Isnin, 28 Oktober 2013

Powerman 2013: Kerja Gila Buat Kali ke-2


Malakoff Powerman Asian Championships 2013 baru je selesai semalam. Ini maknanya aku berjaya menyelesaikan misi kejam ini buat kali ke-dua.

'Berjaya' di sini maksudnya, aku bangun tidur pagi tadi tak ada sakit-sakit macam tahun lepas; yang sakitnya langsung tak boleh nak duduk dengan sempura. Sembahyang pun normal, tak macam tahun lepas kena duduk atas kerusi.

Stok Carbo Loading aku selama seminggu sebelum Powerman.

Ini definasi 'berjaya' pada aku lah.

Bonusnya pula, aku tamatkan permainan ini 4 jam 30 minit 27 saat. Berbanding tahun lepas iaitu 4 jam 55 minit 31 saat. Ini bermakna aku dapat potong masa tahun lepas punya sebanyak 29 minit 4 saat. Kira oklah tu, kan? Walaupun sasaran aku bawah 4 jam 30 minit.

Lagi pun, kedudukan aku secara keseluruhannya tempat ke-88 daripada 393 peserta bagi kategori 30-39 dan melayakkan aku Top 100.

Okey, mari ikuti perjalanan aku yang penuh dengan emosi ini:

Sehari Sebelum Upacara Kejam

Aku mulakan slow jog jam 7:10 pagi selama 30 minit di atas treadmill. Konon-kononnya sesi panaskan enjin untuk esok hari.

Sambil lari, aku banyak terfikir akan kondisi basikal aku yang kali terakhir diselenggara adalah bulan April lepas di Rodalink Putrajaya. Maknanya, 6 bulan aku tak pernah jejak mana-mana kedai basikal.

Lari pelan-pelan je...

Jadilah 2.6 km. Esok baru belasah.

Macam mana kalau rantai putus? Apa aku nak buat kalau masalah teknikal jadi masa kayuh basikal? Kalau pancit, habis lah aku. Kalau itu, kalau ini, kalau kalau kalau...

Eh, gajah pun boleh stress tau kalau dia pun ada basikal!

Aku try Google gajah naik basikal, tapi tak jumpa pulak.
Gajah main bola adalah.

Ada juga kenalan rapat mencadangkan aku supaya tukar cassette dan rantai kerana aku sudah belasah 7800 km lebih. Memandangkan hujung-hujung bulan ni, aku abaikan kerana faktor kewangan yang terhad.

Agak tertekan jugak aku kalau fikir bab basikal...

Jam 11:30 pagi pulak aku ke Hotel The Everly Putrajaya yang bersebelahan dengan Alamanda untuk mengambil nombor bib dan goodies.

Hotel The Everly Putrajaya.

Orang dah ramai beratur untuk mengambil goodies.

Sedikit penerangan tentang acara esok hari.

Ini antara kawan-kawan aku yang mahu mencabar diri sendiri.

Hari itu jugak ramai yang membeli belah baju baru untuk bergaya esok hari.

Sebaik sahaja aku tiba di rumah, aku terus memasang nombor bib pada helmet dan basikal. Seterusnya aku menyediakan barang-barang keperluan aku ketika transition nanti dalam satu bekas tertutup. Tujuannya, barang-barang tidak basah kalau hujan dan juga mengelak daripada penjenayah rembat barang-barang keperluan aku.

Goodies kali ni tak ada botol air. Pada aku, tshirt kali ini agak cantik juga.

Segalanya dalam satu bekas. Takde lah kelam kabut esok hari.

Esok pagi takde pening-pening kepala sebab segalanya aku dah susun
elok-elok.

Di sepanjang hari, setiap 3 jam aku akan mengambil makanan berkarbohidrat dalam kuantiti yang sederhana. Makanan bergula, berkafein dan berserat tinggi aku elakkan. Aku cuma makan pancake, shushi, beras perang dengan ikan bakar, spaghetti di waktu petang dan malam.

Sarapan kali kedua jam 10:30 pagi, aku belasah 5 ketul shushi salmon.

Petang dan malam, menunya sama iaitu spaghetti.

Di sebelah pagi dan malam 45 minit sebelum tidur, aku minum ramuan
macam dalam gambar ni. Tapi, aku tak campurkan dengan ais.

