Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label Kuantan Century Ride 2013. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kuantan Century Ride 2013. Papar semua catatan

Selasa, 4 Jun 2013

Al-kisah Kuantan Century Ride 2013


Prolog
Kembali pada tahun 1813, tujuh bersaudara datang ke Tanah Melayu daripada Sulawesi dan berpecah mengikut firasat masing-masing ke setiap negeri untuk berkhidmat kepada Kerajaan-kerajaan yang ada ketika itu.

Salah seorang yang sulungnya berkhidmat dengan Sultan Perak ketika itu sebagai Hulubalang yang hebat di dalam sejarah Negeri Perak.

Berpuluh tahun selepas itu, mak aku bersama kembarnya dilahirkan dan dibesarkan di dalam Istana Kuning dan berkawan rapat dengan anak-anak Raja Melayu Perak di dalam Istana Kuning. Hinggalah emak aku berkahwin dan mengikut bapak aku keluar daripada istana.

Moyang aku yang datang daripada Sulawesi tu orang tempatan panggil Tok Hitam. Itu yang emak aku cerita kat aku lah. Kalau emak aku tipu, aku pun turut bersubahat sama...

Sehari Sebelum Kuantan Century Ride 2013
Pukul 8:15 pagi hari Sabtu, dengan kelam kabutnya aku sekeluarga menuju ke Presint 14. Ini kerana beberapa ahli kumpulan NOGLB berkumpul di situ untuk ke Kuantan bersama-sama.

Kuantan Century Ride 2013.
*Hak milik http://www.kuantan160.asia/

Kali ini tak macam tahun lepas. Aku macam rasakan aku belum cukup bersedia kali ini. Ini semua kerana kurang latihan akibat kerja-kerja pejabat yang terlalu sibuk.

Aku jugak terpaksa menghantar basikal aku ke KHCycle Damansara Perdana pada pagi Jumaat. Difahamkan hanger masih ada sedikit bengkok yang menyebabkan gear aku menjadi sedikit lambat bertukar ke cassette yang rendah.

Selepas balik kerja, aku terus bersiap barang-barang keperluan
dan longgokkan satu tempat.

Oh ye, kali ini aku berdaftar dibawah naungan NOGLB. Ada juga antara kami mendaftar dibawah kumpulan Jami Bike Centre dan beberapa orang sebagai Individu.

Tak kisah daftar bawah sapa pun; orangnya tetap sama yang kayuh setiap malam Rabu dan Jumaat. Misi juga sama — Habiskan kayuhan 160 km sehabis baik.

Pukul 9:35 pagi kami tiba di Petronas Serdang untuk mengambil Faizul.

Aku, Jeffery, Hairi, Taufiq dan Faizul seterusnya menuju ke tol Gombak melalui MRR2. Ada sebahagian daripada kami iaitu Norman, Jaja, Komeng, Faizal, Aar, Ajan dan Ajim menunggu kami di tol Gombak.

Aku sempat beli burger dan hotdog A&W kat perhentian Mentakab.

Kami semua tiba di MS Garden, Kuantan jam 2:30 petang. Semua peserta diwajibkan ke hotel ini untuk mengambil goodies. Orang juga masih tak berapa ramai kat sini. Mungkin masih awal lagi kot.

Tak ramai sangat orang waktu ini.

Ini adalah muka-muka yang bakal beraksi di bawah sinar mentari Kuantan
pada esok hari. Seronok nampak. Tak apa, esok lagi seronok.

Setelah mengambil goodies KCR, aku terus ke hotel yang bakal aku menginap iaitu City Times Hotel:

City Times Hotel, Kuantan.

Satu malam berharga RM200 bagi Deluxe Family. Aku akan menginap selama 2 hari sebab aku tak nak kelam kabut pulang ke Putrajaya semula seperti tahun lepas.

Ketika membayar bil penginapan, awek kaunter tu cakap macam ni, "Encik, hotel ni tak ada lif."


Lepas kayuh 160 km, naik tangga pulak.

Hah, naya! Kebetulan aku ditempatkan tingkat paling atas sekali iaitu tingkat 3.

Memang betul-betul naya. Bayangkan, 3 kali aku turun naik tangga angkat barang. Macam biasa, bini aku memang dikecualikan bab-bab sebegini; daripada bayar bil hotel hinggalah angkat barang.

