Jumaat, 14 Disember 2018

Rodalink


Aku tak pasti samada aku pernah bercerita tentang hubung kait aktiviti berbasikal aku dengan kedai basikal Rodalink dalam blog ini. Nama Rodalink ini ada sentimental value dalam kisah hidup berbasikal aku.

Aku masih ingat lagi penghujung tahun 2010 sekitar bulan Oktober. Aku baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut akibat berjogging. Sebulan jugak le aku berehat tanpa apa-apa ada aktiviti sukan. Waktu itu aku memang langsung tidak ada apa-apa pengetahuan tentang dunia kecerdasan. Penjagaan makan pun tak ada. Segala-galanya zero.

Objektif aku ketika itu hanyalah hendak menurunkan berat badan dan dalam pada masa yang sama ada sedikit kecergasan fizikal. Itu sahaja.

Rodalink Putrajaya ketika pembukaan rasmi pada 2010.

Pada suatu pagi hari Sabtu, aku jogging seperti biasa berlari keliling Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang bukitnya bersepah. Bukan jauh pun, tapi letihnya ya rabbi. Dengan berat badan 71 kg dan lari naik turun bukit memang sengaja cari pasallah.

Seperti kebanyakan orang, selepas aktiviti sukan sudah tentu secara automatiknya kita akan berasa lapar. Aku pun tidak terkecuali daripada lapar yang maha hebat itu. Sebaik sahaja sampai rumah, bersihkan diri dan terus operasi mencari roti canai.

Masa tu berapa banyak kalori masuk ke dalam perut aku tak pernah kisah. Lagi pun memang tak tahu apakebendanya kalori-kalori ni. Yang penting makanan sedap dan banyak.

Sebaik sahaja sampai di Presint 9, antara persimpangan lampu isyarat aku terlihat kain rentang yang agak besar tergantung. Memang kain rentang itu terletak di sudut yang sangat strategik - sesiapa yang berhenti di lampu isyarat itu akan nampak dan mempunyai masa untuk membaca apa yang tertulis di atas iklan tersebut.

Aku tidak ingat secara spesifik apa yang ditulis di atas kain rentang tersebut. Tetapi aku faham bahawa sebuah kedai basikal bernama RODALINK telah dibuka di presint Diplomatik.

Petang itu juga aku ke kedai basikal Rodalink. Memang niat aku mahukan sebuah basikal. Tapi hari itu aku cuma mahu lihat-lihat sahaja.

Keesokan harinya aku datang sekali lagi dan membeli sebuah basikal Polygon model Helios F100 yang harganya RM1145.

Polygon model Helios F100

Disebabkan terlalu kerap ke Rodalink, aku mulai rapat dengan Zakhir dan juga Fadhli Khairon yang tak silap aku baru sahaja selesai Ironman pertamanya ketika itu. Mereka berdua adalah orang yang bertanggungjawab menjaga cawangan Rodalink Putrajaya.

Begitulah ceritanya.

Baru-baru ini aku dapat berita Rodalink sedang melancarkan kempen 'ADIB BOMBA CHARITY RIDE' pada hari Sabtu 22hb Desember 2018; bertempat di Rodalink Putrajaya yang terletak di Presint Diplomatik.



Aku percaya rata-ratanya ramai yang mengetahui kisah Adib ini. Difahamkan juga kutipan sebanyak RM30 akan disalurkan terus kepada Adib. Pihak Rodalink tidak mengambil satu sen pun. Aku fikir ini satu usaha yang amat baik.


Maklumat selanjutnya boleh dapatkan di sini: https://www.facebook.com/events/2224208811236385/

Kepada sesiapa yang berkelapangan dan mempunyai semangat membantu yang kuat, marilah kita menyokong dan menghargai usaha ini.

PS: Sekarang ni musim hujan. Kalau kayuh waktu hujan, lepas kayuh malas sungguh nak basuh basikal.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Jumaat, 7 Disember 2018

Kayuh ke Port Dickson? Ah, Kirim Salam!


Sementara badan baru nak fit, aku tak berani nak kayuh jauh-jauh. Ada juga rakan-rakan lain mengajak ke Port Dickson dan awal-awal lagi aku reject.

Baru kayuh seminggu sudah berani nak ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Kalau aku menyambut cabaran ini, maknanya aku mencari penyakit namanya.

Bukannya aku tak pernah kayuh ke sana. Cabarannya boleh aku ingat tujuh keturunan mendatang. Jangan memain bab kayuh 160 km ni... (Boleh baca cerita enam tahun dahulu di sini: Kayuhan ke PD: Episod Ngeri di Bawah Mentari)

Kenangan kayuh ke Port Dickson. Sampai sesat aku dibuatnya.

