Mukasurat

Selasa, 7 Januari 2020

Susurmasa 2019: Tahun yang PALING MENCABAR!


Assalamualaikum, Salam 1Basikal dan Selamat Tahun Baru 2020. Dalam tak sedar, dah setahun aku bervlog di YouTube — berkongsi aktiviti-aktiviti berkaitan basikal bersama kawan-kawan mahu pun kayuhan solo dalam Putrajaya.

Sebelum ini aku tak terfikir atau merancang langsung untuk bervlog. Apatah lagi nak tunjuk kat orang video aku kat YouTube. Aku bukannya reti bercakap depan kamera. Lagi pun tak pernah aku buat kerja macam ni sepanjang aku hidup. Bercakap sambil menghalakan lensa kamera tepat ke muka sendiri, dan kemudian kena bercakap. Bila aku tengok muka sendiri yang sedang bercakap dalam video, dah serupa muka menteri kena tangkap polis disabitkan rasuah — kelat je muka aku. Ha-ha!

Lama kelamaan aku sudah biasa tengok muka sendiri dalam video. Cakap apa sahaja yang aku nak cakap dan kayuh basikal dengan hati yang gembira. Walau pun beratus kali pusing tempat yang sama. Disebabkan aku suka kayuh basikal, perasaan gembira itu tetap ada dalam jiwa. Mungkin itu sebabnya orang yang menonton vlog aku turut sama merasakan keseronokan sepanjang aku berbasikal.

Tahun 2019 yang lalu pada aku memang mencabar, dramatik, fantastik, sedih, gembira dan kelam-kabut nak buat macam-macam benda. Jadi, pos kali ini aku akan berkongsikan susurmasa sepanjang 2019 lalu.

Mari mengembara bersama aku!

Channel YouTube Pahlawan Basikal
Seperti yang korang tahu, aku berhenti daripada berbasikal sekitar 3 tahun lamanya. Akibatnya, aku kekurangan kawan untuk diajak kayuh bersama.

Tatkala ini, yang sudi meneman aku adalah Norman, Jaja, Sahlan, Mawi, Aar, Paon, Jeffery, Faizul, Komeng, Pae, Faizal, Faisal, Osama dan beberapa rakan-rakan lain sewaktu Putrajaya Night Ride sekitar tahun 2011 - 2015 dahulu.

Ini channel YouTube rasmi Pahlawan Basikal.

Di sinilah timbulnya idea mahu merakam aktiviti kayuhan dalam bentuk video. Jika korang lihat video-video lama, ramai di antara mereka ini menghiasi vlog-vlog aku.

Beberapa bulan kemudian, rakan-rakan aku ini beralih pula kepada berbasikal secara touring; dimana ianya di luar kemampuan aku. Berbasikal dari Kajang ke Danok, Krabi dan beberapa lokasi yang memerlukan kudrat dan masa yang banyak.

Ada di antara mereka ini aku kenali sejak 2010 lagi.

Di pagi Ahad sekitar Sepang.

Bila aku bersedia nanti, aku akan turut serta mereka touring. Pasti menarik!

Cardock
Aku memang suka menonton video-video di YouTube. Daripada video tentang monyet-monyet di Afrika hinggalah video-video tentang masak-masak di dapur. Tak kisahlah apa video sekali pun, aku memang suka tonton dengan hati dan minda yang terbuka.

Kebetulan waktu itu aku kerap menonton video-video di channel YouTube Cardock. Dan waktu itu Cardock ada menganjurkan kelas berkenaan YouTube di Kuala Lumpur pada 30hb Mac 2019. Tanpa berfikir panjang, aku terus daftar dengan yuran sebanyak RM50.

Di dalam kelas YouTube Cardock.

Di sinilah aku dapat mengenal ramai YouTube Creators seperti Cardock sendiri, Alif Marjans TV, Moonjay Goodman dan ramai lagi yang subscribers mereka terdiri daripada puluhan ribu; malah ratusan ribu subscribers. Dalam komuniti ini aku mengambil kesempatan untuk belajar daripada mereka ini dari segi isu teknikal dan praktikal berkenaan YouTube.

Emak Aku Meninggal Dunia
Dalam keseronokan berbasikal sambil bervlog, aku sekeluarga diuji dengan kehilangan orang yang tersayang. Pada pertengahan bulan Mac, emak aku jatuh sakit. Dan seminggu sebelum Syawal, emak aku menghembuskan nafas yang terakhir.

Ok, kita langkau babak ini. Sebab kisah ini tak seronok untuk dikongsikan.

---

Dalam keadaan yang tak menentu, aku cuba bertahan untuk terus kekal berkongsi video-video di channel YouTube aku. Aku berpegang dengan apa yang telah Cardock pesan dalam kelasnya iaitu Istiqomah.

Walau pun subscribers aku ratus-ratus je, aku kekal positif. Dalam kepala aku cuma ada satu — Istiqomah. Aku berterusan rakam sewaktu berbasikal, muat turun footages yang adakalanya mencecah puluhan hingga ratusan klip video yang belum disunting dari GoPro ke handphone, edit video dan seterusnya muat naik ke YouTube.

Inilah disiplin aku sepanjang tahun 2019.

EZR
Setelah agak lama aku berbasikal secara berseorang dalam Putrajaya, salah seorang subscriber channel Pahlawan Basikal meninggalkan komen dalam salah satu video aku. Komen ini membawa satu episod baru dalam vlog-vlog aku yang seterusnya. Namanya Shukri dan beliau memberi maklumat tentang EZR dan beberapa aktiviti-aktiviti kayuhan di sebelah malam sekitar Putrajaya.

