul.

Aku, Jeffery, Hairi, Taufiq dan Faizul seterusnya menuju ke tol Gombak melalui MRR2. Ada sebahagian daripada kami iaitu Norman, Jaja, Komeng, Faizal, Aar, Ajan dan Ajim menunggu kami di tol Gombak.

Aku sempat beli burger dan hotdog A&W kat perhentian Mentakab.

Kami semua tiba di MS Garden, Kuantan jam 2:30 petang. Semua peserta diwajibkan ke hotel ini untuk mengambil goodies. Orang juga masih tak berapa ramai kat sini. Mungkin masih awal lagi kot.

Tak ramai sangat orang waktu ini.

Ini adalah muka-muka yang bakal beraksi di bawah sinar mentari Kuantan
pada esok hari. Seronok nampak. Tak apa, esok lagi seronok.

Setelah mengambil goodies KCR, aku terus ke hotel yang bakal aku menginap iaitu City Times Hotel:

City Times Hotel, Kuantan.

Satu malam berharga RM200 bagi Deluxe Family. Aku akan menginap selama 2 hari sebab aku tak nak kelam kabut pulang ke Putrajaya semula seperti tahun lepas.

Ketika membayar bil penginapan, awek kaunter tu cakap macam ni, "Encik, hotel ni tak ada lif."


Lepas kayuh 160 km, naik tangga pulak.

Hah, naya! Kebetulan aku ditempatkan tingkat paling atas sekali iaitu tingkat 3.

Memang betul-betul naya. Bayangkan, 3 kali aku turun naik tangga angkat barang. Macam biasa, bini aku memang dikecualikan bab-bab sebegini; daripada bayar bil hotel hinggalah angkat barang.

Inilah rupa biliknya.

Nasib baik basikal aku ringan. Tak adalah ralat sangat. Cuma, aku bayangkan esok pagi lepas kayuh 160 km, aku kena angkut basikal naik ke tingkat 3!

Orang dah ke Stesen Angkasa ISS, hotel ni masih lagi tak ada lif.

Sebaik habis bawak barang naik ke bilik hotel, aku terus memeriksa kandungan goodies bag:

Kandungannya tak menarik perhatian aku dan berasa sedikit kecewa.

Cuba bandingkan dengan tahun lepas punya:

Betapa meriahnya kandungan goodies bag KCR 2012.
Ini baru puas hati!

Lebih kecewa, jersinya aku langsung tak boleh pakai. Saiz "S"nya umpama "XXS" dan aku tak boleh pakai langsung.

Aku buka race kit dan pasang siap-siap kat basikal aku. Malas aku nak fikir bab goodies² ni.

"Ini semua ayah punya.",  aku pesan kat anak-anak aku. Esok pagi aku
bangun tidur, sekeping coklat Cadbury sudah hilang!

Sebelum tidur, jam 10:30 malam, mata aku terkebil-kebil. Aku imbau semula apa yang terjadi daripada semalam hingga hari ini. Aku boleh katakan ianya tak seperti aku harapkan. Ianya seakan-akan petanda untuk aku...

Horey, Kuantan Century Ride 2013 Sudah Tiba!
Aku bangun jam 4:50 pagi. Segalanya berjalan lancar kerana 90% keperluan aku sudah siap malam tadi. Segalanya aku sudah susun cantik-cantik ala-ala peralatan Ninja dalam almari hotel:

Aku susun dengan kemas supaya tak terlepas pandang.

Disebabkan aku tahu dengan kurangnya latihan, aku kemungkinan akan diserang kekejangan otot kaki ketika kayuh. Maka, aku pun membeli set Kinesiology SpiderTech ketika mengambil goodies bag di MS Garden semalam.

SpiderTech Kinesiology tape. Tak sampai rm50 pun.

Sebelum sembahyang subuh aku pakai siap-siap kinesiology kat lutut dan betis aku. Aku tak tahu sejauh mana keberkesanannya. Cuma harapan aku ianya dapat mempercepatkan pemulihan kekejangan ketika kayuhan.

Sambil bersiap sambil layan Lisa Surihani dalam filem Istanbul Aku Datang.

Oh ye, lupa aku nak cerita yang kawan sekampung aku pun turut sama KCR kali ini. Datang dari Chemor dan menginap hotel yang sama dengan aku. Sama-sama terkena dapat hotel yang tak ada lif. Kebetulan bilik dia berhadapan bilik aku.