Maka, dengan yakinnya aku memberi seribu dalih seadanya kepada tuan punya badan yang gatal mulut mengajak aku. Kalau iya pun mahu mengajak aku, tunggu le aku dah kayuh 3 - 4 bulan. Ini baru seminggu kayuh, apa sangatlah aku boleh buat. Silap-silap aku balik naik Grab je nanti.

Pada hari mereka semua kayuh ke PD, aku dengan seorang dua rakan lain kayuh Putrajaya - Cyberjaya je. Itu aje yang mampu. Hujung minggu kemudiannya kami berempat kayuh ke kawasan berbukit di sekitar Kampung Limau Manis, Kajang.

Setakat ini aku tiada masalah dengan basikal baru aku ini yang usianya baru sebulan pada hari ini. Sangat berpuas hati. Cumanya dengan keadaan kaki yang belum cukup kuat ini aku tak dapat mendaki bukit dengan laju.

Sepanjang aku kayuh dalam sebulan ini, aku tak boleh tahan dengan jersi dan bib yang sendatnya lain macam. Iyalah, dulu berat 58 kg. Sekarang ni 69 kg. Jadi memang tidak berapa selesalah.

Dua hari lepas aku ke kedai basikal Ridley di Damansara Perdana. Sasaran aku sudah pasti set jersi rasmi Lotto - Soudal. Nasib baik ada. Tinggal satu set tu je saiz yang aku nak. Phewwww!

Harga set jersi selepas 30% diskaun: RM429.

Set jersi keluaran Vermarc memang puas hati. Jersi dan bib jauh lebih selesa berbanding jersi Kelly Benefit Strategies keluaran Champion System. Mungkin jenis fabrik sudah jauh lebih maju berbanding 7 tahun dahulu.

Pada hari yang sama juga quick release yang aku beli pada 20 September lepas sudah sampai. Barang ini aku beli melalui laman web www.wiggle.com. Maka dengan tidak sabarnya aku terus test drive pukul 9:15 malam sejauh 18.16km.

Kotak dah serupa belacan. Sampai kat tangan aku dah penyek.
Jenama LifeLine Professional.
Berat quick release baru ini cuma 43 gram je...
Ini quick release asal Fulcrum Racing 7.
2.5 kali ganda dia punya berat.

Berat basikal aku pula sudah menurun kepada 8.25 kg. Walaupun sekadar tukar quick release berat turun mendadak. Nampak sangat quick release asal berat nak mampus. Dengan bajet RM169 termasuk kos penghantaran, aku dapat ringankan basikal aku agak ketara.

Sambil-sambil itu aku sedang menyusun senarai pada bahagian yang mahu dinaiktaraf. Sasaran aku berat basikal adalah 7.50 kg.

Berat badan aku? Ah, yang ini kemudianlah!

PS: Kau ingat senang ke nak turun berat badan?
Klik sini untuk baca sampai habis...

Khamis, 29 November 2018

Ejen Rahsia Columbia


Dua hari lepas aku bercerita tentang kondisi basikal aku yang tidak seberapa itu. Walaupun aku banyak komplen, tapi dalam masa yang sama aku bersyukur semaksima mungkin.

Aku pernah merasa mempunyai basikal sebelum ini; dan kemudiannya hidup tanpa basikal selepas itu selama 3 tahun. Sepanjang ketiadaan basikal itulah aku ketiadaan hobi. Tahu-tahu sajalah bila lelaki tiada hobi — semua jadi serba tak kena dibuatnya.

Yang bertanda tu akulah tu. Masa latihan denga tentera Cuba.
Jangan tak percaya pulak.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk menjadi ejen perisik rahsia Columbia secara sambilan. Dari situ aku berjaya menyimpan duit untuk membeli sebuah basikal biasa-biasa sahaja.

Alhamdulillah. Berjaya juga perancangan aku.

Tiga tahun dalam kotak. Memang reputlah jawabnya.

Objektif aku sekarang ini adalah mahu mengembalikan tahap kecergasan seperti dahulu. Tak dapat 50% tahap kecergasan macam dahulu pun tak apa... dapat 75% pun jadilah.

Hari pertama aku kayuh basikal, aku rasa jantung aku macam nak meletup. Keseluruhan kaki aku rasa macam nak terkoyak. Terutamanya pada bahagian peha dan sekitar lutut. Rasa macam nak give up jugalah masa tu. Tapi memandangkan satu dunia dah tahu aku sudah beli basikal lumba, maka aku gigihkan jua kayuh basikal sampai rumah.

Bukan jauh pun aku kayuh. Aku rasa tak sampai 25 kilometer. Tapi aku rasa sepanjang perjalanan itu umpama kayuh basikal dalam hutan Amazon nun jauh di Brazil sana tu.

Sepanjang kayuh aku rasa helmet aku sudah tidak berapa selesa. Rupa-rupanya material dalaman yang diperbuat daripada plastik sudah pun patah disebabkan reput.

