Khamis, 2 Januari 2014

Gaya Hidup Sihat 2014: Jogging


Aku percaya bermulanya tahun baru ini, ramai yang mula cuba nak berjogging. Samada keliling rumah mahu pun taman-taman bunga.

Tahniah aku ucapkan.

Apa yang aku faham, dalam minggu pertama kita nak berubah gaya hidup seperti berjogging, akan ada satu perasaan malu, janggal dan kekok apabila mata-mata yang memandang.

Aku dah rasa semua tu.

Awek ni suka ikut aku berlari.

Nasihat aku, abaikan dan dalam hati kena tanamkan perkataan ni:

"Apa tengok-tengok? Tak apa, tunggu badan aku fit, betis umpama Rabuan Pit, korang akan tau siapa aku; satu hari nanti."

Dalam hati je tau. Jangan korang pi jerkah diorang pulak. Diorang sebenarnya tak ambik pusing pun korang nak lari ke, jogging ke, kayuh basikal ke. Sebab itu hanya perasaan dalam diri kita je. Diorang tak ambik port pun.

Okey, ada beberapa perkara perlu diingatkan sebelum bermulanya aktiviti berlari iaitu:
  • Baju
  • Seluar
  • Kasut
  • Aplikasi Android / iOS (Sampingan)

Tu je. Sukan paling senang nak mula.

Baju

Untuk baru-baru yang nak lari ni, pakai jersi bola pun boleh. Kalau tak ada jersi, pakai je tshirt Rukun Tetangga pun tak apa. Macam aku, aku lebih selesa pakai vest. Ala, baju yang macam singlet yang tak ada lengan tu. Lagi ketat lagi selesa.

Aku selesa dengan pakaian sebegini rupa. Baju lengan pendek dan seluar
ketat.
*Hak milik Julia Hasnan

Seluar

Kalau ada track suit, belasah je. Tapi aku nasihatkan jangan yang tebal-tebal. Nanti berkuap akan timbul rasa tak selesa. Kalau boleh yang nipis. Pendek atau panjang, itu terpulang. Untuk aku, aku selesa yang ketat dan panjang. Ini dapat mengurangkan pergerakan otot yang banyak.

Kasut

Ini adalah paling penting. Kasut tak boleh dibuat main-main. Kalau tak ada kasut, memang kena laburkan duit sekitar RM170-260. Harga ini boleh dapat yang bagus punya. Kalau pakai kasut yang tak sesuai, ianya boleh mencederakan kaki atau lutut.

Bab ni jangan berkira sangat. Memang perlu keluarkan sedikit pelaburan untuk kesihatan diri.

Brooks model Men's PureFlow 2.

Cadangan aku, cari kedai yang ada imbasan tapak kaki seperti Butik Brooks. Selepas kaki diimbas, anda akan diberikan beberapa kasut yang sesuai untuk dicuba. Terus terang sahaja bagitau yang anda baru nak berlari dan minta nasihat bagi pemilihan saiz kasut yang sesuai.

Dan, jangan lupa beli stokin sekali kat butik tersebut.

Oh ye, kasut yang mahal tak semestinya bagus. Aku pernah pakai kasut berharga RM500 lebih dan tapak kaki aku sakit bila cecah 8 km. Dengan kasut berharga RM270, kaki aku steady walaupun berbelas-belas km. Semuanya bergantung pada tapak kaki masing-masing.

Aplikasi Android / iOS

Ini adalah pilihan sampingan sahaja. Walaupun sampingan, bagi aku ianya sangat perlu. Ini adalah salah satu cara yang berekod untuk melihat prestasi dan sejauh mana kita sudah capai. Paling penting sekali, dengan aplikasi ini anda akan tahu jarak, kelajuan, kalori dan beberapa perkara lain.

Aplikasi Nike+ Running.

Contoh aplikasi adalah, Endomondo dan Nike+ Running. Ada banyak aplikasi untuk telefon pintar dan korang boleh cari di Google dengan kata carian "running apps android" atau "running apps iphone". Sesetengahnya adalah berbayar. Untuk permulaan, pakai je yang percuma dahulu.

3 perkara tadi aku sebutkan sudah cukup untuk mulakan larian pertama anda dengan penuh gaya, mutu dan keunggulan.

---

Kepada yang tak pernah berlari, aku nasihatkan jangan terus berlari macam pro. Luangkan masa 5 - 10 minit untuk regangan seluruh badan. Jangan buat kaki je. Regangan perlu buat seluruh badan sebab masa berlari memerlukan pergerakan di setiap angggota badan.


Kemudian berjalan sekitar 500 meter dan setelah itu baru mulakan larian yang perlahan. Berhenti apabila perlu. Tak usah paksa diri kalau tak larat sangat. Bila dah ok, lari balik dan berhenti bila rasa perlu.

Tak usah lari sampai tercungap-cungap. Bukannya race pun.

Lari 3 km pun dah cukup untuk 2 minggu berturut-turut. Masuk minggu ke 3, cuba tingkatkan jarak larian kepada 5 kilometer. Untuk melebihi 5 km, anda akan tahu sendiri samada diri anda sudah bersedia atau belum.

Tepuk dada, tanya kaki.

Tips aku, kalau berlari sambil bernafas ikut hidung dengan konsisten, degupan jantung anda sekitar 50 - 65 bpm. Ketika ini lemak adalah sumber tenaga anda. kalau dah mula tercungap-cungap, ini maknanya sumber karbohidrat sudah menjadi sumber tenaga utama dan degupan jantung mencecah 70+ bpm.

Aku pakai jam Polar model RC3 GPS dan ianya sangat sesuai untuk tujuan
latihan. Nanti aku buat sedikit ulasan tentang jam ini.

Tak payah lari laju-laju. Nak pergi mana pun.

Aku rasa cukuplah cadangan dan tips kepada mereka yang baru nak mula berubah kepada gaya hidup aktif.

Kalau nak kurus, larian hanya membantu. Selebihnya gaya pemakanan perlu diubah ke arah lebih sihat.

Akhir sekali, sukan larian ini kalau salah gayanya boleh menyumbang kepada kecederaan ringan dan serius. Jadi, lari jangan gopoh. Kalau rasa tak larat, jalan je. Jangan dipaksa. Esok hari, cuba lagi.

PS: Kalau siang malam makan sup ekor, tiap-tiap minggu pizza, memang tak boleh nak kurus lah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...