Mukasurat

Khamis, 27 Disember 2018

Kenapa Nak Kayuh Basikal?


Aku mula kayuh basikal (waktu sekolah tidak kira ye) penghujung tahun 2010. Aku berhenti kayuh pula tahun 2015. Dan mula kayuh balik pada penghujung tahun 2018. Jadi, sepanjang tahun-tahun tersebut, aku sudah melalui fasa-fasa tertentu dalam kelasnya yang tersendiri.

Sewaktu aku jual basikal pada tahun 2015 lalu, ramai juga yang bertanya kenapa aku berhenti dari kayuh basikal. Jawapan selamat ketika itu yang aku berikan adalah, "Nak stop kejap. Ada duit nanti aku beli basikal baru. Folding bike pun takpe, janji kayuh."

Cuti Krismas 6 tahun lalu. Masa ni kayuh memang laju. Siapa lambat,
kena tinggal.

Tapi aku rasalah kan, sure diorang ingat aku totally pencen terus dari arena perbasikalan. Bukan apa, aku faham tanggapan sebegitu; ramai yang sudah berhenti kayuh basikal sejak kebelakangan ini. Dan oleh sebab itu aku percaya mereka juga menganggap aku juga akan berhenti daripada kayuh basikal. Dengan kata lain, 'gantung basikal'.

Mengikut perancangan, tahun lepas (2017) aku mahu mula kayuh semula. Tapi setiap kali duit separuh cukup untuk basikal baru, ada je keperluan lain menjelma secara kecemasan. Sebagai contoh, urusan keluarga dan juga kereta rosak. Dua perkara ini memang tidak boleh dielakkan.

Macam biasa, jiwa pahlawan mana ada erti putus asa. Kalau jiwa kuat mahukan sesuatu, pasti akan dapatkannya dengan apa cara sekalipun. Dan aku berjaya buktikan cakap aku bukan ikut sedap mulut; ini betul-betul punya nekad.

Faktor Utama
Kita kalau nak buat sesuatu, kita jangan ikut orang. Kalau nampak jiran tukar langsir baru, kita pun ikut tukar. Kalau mutual friend dalam Facebook beli telefon pintar baru, kita pun beli juga. Kita tak boleh macam tu. Kita umpama hidup di bawah bayang-bayang orang lain.

Setiap apa yang kita nak buat, kita kena ada satu sebab yang kuat. Kita kena tanya diri kita kenapa kita mahu buat/beli sesuatu.

Kejadian ini ketika di Kuantan Century Ride 2013. Kalau kita ada sebab
yang kuat, kita boleh kayuh laju-laju macam motor Honda EX5.

Sama juga dengan basikal. Sebelum kita mengambil keputusan untuk mula kayuh basikal, kita kena ada sebab yang kuat. Mungkin sebabnya nak bagi badan sihat, atau mungkin juga nak kurus. Apa yang penting kita kena ada satu sebab yang sangat kuat.

Kalau kita tak punyai sebab yang kukuh, kita akan tinggalkan sesuata perkara yang kita lakukan itu separuh jalan. Memang tinggal terus.

Macam aku kayuh dulu, aku memang tak dipengaruhi oleh sesiapa pun. Kemudian, aku berhenti kayuh 3 tahun dan membeli basikal baru semula pun bukan sebab orang lain juga. Kalau orang lain tak nak kayuh, aku tak peduli, aku kayuh sorang-sorang pun takpe. Janji kayuh.

Dengan kayuh aku dapat kekal cergas. Waktu aku berhenti daripada sukan sepanjang 3 tahun tersebut, aku rasa macam loser. Tahap keyakinan diri merundum dan naik turun tangga macam keretapi rosak. Tak seronok beb... Ha ha ha!

Cancel ke Jepun
Disebabkan punyalah kuatnya semangat aku nak kayuh basikal semula, aku langsung batalkan niat untuk bercuti ke Jepun bersama keluarga.

Dengan duit yang tidak berapa nak ada ini, aku kena pilih yang mana satu mahu didahulukan. Aku tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Sudah pasti basikal patut diutamakan dahulu.