Inilah rupa biliknya.

Nasib baik basikal aku ringan. Tak adalah ralat sangat. Cuma, aku bayangkan esok pagi lepas kayuh 160 km, aku kena angkut basikal naik ke tingkat 3!

Orang dah ke Stesen Angkasa ISS, hotel ni masih lagi tak ada lif.

Sebaik habis bawak barang naik ke bilik hotel, aku terus memeriksa kandungan goodies bag:

Kandungannya tak menarik perhatian aku dan berasa sedikit kecewa.

Cuba bandingkan dengan tahun lepas punya:

Betapa meriahnya kandungan goodies bag KCR 2012.
Ini baru puas hati!

Lebih kecewa, jersinya aku langsung tak boleh pakai. Saiz "S"nya umpama "XXS" dan aku tak boleh pakai langsung.

Aku buka race kit dan pasang siap-siap kat basikal aku. Malas aku nak fikir bab goodies² ni.

"Ini semua ayah punya.",  aku pesan kat anak-anak aku. Esok pagi aku
bangun tidur, sekeping coklat Cadbury sudah hilang!

Sebelum tidur, jam 10:30 malam, mata aku terkebil-kebil. Aku imbau semula apa yang terjadi daripada semalam hingga hari ini. Aku boleh katakan ianya tak seperti aku harapkan. Ianya seakan-akan petanda untuk aku...

Horey, Kuantan Century Ride 2013 Sudah Tiba!
Aku bangun jam 4:50 pagi. Segalanya berjalan lancar kerana 90% keperluan aku sudah siap malam tadi. Segalanya aku sudah susun cantik-cantik ala-ala peralatan Ninja dalam almari hotel:

Aku susun dengan kemas supaya tak terlepas pandang.

Disebabkan aku tahu dengan kurangnya latihan, aku kemungkinan akan diserang kekejangan otot kaki ketika kayuh. Maka, aku pun membeli set Kinesiology SpiderTech ketika mengambil goodies bag di MS Garden semalam.

SpiderTech Kinesiology tape. Tak sampai rm50 pun.

Sebelum sembahyang subuh aku pakai siap-siap kinesiology kat lutut dan betis aku. Aku tak tahu sejauh mana keberkesanannya. Cuma harapan aku ianya dapat mempercepatkan pemulihan kekejangan ketika kayuhan.

Sambil bersiap sambil layan Lisa Surihani dalam filem Istanbul Aku Datang.

Oh ye, lupa aku nak cerita yang kawan sekampung aku pun turut sama KCR kali ini. Datang dari Chemor dan menginap hotel yang sama dengan aku. Sama-sama terkena dapat hotel yang tak ada lif. Kebetulan bilik dia berhadapan bilik aku.

Hah, bagus sangat!

Kami berdua kayuh daripada hotel sejauh 3.4 km ke IIUM iaitu di mana tempat bermulanya acara KCR tahun ini. Setibanya di tapak perhimpunan pada pukul 6:50 pagi, aku lihat sudah ramai orang.

Kedudukan aku agak kurang strategik iaitu di tengah-tengah sekali.
*Hak milik Jerantut Cycling Club (JCC)

Bacaan doa dimulakan sebelum kayuh. Ketika bacaan doa, ada beberapa warga Singapura yang berada di hadapan aku bercakap kuat-kuat sambil gelak ketawa; sedangkan bacaan doa sedang berkumandang.

Ini sangat biadap dan ini membuatkan hati aku tiba-tiba jadi panas.

Sebentar tadi juga sebelum bacaan doa, salah seorang ahli kelab basikal daripada mereka ini dengan sengaja melanggar basikal aku dengan lututnya dan menolak belakang aku dengan kuat ketika mencelah.

Aku perhatikan diorang daripada jauh. Tak dapat nak duduk kat diorang
sebab aku dah terperangkap di tengah peserta-peserta lain.
*Hak milik Dakdone

Tidak ada perkataan "maaf" daripada beruk tersebut dan aku sifatkan beruk tersebut memperlakukan dengan sengaja.

Ini perangai beruk yang otaknya sudah rosak akibat gegaran ketika latihan berbasikal. Dan datang ke Tanah Melayu dengan perangai hodoh.