Begitu juga kasut karbon buatan Shimano; plastik pada bahagian tumitnya sudah pecah dan mereput.

Alahai, duit lagi...

Dalam minggu itu juga, sebaik sahaja pulang dari kerja aku menyusur masuk ke Sri Kembangan dan menuju ke Kedai Basikal Orbit Cycle.

Apa lagi, habis lagi duit aku...

Shimano RC9 S-phyre.

OGK Kabuto 2018 Flair Ultra Light.

Helmet dan kasut aku tak boleh beli sebarangan. Aku sanggup keluarkan duit lebih untuk dapatkan yang puas hati punya. Dua benda ini beli sekali dan pakailah sampai reput. Tak rugi pun. Dengan kata lain, alah membeli menang memakai.

Daripada beli yang murah, pakai seminggu dua mula tak puas hati. Lagi leceh. Lebih teruk lagi terpaksa keluarkan duit lagi untuk dapatkan yang jauh lebih bagus untuk puaskan hati sendiri.

Selain faktor ketahanan, faktor berat juga main peranan penting dalah hidup aku:
  • 170g - OGK Kabuto 2018 Flair Ultra Light saiz S/M
  • 232g - Shimano RC9 S-phyre saiz 42
Aku cukup pantang dengan benda-benda berat ni — satu-satunya perkara yang boleh mengganggu emosi.

Masa bayar tu memang tidak berapa syok jugaklah. Tapi perasaan tak syok tu hilang bila aku dapat manfaatnya masa kayuh hari Jumaat pada sebelah malamnya. Memang padu bhaiiii.

Berpatutanlah dengan harga yang mahal nak mampusnya itu.

Sudah hampir sebulan aku pakai dua benda tersebut. Kesimpulannya aku memang berpuas hati. Jauh lagi bagus daripada helmet dan kasut karbon lama aku tu. Nasib baik reput. Kalau tak, tak merasalah pakai helmet dan kasut buatan Jepun yang harganya cekik darah tu.

PS: Sekarang ni spek mata aku pulak buat hal. Macam nak kena beli baru je...
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 27 November 2018

Hey, Aku Dah Beli Basikal Baru!


Tanggal 1 November lepas, berbekalkan duit secukup rasa aku terus ke Kedai Basikal Orbit Cycle yang terletak di Seri Kembangan, Selangor. Hati berbunga-bunga macam nak jumpa Emma Watson yang baru pulang dari kampus Worcester College, Oxford.

Apa tidaknya... nak ambik basikal baru. Mestilah gembira.

Tengah setting basikal di Kedai Basikal Orbit Cycle.

Dua bulan jugak le aku survey bingkai basikal apa nak pakai. Daripada jenama Canyon hinggalah kepada Scott. Akhirnya aku pilih Ridley Noah. Walaupun aku lebih berminat dengan Ridley Noah SL, tetapi duit tak berapa nak ada, aku ambil jelah model Noah tanpa hurul SL. Noah juga...

Kali ini aku memang sudah cukup bersedia dengan keadaan basikal baru aku. Segala kekurangannya aku akan terima seadanya. Lagipun aku tak boleh samakan dengan basikal lama aku yang jauh lebih jitu, jauh lebih padu dengan groupset Dura Ace. Berat basikal lama aku 6.86 kg dan berat basikal baru aku 8.7 kg. Hah, beza 2 kilogram... pehhhhh!

Ridley Noah 2018

Kalau dulu semua bahagian basikal pasang yang high-end; daripada handle sampailah ke tiub. Kos untuk menaik taraf pun bukannya lekeh, silap-silap sama nilai dengan elaun Exco-exco kerajaan negeri semasa. Itu sebab boleh dapat basikal ringan macam tu sekali.

Tapi kali ini, dengan kewangan yang terhad aku harus terima seadanya. Dapat basikal berat pun... beratlah... nak buat macam mana. Sudahnya 8.7 kilogram. Terima je lah.

Ini frame original tau!

Shimano Ultegra R8000 crankset.

Rojak habis dan tunggang-langgang.
Stem 120mm tu aku tukar minggu lepas. 

Saddle ni tunggu masa nak tukar je.

Kalau dahulunya aku pakai groupset Dura Ace, kali ni Ultegra R8000. Walaupun berat dan fungsi Ultegra R8000 jauh lebih bagus dan lazat berbanding Dura Ace model CS-7900 lama aku tu. Dari sudut itu, Ultegra R8000 menang. Kalau pandang dari beratnya, Ultegra kalah teruk.

Wheelset alloy jenama Fulcrum Racing 7.

Dan basikal baru aku ini tidak ada tayar yang berkarbon langsung. Pakai aje Fulcrum Racing 7 alloy yang beratnya dekat 1.8 kilogram. Kalau campur sekali tiub dan tayar, memang cecah 2 kilogramlah jawabnya.

