Selasa, 7 Februari 2017

Yuran Marathon Dah Mahal - Ini penyelesaiannya!


Tahun ini ada juga aku bercadang mahu sertai mana-mana acara larian sekitar 5 hingga 10 kilometer. Tapi apabila tengok yuran penyertaan bagi 5 kilometer pun lebih kurang sama kos mengisi minyak petrol RON95, agak berkira-kira jugalah jadinya. Itu sudah sama kos ulang-alik 100 kilometer aku pergi kerja setiap hari.

Sebagai contoh Putrajaya Night Marathon 2016 yang lalu, yuran penyertaan untuk 5 kilometer adalah RM50. Manakala bagi 10 kilometer pula RM60. Bagi tahun 2017, aku tak cek lagi. Mungkin masih RM60 atau mungkin juga naik menjadi RM65. Mana mungkin boleh turun harga jadi RM55 balik. Itu harga enam tahun lalu.

Sekarang ni macam malas nak lari sorang-sorang. Lari pun kat area tasik je.

Setelah memikirkan semasak-masaknya, dan juga dipandang dari perspektif lain yang lebih positif, harga RM60 bagi kategori 10 kilometer itu agak berbaloi untuk aku. Orang lain aku tak tahu. Tapi untuk aku, ianya berbaloi.

Kenapa aku kata berbaloi? Ini kerana sekarang ini aku berlari sudah tidak macam dahulu. Dulu-dulu aku lari 10 kilometer sekitar 50 minit sahaja. Jadi, ianya cepat sangat habis. Aku berbelanja RM60, tapi habis tidak sampai sejam. Penganjur pula senang hati — boleh balik awal.

Sekarang ini kalau aku berlari 10 kilometer, mungkin akan memakan masa selama 1 jam 30 minit. Silap-silap dekat 2 jam baru habis berlari. Jadi, dengan harga RM60 itu, aku manfaatkan sebaik mungkin. Aku berbelanja RM60 itu ke jalan yang benar. Kalori pun banyak habis dalam 2 jam itu.

Latih tubi 2017

A video posted by Farizal Hassan (@farizalhassan) on


Zaman gawat macam sekarang ini, kita seharusnya pandai berbelanja. Pastikan wang yang kita keluar itu berbaloi. Setakat ini, aku tidak nampak faedahnya bayar RM60 dan kemudian berlari laju-laju bawah 1 jam. Cepat sangat habis; dan juga kejam sangat nampaknya (walaupun dulu aku pernah melakukan kekejaman sebegitu rupa suatu masa dahulu).

Oleh itu, pemikiran gaya baru yang aku usulkan tadi mungkin boleh digunapakai bagi kebanyakan orang. Lagi mahal kita bayar, pastikan kita gunakannya dengan lebih lama. Lagi mahal yuran penyertaan acara larian dibayar, biar lebih lama peserta berlari di atas jalan raya.

Lagipun tiada siapa pun mahu melarang kita berbuat begitu. Takkanlah disebabkan berlari perlahan, kita dihumbannya ke dalam lokap balai polis Putrajaya. Duit kita, eh sukahati kitalah kan?

Perlu diingatkan, pos ini aku akan delete suatu hari nanti. Sekiranya tahap kecergasan aku kembali tip top dan mampu berlari tanpa sebarang masalah dengan kadar kelajuan 50 minit bagi acara 10 kilometer, segala teori melalui pemikiran baru aku sebentar tadi sudah tidak boleh digunapakai lagi.

PS: Dah dua minggu aku cancel latihan berlari aku ikut sedap mood. Malam ini aku nak berlari 5 km. Kalau tak dapat berlatih malam ini, esok lusa malam masih boleh. Apa nak dirisaukan, dalam setahun ada 365 hari. Pilih je ikut sedap hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...