Ok, sambung balik cerita basikal dah lupakan pasal beruk tadi...

Tepat jam 7:30 pm, acara dimulakan dan aku sudah tak nampak kelibat Faizul, Bokat, Komeng dan Juga Norman. Oh ye, Norman yang patah pergelangan tangannya terpaksa bawak kereta sokongan yang dibantu anak-anaknya.

Terpegang Ketiak Orang
Ketika menuju ke pusat bandar Kuantan, aku tingkatkan kelajuan sekitar 40-45 km/j. Beberapa kali aku brek kecemasan. Disebabkan kelajuan tadi akhirnya aku nampak Jeffery, Taufiq, Jaja, Faizul, Mawi dan juga beberapa kumpulan Jami Bike Centre di hadapan.

Ini wakil NOGLB dan Jami Bike Centre.
Dari kiri, Bokat, Pae, Jaja, Ajan, Faisal, Dakdone dan Ajim.
*Hak milik Dakdone

Aku sedang keluar daripada IIUM.
*Hak milik Jerantut Cycling Club (JCC)

Ketika berada di pusat bandar Kuantan di selekoh tajam, di hadapan aku ada seorang lelaki berbangsa Cina hampir terjatuh kerana terlambat buka klip kasut. Ketika itu peloton tiba-tiba bergerak perlahan. Aku sempat berhenti dan cuba memegang lengannya. Tapi, aku salah percaturan dan terpegang ketiaknya yang basah dengan peluh!

Haru betul. Kalau ketiak awek, aku tak ralat sangat. Tapi, ini ketiak lelaki!

Tapi, tak apalah. Rezeki dia.

Kekejangan Pertama
Aku teruskan kayuhan seperti biasa. Cuma aku rasakan kayuhan kali ini agak laju. Kelajuan ini diluar kesedaran aku. Ketika di Pantai Sepat, aku lihat pada meter aku purata kelajuan adalah 37 km/j. Di sebelah aku adalah Jeffery dan di hadapan aku pula adalah Taufiq, Jaja dan Faizul.

Ketika inilah kaki aku terasa seakan-akan keras dan stress. Ini petanda tak baik.

Di kilometer yang ke-50, aku sudah terasa kaki aku hampir kejang. Ini terlalu awal dan aku tak menjangkakan ianya datang terlalu awal.

Apa yang aku boleh lakukan hanyalah menyembur dengan cramp spray. Tapi, sampai bila? Kayuhan masih berbaki 110 km.

Sedang mendaki jalan bukit. Tatkala ini aku sudah terputus peloton ke-2.
Mendaki dalam keadaan kaki yang kejang.
*Hak milik Enaikay

Di kilometer yang ke-55 lah aku terputus dengan peloton yang besar jumlahnya. Permukaannya jalannya berbukit tapi pendek. Aku dah tak mampu nak berbuat apa kerana kaki sedang kejang. Tengok aje lah peloton tinggalkan aku dari jauh.

Yang tinggal ketika ini yang aku kenal adalah Taufiq dan Jaja:

Taufiq dan Jaja.
*Hak milik Dakdone

Hero dan Heroin Sepanjang 100 km Berbaki
Tatkala inilah Taufiq berbasikal jenama Pinarello Dogma edisi Movistar dan Jaja berbasikal Pinarello Dogma 65.1 Think 2 memainkan peranan.

Aku duduk kat belakang diorang berdua je. Kejang aku makin teruk. Aku dah tak mampu tolong tarik kat depan. Cramp Spray aku hampir habis. Kaki makin sakit. Dan, aku makin terdesak.

Anggaran aku, Taufiq menarik sekitar 70 km lebih hingga bercantum dengan peloton ke-2 yang ketika itu Mawi berada dalam kelompok ini. Tercantumnya ketika di lebuhraya yang permukaan jalannya beralun dan bukit yang tinggi.

Nampak bukit kat belakang tu? Kat depan tu pun ada lagi tau.
*Hak milik Dakdone

Setelah bercantum dan tinggal hanya lagi 20 km berbaki, Taufiq pula kejang dan berhenti di tepi jalan.

Aku agak terkesan ketika ini; melihat usaha beliau punah akibat kekejangan.