Sorry Jepun, lain waktu aku datang.

Ini kerana aku mempunyai sebab yang kuat untuk putuskan keputusan tersebut.

Sekiranya aku ke Jepun bersama keluarga. Duit akan habis sekelip mata dan aku perlu bekerja keras untuk dapatkan sejumlah duit untuk basikal baru. Nama pun kerja keras. Kalau badan tak cergas, mana larat nak kerja keras dah. Silap-silap aku masuk hospital disebabkan tekanan darah tinggi dan sakit jantung. Memang keraslah kat dalam hospital.

Tapi, kalau aku beli basikal dan aku kayuh bersungguh-sungguh, badan aku pun sihat. Bila badan sihat, aku boleh bekerja keras; malah boleh buat dua kerja dalam satu masa. Dari situ duit akan datang berganda-ganda. Bila duit datang berganda-ganda, nak ke Jepun banyak kali pun tak apa.

Jadinya, dengan sebab yang kukuh, aku belilah basikal berkarbonat penuh.

Itu sebab aku cakap tadi, kalau kita nak buat sesuatu, kita harus ada sebab yang kukuh dan cukup padu. Kita kena tanya diri kita sendiri — KENAPA?

"Kenapa aku patut beli basikal?"

dan kalau kita jawab begini:

"Aku beli sebab Faizul Hashim beli, aku pun nak jugak beli."

Hah, kalau jawab macam tu, habislah!

PS: Minggu depan dengar cerita ada kayuhan jauh 'sikit' daripada biasa. Kalau betul ya, nanti aku cerita kat korang semua pengalaman aku.

PSS: Ada dua orang Pahlawan Basikal kayuh dari Puncak Alam hingga ke Langkawi sejauh 550 kilometer. Nanti aku temubual diorang dan kongsikan dalam blog ajaib ini. Tunggu!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 26 Disember 2018

Aku Jatuh Basikal


Sepanjang aku kayuh basikal, ini adalah kali ke-dua aku jatuh dengan kelajuan yang tidak munasabah — 5 km/j je. Gaya jatuhnya sama je. Dan paling ajaib, dua-duanya adalah di selekoh simpang jalan. Cuma lokasinya sahaja berlainan.

Keadaannya aku jatuh pun sungguh tidak macho keadaannya. Langsung tidak sama seperti dalam filem Hollywood di mana keadaannya jauh lebih dramatik dan penuh aksi. Sebaliknya aku? Ah...

Takpe, kronologinya kemudian aku cerita...

Muka-muka orang lama Putrajaya Night Ride yang usianya
semakin bertambah.

Idea kayuhan sejauh hampir 60 km ini adalah idea salah seorang rakan Putrajaya Night Ride (PNR) iaitu Norman. Ini adalah kayuhan sempena Reunion PNR yang rata-ratanya sudah lama berhenti daripada kayuhan. Idea asalnya adalah mahu ke KLIA. Memandangkan ramai di antara kami (termasuk aku) sudah lama tidak kayuh jauh, idea tersebut terpaksa dibatalkan.

Aku pun sebenarnya tidak tahu berapa ramai yang akan menyertai kayuhan pagi tersebut. Sebaik sahaja berkumpul, jumlah yang menyertainya boleh tahan juga ramainya; 11 orang termasuk aku.

Jatuh
Sebaik sahaja kayuhan bermula, alah... tak sampai 40 meter kayuh pun, entah macam mana aku teringat nak cek pintu kereta dan bersedia untuk pusing ke belakang, entah macam mana waktu aku brek tiba-tiba aku rasakan tayar belakang aku 'jem'.

Disebabkan tayar belakang aku breknya seakan tak berfungsi, sebagai tindak balas automatiknya tangan aku dengan pantas menekan brek hadapan.

Apa lagi, disebabkan dalam keadaan kelam kabut aku tidak sempat nak buka cleat kasut yang harganya lebih mahal daripada rim alloy basikal aku. Berguling pun tak, terlentang pun tak; gaya aku waktu itu macam terlebih corner baring yang gagal di litar lumba sepang.

