Selasa, 11 April 2017

Ini Semua Sebab...


Sekarang ini waktu orang pergi makan tengah hari. Waktu ini je lah aku boleh curi-cuti masa untuk menulis blog. Sudah banyak kali aku hendak menulis pos baru, tapi kesudahannya...

Manuskrip bertajuk KONTRA pun aku letak status 'ON HOLD'. Sudah sebulan aku tidak sentuh manuskrip yang berbaki hanya 30% itu.

Pada 63 hari lalu, aku telah menghantar 3 bab pertama beserta sinopsis manuskrip aku itu kepada sebuah syarikat penerbitan yang menerbitkan cerita-cerita thriller. 41 hari kemudian aku menerima maklumbalas seperti di bawah:


Mengapa aku meletakkan status 'ON HOLD' manuskrip tersebut?

Ini semua pasal FTSE Bursa Malaysia KLCI Index!

Disebabkan Bursa Malaysia lah aku terpaksa berhenti seketika daripada menyiapkan manuskrip aku itu. Mana boleh tahan. Pasaran saham kita cantik sejak Januari. Takkanlah aku menganga tanpa melakukan apa-apa? Hati mana boleh tahan tengok peluang buat duit lalu depan mata macam itu sahaja.

Aku apa lagi, pertengahan bulan Januari aku masukkan sedikit modal untuk berdagang ― dengan harapan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Entah macam mana, langkah aku sumbang di awal pembelian saham pertama bagi tahun 2017 ― kerugian sebanyak -2.55 di kaunter MYEG. Selepas aku menjual saham tersebut, dua hari selepasnya saham itu naik!

Haram jadah!

Maaf atas kekasaran bahasa sebentar tadi. Bahasa kasar tadi sengaja aku gunakan bagi menimbulkan emosi yang bercelaru ketika itu.

Dalam masa 24 jam aku cuba post mortem kesilapan aku dan aku menemui jawapannya. Alhamdulillah. Sejak dari pembelian saham yang ke-2 hingga yang ke-13 aku berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak:


Kalau labur dalam ASB, kirim salamlah nak dapat banyak tu.

Oh ya, kepada yang terlepas cerita tentang manuskrip aku yang bertajuk KONTRA itu, ianya ada sangkut-paut dengan saham. Watak-watak yang mati dalam cerita aku itu pun disebabkan tamak ― tamak disebabkan saham. Dalam dunia saham, emosi sendiri adalah musuh utama kita. Heh, jangan main-main!

Baiklah, sudah pukul 2 petang. Aku ada kerja yang harus diselesaikan. Semoga bertemu di lain hari.

PS: Masa harus ditepati dan bukannya untuk dicapati.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 7 Februari 2017

Yuran Marathon Dah Mahal - Ini penyelesaiannya!


Tahun ini ada juga aku bercadang mahu sertai mana-mana acara larian sekitar 5 hingga 10 kilometer. Tapi apabila tengok yuran penyertaan bagi 5 kilometer pun lebih kurang sama kos mengisi minyak petrol RON95, agak berkira-kira jugalah jadinya. Itu sudah sama kos ulang-alik 100 kilometer aku pergi kerja setiap hari.

Sebagai contoh Putrajaya Night Marathon 2016 yang lalu, yuran penyertaan untuk 5 kilometer adalah RM50. Manakala bagi 10 kilometer pula RM60. Bagi tahun 2017, aku tak cek lagi. Mungkin masih RM60 atau mungkin juga naik menjadi RM65. Mana mungkin boleh turun harga jadi RM55 balik. Itu harga enam tahun lalu.

Sekarang ni macam malas nak lari sorang-sorang. Lari pun kat area tasik je.

Setelah memikirkan semasak-masaknya, dan juga dipandang dari perspektif lain yang lebih positif, harga RM60 bagi kategori 10 kilometer itu agak berbaloi untuk aku. Orang lain aku tak tahu. Tapi untuk aku, ianya berbaloi.