Hah, bagus sangat!

Kami berdua kayuh daripada hotel sejauh 3.4 km ke IIUM iaitu di mana tempat bermulanya acara KCR tahun ini. Setibanya di tapak perhimpunan pada pukul 6:50 pagi, aku lihat sudah ramai orang.

Kedudukan aku agak kurang strategik iaitu di tengah-tengah sekali.
*Hak milik Jerantut Cycling Club (JCC)

Bacaan doa dimulakan sebelum kayuh. Ketika bacaan doa, ada beberapa warga Singapura yang berada di hadapan aku bercakap kuat-kuat sambil gelak ketawa; sedangkan bacaan doa sedang berkumandang.

Ini sangat biadap dan ini membuatkan hati aku tiba-tiba jadi panas.

Sebentar tadi juga sebelum bacaan doa, salah seorang ahli kelab basikal daripada mereka ini dengan sengaja melanggar basikal aku dengan lututnya dan menolak belakang aku dengan kuat ketika mencelah.

Aku perhatikan diorang daripada jauh. Tak dapat nak duduk kat diorang
sebab aku dah terperangkap di tengah peserta-peserta lain.
*Hak milik Dakdone

Tidak ada perkataan "maaf" daripada beruk tersebut dan aku sifatkan beruk tersebut memperlakukan dengan sengaja.

Ini perangai beruk yang otaknya sudah rosak akibat gegaran ketika latihan berbasikal. Dan datang ke Tanah Melayu dengan perangai hodoh.

Ok, sambung balik cerita basikal dah lupakan pasal beruk tadi...

Tepat jam 7:30 pm, acara dimulakan dan aku sudah tak nampak kelibat Faizul, Bokat, Komeng dan Juga Norman. Oh ye, Norman yang patah pergelangan tangannya terpaksa bawak kereta sokongan yang dibantu anak-anaknya.

Terpegang Ketiak Orang
Ketika menuju ke pusat bandar Kuantan, aku tingkatkan kelajuan sekitar 40-45 km/j. Beberapa kali aku brek kecemasan. Disebabkan kelajuan tadi akhirnya aku nampak Jeffery, Taufiq, Jaja, Faizul, Mawi dan juga beberapa kumpulan Jami Bike Centre di hadapan.

Ini wakil NOGLB dan Jami Bike Centre.
Dari kiri, Bokat, Pae, Jaja, Ajan, Faisal, Dakdone dan Ajim.
*Hak milik Dakdone

Aku sedang keluar daripada IIUM.
*Hak milik Jerantut Cycling Club (JCC)

Ketika berada di pusat bandar Kuantan di selekoh tajam, di hadapan aku ada seorang lelaki berbangsa Cina hampir terjatuh kerana terlambat buka klip kasut. Ketika itu peloton tiba-tiba bergerak perlahan. Aku sempat berhenti dan cuba memegang lengannya. Tapi, aku salah percaturan dan terpegang ketiaknya yang basah dengan peluh!

Haru betul. Kalau ketiak awek, aku tak ralat sangat. Tapi, ini ketiak lelaki!

Tapi, tak apalah. Rezeki dia.

Kekejangan Pertama
Aku teruskan kayuhan seperti biasa. Cuma aku rasakan kayuhan kali ini agak laju. Kelajuan ini diluar kesedaran aku. Ketika di Pantai Sepat, aku lihat pada meter aku purata kelajuan adalah 37 km/j. Di sebelah aku adalah Jeffery dan di hadapan aku pula adalah Taufiq, Jaja dan Faizul.

Ketika inilah kaki aku terasa seakan-akan keras dan stress. Ini petanda tak baik.

Di kilometer yang ke-50, aku sudah terasa kaki aku hampir kejang. Ini terlalu awal dan aku tak menjangkakan ianya datang terlalu awal.

Apa yang aku boleh lakukan hanyalah menyembur dengan cramp spray. Tapi, sampai bila? Kayuhan masih berbaki 110 km.

Sedang mendaki jalan bukit. Tatkala ini aku sudah terputus peloton ke-2.
Mendaki dalam keadaan kaki yang kejang.
*Hak milik Enaikay

Di kilometer yang ke-55 lah aku terputus dengan peloton yang besar jumlahnya. Permukaannya jalannya berbukit tapi pendek. Aku dah tak mampu nak berbuat apa kerana kaki sedang kejang. Tengok aje lah peloton tinggalkan aku dari jauh.

