Rabu, 13 Januari 2016

2016: Misi Buang Toksin Dalam Badan


Sepanjang aku off season tahun lepas, aku dapati tahap kecerdasan aku seakan sudah hilang. Pada penghujung tahun lepas aku sudah tidak mampu berlari tanpa henti lebih daripada 5 minit. Paling teruk, kandungan toksin dalam darah juga meningkat.

Oh ya, setiap 3 bulan aku akan melakukan rawatan bekam dengan Cikgu Firdaus di Presint 11, Putrajaya. Kalau korang nak, cuba ambik nombor telefon dia 0183599017.

Daripada sesi bekam itulah aku lihat toksin dalam darah aku semakin membiak mengalahkan dividen ASB. Jika dividen ASB tahun 2015 adalah 7.75% (setelah dicampur bonus sebanyak 0.5%), maka kandungan toksin dalam badan aku adalah 22% seperti dana pelaburan Berkshire Hathaway milik Warren Buffett's.

Kesan bekam.

Aku masih ingat lagi ketika aktif sukan kardio, tahap toksin dalam darah aku sangat minima dan aku dinasihatkan agar melakukan bekam setahun sekali. Tetapi, pada pertengahan tahun lepas aku dinasihatkan agar datang berbekam setiap 3 bulan sekali kerana kandungan toksin dalam darah aku banyak — berbeza daripada yang sebelum ini.

Teruknya!

Jadi, atas sebab itulah aku mengambil inisiatif untuk kembali aktif dalam sukan kardio. Otot hilang tidak mengapa, janji badan sihat dan padu.

Oleh kerana aku mempunyai sedikit pengalaman lampau dalam aktiviti sukan kardio, aku menyusun strategi sepanjang tahun 2016 bagi mengembalikan tahap kecerdasan aku untuk berlari tanpa henti sekurang-kurangnya selama 30 minit.

Aku sudah tidak boleh hayun terus berlari macam sebelum ini kerana ianya boleh mencederakan kaki dan juga faktor heart rate juga perlu diambil kira.

Kurangkan Aktiviti Angkat Berat
Aku lihat salah satu faktor membuatkan kandungan toksin aku meningkat adalah melalui makanan tambahan (supplement) dan juga kurangnya aktiviti kardio. Apabila dua perkara ini bergabung, toksin boleh berkumpul di dalam badan. Sekiranya aku masih lagi aktif berkardio, toksin boleh keluar melalui peluh.

Sudahlah melantak macam-macam makanan, ditambah pula dengan pengambilan supplements, kardio pula tidak ada memang cari penyakitlah!

Aku rasa tidak berbaloi kalau mahu badan berotot tetapi lari 5 kilometer pun tercungap-cungap.

Masa serius melakukan eksperimen menaikkan otot. Duit pun banyak habis.

Jadi, aku mengambil keputusan untuk teruskan aktiviti kardio dengan berlari kerana sudah terbukti dengan kardio kandungan toksin dalam darah boleh diturunkan. Janji, makan makanan berkualiti dan elakkan supplements yang kebanyakan dijual di pasaran kerana ianya diperkaya dengan bahan-bahan artificial.

Badan kurang berotot tidak apa, janji badan fit, kuantiti toksin dalam darah sangat minima dan boleh berlari takpa henti selama 45 minit itu sudah sangat baik.

Strategi Latihan Gerila
Hasil daripada latihan gerila aku ini, aku sudah pun mampu berlari sejauh 5 kilometer tanpa henti. Ianya mengambil masa 2 minggu dan aku konsisten dengan larian 3 kali seminggu.

Pada jam 5 pagi aku akan bangun dari tidur dan aku akan melakukan aktiviti kardio di atas treadmill selama 30 minit.

Minggu Pertama:
Durasi 30 minit
Hari Selasa, Khamis dan Sabtu

  • 10 minit berjalan sebagai pemanas badan
  • 15 minit berlari dan diselangi dengan berjalan
  • 5 minit cool down
Minggu ke-2:
Durasi 30 minit
Hari Selasa, Khamis dan Ahad
  • 10 minit berjalan sebagai pemanas badan
  • 15 minit berlari dan berjalan sekiranya perlu
  • 5 minit cool down
Minggu ke-3:
Durasi 45 minit
Hari Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad
  • 10 minit berjalan sebagai pemanas badan
  • 25 - 30 minit berlari tanpa henti
  • 5 minit cool down
Setakat ini, jadual tersebut mampu mengembalikan kecerdasan aku dalam aktiviti kardio. Kurang daripada sebulan, aku sudah boleh berlari selama 30 minit tanpa henti. Jadual tersebut hanya menjadi kalau sebelum ini seseorang itu mempunyai sejarah silam yang cemerlang. Sekiranya tiada rekod larian peribadi sebelum ini, cara ini sama sekali tidak boleh dipraktikkan.

Putrajaya Night Ride tinggal kenangan.

Kalau masih degil mahu praktikkan sekiranya tidak pernah berlari sebelum ini, berkemungkinan besar anda akan dikejarkan ke hospital berdekatan. Jangan main-main!

Oh ya, misi seterusnya adalah berlari tanpa henti selama 45 minit dan seterusnya 1 jam. Itu sahaja.

Bukan apa, aku seboleh-bolehnya cuba elakkan aktiviti kardio lebih daripada 1 jam kerana mahu menjimatkan masa terlalu banyak di atas jalan raya.

Ini kerana Objektif Tahun 2016 ini aku mahu menambah nilai bersih aset aku disamping mempunyai kesihatan yang baik. Itu sahaja. Aku sudah tidak mahu terlampau obses dengan apa-apa sukan yang memerlukan aku meluangkan masa yang agak banyak.

Baiklah, terima kasih kerana membaca hingga ke perenggan ini. Panjang umur kita jumpa lagi.

PS: Semenjak menuruntaraf hobi aku ini, aku dapat jimat duit agak banyak juga. Yang paling penting sekali, dalam kepada aku sudah tidak pening kepala nak tukar tiub, kos menukar tayar basikal dan juga stok protein powder yang hampir habis. Fuhhhh!

PPS: Ah, otot pun dah hilang. Buat letih angkat besi je...
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...