Cis!

Beberapa orang rakan membantu aku dan dalam waktu singkat punca kemalangan ajaib itu dapat dikenalpasti — quick release tayar belakang aku dalam keadaan terbuka. Posisi tayar belakang sudah terkeluar dari posisi asal. Ini bermakna quick release aku tidak ketat keadaannya sebelum mula kayuhan lagi.

Fuhhh, nasib baik jatuh dalam keadaan macam tu. Kalau jatuh masa naik atau turun bukit atau pun ketika laju, rasanya aku kat hospital sekarang ni.

Basikal aku tak ada apa cederanya. Cuma brake lever sebelah kiri sedikit calar dan tidak berapa nampak sangat.

Bukit-Bukau
Menu hari ni memang mencari laluan yang berbukit. Daripada Bukit Bangang Alamanda terus ke Cyberjaya dan masuk ke Kampung Limau Manis.


Bukit-bukit Kampung Limau Manis ni jangan main-main. Ramai orang gantung basikal kerana tewas dengan bukit-bukitnya.

Tapi jangan risau, kami Pahlawan Basikal dan semangat juang yang bukan main tingginya. Walapun antara kami ini sudah lama tak kayuh, tapi bunga-bunga pertempuran gaya gerila masih lagi ada. Tidak ada seorang pun yang menolak basikal setakat ini.

Bukit sejauh 220 meter ini adalah santapan pertama
di dalam Kampung Limau Manis.
Santapan keduanya pula adalah bukit ini. Lepas ini aku dah tak ingat
ada berapa bukit kat depan sana tu. Bersepah bukit-bukitnya.

Walaupun begitu, azabnya jangan cakaplah. Degup jantung macam double pedal kumpulan Napalm Death.

Penutup kayuhannya pulak melalui Kampung Sungai Merab. Hah, mendapatlah!

Tapi, semua laluan tersebut berjaya diatasi tanpa merungut. Satu kepuasan yang aku tak dapat ceritakan dalam blog ini.

Kaki terseliuh, Sakit Tekak, Demam
Sebaik sahaja turun daripada basikal, aku dapat rasakan kaki kiri aku sakit. Keadaan lebih teruk lagi bila dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta. Setiap kali menekan clutch sakitnya bukan main.

Yang peliknya sewaktu kayuh basikal aku langsung tak rasa apa-apa. Ini mungkin kerana posisi kaki aku tidak banyak berubah. Mungkin itu sebabnya.

Sebelum pekena bukit-bukit di Kampung Limau Manis, Kajang.

Aku terus ke klinik berdekatan dan doktor berikan ubat sapu, pil tahan sakit dan kurang bengkak.

Dalam masa yang sama juga tekak aku perit. Sampai rumah aku mula demam. Ini mungkin disebabkan cuaca panas dan dehidrasi.

Selepas bersihkan diri, aku terus tidur. Jam 6 petang aku terjaga daripada tidur dan kaki yang terseliuh dan bengkak itu sakitnya sudah hilang. Demam pun sudah tak ada. Cuma yang tinggal hanyalah sakit tekak.

Alhamdulillah.

Kenapa Terseliuh Kaki Cepat Sangat Pulihnya?
Disamping kuasa Allah, sedikit ilmu aku dalam pemakanan menjadi penggeraknya. Sebaik sahaja aku rasa kaki aku macam ada yang tak kena, aku minum susu kambing segar. Kebetulan kat kedai mamak kami lepak selepas kayuh ada jual susu kambing.

Seperti kita ketahui, setiap 100 gram susu kambing mengandungi 3.5 gram protein dan lebih tinggi daripada susu lembu. Tugas protein pula adalah membaik pulih sel-sel otot.

Kemudian, pergi klinik dapatkan ubat sapu dan pil kurang bengkak. Ubat tahan sakit tak perlu makan. Sakit tu tahan je.

Ubat sapu dan pil tahan bengkak.

Akhir sekali, tuam dengan ais dalam 15 minit.

