Mukasurat

Jumaat, 14 Disember 2018

Rodalink


Aku tak pasti samada aku pernah bercerita tentang hubung kait aktiviti berbasikal aku dengan kedai basikal Rodalink dalam blog ini. Nama Rodalink ini ada sentimental value dalam kisah hidup berbasikal aku.

Aku masih ingat lagi penghujung tahun 2010 sekitar bulan Oktober. Aku baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut akibat berjogging. Sebulan jugak le aku berehat tanpa apa-apa ada aktiviti sukan. Waktu itu aku memang langsung tidak ada apa-apa pengetahuan tentang dunia kecerdasan. Penjagaan makan pun tak ada. Segala-galanya zero.

Objektif aku ketika itu hanyalah hendak menurunkan berat badan dan dalam pada masa yang sama ada sedikit kecergasan fizikal. Itu sahaja.

Rodalink Putrajaya ketika pembukaan rasmi pada 2010.

Pada suatu pagi hari Sabtu, aku jogging seperti biasa berlari keliling Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang bukitnya bersepah. Bukan jauh pun, tapi letihnya ya rabbi. Dengan berat badan 71 kg dan lari naik turun bukit memang sengaja cari pasallah.

Seperti kebanyakan orang, selepas aktiviti sukan sudah tentu secara automatiknya kita akan berasa lapar. Aku pun tidak terkecuali daripada lapar yang maha hebat itu. Sebaik sahaja sampai rumah, bersihkan diri dan terus operasi mencari roti canai.

Masa tu berapa banyak kalori masuk ke dalam perut aku tak pernah kisah. Lagi pun memang tak tahu apakebendanya kalori-kalori ni. Yang penting makanan sedap dan banyak.

Sebaik sahaja sampai di Presint 9, antara persimpangan lampu isyarat aku terlihat kain rentang yang agak besar tergantung. Memang kain rentang itu terletak di sudut yang sangat strategik - sesiapa yang berhenti di lampu isyarat itu akan nampak dan mempunyai masa untuk membaca apa yang tertulis di atas iklan tersebut.

Aku tidak ingat secara spesifik apa yang ditulis di atas kain rentang tersebut. Tetapi aku faham bahawa sebuah kedai basikal bernama RODALINK telah dibuka di presint Diplomatik.

Petang itu juga aku ke kedai basikal Rodalink. Memang niat aku mahukan sebuah basikal. Tapi hari itu aku cuma mahu lihat-lihat sahaja.

Keesokan harinya aku datang sekali lagi dan membeli sebuah basikal Polygon model Helios F100 yang harganya RM1145.

Polygon model Helios F100

Disebabkan terlalu kerap ke Rodalink, aku mulai rapat dengan Zakhir dan juga Fadhli Khairon yang tak silap aku baru sahaja selesai Ironman pertamanya ketika itu. Mereka berdua adalah orang yang bertanggungjawab menjaga cawangan Rodalink Putrajaya.

Begitulah ceritanya.

Baru-baru ini aku dapat berita Rodalink sedang melancarkan kempen 'ADIB BOMBA CHARITY RIDE' pada hari Sabtu 22hb Desember 2018; bertempat di Rodalink Putrajaya yang terletak di Presint Diplomatik.



Aku percaya rata-ratanya ramai yang mengetahui kisah Adib ini. Difahamkan juga kutipan sebanyak RM30 akan disalurkan terus kepada Adib. Pihak Rodalink tidak mengambil satu sen pun. Aku fikir ini satu usaha yang amat baik.


Maklumat selanjutnya boleh dapatkan di sini: https://www.facebook.com/events/2224208811236385/

Kepada sesiapa yang berkelapangan dan mempunyai semangat membantu yang kuat, marilah kita menyokong dan menghargai usaha ini.

PS: Sekarang ni musim hujan. Kalau kayuh waktu hujan, lepas kayuh malas sungguh nak basuh basikal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...