Tatkala ini aku masih melawan kekejangan kedua-dua belah kaki aku. Apabila aku di atas basikal, maknanya aku tiada pilihan dan harus tamatkan permainan secepat mungkin.

Sakit itu sebahagian daripada permainan. Tapi, mengalah adalah bukan sebahagian daripada permainan.

Sekiranya aku tertinggal di belakang ketika mendaki, aku perlu turun bukit
selaju yang boleh supaya bercantum balik dengan Taufiq dan Jaja.

Bayangkan, aku melawan kekejangan kedua-dua belah kaki sejauh 80 km. Tinggal lagi 20 km je lagi. Tak akan aku nak mengalah.

Keturunan hulubalang mana mungkin mengalah dalam kesakitan.

Ye, memang kaki aku sakit. Tapi semangat aku masih lagi utuh. Bunyinya mungkin bodoh. Ye lah, orang cakap kalau sakit, berhentilah. Apa kejadahnya kayuh dalam keadaan sakit. Bukannya lumba basikal macam Le Tour de France. Lagipun orang macam aku ni mana boleh dapat hadiah nombor 1.

Tapi, ini kisah aku dan aku yang menyusun ceritanya sendiri. Permainan sebegini rupa menunjukkan siapa diri kita yang sebenarnya.

Terputus Peloton Juga Akhirnya
Lagi 9.5 km hampir kepada penyudahnya, aku tak dapat bertahan dalam peloton. Aku kehabisan tenaga dan cramp spray aku sudah habis.

Kaki aku tak dapat bertahan ketika mendaki bukit yang tinggi dan agak panjang. Semakin lama semakin jauh aku di belakang.

Jeffery, Dakdone, Faizul, Faisal, Norman, Jaja, Hairi dan Taufiq.
*Hak milik Dakdone

Powergel juga sudah habis dan aku cuma ada air Rebina di dalam poket aku. Aku habiskan air tersebut dan teruskan kayuhan yang sedikit sahaja lagi nak habis.

Aku kayuh berseorangan sepanjang 9 km tersebut. Ketika sampai di garisan penamat, barulah aku jejakkan kaki aku ke tanah.

Ini adalah perjuangan aku dan aku tamatkan dengan penuh kesungguhan.

Inilah keadaan kaki aku selepas kayuh 160.55 km.

Secara keseluruhannya aku mendapat tempat yang ke-132 daripada 1,911 peserta dengan catatan masa 04 jam 33 minit 08 saat berbanding 4 jam 40 minit 48 saat pada tahun lepas dengan 781 orang peserta.

Kali ini laluannya lebih sukar berbanding tahun lepas. Dan aku berjaya melalui kedua-duanya.

Apa yang penting, medal ini harus dikongsi dengan mereka berdua.

Inilah cerita aku. Ini melambangkan siapa aku sebenarnya.

PS: Ini baru Kuantan Century Ride 2013. Belum lagi Powerman 2013. Fuhhhhhh!

PPS: Tahniah dan terima kasih kepada ahli kumpuan NOGLB.

PPPS: Terima kasih kepada Norman diatas sumbangan 2 botol air mineral ketika aku mengelupur memerlukannya.

Rabu, 29 Mei 2013

Persediaan Saat Akhir Kuantan Century Ride 2013


Ada 4 hari lagi untuk Kuantan Century Ride 2013 iaitu 2 Jun 2013 hujung minggu ini. Kepada yang baru pertama kali menyertai Century Ride, jangan risau. Ini bukannya perlumbaan macam Le Tour de France. Ini hanyalah aktiviti sosial berbasikal sejauh 160.39 km sahaja.

Tak ada menang, tak ada kalah. Cuma kalau habis pukul 6:35 petang, tak dapat le medal.

Lagipun, setiap 40.23 km disunatkan berhenti untuk rehat. Sambil rehat tepi jalan, boleh le menikmati juadah ala-ala berbuka puasa.

Kalau nampak baju ini bersama basikal Scott, tegurlah aku.

Tapi, kalau nak dapat medal kena le habiskan secepat mungkin. Jangan le setiap kali berhenti minum atau makan serupa lepak kat kedai mamak. Siap bersila sambil update Facebook; ini jangankan medal, air sirap pun tak dapat.

Ye lah, sampai pun lewat. Khemah pun dah angkut naik lori.