Lepas tu tidur. Tidur tu penting sebab waktu kita tidur tu lah badan kita mula pulihkan sel-sel yang sudah rosak. Dalam kes aku, aku tidur selama 4 jam.

Kalau Allah izin, pulihlah sakit-sakit tu.

Apa yang penting selepas rasa sakit, langkah-langkah tadi harus dilakukan secepat mungkin. Begitulah ceritanya.

Semoga apa yang dikongsikan dalam kisah aku ini boleh dijadikan tauladan.

PS: Sakit tekak belum hilang. Biasanya ambik masa seminggu jugak le.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Jumaat, 14 Disember 2018

Rodalink


Aku tak pasti samada aku pernah bercerita tentang hubung kait aktiviti berbasikal aku dengan kedai basikal Rodalink dalam blog ini. Nama Rodalink ini ada sentimental value dalam kisah hidup berbasikal aku.

Aku masih ingat lagi penghujung tahun 2010 sekitar bulan Oktober. Aku baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut akibat berjogging. Sebulan jugak le aku berehat tanpa apa-apa ada aktiviti sukan. Waktu itu aku memang langsung tidak ada apa-apa pengetahuan tentang dunia kecerdasan. Penjagaan makan pun tak ada. Segala-galanya zero.

Objektif aku ketika itu hanyalah hendak menurunkan berat badan dan dalam pada masa yang sama ada sedikit kecergasan fizikal. Itu sahaja.

Rodalink Putrajaya ketika pembukaan rasmi pada 2010.

Pada suatu pagi hari Sabtu, aku jogging seperti biasa berlari keliling Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang bukitnya bersepah. Bukan jauh pun, tapi letihnya ya rabbi. Dengan berat badan 71 kg dan lari naik turun bukit memang sengaja cari pasallah.

Seperti kebanyakan orang, selepas aktiviti sukan sudah tentu secara automatiknya kita akan berasa lapar. Aku pun tidak terkecuali daripada lapar yang maha hebat itu. Sebaik sahaja sampai rumah, bersihkan diri dan terus operasi mencari roti canai.

Masa tu berapa banyak kalori masuk ke dalam perut aku tak pernah kisah. Lagi pun memang tak tahu apakebendanya kalori-kalori ni. Yang penting makanan sedap dan banyak.

Sebaik sahaja sampai di Presint 9, antara persimpangan lampu isyarat aku terlihat kain rentang yang agak besar tergantung. Memang kain rentang itu terletak di sudut yang sangat strategik - sesiapa yang berhenti di lampu isyarat itu akan nampak dan mempunyai masa untuk membaca apa yang tertulis di atas iklan tersebut.

Aku tidak ingat secara spesifik apa yang ditulis di atas kain rentang tersebut. Tetapi aku faham bahawa sebuah kedai basikal bernama RODALINK telah dibuka di presint Diplomatik.

Petang itu juga aku ke kedai basikal Rodalink. Memang niat aku mahukan sebuah basikal. Tapi hari itu aku cuma mahu lihat-lihat sahaja.

Keesokan harinya aku datang sekali lagi dan membeli sebuah basikal Polygon model Helios F100 yang harganya RM1145.

Polygon model Helios F100

Disebabkan terlalu kerap ke Rodalink, aku mulai rapat dengan Zakhir dan juga Fadhli Khairon yang tak silap aku baru sahaja selesai Ironman pertamanya ketika itu. Mereka berdua adalah orang yang bertanggungjawab menjaga cawangan Rodalink Putrajaya.

Begitulah ceritanya.

Baru-baru ini aku dapat berita Rodalink sedang melancarkan kempen 'ADIB BOMBA CHARITY RIDE' pada hari Sabtu 22hb Desember 2018; bertempat di Rodalink Putrajaya yang terletak di Presint Diplomatik.



Aku percaya rata-ratanya ramai yang mengetahui kisah Adib ini. Difahamkan juga kutipan sebanyak RM30 akan disalurkan terus kepada Adib. Pihak Rodalink tidak mengambil satu sen pun. Aku fikir ini satu usaha yang amat baik.


