Selasa, 9 September 2014

Alkisah NOGLB - Pahlawan Basikal Gaya Gerila


Minggu lepas aku dah cerita tentang Putrajaya Night Ride (PNR). Dan, hari ini aku mahu bercerita tentang kumpulan basikal iaitu "No One Gets Left Behind" atau boleh juga digelar NOGLB.

Kebanyakan yang kayuh pada malam Putrajaya Night Ride ketika itu terdiri daripada pelbagai kumpulan basikal sekitar Putrajaya seperti dari Bangi, Kajang dan Kuala Lumpur. Dan ada juga bergerak solo tanpa bernaung di bawah mana-mana kumpulan basikal.

Sebelum Kayuhan Jahanam ke Jeram Toi 161km.

Biasanya kalau kayuh jarak jauh setiap hujung minggu, muka ini juga
yang sudi menyahut cabaran.

Setiap hari Ahad, ada sahaja aktiviti-aktiviti kayuhan jarak jauh yang jauhnya melebihi 100km. Biasanya kami kayuh dalam kumpulan dan tak ada istilah breakaway. Dan kayuhan kami lebih tersusun berbanding kayuhan setiap malam hari Rabu dan Jumaat.

Istilah No One Gets Left Behind ini timbul apabila rakan kami iaitu Faizul ada masalah lutut dan ketika pulang daripada Ampangan 2, lututnya cedera dan terpaksa kayuh perlahan-lahan.

Kami semua kayuh perlahan-lahan pulang ke Putrajaya dalam satu kumpulan.

7 February 2013 di Bukit Puyuh, Lenggeng.

Boleh kata kayuhan hari Ahad memang dalam satu kumpulan dan lebih kepada semangat kekawanan.

Dan sejak daripada itu, Norman, Dakdone, Jaja dan beberapa rakan lain wujudkan satu kumpulan dalam What's App dan kami semua berbincang nama yang sesuai dan kami pilih nama No One Gets Left Behind.

Yang uniknya, dalam kumpulan ini terdiri daripada ahli-ahli daripada kumpulan basikal lain. Objektifnya adalah untuk merapatkan sesama ahli dan mudah untuk mentadbir urus kayuhan bagi setiap aktiviti kayuhan pada masa akan datang.

Beberapa istilah Pahlawan Basikal dan Latihan Gerila kerap aku gunakan bagi memeriahkan lagi nama NOGLB.

Nama Pahlawan Basikal tertera pada jersi basikal kami sebagai treadmark dalam kumpulan ini. Senang kata, kami semua adalah Pahlawan Basikal.

Nama Pahlawan Basikal bukan sekadar nama. Ianya lebih daripada itu dan
berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti 160km kita sebelum ini.

Untuk mencanangkan setiap aktiviti di luar sana, aku jadikan blog ini sebagai wadah agar lebih ramai lagi menyertai keseronokan bersama-sama kami dan menyelami semangat setiakawan dalam setiap kayuhan yang beratus kilometer jauhnya.

Bila kita kayuh basikal jauhnya beratus kilometer, kita akan kenal siapa kawan-kawan kita — Siapa yang ada disebelah kita tatkala air botol kosong.

Sekarang, warna merah jambu yang tertera nama NOGLB dan Pahlawan Basikal ini ada di merata-rata disetiap aktiviti basikal.

Oh ye, jangan lupa warna merah jambu ini hasil idea daripada Faisal Maat. Olahan warna dan reka bentuk hasil kerjasama Faizul. Tugas aku cuma pindahkan semua idea itu ke dalam komputer je bagi memudahkan kerja pereka grafik Ciclista.

Ketika trip ke Cameron Highlands, Pahang.

Apa-apa pun aku beri penghargaan kepada mereka di sebalik nama NOGLB seperti Norman, Jaja, Awe, Dakdone, Faizul Hashim, Faisal Maat, Taufiq, Mie Bulat, Syaful, Halim, Faizal Abdullah, Jeffery Yahya, A'ar, Iskandar, Rosmawi, Fariz Atraz, Syaful, Naza, Apern, Anas, Ajeep, Komeng, Pae, Rizal, Nizam Cipollini, Hairi dan ahli-ahli kumpulan Jami Bike Centre yang lain.

Tanpa mereka ini, tiadalah kisah-kisah Pahlawan Basikal dan latihan-latihan gaya gerila sekitar Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Akhir kata, semoga persahabatan terus terjalin; walaupun diluar arena perbasikalan.

PS: Cerita ini aku jadikan dokumentasi tentang NOGLB agar kita tidak lupa dari mana kita datang.

