Mukasurat

Jumaat, 10 Julai 2020

Aku Sedang Mengembalikan Tahap Kecerdasan Semula


Alhamdulillah. Setelah 3 bulan terperap di rumah, akhirnya kita boleh melakukan aktiviti normal seperti sebelumnya. Kalau waktu PKP kita tak boleh nak kayuh basikal kat luar, hari ini kita dibolehkan berbuat demikian — kayuh sepuas-puasnya hingga melepasi daerah mahu pun negeri-negeri.

Tapi perlu diingatkan kita masih di bawah takluk PKPP — jangan lalai atau terlalu selesa. Kita masih belum bebas ancaman COVID-19.

Pahlawan Basikal di rumah
Sepanjang PKP, aku cuma mampu vlogging dalam bilik je...


Tapi, itulah... bila kita kayuh basikal ramai-ramai ni susah nak kawal. Bertepuk tampar segala bagai. Maka, penjarakan sosial memang tak adalah. Nak bersosial tapi penjarakan sosial, eh ini memar sukar.

Aku sendiri pun pada awalnya cuba sedaya upaya menjauhkan diri dari orang di sekeliling aku. Sudahnya dalam tak sedar bahu aku ini sudah ditepuk-tepuk berkali-kali sepanjang aktiviti berbasikal dengan kenalan-kenalan lain.

Kita perlu jujur dengan diri kita sendiri dan mengakui yang penjarakan sosial memang sukar dilakukan apabila berada dalam kelompok ramai.

Berbasikal sewaktu PKPP
Seminggu tak kayuh dan mileage dalam sebulan pun ciput,
terus belasah 120km.


Seperti tersedia maklum, sejak PKPB hinggalah PKPP dapatlah aku kayuh basikal beberapa kali. Pada awalnya, seperti di dalam vlog-vlog aku sebelum ini menunjukkan aku kayuh secara berseorangan. Dan tidak lama selepas itu aku mula menyertai kelompok kecil bawah 10 orang berbasikal dalam Putrajaya. Sewaktu PKPP diumumkan pula, aku mula menyertai kumpulan basikal keluar dari Putrajaya.

Segalanya aku dokumentasikan dalam vlog-vlog aku. Kalau korang belum tonton, jemputlan tonton. Jangan kecilkan hati aku. Ha-ha!

Sejak kita dibenarkan kayuh di luar rumah, sebenarnya aku cuma dapat sesekali je kayuh. Bila dah dapat fitness sedikit, aku terpaksa berhenti sekejap dari aktiviti kayuhan disebabkan terdapat perkara yang lebih penting.

Kemudian, sambung balik latihan untuk dapat fitness semula. Tengah sedap kayuh, terpaksa berhenti semua dari latihan. Inilah aku hadapi dalam sebulan dua lalu.

Ini kerana arwah mak mertua aku menghidap kanser tahap 4. Sakitnya semakin kritikal hingga hati dan buah pinggangnya dimamah kanser. Disebabkan sewaktu kita dilarang keluar daerah, cuma isteri aku sahaja dibenarkan pulang ke kampung untung meluangkan masa menjaga emaknya. Aku di rumah pula menguruskan hal-hal anak-anak aku.

Kalau terjadi seperti ini, aku tidak sesekali akan keluar kayuh walau pun cuma dalam Putrajaya. Dikhuatiri sekira terjadinya ke atas aku perkara yang tidak diingini ketika berbasikal, ini akan menambah masalah. Kalau aku ditimpa kecelakaan jalan raya atau sebagainya, bagaimana keadaan anak aku yang masing-masing berumur 15 dan 10 tahun di rumah nanti?

Sepanjang 10 tahun berbasikal ini, macam-macam yang aku lihat dan alami. Sebagai contoh, aku pernah bercerita tentang kemalangan ketika berbasikal pada tahun 2013 kalau tak silap. Sedang seronok kayuh, tiba-tiba tanpa disangka terjadinya kemalangan melibatkan aku dan dua orang rakan lain.

Aku terselamat tanpa jatuh. Manakala dua orang rakan aku mengalami patah tulang di pergelangan tangan dan seorang lagi patah tulang selangka.

Dan waktu ini kami semua berada di daerah Negeri Sembilan.

Cerita ini boleh dibaca di sini: http://www.brekkejap.com/2013/05/kayuhan-extra-jahanam-edisi-mini-kcr.html.

Kemalangan Basikal di Negeri Sembilan
Kelam kabut jugak waktu ni. Aku pulak, cassette belakang tak dapat
berfungsi sepenuhnya disebabkan kemalangan.


Beginilah, kepada yang masih baru dalam dunia basikal, nasihat aku cuma satu: sentiasalah berfikiran rasional dan beringat-ingat selalu.

Kemalangan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Aku pun tak terkecuali. Apa yang boleh, kita berfikiran rasional mempertimbangkan bakal risiko dan mengurangkan risiko tersebut.

Baiklah, setakat ini sahaja cerita aku.

Eh, hairan juga aku pagi-pagi aku sudah mula menulis pasal basikal. Entah jin mana merasuk aku ha-ha!

PS: Sekarang ni aku kembali berusaha untuk mendapatkan kecerdasan seperti sebelum PKP. Kalau tak cergas, macam mana aku nak buat vlog. Bukan senang nak kayuh laju-laju sambil bercakap 😂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...