Pesanan aku, jangan berasa tertekan dengan suasana sekeliling. Abaikan kehebatan basikal orang lain. Lakukan untuk diri sendiri dengan objektif:
“Tamatkan 160.39 km bawah 8 jam dengan selamat tanpa tekanan.”
Itu je, bukan susah pun.

Tengah kayuh semalam, angin tayar depan perlahan-lahan keluar.
Nasib baik sempat kayuh 60 km. Pagi tadi, terus hantar KH Cycle mintak tolong
tengokkan.

Okey tak apa. Aku kongsikan beberapa tips yang mungkin berguna kepada mereka yang masih gabra dan sangsi dengan kemampuan diri sendiri.

Perkara yang perlu diberi perhatian diminggu terakhir:
  1. Basikal sudah pun diselenggara sepenuhnya pada dua atau tiga minggu lepas
  2. Sekiranya masih lagi mahu berlatih, bawak basikal elok-elok dan berhati-hati. Jangan sampai cedera atau basikal rosak
  3. Beli siap-siap ORS 5 paket, Cramp Spray 1 tin, Powergel 5 paket, Powerbar satu, Livita Madu 3 tin, Coke 1 botol, 2 tiub tambahan
  4. Gunting rambut bagi pendek. Kita ni bukan Steven Seagal yang boleh tahan panas masa kayuh
  5. Minum air 2 - 3 liter sehari
Rambut Stevan Seagal tak sesuai dibawa kayuh basikal.

Jangan lupa tin kecil ajaib ini!

Perkara yang perlu dielakkan disaat-saat akhir:
  1. Jangan baru nak hantar basikal untuk diselenggara waktu sebegini. Banyak basikal yang sedang menunggu giliran di kedai
  2. Ubahsuai kedudukan basikal konon-kononnya nak bagi aero lebih. Silap haribulan, terseliuh pinggang masa kayuh
  3. Makan benda pelik-pelik kononnya nak tambah power. Cirit birit seminggu baru tau!
  4. Demam, sakit tekak akibat kurang minum air
Tadi, aku sempat beli sarung tangan Assos untuk gantikan sarung tangan
Assos yang lama punya. Kena pakai dua tiga kali bagi selesa sebelum
pakai masa KCR nanti.

Di hari Perlumbaan:
  1. Sembahyang subuh. Berdoa banyak-banyak supaya dijauhkan segala musibah
  2. Pakai set pakaian basikal yang selesa dan ianya biasa dipakai sebelum ini
  3. Jangan pakai bib baru yang baru keluar dalam plastik; atau erti kata lain tak pernah kita pakai pun. Sebaliknya, pakai bib yang dah pernah dipakai dan terbukti selesa
  4. Pastikan pam, pengumpil tayar, dua unit tiub, cramp spray, Powergel, sebotol air Coke, kad pengenalan, telefon bimbit, sudah diletakkan di poket belakang
  5. Jangan gabra. Cari awek cun dan bersembanglah dengan beliau sambil kayuh. Minta nombor telefon sekali
  6. Nikmati permandangan indah ciptaan Allah sepanjang kayuhan
Bawak 2 unit tiub ketika kayuhan berlangsung.

Seboleh-bolehnya, pakai pam jenis CO2. Tak payah buang masa pam
cara manual.

Okey, masa acara berlangsung jangan rasa kekok atau tertekan. Kayuh macam biasa seolah-olah kita berlatih sebelum ini. Kayuh ikut rentak atau kelajuan yang kita selesa. Tapi, janganlah pelan sangat.

Kalau perlu makan Powergel, makan. Apa yang penting, kerap minum air. Kalau air kurang dalam badan, kayuh pun tak larat, kaki pun boleh cramp!

Apa-apa pun semoga berjaya habis kan 160.39 km di bawah paras yang dibenarkan iaitu 8 jam.

Sebagai bacaan tambahan, apa kata selami pengalaman aku ketika Kuantan Century Ride 2012 tahun lepas. Ada juga aku kongsikan beberapa tips.

PS: Jangan lupa cramp spray tau!