Dari kiri: Shukri, Koc5 dan Ujang.

Sewaktu EZR malam hari Selasa.
Gambar hak milik Bang Mill.

Sejak dari itu aku turut sertai kayuhan anjuran EZR yang sebelum ini aku langsung tak tahu. Terima kasih Shukri!

Misi Mengejar Yasmin Hani
Ini memang aku tak boleh lupa. Betul-betul melonjak nama Pahlawan Basikal. Ini semua di luar rancangan aku yang pada mulanya aku anggap video ini adalah siri kegagalan aku. Rupa-rupanya sambutan vlog ini di luar jangkaan.

Pada bulan Kemerdekaan, EZR dan SpeedZone menganjurkan siri Kayuhan Kibar Jalur Gemilang pada 27 Ogos 2019. Pada poster tersebut terpampang gambar Yasmin Hani. Hah, siapa yang tak kenal dengan beliau? Inilah peluang aku untuk kayuh basikal bersama selebriti.

Sebaik sahaja tiba di lokasi perhimpunan, tiba-tiba aku malu nak rekod video dekat-dekat. Jadi, aku tengok Yasmin Hani dari jauh je. Ha-ha!

Dalam malu itu aku berusaha jugak untuk dapatkan footages Yasmin Hani sepanjang kayuhan. Kalau boleh aku nak kayuh sebelah dia sambil rekod. Tapi, aku gagal bertemu dengannya sepanjang kayuhan itu.

Sudahnya aku pulang ke rumah dengan hampa. Dan, aku bercadang untuk tidak memuatnaik ke YouTube. Ini kerana aku gagal untuk mendapatkan video bersama Yasmin Hani. Bukan sahaja gagal babak video sahaja. Malah sekeping gambar bersama beliau pun langsung tak ada. Kalau ada pun, cuma sekeping sahaja. Itu pun dalam keadaan menyelit nun jauh kat belakang. Cis! Memang kecewa.

Ini sahaja gambar kenangan yang aku ada. Aku reda...
Gambar hak milik Bang Mill.

Tapi, ramai yang dah tahu aku ambil video pada malam itu. Hendak atau tidak, terpaksalah aku kena muatnaik jugak ke YouTube.

Sudahnya, vlog ini mendapat sambutan ramai. Memang aku tak sangka. Hinggakan Yasmin Hani dan Sha'arin (Suami) menonton vlog tersebut dan mendapat respon yang baik.

Terima kasih Hani dan Sha'arin.

SPEEDZONE
Dalam aktiviti EZR, banyak kumpulan basikal yang sertainya. Salah satunya adalah kumpulan basikal SpeedZone. Setakat ini kumpulan basikal ini adalah antara yang paling aktif dengan pelbagai aktiviti berbasikal sepanjang minggu di Putrajaya.

Selepas siri vlog Misi Mengejar Yasmin Hani tersebut, aku diberi peluang untuk sertai mereka sewaktu kayuh basikal bersama Yasmin Hani, Sha'arin, Sazzy Falak, Nash, Prem dan juga ahli SpeedZone yang lain di dalam Putrajaya.

Yasmin Hani, Sha'arin, Sazzy Falak, Nash, Prem dan SpeedZone.
Gambar hak milik Pett.

Memang marveles!

Selepas itu, SpeedZone menjemput aku lagi untuk sertai bersama mereka iaitu SPEEDZONE ANNUAL RIDE 2019 pada 2 - 3 November selama 2 hari. Pembikinan video kali ini memang mencabar. Aku memberikan 100% tumpuan sepanjang acara dan pulang ke rumah terus membuat suntingan.

Aku kena pastikan vlog kali ini adalah yang terbaik pernah aku buat. Jadi aku memerlukan masa selama 2 hari untuk menyiapkan video yang panjangnya 16 minit. Lagi pun ramai yang menunggu video kali ini — terutamanya mereka yang sertai acara tersebut. Mestilah mereka mahukan satu video untuk merakam sebagai kenangan. Jadi, aku harus buat sehabis baik dan curahkan segala idea yang belum pernah aku buat.

SpeedZone Annual Ride 2019.
Gambar hak milik Bang Mill.

Secara peribadi, video ini aku sangat berpuas hati. Dan ianya aku anggap adalah vlog yang terbaik sepanjang tahun 2019 pernah aku hasilkan.

Kepada Kak Ros, Awang, Sahidi dan anggota SpeedZone yang lain, TERIMA KASIH! Terima kasih kerana memberi ruang untuk aku berkarya.





Inilah perjalanan aku selama setahun yang lalu. Penuh emosi dan bersungguh-sungguh aku cuba yang terbaik. Seperti kita kayuh basikal atau pun berlari; Ada masanya kita terpaksa tempuh bukit-bukit yang mencanak dan kayuhan kaki amat perlahan. Akan tetapi, kita langsung tak fikir untuk berundur, malah kayuhan kita makin dilajukan. Paling teruk pun, kita berhenti sekejap sebelum menyambung kembali perjalanan yang tertangguh.

Kepada anda semua, terima kasih kerana menjadi sebahagian dalam perjalanan hidup aku sepanjang 2019 lalu.

Semoga tahun 2020 ini kita terus maju ke hadapan. Amin

PS: Apa azam baru 2020 korang? Cer komen kat bawah ni, kongsikan dengan aku. Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...