Keseluruhan kalori satu hari yang aku ambil adalah sekitar 2100 - 2300 kcal. Cukup untuk berat badan aku yang hanya 59 kg.

Pukul 10 malam, aku dah tidur...

Hari Penentuan - Malakoff Powerman Asian Championships 2013

Jam 4:15 pagi aku bangun dari tidur. Aku makan pancake dengan 250 ml air kosong sebagai alas perut. Selepas sembahyang Subuh, aku terus ke Kementerian Kewangan, Presint 2.

Di situlah permulaan dan penamatnya bagi acara kejam tersebut.

Masa aku sampai, dah ramai jugak yang membuat persiapan terakhir di
kawasan transition.

Sebelum aku tinggalkan beliau, aku ucapkan perlahan-lahan kepadanya,
"Aku tahu aku tak selenggara kau 6 bulan lamanya. Oleh itu, janganlah
kau hukum aku pada hari yang penuh makna ini. Aku lakukannya bersebab."

Selepas itu, aku membuat stretching dan warm up sambil ke tandas untuk membuang 300 gram beban. Selepas ke tandas, aku telan dua bungkus Powergel sekali gus.

Larian Pertama, 11 km

Tepat jam 7 pagi, larian pertama pun bermula. Walaupun dah warm up, aku rasakan kaki aku agak berat. Aku tengok jam, kelajuan aku sekitar 5'30"/km. Setelah 2 km, aku lihat kelajuan sekitar 4'12"/km dan aku terpaksa perlahankan kelajuan sekitar 5'30"/km semula. Aku takut cramp masa basikal nanti kalau aku terlampau tekan ketika berlari.

Aku ada di antara mereka ini.
*Hak milik Rashdan

Larian pertama ini aku tak rasa ada masalah. Segalanya berjalan lancar dan aku berjaya tamatkan 58 minit 32 saat sejauh 11 km.

Tapi, aku akui laluan kali ini lebih mencabar daripada laluan tahun lepas. Banyak bukit panjang dan lagi 700 km nak habis, ada satu bukit yang agak pacak. Aku anggarkan larian terakhir nanti memang sah-sah aku menapak.

Basikal, 64 km

Ketika masuk ke kawasan transaksi, disebabkan bekalan oksigen di otak sedang berkurangan, aku terlupa kat mana terletaknya basikal aku. Rupa-rupanya aku sudah terlajak 20 meter di hadapan.

Aku patah balik dan buka kotak hikmat kaler hijau aku tu dan terus tukar kasut. Aku terus capai air GNC Pro Performance® AMP Amplified Endurance Booster sebanyak 400 ml dan terus minum.

Tanpa berlengah, aku terus menuju keluar daripada kawasan transaksi. Kalut jugak masa tu. Dua tiga kali aku gagal masukkan cleat kasut kat pedal. Aku rasa kaki aku lembik macam sotong. Haru betul!

Kaki aku lembik waktu ni. Jenuh aku cuba pakai cleat kat pedal. Nasib baik
tak tergolek.
*Hak milik Rashdan

Jangan cramp sudahlah!
*Hak milik Rashdan

Sekitar 2 km di Jambatan Lebuh Wawasan, ketika aku hendak memegang aerobar, kaki aku mula terasa mahu kejang. Ahhhhhh....!!!

Masih terlalu awal. Ketika mendaki bukit, tatkala itulah betis aku mula hendak cramp dan aku terus menyembur dengan penyembur hikmat cramp spray.

Boleh aku katakan kekejangan tersebut sekejap ada sekejap hilang. Dan, ianya masih dalam kawalan.

Secara puratanya kelajuan sekitar 42 km/j ketika aku dalam posisi aerobar. Ketika berbasikal, aku lebih berkeyakinan berbanding berlari. Ini kerana boleh aku katakan yang aku agak mahir mengawal heart rate dan tekanan pada kaki aku.

Masih berbaki 32 km lagi. Betis dah mula tarik ketika ini.
*Hak milik AShe Ek

Ketika pusingan ke-dua ketika berbasikal, kekejangan mula merebak ke peha. Aku kuatkan semangat sambil berkata, selagi cramp tak hinggap ke jantung dan paru-paru, ianya tak ada masalah. Dan, aku terus mengawal kayuhan aku sekitar 40 km/j.