Kenapa aku kata berbaloi? Ini kerana sekarang ini aku berlari sudah tidak macam dahulu. Dulu-dulu aku lari 10 kilometer sekitar 50 minit sahaja. Jadi, ianya cepat sangat habis. Aku berbelanja RM60, tapi habis tidak sampai sejam. Penganjur pula senang hati — boleh balik awal.

Sekarang ini kalau aku berlari 10 kilometer, mungkin akan memakan masa selama 1 jam 30 minit. Silap-silap dekat 2 jam baru habis berlari. Jadi, dengan harga RM60 itu, aku manfaatkan sebaik mungkin. Aku berbelanja RM60 itu ke jalan yang benar. Kalori pun banyak habis dalam 2 jam itu.

Latih tubi 2017

A video posted by Farizal Hassan (@farizalhassan) on


Zaman gawat macam sekarang ini, kita seharusnya pandai berbelanja. Pastikan wang yang kita keluar itu berbaloi. Setakat ini, aku tidak nampak faedahnya bayar RM60 dan kemudian berlari laju-laju bawah 1 jam. Cepat sangat habis; dan juga kejam sangat nampaknya (walaupun dulu aku pernah melakukan kekejaman sebegitu rupa suatu masa dahulu).

Oleh itu, pemikiran gaya baru yang aku usulkan tadi mungkin boleh digunapakai bagi kebanyakan orang. Lagi mahal kita bayar, pastikan kita gunakannya dengan lebih lama. Lagi mahal yuran penyertaan acara larian dibayar, biar lebih lama peserta berlari di atas jalan raya.

Lagipun tiada siapa pun mahu melarang kita berbuat begitu. Takkanlah disebabkan berlari perlahan, kita dihumbannya ke dalam lokap balai polis Putrajaya. Duit kita, eh sukahati kitalah kan?

Perlu diingatkan, pos ini aku akan delete suatu hari nanti. Sekiranya tahap kecergasan aku kembali tip top dan mampu berlari tanpa sebarang masalah dengan kadar kelajuan 50 minit bagi acara 10 kilometer, segala teori melalui pemikiran baru aku sebentar tadi sudah tidak boleh digunapakai lagi.

PS: Dah dua minggu aku cancel latihan berlari aku ikut sedap mood. Malam ini aku nak berlari 5 km. Kalau tak dapat berlatih malam ini, esok lusa malam masih boleh. Apa nak dirisaukan, dalam setahun ada 365 hari. Pilih je ikut sedap hati.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Khamis, 2 Februari 2017

Kesengsaraan Berakhir dengan Senyuman


Minggu lepas aku sudah hendak menulis cerita baru dalam blog ni. Tapi disebabkan mood aku yang agak kacau — masih menunggu jawapan dari penerbit berkenaan dengan manuskrip yang aku hantar pada 6,998,400 saat yang lalu; membantutkan sebarang cerita yang hendak ditulis.

Sepanjang melalui 6,998,400 saat itu sangatlah menyiksakan. Sudah beberapa kali aku bermimpi manuskip aku itu ditolak oleh penerbit. Mimpi manuskrip aku ditolak bukanlah sekali, tapi berkali-kali.

Sepanjang 2016, beribu ringgit jugaklah habis beli buku.

Tertanya-tanya jugak aku kenapa manuskrip aku itu ditolak:
"Cerita aku tulis tu tak bagus ke?"
"Awek dalam watak cerita aku tu tak cukup cun ke?"
"Dah takde mimpi lain ke yang boleh aku mimpi?"
Tapi, setakat bertanya ajelah. Mana mungkin aku boleh menjawab persoalan tu semua.

Pada hari Selasa baru-baru ini (dua hari lalu), penantian aku pun berakhir. E-mel dari penerbit yang ditunggu-tunggu selama 81 hari lalu menjawab segala persoalan:

Buat masa ni publication queue sudah penuh sehingga Mei.
Bagaimana jika Rempat diterbitkan untuk selepas bulan Jun?

Terpinga-pinga juga aku tatkala membaca e-mel ringkas daripada Ketua Editor itu. Ini bermaksud manuskrip aku sudah pun diluluskan oleh pihak panel? Maknanya mimpi-mimpi aku sebelum ini telah menipu tuannya?