Yang tinggal ketika ini yang aku kenal adalah Taufiq dan Jaja:

Taufiq dan Jaja.
*Hak milik Dakdone

Hero dan Heroin Sepanjang 100 km Berbaki
Tatkala inilah Taufiq berbasikal jenama Pinarello Dogma edisi Movistar dan Jaja berbasikal Pinarello Dogma 65.1 Think 2 memainkan peranan.

Aku duduk kat belakang diorang berdua je. Kejang aku makin teruk. Aku dah tak mampu tolong tarik kat depan. Cramp Spray aku hampir habis. Kaki makin sakit. Dan, aku makin terdesak.

Anggaran aku, Taufiq menarik sekitar 70 km lebih hingga bercantum dengan peloton ke-2 yang ketika itu Mawi berada dalam kelompok ini. Tercantumnya ketika di lebuhraya yang permukaan jalannya beralun dan bukit yang tinggi.

Nampak bukit kat belakang tu? Kat depan tu pun ada lagi tau.
*Hak milik Dakdone

Setelah bercantum dan tinggal hanya lagi 20 km berbaki, Taufiq pula kejang dan berhenti di tepi jalan.

Aku agak terkesan ketika ini; melihat usaha beliau punah akibat kekejangan.

Tatkala ini aku masih melawan kekejangan kedua-dua belah kaki aku. Apabila aku di atas basikal, maknanya aku tiada pilihan dan harus tamatkan permainan secepat mungkin.

Sakit itu sebahagian daripada permainan. Tapi, mengalah adalah bukan sebahagian daripada permainan.

Sekiranya aku tertinggal di belakang ketika mendaki, aku perlu turun bukit
selaju yang boleh supaya bercantum balik dengan Taufiq dan Jaja.

Bayangkan, aku melawan kekejangan kedua-dua belah kaki sejauh 80 km. Tinggal lagi 20 km je lagi. Tak akan aku nak mengalah.

Keturunan hulubalang mana mungkin mengalah dalam kesakitan.

Ye, memang kaki aku sakit. Tapi semangat aku masih lagi utuh. Bunyinya mungkin bodoh. Ye lah, orang cakap kalau sakit, berhentilah. Apa kejadahnya kayuh dalam keadaan sakit. Bukannya lumba basikal macam Le Tour de France. Lagipun orang macam aku ni mana boleh dapat hadiah nombor 1.

Tapi, ini kisah aku dan aku yang menyusun ceritanya sendiri. Permainan sebegini rupa menunjukkan siapa diri kita yang sebenarnya.

Terputus Peloton Juga Akhirnya
Lagi 9.5 km hampir kepada penyudahnya, aku tak dapat bertahan dalam peloton. Aku kehabisan tenaga dan cramp spray aku sudah habis.

Kaki aku tak dapat bertahan ketika mendaki bukit yang tinggi dan agak panjang. Semakin lama semakin jauh aku di belakang.

Jeffery, Dakdone, Faizul, Faisal, Norman, Jaja, Hairi dan Taufiq.
*Hak milik Dakdone

Powergel juga sudah habis dan aku cuma ada air Rebina di dalam poket aku. Aku habiskan air tersebut dan teruskan kayuhan yang sedikit sahaja lagi nak habis.

Aku kayuh berseorangan sepanjang 9 km tersebut. Ketika sampai di garisan penamat, barulah aku jejakkan kaki aku ke tanah.

Ini adalah perjuangan aku dan aku tamatkan dengan penuh kesungguhan.

Inilah keadaan kaki aku selepas kayuh 160.55 km.

Secara keseluruhannya aku mendapat tempat yang ke-132 daripada 1,911 peserta dengan catatan masa 04 jam 33 minit 08 saat berbanding 4 jam 40 minit 48 saat pada tahun lepas dengan 781 orang peserta.

Kali ini laluannya lebih sukar berbanding tahun lepas. Dan aku berjaya melalui kedua-duanya.

Apa yang penting, medal ini harus dikongsi dengan mereka berdua.

Inilah cerita aku. Ini melambangkan siapa aku sebenarnya.

PS: Ini baru Kuantan Century Ride 2013. Belum lagi Powerman 2013. Fuhhhhhh!

PPS: Tahniah dan terima kasih kepada ahli kumpuan NOGLB.

PPPS: Terima kasih kepada Norman diatas sumbangan 2 botol air mineral ketika aku mengelupur memerlukannya.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...