Ketika berbasikal, aku cuma mengambil 2 pek Powergel. Aku tahu ianya tak cukup...

Secara keseluruhannya, aku berjaya tamatkan acara berbasikal ini selama 2 jam 00 minit 29 saat dengan purata kelajuannya 32.37 km/h.

Larian Terakhir, 11 km

Aku masih ingat pada tahun lepas, ketika transaksi aku mengambil masa terlalu lama. Dah le lama, masa nak lari pulak terus cramp!

Pengalaman lepas sememangnya aku jadikan iktibar. Kali ini aku lebih bersedia. Aku hanya menukar kasut, minum air GNC Pro Performance® AMP Amplified Endurance Booster sebanyak 200 ml, masukkan 2 pek Powergel ke dalam poket baju 2Xu aku dan teruskan larian.

Sekali lagi aku tiba-tiba panik. Eh, nak keluar ikut mana ni? Aku terpinga-pinga. Aku berhenti dan perhatikan sekeliling dan melihat peserta lain keluar ikut mana.

Situ je dah dekat 15 saat tau.

Apa pun, nasib baik kaki aku tak kejang macam tahun lepas. Kaki aku agak ok dan aku slow jog sekitar 6'40"/km sejauh 400 meter. Sehingga aku rasakan kaki aku sudah betul-betul ok, baru aku tingkatkan kelajuan 5'50"/km.

Ketika ini mental aku mula lemah dan kelajuan aku makin perlahan dan aku terus menapak. Kecewa betul!

Aku baru lari 1 km dah menapak. Salah satu faktor aku berjalan adalah disebabkan cuacanya yang sangat panas. Aku rasa hampir dehydrate. Jadi, di setiap water station aku berjalan sambil minum.

Baru nak mula lari. Ada lagi 10.8 km tau.
*Hak milik Rashdan

Aku memang betul-betul tak larat. Tapi keinginan untuk tamatkan permainan kejam ini tetap kuat. Tapi, pusingan pertama ini aku memang banyak berjalan.

Di kilometer yang ke-2, aku terasa nak terkencing pulak. Terus berhenti belakang bus stop di bawah pokok aku terus lepaskan hajat. Ini dah pakai masa hampir seminit. Rugi besar aku!

Hingga di kilometer ke 6, aku bertemu dengan Syaful yang tengah lepak tepi jalan. Aku sempat bertanyakan jam pukul berapa.

Aku: Eh, pukul berapa sekarang ni?
Syaful: pukul 10:50

Aku terus membuat perhitungan dan hasilnya aku hanya ada 40 minit untuk menamatkan larian ini sebelum 11:30 pagi.

Tiba-tiba larian aku mencanak 5'10"/km. Tapi, tak jauh, cuma 400 meter je. Kecewa sungguh!

Sebagai jalan penyelesaian aku susun strategi lari 1-4 minit, jalan 20 saat. Setiap water station, minum sambil berjalan. Itu je yang mampu aku lakukan.

Medal Powerman 2013.

Dan, aku berjaya! Tetapi, masa larian aku sangat teruk iaitu 1 jam 21 minit 37 saat.

Apa pun, berjaya juga strategi aku.

Berjaya juga aku dapatkan tshirt finisher ni.

Diorang berdua memang tunggukan medal yang aku dapat. Tak kiralah
apa acaranya sekalipun.

Inilah permainan aku sertai setahun sekali. Kisah 4 jam 30 minit ini akan dikenang sepanjang tahun mendatang. Aku juga bercadang ini adalah Kisah Powerman aku yang terakhir. Tahun hadapan, aku hanya datang tengok je. Itu pun kalau ada lagi dan masih dibuat di Putrajaya.

Dah tak lalu nak mengadap 11 km terakhir tu. Tapi, aku akan kongsikan banyak tips dan pengalaman aku nanti untuk mereka baru nak berjinak dengan Duathlon ini.

Okey?

PS: Aku agak muskil juga dengan sensor pada bib aku. Orang lain punya ada bunyi, aku punya x dengar pun. Nasib baik keputusan keluar nama aku. Fuhhhh!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...