Maklumat selanjutnya boleh dapatkan di sini: https://www.facebook.com/events/2224208811236385/

Kepada sesiapa yang berkelapangan dan mempunyai semangat membantu yang kuat, marilah kita menyokong dan menghargai usaha ini.

PS: Sekarang ni musim hujan. Kalau kayuh waktu hujan, lepas kayuh malas sungguh nak basuh basikal.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Jumaat, 7 Disember 2018

Kayuh ke Port Dickson? Ah, Kirim Salam!


Sementara badan baru nak fit, aku tak berani nak kayuh jauh-jauh. Ada juga rakan-rakan lain mengajak ke Port Dickson dan awal-awal lagi aku reject.

Baru kayuh seminggu sudah berani nak ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Kalau aku menyambut cabaran ini, maknanya aku mencari penyakit namanya.

Bukannya aku tak pernah kayuh ke sana. Cabarannya boleh aku ingat tujuh keturunan mendatang. Jangan memain bab kayuh 160 km ni... (Boleh baca cerita enam tahun dahulu di sini: Kayuhan ke PD: Episod Ngeri di Bawah Mentari)

Kenangan kayuh ke Port Dickson. Sampai sesat aku dibuatnya.

Maka, dengan yakinnya aku memberi seribu dalih seadanya kepada tuan punya badan yang gatal mulut mengajak aku. Kalau iya pun mahu mengajak aku, tunggu le aku dah kayuh 3 - 4 bulan. Ini baru seminggu kayuh, apa sangatlah aku boleh buat. Silap-silap aku balik naik Grab je nanti.

Pada hari mereka semua kayuh ke PD, aku dengan seorang dua rakan lain kayuh Putrajaya - Cyberjaya je. Itu aje yang mampu. Hujung minggu kemudiannya kami berempat kayuh ke kawasan berbukit di sekitar Kampung Limau Manis, Kajang.

Setakat ini aku tiada masalah dengan basikal baru aku ini yang usianya baru sebulan pada hari ini. Sangat berpuas hati. Cumanya dengan keadaan kaki yang belum cukup kuat ini aku tak dapat mendaki bukit dengan laju.

Sepanjang aku kayuh dalam sebulan ini, aku tak boleh tahan dengan jersi dan bib yang sendatnya lain macam. Iyalah, dulu berat 58 kg. Sekarang ni 69 kg. Jadi memang tidak berapa selesalah.

Dua hari lepas aku ke kedai basikal Ridley di Damansara Perdana. Sasaran aku sudah pasti set jersi rasmi Lotto - Soudal. Nasib baik ada. Tinggal satu set tu je saiz yang aku nak. Phewwww!

Harga set jersi selepas 30% diskaun: RM429.

Set jersi keluaran Vermarc memang puas hati. Jersi dan bib jauh lebih selesa berbanding jersi Kelly Benefit Strategies keluaran Champion System. Mungkin jenis fabrik sudah jauh lebih maju berbanding 7 tahun dahulu.

Pada hari yang sama juga quick release yang aku beli pada 20 September lepas sudah sampai. Barang ini aku beli melalui laman web www.wiggle.com. Maka dengan tidak sabarnya aku terus test drive pukul 9:15 malam sejauh 18.16km.

Kotak dah serupa belacan. Sampai kat tangan aku dah penyek.
Jenama LifeLine Professional.
Berat quick release baru ini cuma 43 gram je...
Ini quick release asal Fulcrum Racing 7.
2.5 kali ganda dia punya berat.

Berat basikal aku pula sudah menurun kepada 8.25 kg. Walaupun sekadar tukar quick release berat turun mendadak. Nampak sangat quick release asal berat nak mampus. Dengan bajet RM169 termasuk kos penghantaran, aku dapat ringankan basikal aku agak ketara.

Sambil-sambil itu aku sedang menyusun senarai pada bahagian yang mahu dinaiktaraf. Sasaran aku berat basikal adalah 7.50 kg.

Berat badan aku? Ah, yang ini kemudianlah!

PS: Kau ingat senang ke nak turun berat badan?
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...