Khamis, 29 November 2018

Ejen Rahsia Columbia


Dua hari lepas aku bercerita tentang kondisi basikal aku yang tidak seberapa itu. Walaupun aku banyak komplen, tapi dalam masa yang sama aku bersyukur semaksima mungkin.

Aku pernah merasa mempunyai basikal sebelum ini; dan kemudiannya hidup tanpa basikal selepas itu selama 3 tahun. Sepanjang ketiadaan basikal itulah aku ketiadaan hobi. Tahu-tahu sajalah bila lelaki tiada hobi — semua jadi serba tak kena dibuatnya.

Yang bertanda tu akulah tu. Masa latihan denga tentera Cuba.
Jangan tak percaya pulak.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk menjadi ejen perisik rahsia Columbia secara sambilan. Dari situ aku berjaya menyimpan duit untuk membeli sebuah basikal biasa-biasa sahaja.

Alhamdulillah. Berjaya juga perancangan aku.

Tiga tahun dalam kotak. Memang reputlah jawabnya.

Objektif aku sekarang ini adalah mahu mengembalikan tahap kecergasan seperti dahulu. Tak dapat 50% tahap kecergasan macam dahulu pun tak apa... dapat 75% pun jadilah.

Hari pertama aku kayuh basikal, aku rasa jantung aku macam nak meletup. Keseluruhan kaki aku rasa macam nak terkoyak. Terutamanya pada bahagian peha dan sekitar lutut. Rasa macam nak give up jugalah masa tu. Tapi memandangkan satu dunia dah tahu aku sudah beli basikal lumba, maka aku gigihkan jua kayuh basikal sampai rumah.

Bukan jauh pun aku kayuh. Aku rasa tak sampai 25 kilometer. Tapi aku rasa sepanjang perjalanan itu umpama kayuh basikal dalam hutan Amazon nun jauh di Brazil sana tu.

Sepanjang kayuh aku rasa helmet aku sudah tidak berapa selesa. Rupa-rupanya material dalaman yang diperbuat daripada plastik sudah pun patah disebabkan reput.

Begitu juga kasut karbon buatan Shimano; plastik pada bahagian tumitnya sudah pecah dan mereput.

Alahai, duit lagi...

Dalam minggu itu juga, sebaik sahaja pulang dari kerja aku menyusur masuk ke Sri Kembangan dan menuju ke Kedai Basikal Orbit Cycle.

Apa lagi, habis lagi duit aku...

Shimano RC9 S-phyre.

OGK Kabuto 2018 Flair Ultra Light.

Helmet dan kasut aku tak boleh beli sebarangan. Aku sanggup keluarkan duit lebih untuk dapatkan yang puas hati punya. Dua benda ini beli sekali dan pakailah sampai reput. Tak rugi pun. Dengan kata lain, alah membeli menang memakai.

Daripada beli yang murah, pakai seminggu dua mula tak puas hati. Lagi leceh. Lebih teruk lagi terpaksa keluarkan duit lagi untuk dapatkan yang jauh lebih bagus untuk puaskan hati sendiri.

Selain faktor ketahanan, faktor berat juga main peranan penting dalah hidup aku:
  • 170g - OGK Kabuto 2018 Flair Ultra Light saiz S/M
  • 232g - Shimano RC9 S-phyre saiz 42
Aku cukup pantang dengan benda-benda berat ni — satu-satunya perkara yang boleh mengganggu emosi.

Masa bayar tu memang tidak berapa syok jugaklah. Tapi perasaan tak syok tu hilang bila aku dapat manfaatnya masa kayuh hari Jumaat pada sebelah malamnya. Memang padu bhaiiii.

Berpatutanlah dengan harga yang mahal nak mampusnya itu.

Sudah hampir sebulan aku pakai dua benda tersebut. Kesimpulannya aku memang berpuas hati. Jauh lagi bagus daripada helmet dan kasut karbon lama aku tu. Nasib baik reput. Kalau tak, tak merasalah pakai helmet dan kasut buatan Jepun yang harganya cekik darah tu.

PS: Sekarang ni spek mata aku pulak buat hal. Macam nak kena beli baru je...
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 27 November 2018

Hey, Aku Dah Beli Basikal Baru!