Rabu, 22 Mei 2013

Kayuhan Extra Jahanam Edisi Mini KCR 2013


Esok Ahad, 19/5/2013. Ride Broga Loop. Mula dari Putrajaya Persint 14 - Hulu Langat bt 18 - Genting Peras (Perez) - Kuala Klawang - Bukit Tangga - Bukit Mendum - Lenggeng - Semenyih - Bangi Lama - Persint 14. Anggaran 160 km. Kumpul pukul 7.00 pagi. Golek 7.30 pagi.
Itulah bunyi pengumuman di dalam Facebook Group NOGLB pada hari Sabtu lepas. Dan disebabkan status inilah aku kelam kabut pulang ke Putrajaya semula pada pukul 6:30 petang Sabtu itu jugak. Walhal, aku tiba di Chemor, Perak jam 3:15 petang untuk menghantar isteri dan anak-anak aku bercuti seminggu di kampung.

Baru melepasi Pekan Chemor dan sedang menuju ke lebuhraya
Utara - Selatan.

Disebabkan kelam kabut pulang ke Putrajaya semula, aku terlupa untuk minum air yang banyak sepanjang hari. Sedangkan esok hari hendak pulun 160 km.

Ini tidak boleh jadi...

Setiba di Putrajaya, aku singgah di Farmasi Guardian di Presint 8 untuk membeli ORS, Power Gel dan ubat cirit. Aku ni dah 3 hari sakit perut akibat jamuan percuma tengahari di pejabat hari Khamis lepas.

ORS adalah satu minuman tambahan yang wajib sehari sebelum kayuhan
jarak jauh.

Kebetulan sebelah farmasi ada Domino's Pizza. Akibatnya:

Kena makan jugak malam tu. Kalau tak, esok pagi tak larat nak kayuh.

Aku sampai rumah pukul 9:45 malam. Letih jugak le. Pukul 11:00 malam aku kena paksa tidur untuk mengelakkan tertidur masa kayuh esok hari.

Cabaran Mini KCR 160 km
Aku pernah ceritakan Kayuhan Jahanam pada tahun lepas. Aku harapkan azabnya tak seteruk Kayuhan Jahanam seperti yang kami semula pernah lalui. Lagipun 14 orang yang sudi menyahut cabaran kali ini berbanding 7 orang pada tahun lepas. Bezanya tak ada kereta sokongan mengiringi sepanjang kayuhan berlangsung.

Bersiap sedia semua!
Bersama Dogma Think2 Movistar.

Bacaan doa oleh Kapten Movistar.
*Hak milik Fadzil.

Jam 7:45 pagi, kami semua mula bergerak ke Sungai Merab seterusnya memasuki lebuhraya Cheras - Kajang untuk menuju ke Batu 18, Hulu Langat.

Sedang meneka siapa yang akan cramp dulu.
*Hak milik Fadzil.

Sedang menuju keluar daripada Putrajaya.
*Hak milik Fadzil.

Keretapi Tanah Melayu.
*Hak milik Fadzil.

Diawal kayuhan, aku tak ada rasa kaki seakan keras seperti sebelumnya. Mungkin dalam minggu ini jumlah kayuhan aku sudah agak cukup iaitu 184 km. Yang lain-lain pun nampak steady je aku tengok. Harap-harap semua steady sampai habis kayuh.

Tiba di kaki bukit Genting Peras sekitar jam 9:20 pagi dengan kadar kelajuan 30 km/j. Tunggu yang lain-lain lebih kurang 5 - 10 minit sekejap dan baru kayuh menuju ke puncak sama-sama. Tiba di puncak lebih kurang 9:55 pagi.

Tengah tunggu yang lain-lain sebelum mendaki Genting Peras.
*Hak milik Fadzil.

Sedang mendaki, ada penunggang motosikal terbabas. Beberapa orang
daripada kami tolong tarik motor keluar dari semak.
*Hak milik Fadzil.

Sedang menunggu 3 orang masih di belakang — tengah menolong
Mat Rempit yang terbabas.

Selepas semua dah ada, kami pun menuju ke Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Kelajuan sederhana sekitar 28 km/j - 33 km/j. Akibat terlampau lama lepak puncak Genting Peras, kaki pun dah keras. Kelajuan 28 km/j tu pun dah rasa macam nak gantung basikal.

Aku dah pesan awal-awal, kalau jumpa kedai tepi jalan kita singgah. Aku dah terbayang-bayangkan air Coke campur garam dalam gelas berisi ketulan ais.

