Rabu, 30 November 2016

Alkisah 322 Hari


Kali terakhir aku menulis dalam blog ini adalah pada hari Rabu, 13 Januari 2016. Ini bersamaan 322 hari aku tinggalkan blog ini.

Kalau sesiapa yang mengandung pada hari tersebut, bulan September lepas beliau sudahpun beranak dan anak itu sekarang ini sudah berumur hendak masuk tiga bulan.

Sungguh pantas masa berlalu...

Menulis draf manuskrip.

Walaupun aku tidak mengemaskini blog ini, itu tidak bermakna aku goyang kaki dari subuh hingga ke tengah malam. Walaupun aku sudah menjual basikal kesayangan aku pada tahun lepas, aku masih lagi sibuk membuat perkara-perkara yang sudah lama aku mahu lakukan; seperti menulis buku dan juga berlari keliling tasik Putrajaya.

Menyentuh sedikit berkaitan basikal: Habis barang basikal aku buka satu persatu dan dijual berasingan. Dura Ace CS-7900 adalah barangan yang paling mahal berjaya dijual iaitu RM3,050. Mengikut rekod aku di Dailymile, Dura Ace tersebut sudah mengembara sejauh 8,919.67 kilometer. Manakala frame Scott R3 tahun 2011 pula dijual dengan harga RM2,000. Frame itu pula aku sudah lenjan sejauh 13,219.54 kilometer.

Aku bercadang mahu membeli basikal baru pada tahun hadapan. Tetapi tengoklah macam mana nanti. Kalau ada duit lebih, boleh juga sambar frame karbon berkuasa tinggi. Kalau ada duitlah. Kalau tak ada duit, terpaksalah beli Sodium bicarbonate sahaja.

Nak buat macam mana? Ekonomi kita pun bukannya mantap macam sebelum ini. Hendak berbelanja lebih-lebih pun aku ini bukanlah Y.Bhg. Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota. Aku ini orangorang sahaja.

Baiklah, mahu juga aku sentuh tentang buku yang ditulis dan masih dalam pembikinan. Buku itu bukanlah kategori buku-buku sejarah ataupun sebaris Encyclopedia Britannica. Ianya adalah novel bersifat indie.

Macam mana aku boleh menulis novel?
Pada 08 Oktober 2014, aku ada menulis satu cerita berbentuk blog yang aku namakan 'Dari Perak ke London'. Ianya berbentuk catatan blog mengikut imaginasi aku sendiri. Bahasa yang aku gunakan pula ikut sedap jari sahaja. Tidak ada langsung unsur-unsur falsafah atau bahasa sastera setinggi gunung.

Sepanjang menulis tidak pernah pula aku mempromosi cerita aku di mana-mana media sosial. Nama aku pun tidak diletakkan sekali pada blog tersebut. Aku tidak langsung terfikir mahu serius memanjangkan cerita yang aku tulis itu.

Hinggalah pada suatu hari, seorang kenalan di Facebook memuat naik status berbunyi:

Kalau tidak disebabkan ini, aku tidak mampu menulis cerita yang panjangnya
beribu-ribu patah perkataan.

Disebabkan aku kehabisan kerja pejabat waktu itu, maka jari-jemari aku pantas menaip di ruangan komen. Selanjutnya, perbualan itu berpanjangan ke Messenger. Melalui perbualan, aku diusulkan pula menambahkan satu lagi bab untuk cukupkan menjadi 10 bab. Ini kerana ketika itu aku hanya ada 9 bab sahaja.

Disebabkan aku tiada perancangan mahu menutup cerita tersebut, maka aku mati kutu mahu menamatkan cerita itu. Satu bab itu sahaja mengambil aku masa sehingga 7 hari untuk menulis.

Tetapi sebagai hero dalam cerita, aku berjaya juga menulis dan menerima bayaran tunai pada petang itu juga. Seminggu selepas itu hasil tulisan aku diterbitkan secara digital di aplikasi NovelPlus (http://tinyurl.com/zye85be).

Terus terang bahawa aku langsung tidak terfikir tentang bayaran. Aku cuma terharu cerita aku itu dihargai. Itu sahaja :D

Maklumbalas yang diterima membuatkan aku menjadi panjang akal.
Walaupun siapa mereka, aku ucapkan terima kasih seadanya...

Dari situ aku mula terfikir mahu mengolah semula cerita itu menjadi sebuah cerita lengkap — lengkap hingga boleh dibukukan. Aku mula merangka jalan ceritanya dengan skop yang lebih luas. Beberapa watak utama dikekalkan, ada juga diberi nama baru dan juga menambah watak-watak baru.

Sebelum mula menulis, aku sudah menetapkan syarikat penerbitan mana yang aku mahu hantar. Lagipun novel-novel dari syarikat penerbitan tersebut banyak juga yang sudah aku baca. Jadi sedikit sebanyak aku sudah nampak halatuju gaya penerbitan mereka.

Dalam masa 14 hari aku menyiapkan 3 bab pertama manuskrip dengan 7,084 patah perkataan untuk dihantar kepada syarikat penerbitan ehem ehem bagi tujuan penilaian:


Selepas 28 hari dari tarikh emel yang dihatar, aku menerima emel balas dari syarikat penerbitan tersebut:


Emel itu hampir-hampir membuatkan aku hampir menjemput orang-orang surau di kawasan perumahan untuk jamuan kenduri doa selamat selepas Isyak. Walaupun masih belum lulus sepenuhnya, aku masih terasa dihargai oleh pihak penerbit kerana diberi peluang untuk menghantar bab yang berbaki.

Pada 11 November lalu aku sudahpun menghantar manuskrip lengkap kepada syarikat penerbitan tersebut. Hari ini sudah masuk 19 hari dan kebiasaannya hampir sebulan barulah menerima kata putus samada manuskrip itu menepati citarasa penerbit ataupun tidak.

Sedikit ralat, aku tidak dapat menepati syarat-syarat 45,000 - 50,000 patah perkataan untuk karya aku itu. Manuskrip itu hanya mempunyai 38,174 patah perkataan sahaja. Nak buat macam mana? Ceritanya takat itu sahaja. Kalau dipanjang-panjangkan, nanti meleret-leret pulak ceritanya nanti. Daripada mahu bercerita tentang seorang lelaki diceraikan oleh isterinya, langsung meleret menjadi cerita Star Trek.

Tapi aku hantar juga manuskrip itu. Aku mahu melihat pandangan dan komen daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam industri yang aku baru sahaja ceburi. Mereka lebih arif dari aku yang ntahapapa ini. Manalah tahu mungkin mereka dapat memberi cadangan untuk penambahbaikan bagi memantapkan lagi karya aku itu.

Lagipun, ada rezeki tidak ke mana. Aku sudah serahkan sepenuhnya kederat dan kesungguhan sepanjang proses menyiapkan manuskrip yang tidak seberapa itu. Selebihnya aku serahkan kepada Allah seadanya.

Pos selepas ini aku akan bercerita sedikit tentang jalan cerita manuskrip aku itu. Cerita tentang apa, siapa serta mesej yang mahu aku sampaikan.

Aloha!

Err... silap sebut. Aku nak kata Sayonara sebenarnya.

PS: Hah, korang boleh perasan gaya bahasa aku dah macam berita untuk Harian Metro... kah! kah! kah!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...