Tanggal 1 November lepas, berbekalkan duit secukup rasa aku terus ke Kedai Basikal Orbit Cycle yang terletak di Seri Kembangan, Selangor. Hati berbunga-bunga macam nak jumpa Emma Watson yang baru pulang dari kampus Worcester College, Oxford.

Apa tidaknya... nak ambik basikal baru. Mestilah gembira.

Tengah setting basikal di Kedai Basikal Orbit Cycle.

Dua bulan jugak le aku survey bingkai basikal apa nak pakai. Daripada jenama Canyon hinggalah kepada Scott. Akhirnya aku pilih Ridley Noah. Walaupun aku lebih berminat dengan Ridley Noah SL, tetapi duit tak berapa nak ada, aku ambil jelah model Noah tanpa hurul SL. Noah juga...

Kali ini aku memang sudah cukup bersedia dengan keadaan basikal baru aku. Segala kekurangannya aku akan terima seadanya. Lagipun aku tak boleh samakan dengan basikal lama aku yang jauh lebih jitu, jauh lebih padu dengan groupset Dura Ace. Berat basikal lama aku 6.86 kg dan berat basikal baru aku 8.7 kg. Hah, beza 2 kilogram... pehhhhh!

Ridley Noah 2018

Kalau dulu semua bahagian basikal pasang yang high-end; daripada handle sampailah ke tiub. Kos untuk menaik taraf pun bukannya lekeh, silap-silap sama nilai dengan elaun Exco-exco kerajaan negeri semasa. Itu sebab boleh dapat basikal ringan macam tu sekali.

Tapi kali ini, dengan kewangan yang terhad aku harus terima seadanya. Dapat basikal berat pun... beratlah... nak buat macam mana. Sudahnya 8.7 kilogram. Terima je lah.

Ini frame original tau!

Shimano Ultegra R8000 crankset.

Rojak habis dan tunggang-langgang.
Stem 120mm tu aku tukar minggu lepas. 

Saddle ni tunggu masa nak tukar je.

Kalau dahulunya aku pakai groupset Dura Ace, kali ni Ultegra R8000. Walaupun berat dan fungsi Ultegra R8000 jauh lebih bagus dan lazat berbanding Dura Ace model CS-7900 lama aku tu. Dari sudut itu, Ultegra R8000 menang. Kalau pandang dari beratnya, Ultegra kalah teruk.

Wheelset alloy jenama Fulcrum Racing 7.

Dan basikal baru aku ini tidak ada tayar yang berkarbon langsung. Pakai aje Fulcrum Racing 7 alloy yang beratnya dekat 1.8 kilogram. Kalau campur sekali tiub dan tayar, memang cecah 2 kilogramlah jawabnya.

Bingkai bersaiz XS dan panjang top tube 525mm.

Lampu Cateye boleh cas semula.

Tapi itulah, dalam kekurangan ada juga terselit kelebihannya. Walaupun ianya berat tapi dia punya power transfer dan lajaknya memang lazat. Memang aku sudah sedia maklum  basikal aero memang kelebihannya begitu. Apa yang pasti kelebihan ini memang aku tidak pernah rasa sewaktu menggunakan Scott Addict R3.

Cuba bayangkan basikal baru aku ini dinaiktaraf kepada:
  • Groupset: Shimano Dura Ace R9100 11 Speed
  • Saddle: Antares R1 Versus EVO Regular
  • Handlebar: ENVE Bar Road Aero SES 2019
  • Pedals: Time Xpresso 15
  • Stem: ENVE Road Stem Black Graphics
...dan bahagian paling penting sekali adalah:
  • Wheelset: Campagnolo® Bora Ultra 50
Kos untuk semua barang-barang tu jangan ceritalah... boleh langsai hutang negara Zimbabwe.

Walaupun keadaan basikal aku serba kekurangan, dalam masa yang sama aku jugak rasa bersyukur tahap maksima. Bayangkan hidup tanpa basikal... azabnya bukan boleh dibuat main. Tahap depresi mengalahkan artis Hollywood.

PS: Nanti aku sambung cerita. Mustahil dah kayuh basikal tiga minggu langsung tak ada cerita.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...