Bingkai bersaiz XS dan panjang top tube 525mm.

Lampu Cateye boleh cas semula.

Tapi itulah, dalam kekurangan ada juga terselit kelebihannya. Walaupun ianya berat tapi dia punya power transfer dan lajaknya memang lazat. Memang aku sudah sedia maklum  basikal aero memang kelebihannya begitu. Apa yang pasti kelebihan ini memang aku tidak pernah rasa sewaktu menggunakan Scott Addict R3.

Cuba bayangkan basikal baru aku ini dinaiktaraf kepada:
  • Groupset: Shimano Dura Ace R9100 11 Speed
  • Saddle: Antares R1 Versus EVO Regular
  • Handlebar: ENVE Bar Road Aero SES 2019
  • Pedals: Time Xpresso 15
  • Stem: ENVE Road Stem Black Graphics
...dan bahagian paling penting sekali adalah:
  • Wheelset: Campagnolo® Bora Ultra 50
Kos untuk semua barang-barang tu jangan ceritalah... boleh langsai hutang negara Zimbabwe.

Walaupun keadaan basikal aku serba kekurangan, dalam masa yang sama aku jugak rasa bersyukur tahap maksima. Bayangkan hidup tanpa basikal... azabnya bukan boleh dibuat main. Tahap depresi mengalahkan artis Hollywood.

PS: Nanti aku sambung cerita. Mustahil dah kayuh basikal tiga minggu langsung tak ada cerita.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 14 Mac 2018

Semangat Baru 2018


Kehadapan Tuan, Puan, Cik, Adik, Abang, Puan Sri, Tan Sri, serta tidak dilupakan juga Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota Dato' Laksamana semoga anda semua sihat wal afiat hendaknya.

Aku kembali semula di tahun 2018 yang penuh ceria seadanya; dengan membawa semangat baru untuk meneruskan kehidupan yang berbaki ini sebaik mungkin.

Tinggal kenangan...

Sebenarnya aku sekarang ini sedang berusaha keras untuk mendapatkan sebuah basikal berkuasa tinggi yang baru. Memandang harganya juga agak keras juga (sesetengahnya harga cekik darah sehingga bersamaan harga sebuah jet pejuang buatan Rusia) membuatkan kerja aku menjadi sedikit sukar.

Dengan ada duit tunai sebanyak RM6,000 basikal apalah yang aku boleh dapat. Basikal lipat yang bagus pun RM6,050. Itu pun tak cukup lagi RM50... Kalau iya pun duit aku cukup lagi RM50, takkanlah aku nak berlumba di Putrajaya guna basikal lipat. Musnahlah reputasi aku...

Jadi, impian untuk memiliki sebuah basikal lumba berkarbonat penuh yang baru akan menjadi sedikit lambat daripada perancangan aku. Jangka selewat-lewatnya mungkin hujung tahun; bulan Oktober atau November.

Sambil menunggu basikal baru, ada juga aku berlari di treadmill. Tapi macam biasalah, mula-mula je bersemangat. Bila masuk bulan ke-dua mulalah cari alasan... penatlah... esoklah... hari dah lewat malamlah...

Eh, biasalah tu... Simtom ni bukan aku seorang je yang kena, even Marco Polo pun pernah kena.

Aku fikir dengan adanya basikal macam dulu-dulu mampu membuatkan berat badan aku sekarang ini daripada 69 kg menurun ke 58 kg. Maka lemak-lemak akan terhapus tanpa sedar dan dapat mengurangkan beban untuk terus berlari. Alah, macam dulu-dulu... Lepas berbasikal aku terus sambung lari di treadmill. Macam orang gila...

Kadang-kala jadi orang gila pun bagus juga. Orang tak berani cakap lebih-lebih dengan kita. Kalau ada yang lebih-lebih dengan kita, apa susah, ajak je berlumba basikal. Paling koman pun, ajak lumba lari.

Cuma satu je aku berharap, bila sudah ada basikal lumba berprestasi tinggi nanti aku tidak mudah lupa diri; jangan pula menggatal isi borang dalam talian 'Powerman Malaysia 2019'. Cukuplah dua kali aku buat benda tu.

Tapi kalau untuk Century Ride, insya-Allah aku boleh turut serta. Alah, 160 km je pun... Bukannya macam Powerman. Sudahlah lepas lari 10 km kena kayuh basikal 64 km pulak. Lepas kayuh kena lari balik lagi 10 km. Ah, lecehlah.

Okeylah. Nanti aku sudah berjaya dapatkan basikal baru, aku akan sambung cerita dalam blog ini. Jangan tunggu sebab lambat lagi...

PS: Sekiranya anda masih setia membaca pos-pos aku sehingga saat ini, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak. Tanpa saya, siapalah anda.

PPS: Eh, silap... Tanpa anda, siapalah saya.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...