PPS: Kalau aku tertinggal nama-nama mana-mana Pahlawan Basikal yang lain, maafkan aku. Dah lama sangat aku angkat besi kat rumah. Memori-memori aku telah diserap besi-besi yang berat.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Jumaat, 5 September 2014

Sejarah Ringkas Putrajaya Night Ride


Aku rasa ada di antara korang sememangnya tahu tentang nama 'Putrajaya Night Ride' atau dengan nama ringkasnya adalah 'PNR'. Tapi aku percaya ramai tak berapa nak tahu tentang sejarahnya.

Aku mula-mula kayuh basikal dulu tahun 2010 sorang-sorang je. Dua minggu selepas tu jumpa geng-geng basikal dalam ruang sembang Bicycle Buy Sell (BBS). Dari situ aku kenal beberapa kawan dan mula berkayuh dengan diorang iaitu Faizul, Opie dan Iskandar.

Di kedai mamak Presint 14.

Kami bertiga kayuh setiap malam hari Selasa, Khamis dan Sabtu pagi. Laluan pada waktu itu bermula di Masjid Putra dan adakalanya di Mahkamah Putrajaya, melalui jalan sepanjang Presint 2, Bukit Alamanda, Cyberjaya, PICC dan pulang ke Masjid Putra.

Laluan ini Faizul punya idea. Aku dan beberapa rakan lain ikutkan sahaja.

Nak harapkan aku, kirim salam je le. Laluan pergi balik kerja aku terer lah!

Pada satu hari yang aku dah lupa hari apa, tetapi masih lagi di tahun 2010, Faizul telefon aku ajak kayuh dengan kumpulan Tri Paku. Difahamkan kayuhan Tri Paku setiap malam Rabu dan Jumaat pada pukul 9:30 malam.

Ketika Kayuhan Amal Tri Paku.

Dengan perut buncit, aku terima pelawaan tersebut. Hey, ketika itu berat aku 71 kg tau!

Zaman boroi.

Dan, sejak daripada itu aku mula kenal ramai kawan. Bayangkan ada masanya sekali kayuh mencecah 20 orang lebih.

Aku masih ingat dalam kumpulan tersebut, Faisal Maat, Lee dan Awe adalah orang terawal menegur aku. Walaupun aku agak gendut ketika itu, mereka masih boleh menerima aku seadanya.

Faisal dan Ajak.

Di pitstop PICC.

Di parkir bangunan MAMPU.

Masa itu aku kayuh setiap Rabu dan Jumaat tanpa miss. Kalau terlepas satu kayuhan, hati jadi susah dan mula rasa murung hampir seminggu lamanya.

Makin hari makin ramai dan dalam tak sedar, aku mula perasan ramai anak-anak didik Jami Bike Centre ikut kayuh sekali.

Awe, Halim dan Iskandar. Ini semua champion tau!

Sejak daripada itu, kayuhan mencecah 30 lebih orang. Semakin hari kayuhan semakin laju hingga pernah heart rate aku mencecah 218 bpm ketika mendaki Bukit Alamanda.

Sekitar 2011, tempat berkumpul menjadi dua iaitu di Presint 14 dan tapak parkir MAMPU iaitu semua ahli Tri Paku berkumpul.

Di awal 2012, lokasi berkumpul ditukar ke Masjid Putra dan ahli Tri Paku masih tetap di tapak parkir MAMPU. Dan semua akan sama-sama bergerak kayuh dari Masjid Putra.

Sejak dari situ, kami mula mengubah selera pada setiap kayuhan hari Ahad mestilah menarik. Lalu kami yang terdiri daripada Faizul, Norman, Faisal Maat, Taufiq, Awe, Mawi, Iskandar, Fariz Atraz dan Mie Bulat mula mengubah laluan menghala ke Labu, Ampangan 2 dan beberapa laluan-laluan pelik.

Ketika di lebuhraya LEKAS menuju ke Ampangan 2.

Kayuhan jahanam ke PD. Aku siap sesat dan kayuh balik Putrajaya
sorang-sorang.

Kisah-kisah kayuhan ini aku pernah ceritakan dalam blog ini dan aku anggapkan kayuhan-kayuhan tersebut memang marvelous!

Itulah serba sedikit sejarah kayuhan PNR ini. Difahamkan sekarang ini ada masanya yang turut serta kayuh mencecah 40 orang lebih. Cukup ramai.

Banyak kisah sedih, gembira, salah faham, kemalangan kecil serta kemalangan hingga meragut nyawa salah seorang daripada kami sengaja aku simpan. Ada masa, aku cerita lagi.

Lagipun dah 10 bulan aku tak kayuh basikal. Dan aku bercadang nak kayuh basikal balik setelah anak aku Danial bertanya,

"Ayah tak kayuh basikal dah ke? Asyik angkat besi je."

Aku tak pasti ianya perli atau mencabar aku untuk kayuh basikal semula.

PS: Aku bercadang nak mula kayuh basikal malam ni. Tapi...
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...