Dalam pada itu, aku sudah mempelajari sesuatu — mimpi itu hanyalah mainan tidur. Dalam sifat mimpi itu sendiri pun sudah tiada kejujurannya lagi; Dengan tuannya sendiri pun sengaja mahu mencari pasal.

Tapi tidak mengapa. Sudah tahu mengenai status manuskrip yang hampir menjadi misteri itu pun sudah cukup bagus. Terima kasih kepada Ketua Editor yang sudi membaca hasil tulisan aku yang tidak seberapa itu. Terima kasih juga kerana sudi mahu menerbitkan dalam bentuk novel fizikal.

Siapa pihak penerbit tersebut? Ini kemudian kita cerita. Apa-apa pun kita tunggu novel pertama aku itu berjaya diterbitkan. Dari situ kita boleh tahu siapakah penerbitnya nanti.

Sementara ini, novel itu aku namakannya 'Rempat'. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 'rempat' bermaksud membawa (diri) ke mana-mana atau juga bermaksud melarat. Tapi, aku masih lagi sedang mencari tajuk yang baru (kalau-kalau ada yang lebih sesuai).

Dalam watak utama aku itu yang bernama Alan. Dia membawa diri jauh ke negara James Bond untuk melangsungkan kehidupan yang masih berbaki. Dalam pada itu, duit pun tak berapa nak ada sangat. Jadi, terpaksalah dia mencari kerja sekitar London untuk kelangsungan hidup. Rezekinya ada di situ. Atas ihsan pemilik kedai farmasi warga Turki di Edgware Road mengambilnya bekerja — secara haram.

Dari situlah dia mengenali seorang awek yang digelarnya sebagai Issey Miyake. Nama sebenar awek itu lain sebenarnya. Jauh beza sungguh dari nama minyak wangi jenama Issey Miyake itu sendiri. Perkenalan mereka berdua juga sangat unik dan kebetulan berlaku di dalam farmasi tempat dia bekerja.

Dalam masa yang sama, Issey Miyake tidak tahu latar belakang hidup Alan; apakah sebab yang membawa dirinya jauh hingga ke situ.

Watak Issey Miyake dalam cerita aku. Tapi, taklah 100% sama.

Gitulah lebih kurang ceritanya. Gaya bahasa aku gunakan sama seperti dalam blog ini — santai-santai de Amor. Tak ada level-level sastera setinggi langit. Aku bukannya reti nak berbahasa macam itu. Lagipun muka suratnya lebih kurang 200 helai sahaja. Silap-silap tak cecah pun 199 helai muka surat. Cerita aku ini memang dicipta untuk mereka yang sangat sibuk dan tidak ada masa untuk membaca empat lima ratus muka surat.

Cerita aku itu memang takde masalah kalau nak habiskan membaca dalam masa satu hari sahaja. 

Itu kalau pandai membacalah. Kalau tak berapa sangat pandai membaca, mengeja pun merangkak-rangkak, itu aku tak berani janji berapa hari boleh habis. Berisiko besar kalau aku berjanji dengan orang macam tu.

Secara puratanya, novel aku itu diterbitkan (mengikut kata Ketua Editor) aku boleh kategorikan sebagai pengembaraan, cinta dan juga humor. Unsur-unsur kelakar dalam penulisan aku masih lagi aku kekalkan. Aku tak reti hendak tulis penuh adab seakan zaman kolonial mahupun seperti Batu Bersurat Terengganu.

Itu semua penulis-penulisnya level setinggi mencecah awan. Aku? Hah, aku ini picisan penulis yang entah apa-apa. Tidak ada satu pun yang boleh dibanggakan. Kalau mengutuk orang, memang nombor satu.

PS: Korang berdoalah banyak-banyak untuk aku agar novel aku itu akan diterbitkan tanpa masalah. Kalau lagi cepat diterbitkan, lagilah bagus. Aku pun tidaklah termimpi-mimpi yang mengarut-ngarut lagi.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...