Mukasurat

Khamis, 18 Julai 2019

EZR Night Ride Setiap Malam Selasa di Putrajaya


Bulan Raya baru sahaja habis. Dan, sejak kebelakangan ini aku kerap berbasikal dalam Putrajaya. Pagi, malam dan adakalanya sesekali waktu petang. Selalunya aku berbasikal secara berseorangan.

Ini kerana agak sukar mendapat rakan berbasikal yang berkelapangan sama waktu macam aku. Kalau aku kelapangan, yang lain belum tentu macam aku. Kalau diorang punyai waktu untuk berbasikal, aku pulak tersadai di pejabat.

Tapi, setiap hari Selasa pada sebelah malamnya aku akan cuba sedaya upaya untuk menyertai EZR Night Ride di Putrajaya. Waktu ini ramai yang turut sama berbasikal dalam bawah satu nama iaitu EZR.

Jemput tengok promo video EZR di bawah:


Sama seperti dahulunya iaitu Putrajaya Night Ride (PNR), banyak kumpulan basikal akan turut memeriahkan acara tersebut. Macam-macam perangai dan ada di antara kami mempunyai rival peribadi sewaktu berlumba pada malam tersebut.

Aku pun ada juga rival tau. Ha-ha!

Sebelum kayuh, sesi gambar adalah wajib.
(Gambar hak milik Abang Mill)

EZR pun sama juga macam Putrajaya Night Ride. Cuma yang bezanya, PNR sebelum ini tidak ada orang yang bertanggungjawab menguruskan kelajuan secara sistematik. PNR dahulunya terkenal dengan lumba haram dan penuh dengan drama-drama serang menyerang dan masing-masing mempunyai strategi untuk berada di kelompok hadapan. Siapa lambat, babai.

Tapi EZR yang diuruskan oleh tiga orang jejaka hensem dan mempunya badan yang kekar bertenaga ini berjaya menguruskan dengan sistematik. Mereka ini adalah:
  1. Mohd Munawwaruzzaman (Zack Ahjack)
  2. Fairul Razi (Coach)
  3. ‎Khairul Anuar Muhamad Noh (Koc Khairul)
Mereka berempat ni tak pernah terlepas malam EZR.
(Gambar hak milik Abang Mill)

Mereka ini aku difahamkan sudah lama berbasikal. Ada di antara mereka ini sudah pun berbasikal sejak Perang Dunia Pertama lagi dan juga pernah berbasikal sebelah-menyebelah bersama Adolf Hitler. Makanya, selagi mereka bertiga ada, kuranglah sedikit kerisauan — dengan pengalaman yang luas, insya-Allah mereka akan bantu dalam apa jua situasi kecemasan.

Apa yang menariknya, disebabkan penyertaan mencecah 100 lebih orang, maka kumpulan yang besar ini dipecahkan kepada 3 kumpulan dan setiap kumpulan mempunya had kelajuan yang diluluskan oleh SIRIM iaitu:
  1. Group A (Tanpa had laju)
  2. Group B (28-35km/j)
  3. Group C (23-30km/j)
Dalam setiap kumpulan pula ada beberapa orang dipertanggungjawabkan untuk menjaga had kelajuan (kecuali group A), pengurusan peloton, dan juga beberapa perkara yang melibatkan keselamatan.

Jangan pandang rendah kat diorang berempat ni. Aku pernah ditinggalkan
terkontang-kanting kat belakang tau.
(Gambar hak milik Abang Mill)

Sepanjang acara kita akan lihat Bang Mill yang aktif ke hulu ke hilir dengan telefon pintar di tangan. Kalau korang nampak, jangan pula lari. Beliau bukan minta duit yuran penyertaan; sebaliknya mahu merakam gambar anda sebagai kenang-kenangan. Dan gambar-gambar itu pula akan dimuat-naik ke Facebook peribadinya.

Kalau nasib baik, gambar-gambar tersebut akan diletakkan dalam laman rasmi Facebook EZR: https://www.facebook.com/groups/1689886641312001/. Sila LIKE laman rasmi EZR untuk kemaskini aktiviti kayuhan setiap minggu.

Sewaktu kisah ini ditulis, ahli di dalam laman rasmi EZR sudah mencecah 1,029 ahli. Jadi, mengikut kiraan aku, berdasarkan jumlah ahli tersebut adalah hanya 10.68999028% sahaja yang menyertai kayuhan pada malam hari Selasa tersebut.

Ada duathlete, thriathlete. Semua pun ada dalam EZR.
(Gambar hak milik Abang Mill)

Itu pun sudah cukup ramai dan meriah. Kalau yang menyertainya mencecah 50% dari jumlah keseluruhan ahli, aku rasa mahu EZR kena buat permit kat PJH setiap kali malam Selasa. Dan boleh terus buat Century Ride.

Begitulah serba sedikit tentang EZR dan pengganti seri di malam hari setiap hari Selasa di dalam Putrajaya. Tua muda miskin kaya, Sambut EZR dengan ria, beranika suasana, di mana-mana berada...

Sorry...Termenyanyi lagu raya pula.

Oh ya, bila sebut tua muda tadi tu aku teringatkan Wak Yengki. Beliau sudah berumur 63 tahun dan masih bertenaga menjadi sweeper di sepanjang kayuhan ketika EZR berlangsung. Beliau akan membunyikan seruling sekiranya beliau terhidu akan bahaya yang menanti di hadapan. Nak tahu apakah yang dimaksudkan seruling itu? Ya, jemput sertai kami dan anda akan secara automatiknya akan berterima kasih dengan Wak Yengki.

Akhir sekali jemput tengok bagaimana keadaan aku ketika EZR hari Selasa lalu:


Okeylah, cukup setakat ini sahaja cerita basikal untuk kali ini. Aku nak ambik MC lepas ni... nak balik rumah kayuh basikal dalam Putrajaya.

PS: Kepada yang masih belum ke channel Youtube aku, silalah ke sini: https://www.youtube.com/c/FarizalHassan. Jangan lupa tengok video-video dan subscribe satu kali.

PPS: Kepada yang berkelapangan hari Selasa di sebelah malamnya, jemput sertai EZR Night Ride.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...