Khamis, 2 Februari 2017

Kesengsaraan Berakhir dengan Senyuman


Minggu lepas aku sudah hendak menulis cerita baru dalam blog ni. Tapi disebabkan mood aku yang agak kacau — masih menunggu jawapan dari penerbit berkenaan dengan manuskrip yang aku hantar pada 6,998,400 saat yang lalu; membantutkan sebarang cerita yang hendak ditulis.

Sepanjang melalui 6,998,400 saat itu sangatlah menyiksakan. Sudah beberapa kali aku bermimpi manuskip aku itu ditolak oleh penerbit. Mimpi manuskrip aku ditolak bukanlah sekali, tapi berkali-kali.

Sepanjang 2016, beribu ringgit jugaklah habis beli buku.

Tertanya-tanya jugak aku kenapa manuskrip aku itu ditolak:
"Cerita aku tulis tu tak bagus ke?"
"Awek dalam watak cerita aku tu tak cukup cun ke?"
"Dah takde mimpi lain ke yang boleh aku mimpi?"
Tapi, setakat bertanya ajelah. Mana mungkin aku boleh menjawab persoalan tu semua.

Pada hari Selasa baru-baru ini (dua hari lalu), penantian aku pun berakhir. E-mel dari penerbit yang ditunggu-tunggu selama 81 hari lalu menjawab segala persoalan:

Buat masa ni publication queue sudah penuh sehingga Mei.
Bagaimana jika Rempat diterbitkan untuk selepas bulan Jun?

Terpinga-pinga juga aku tatkala membaca e-mel ringkas daripada Ketua Editor itu. Ini bermaksud manuskrip aku sudah pun diluluskan oleh pihak panel? Maknanya mimpi-mimpi aku sebelum ini telah menipu tuannya?

Dalam pada itu, aku sudah mempelajari sesuatu — mimpi itu hanyalah mainan tidur. Dalam sifat mimpi itu sendiri pun sudah tiada kejujurannya lagi; Dengan tuannya sendiri pun sengaja mahu mencari pasal.

Tapi tidak mengapa. Sudah tahu mengenai status manuskrip yang hampir menjadi misteri itu pun sudah cukup bagus. Terima kasih kepada Ketua Editor yang sudi membaca hasil tulisan aku yang tidak seberapa itu. Terima kasih juga kerana sudi mahu menerbitkan dalam bentuk novel fizikal.

Siapa pihak penerbit tersebut? Ini kemudian kita cerita. Apa-apa pun kita tunggu novel pertama aku itu berjaya diterbitkan. Dari situ kita boleh tahu siapakah penerbitnya nanti.

Sementara ini, novel itu aku namakannya 'Rempat'. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 'rempat' bermaksud membawa (diri) ke mana-mana atau juga bermaksud melarat. Tapi, aku masih lagi sedang mencari tajuk yang baru (kalau-kalau ada yang lebih sesuai).

Dalam watak utama aku itu yang bernama Alan. Dia membawa diri jauh ke negara James Bond untuk melangsungkan kehidupan yang masih berbaki. Dalam pada itu, duit pun tak berapa nak ada sangat. Jadi, terpaksalah dia mencari kerja sekitar London untuk kelangsungan hidup. Rezekinya ada di situ. Atas ihsan pemilik kedai farmasi warga Turki di Edgware Road mengambilnya bekerja — secara haram.

Dari situlah dia mengenali seorang awek yang digelarnya sebagai Issey Miyake. Nama sebenar awek itu lain sebenarnya. Jauh beza sungguh dari nama minyak wangi jenama Issey Miyake itu sendiri. Perkenalan mereka berdua juga sangat unik dan kebetulan berlaku di dalam farmasi tempat dia bekerja.

Dalam masa yang sama, Issey Miyake tidak tahu latar belakang hidup Alan; apakah sebab yang membawa dirinya jauh hingga ke situ.

Watak Issey Miyake dalam cerita aku. Tapi, taklah 100% sama.

Gitulah lebih kurang ceritanya. Gaya bahasa aku gunakan sama seperti dalam blog ini — santai-santai de Amor. Tak ada level-level sastera setinggi langit. Aku bukannya reti nak berbahasa macam itu. Lagipun muka suratnya lebih kurang 200 helai sahaja. Silap-silap tak cecah pun 199 helai muka surat. Cerita aku ini memang dicipta untuk mereka yang sangat sibuk dan tidak ada masa untuk membaca empat lima ratus muka surat.

Cerita aku itu memang takde masalah kalau nak habiskan membaca dalam masa satu hari sahaja. 

Itu kalau pandai membacalah. Kalau tak berapa sangat pandai membaca, mengeja pun merangkak-rangkak, itu aku tak berani janji berapa hari boleh habis. Berisiko besar kalau aku berjanji dengan orang macam tu.

Secara puratanya, novel aku itu diterbitkan (mengikut kata Ketua Editor) aku boleh kategorikan sebagai pengembaraan, cinta dan juga humor. Unsur-unsur kelakar dalam penulisan aku masih lagi aku kekalkan. Aku tak reti hendak tulis penuh adab seakan zaman kolonial mahupun seperti Batu Bersurat Terengganu.

Itu semua penulis-penulisnya level setinggi mencecah awan. Aku? Hah, aku ini picisan penulis yang entah apa-apa. Tidak ada satu pun yang boleh dibanggakan. Kalau mengutuk orang, memang nombor satu.

PS: Korang berdoalah banyak-banyak untuk aku agar novel aku itu akan diterbitkan tanpa masalah. Kalau lagi cepat diterbitkan, lagilah bagus. Aku pun tidaklah termimpi-mimpi yang mengarut-ngarut lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...