Nasib baik dalam 17 km di hadapan ada kedai makan tepi jalan. Fuhhhh, selamat!

Sambil meletak helmet, beliau menceritakan pengalaman beliau ketika
menjadi Penari Kebudayaan di Istana Budaya 15 tahun dahulu.

Sebenarnya dua tin Coke aku bedal.

Suasana kedai kecik tepi jalan dah serupa kenduri kawin. Bezanya kenduri kawin tak ada menu nasik lemak, Coke, limau ais dan menu-menu pelik lain.

Lepas bedal macam-macam menu dalam 20 ke 30 minit, kitorang bergerak menuju ke arah Bukit Tangga. Selain nama Bukit Tangga, ada yang menggelarnya dengan nama Jeram Toi atau Broga Betina. Tak kisah apa pun namanya, ianya masih tetap bukit yang jauhnya sekitar 3 km.

Berguling di Atas Rumput
Ketika lagi 1.5 km nak sampai kaki Bukit Tangga, terjadinya perkara yang paling tak best. Dua daripada kami mengalami kemalangan yang mengakibatkan salah seorang daripadanya iaitu Norman patah pergelangan tangan dan seorang lagi namanya Anas mengalami patah tulang selangka.

Cuaca tengah panas waktu tu.

Kronologinya begini:
  1. Lagi beberapa km nak sampai Bukit Tangga, Norman tarik dengan kelajuan 30 km/j sekitar satu hingga dua km.
  2. Dah puas tarik kawan-kawan yang jadi cendawan kat belakang, Norman pun ke belakang dan kebetulan aku berada dua dari belakang.
  3. Ketika itu belakang aku pula Anas.
  4. Tanpa sedar aku mengelak lubang kecil di atas garisan putih di tepi jalan.
  5. Ketika aku mengelak lubang inilah terjadinya insiden tersebut; wheelset Norman tersangkut pada rear derailleur (RD) aku dan terus jatuh.
  6. Sebaliknya, aku tidak jatuh dan tidak rasa apa-apa melainkan berasa beban pada tayar belakang aku.
  7. Ianya berlalu pantas – ketika aku rasa ada beban pada tayar aku dan bunyi seperti besi berlaga pada tayar aku. Aku sangkakan tayar aku tercabut.
  8. Pada masa yang sama juga aku dengar Norman menjerit. Aku toleh ke belakang tengok Norman dan Anas dah berguling atas rumput tepi jalan.
  9. Difahamkan, ketika Norman jatuh, Anas tak sempat mengelak lalu melanggar rusuk Norman.
Nasib baik ada sepasang suami isteri berada di belakang kami.
Terus beliau telefon ambulan. Terima kasih untuk beliau sekeluarga!

Dalam keadaan macam ni, aku pun tumpang panik sekejap.
*Hak milik Fadzil.

Selepas ambulan bawak Norman dan Anas ke hospital berdekatan, kitorang terpaksa telefon rakan terdekat untuk bantuan — Tolong bawakkan dua basikal yang cedera parah pulang ke Putrajaya.

Salah seorang daripada kami iaitu Zul bijak mengambil kesempatan untuk tumpang sekaki balik ke Putrajaya dengan menaiki kereta.

Sedang menunggu kereta sokongan dari Bangi dan Serdang.
*Hak milik Fadzil.

Sementara itu kami semua teruskan perjalanan menuju ke Bukit Tangga yang hanya 1 km di hadapan; Dan meninggalkan Zul untuk menjaga basikal yang cedera tadi hingga bantuan tiba.

Ketika mendaki Bukit Tangga, baru aku perasan yang rear derailleur (RD) tak boleh naik ke cassette 9 dan 10. Hanger bengkok akibat perlanggaran dengan basikal Norman.

Ini bermakna aku perlu mendaki Bukit Tangga dan Bukit Mendum dengan cassette ke-8.

Masak!

Walau bagaimana pun, aku berjaya jugak naik Bukit Tangga dengan kelajuan 8 - 11 km/j. Tapi, tak boleh senyum sambil kayuh.

Rear derailleur calar dan hanger bengkok.

Seterusnya, di hadapan adalah Bukit Mendum. Ini lagi jahanam! Tak silap aku lagi tinggi daripada bukit Tangga.

