Khamis, 29 November 2018

Ejen Rahsia Columbia


Dua hari lepas aku bercerita tentang kondisi basikal aku yang tidak seberapa itu. Walaupun aku banyak komplen, tapi dalam masa yang sama aku bersyukur semaksima mungkin.

Aku pernah merasa mempunyai basikal sebelum ini; dan kemudiannya hidup tanpa basikal selepas itu selama 3 tahun. Sepanjang ketiadaan basikal itulah aku ketiadaan hobi. Tahu-tahu sajalah bila lelaki tiada hobi — semua jadi serba tak kena dibuatnya.

Yang bertanda tu akulah tu. Masa latihan denga tentera Cuba.
Jangan tak percaya pulak.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk menjadi ejen perisik rahsia Columbia secara sambilan. Dari situ aku berjaya menyimpan duit untuk membeli sebuah basikal biasa-biasa sahaja.

Alhamdulillah. Berjaya juga perancangan aku.

Tiga tahun dalam kotak. Memang reputlah jawabnya.

Objektif aku sekarang ini adalah mahu mengembalikan tahap kecergasan seperti dahulu. Tak dapat 50% tahap kecergasan macam dahulu pun tak apa... dapat 75% pun jadilah.

Hari pertama aku kayuh basikal, aku rasa jantung aku macam nak meletup. Keseluruhan kaki aku rasa macam nak terkoyak. Terutamanya pada bahagian peha dan sekitar lutut. Rasa macam nak give up jugalah masa tu. Tapi memandangkan satu dunia dah tahu aku sudah beli basikal lumba, maka aku gigihkan jua kayuh basikal sampai rumah.

Bukan jauh pun aku kayuh. Aku rasa tak sampai 25 kilometer. Tapi aku rasa sepanjang perjalanan itu umpama kayuh basikal dalam hutan Amazon nun jauh di Brazil sana tu.

Sepanjang kayuh aku rasa helmet aku sudah tidak berapa selesa. Rupa-rupanya material dalaman yang diperbuat daripada plastik sudah pun patah disebabkan reput.

Begitu juga kasut karbon buatan Shimano; plastik pada bahagian tumitnya sudah pecah dan mereput.

Alahai, duit lagi...

Dalam minggu itu juga, sebaik sahaja pulang dari kerja aku menyusur masuk ke Sri Kembangan dan menuju ke Kedai Basikal Orbit Cycle.

Apa lagi, habis lagi duit aku...

Shimano RC9 S-phyre.

OGK Kabuto 2018 Flair Ultra Light.

Helmet dan kasut aku tak boleh beli sebarangan. Aku sanggup keluarkan duit lebih untuk dapatkan yang puas hati punya. Dua benda ini beli sekali dan pakailah sampai reput. Tak rugi pun. Dengan kata lain, alah membeli menang memakai.

Daripada beli yang murah, pakai seminggu dua mula tak puas hati. Lagi leceh. Lebih teruk lagi terpaksa keluarkan duit lagi untuk dapatkan yang jauh lebih bagus untuk puaskan hati sendiri.

Selain faktor ketahanan, faktor berat juga main peranan penting dalah hidup aku:
  • 170g - OGK Kabuto 2018 Flair Ultra Light saiz S/M
  • 232g - Shimano RC9 S-phyre saiz 42
Aku cukup pantang dengan benda-benda berat ni — satu-satunya perkara yang boleh mengganggu emosi.

Masa bayar tu memang tidak berapa syok jugaklah. Tapi perasaan tak syok tu hilang bila aku dapat manfaatnya masa kayuh hari Jumaat pada sebelah malamnya. Memang padu bhaiiii.

Berpatutanlah dengan harga yang mahal nak mampusnya itu.

Sudah hampir sebulan aku pakai dua benda tersebut. Kesimpulannya aku memang berpuas hati. Jauh lagi bagus daripada helmet dan kasut karbon lama aku tu. Nasib baik reput. Kalau tak, tak merasalah pakai helmet dan kasut buatan Jepun yang harganya cekik darah tu.

PS: Sekarang ni spek mata aku pulak buat hal. Macam nak kena beli baru je...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...