Isnin, 7 Disember 2015

Jual Basikal dan Menulis Buku


Wow, hampir 5 bulan aku langsung tidak mengemaskini blog ini. Aku minta maaf banyak-banyak dari hujung planet Marikh hinggalah ke hujung planet Kepler-452b kerana membuatkan ada yang tertanya-tanya, "Apa sudah jadi dengan penulis blog Pahlawan Basikal? Sihatkah dia? Atau masih waraskah dia?"

Menjawab persoalan di atas tersebut, bahawasanya aku masih lagi sihat menjalani sisa-sisa hidup sebagai seorang pekerja di salah satu agensi pengiklanan yang ada di Malaysia ini dan juga masih lagi membuat aktiviti sukan seperti mengangkat berat dan juga berlari di atas treadmill.

Cumanya, aku tidak terlalu fokus macam zaman kegemilangan aku seperti sebelum ni.

Malahan aku juga sudah menjual komponen-komponen basikal aku dan hanya fokus satu perkara yang sudah lama aku mahu lakukan — menulis buku.

Kuda yang setia menemani aku sepanjang kehidupan bergelar
Pahlawan Basikal.

Aku terpaksa menjual basikal aku itu kerana mahu keluarkan diri aku ini yang sudah sekian lama dalam zon selesa. Ye lah, bangun tidur je fikir basikal, hujung minggu pulak fikir nak kayuh basikal ke Lenggeng atau ke Bagan Lalang. Kalau tak fikir basikal pun aku masih memikirkan bagaimana mahu melajukan lagi larian aku. Ini semua memerlukan fokus berlanjutan sekiranya aku mahu mengekalkan stamina dan prestasi di belakang Lance Armstrong dan juga Watson Nyambek.

Jadi aku memerlukan pengorbanan yang paling besar; yang betul-betul besar iaitu mengetepikan hobi kesayangan aku sementara dan fokus pada bidang penulisan buku.

Dalam dunia hobi basikal ini, aku memerlukan banyak waktu untuk digunakan dan ianya menggunakan 50% masa aku dalam seminggu. Disebabkan aku ini manusia biasa dan bukannya sotong yang ada banyak tangan, aku perlu menilaikan mana satu yang penting dan kurang penting.

Apabila aku menetapkan sasaran aku mahu menulis buku — maka aku memerlukan 100% komitmen dan mengorbankan hobi lain. Sekiranya korang sentiasa mengikuti perjalanan blog ini, korang akan faham bagaimana sikap aku yang orangnya bukan akan main-main apabila sudah menetapkan satu sasaran.

Aku menjual basikal kesayangan aku bukan sambil ketawa atau riak tahap artis extravaganza, sebaliknya aku rasa sangat sedih dan fikiran aku terganggu untuk beberapa minggu. Apa yang boleh aku katakan aku hanya boleh memilih satu sahaja untuk mendapatkan hasil yang aku mahukan.

Tinggal bingkainya sahaja. Yang lain sudah terjual.

Sekiranya aku mahu, aku masih boleh kayuh basikal, berlari, pergi gym, lepak dengan kawan-kawan sepejabat di kedai mamak dan dalam masa yang sama aku masih boleh merealisasikan impian aku untuk menulis buku. Tetapi hasilnya akan menjadikan aku seseorang yang setakat boleh kayuh basikal, berlari ala kadar, ada otot lebih kurang, mempunyai rakan waktu berseronok sahaja dan mempunyai sebuah buku yang ala kadar.

Semua yang aku dapat hanyalah lebih kurang sahaja.

Dan ianya berlawanan dengan apa yang aku mahukan iaitu aku mahu ada sebuah buku sendiri dan isi kandungannya aku menulis dengan sepenuh hati dan ianya memberi kesan kepada orang yang membacanya; terutama sekali anak-anak. Apabila mereka besar nanti dan ketika itu aku sudah tiada lagi, buku itu akan menjadi pengganti diri aku. Dalam masa yang sama juga, kalau korang baca buku tersebut pun akan mendapat manfaatnya.

Jadi keputusannya, aku perlu melakukan pengorbanan terbesar dan fokus terhadap satu perkara sahaja iaitu 'Menulis Buku'.

Seminar Penerbitan Buku yang aku sertai semalam di Taman Melawati
anjuran Nur El-Hikmah.

Kalau korang nak tahukan, sejak aku mengurangkan masa aku terhadap basikal, aku berkemampuan membaca buku-buku kewangan, biografi, bukan-fiksi dan ilmiah lain sebanyak 5 buah buku seminggu. Hinggakan ketika tersangkut dalam kesesakan jalanraya pun aku masih membaca buku.

Koleksi buku-buku biografi di perpustakaan mini aku.

Perancangan aku sekiranya impian aku terlaksana iaitu sudah mempunyai sebuah buku nanti, aku akan fikirkan sebuah basikal lain pula. Aku akan kembali kayuh basikal sebagai hobi sahaja dan bukan lagi sebagai seorang Pahlawan.

Apa yang pasti basikal baru tersebut tidaklah sehebat basikal hitam putih seperti sebelum ini yang pernah aku miliki.

PS: Aku mahu menukar nama Pahlawan Basikal kepada nama lain. Eh, ada yang sudi mengambil alih nama Pahlawan Basikal?
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...