Aku dah pesan awal-awal kat Jaja, kalau aku lambat maknanya aku tolak basikal.

Tapi macam biasa, hero dalam blog aku ni adalah diri aku sendiri. Mana mungkin heronya orang lain. Blog aku, heronya kena lah aku jugak.

Aku berjaya naik Bukit Mendum dengan cassette 8 sahaja. Walaupun perlahan dengan kelajuan sekitar 6 - 9 km/j sahaja. Tapi aku takde lah sampai menolak.

Sebelum naik Bukit Mendum. Sedang menunggu dua orang lagi di belakang.

Ada yang cadang supaya aku menyerah kalah dan turut sama naik kereta.
*Hak milik Fadzil.

Selepas turun dari Bukit Mendum, kami semua berhenti singgah di kedai makan tepi jalan. Ketika ini jam sudah pun menunjukkan pukul 2:20 petang.

Tak tau kenduri sapa pulak kali ni.

Siapa nak power, boleh makan tauhu bakar. Terbukti pada hari tersebut
bahawa sumber tenaganya seperti suntikan steroid.

Ada lagi lebih kurang 60 km berbaki perlu ditamatkan. Jam 2:50 petang, kami semua teruskan perjalanan menuju ke Putrajaya melalui Universiti Nottingham dan seterusnya ke arah Semenyih.

Di Stesen Petronas Semenyih.

Ketika di Bangi Lama, ada yang cramp sampai tak boleh nak kayuh. Nasib baik ada kereta sokongan ikut dari belakang dan terus naik kereta; Dengan harapan dapat bersenang lenang sambil ditemani radio dan penghawa dingin.

Kami semua tiba di Presint 14, Putrajaya jam 4:40 petang dengan kayuhan sejauh 159 km. Kayuhan kali ini tidak le seteruk Kayuhan Jahanam di hari Deepavali tahun lepas. Tapi, apa yang menjadi cabaranya adalah jatuh basikal dan patah tulang, ahli peloton semakin kurang, cuaca panas, bukit-bukit yang tinggi dan juga rear derailleur (RD) aku rosak.

Kalori habis dekat 4000 cal. Kena ganti balik kalori yang hilang dengan
Beriani Pakistan Kambing disulami dengan Kari Kambing.

Semangat tolong menolong juga terserlah di sepanjang kayuhan ini. Daripada menolong Mat Rempit terbabas hinggalah membantu rakan-rakan sendiri jatuh dan tercedera.

Akhir sekali, semoga Norman dan Anas pulih secepat mungkin daripada kecederaan.

PS: Sejak bulan Mei hinggalah ke hari ini, aku sangat sibuk dengan kerja pejabat. Banyak latihan basikal untuk Kuantan Century Ride 2013 terpaksa aku skip. Macam manalah nasib aku masa 160 km kat Kuantan nanti...

PPS: Penangan 159 km ini mengakibatkan cirit-birit yang aku derita selama 4 hari hilang tanpa dikesan pada hari yang sama jugak.

Versi Kemaskini:
Aku tulis blog ni agak kelam kabut jugak le. Ada bahagian penting dalam cerita ini aku langkau demi perbuatan aku menulis blog di pejabat tidak dikesan oleh pihak bertanggungjawab.

Bahagian penting yang dimaksudkan adalah Azwar yang kayuh berseorangan mengambil keputusan mengikut kami ketika bertembung di puncak Genting Peras. Dan kemudiannya, ketika di Lenggeng beliau patah balik melalui jalan yang sama ke Genting Peras untuk pulang ke Puncak Jalil.

Beliau juga yang memangku tangan Anas hingga ambulan datang.

Begitu juga tentang Faizal Maat, Komeng dan Bokat yang datang bagi misi menyelamat basikal yang cedera parah. Faizal Maat juga tolong bukakan kasut salah seorang daripada kami ketika di atas basikal yang sedang kekejangan kedua-dua belah peha.

Oh, mereka juga Pahlawan di sebalik belakang tabir dan turut memberi sumbangan besar kepada kemajuan hobi sukan berbasikal Malaysia.

Bak kata Angelina Jolie - "The Hidden Heroes".

Terima kasih daun keladi untuk mereka ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...