Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label bukit limau manis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bukit limau manis. Papar semua catatan

Rabu, 26 Disember 2018

Aku Jatuh Basikal


Sepanjang aku kayuh basikal, ini adalah kali ke-dua aku jatuh dengan kelajuan yang tidak munasabah — 5 km/j je. Gaya jatuhnya sama je. Dan paling ajaib, dua-duanya adalah di selekoh simpang jalan. Cuma lokasinya sahaja berlainan.

Keadaannya aku jatuh pun sungguh tidak macho keadaannya. Langsung tidak sama seperti dalam filem Hollywood di mana keadaannya jauh lebih dramatik dan penuh aksi. Sebaliknya aku? Ah...

Takpe, kronologinya kemudian aku cerita...

Muka-muka orang lama Putrajaya Night Ride yang usianya
semakin bertambah.

Idea kayuhan sejauh hampir 60 km ini adalah idea salah seorang rakan Putrajaya Night Ride (PNR) iaitu Norman. Ini adalah kayuhan sempena Reunion PNR yang rata-ratanya sudah lama berhenti daripada kayuhan. Idea asalnya adalah mahu ke KLIA. Memandangkan ramai di antara kami (termasuk aku) sudah lama tidak kayuh jauh, idea tersebut terpaksa dibatalkan.

Aku pun sebenarnya tidak tahu berapa ramai yang akan menyertai kayuhan pagi tersebut. Sebaik sahaja berkumpul, jumlah yang menyertainya boleh tahan juga ramainya; 11 orang termasuk aku.

Jatuh
Sebaik sahaja kayuhan bermula, alah... tak sampai 40 meter kayuh pun, entah macam mana aku teringat nak cek pintu kereta dan bersedia untuk pusing ke belakang, entah macam mana waktu aku brek tiba-tiba aku rasakan tayar belakang aku 'jem'.

Disebabkan tayar belakang aku breknya seakan tak berfungsi, sebagai tindak balas automatiknya tangan aku dengan pantas menekan brek hadapan.

Apa lagi, disebabkan dalam keadaan kelam kabut aku tidak sempat nak buka cleat kasut yang harganya lebih mahal daripada rim alloy basikal aku. Berguling pun tak, terlentang pun tak; gaya aku waktu itu macam terlebih corner baring yang gagal di litar lumba sepang.

Cis!

Beberapa orang rakan membantu aku dan dalam waktu singkat punca kemalangan ajaib itu dapat dikenalpasti — quick release tayar belakang aku dalam keadaan terbuka. Posisi tayar belakang sudah terkeluar dari posisi asal. Ini bermakna quick release aku tidak ketat keadaannya sebelum mula kayuhan lagi.

Fuhhh, nasib baik jatuh dalam keadaan macam tu. Kalau jatuh masa naik atau turun bukit atau pun ketika laju, rasanya aku kat hospital sekarang ni.

Basikal aku tak ada apa cederanya. Cuma brake lever sebelah kiri sedikit calar dan tidak berapa nampak sangat.

Bukit-Bukau
Menu hari ni memang mencari laluan yang berbukit. Daripada Bukit Bangang Alamanda terus ke Cyberjaya dan masuk ke Kampung Limau Manis.


Bukit-bukit Kampung Limau Manis ni jangan main-main. Ramai orang gantung basikal kerana tewas dengan bukit-bukitnya.

Tapi jangan risau, kami Pahlawan Basikal dan semangat juang yang bukan main tingginya. Walapun antara kami ini sudah lama tak kayuh, tapi bunga-bunga pertempuran gaya gerila masih lagi ada. Tidak ada seorang pun yang menolak basikal setakat ini.

Bukit sejauh 220 meter ini adalah santapan pertama
di dalam Kampung Limau Manis.
Santapan keduanya pula adalah bukit ini. Lepas ini aku dah tak ingat
ada berapa bukit kat depan sana tu. Bersepah bukit-bukitnya.

Walaupun begitu, azabnya jangan cakaplah. Degup jantung macam double pedal kumpulan Napalm Death.

Penutup kayuhannya pulak melalui Kampung Sungai Merab. Hah, mendapatlah!

Tapi, semua laluan tersebut berjaya diatasi tanpa merungut. Satu kepuasan yang aku tak dapat ceritakan dalam blog ini.

Kaki terseliuh, Sakit Tekak, Demam
Sebaik sahaja turun daripada basikal, aku dapat rasakan kaki kiri aku sakit. Keadaan lebih teruk lagi bila dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta. Setiap kali menekan clutch sakitnya bukan main.

Yang peliknya sewaktu kayuh basikal aku langsung tak rasa apa-apa. Ini mungkin kerana posisi kaki aku tidak banyak berubah. Mungkin itu sebabnya.

Sebelum pekena bukit-bukit di Kampung Limau Manis, Kajang.

Aku terus ke klinik berdekatan dan doktor berikan ubat sapu, pil tahan sakit dan kurang bengkak.

Dalam masa yang sama juga tekak aku perit. Sampai rumah aku mula demam. Ini mungkin disebabkan cuaca panas dan dehidrasi.

Selepas bersihkan diri, aku terus tidur. Jam 6 petang aku terjaga daripada tidur dan kaki yang terseliuh dan bengkak itu sakitnya sudah hilang. Demam pun sudah tak ada. Cuma yang tinggal hanyalah sakit tekak.

Alhamdulillah.

Kenapa Terseliuh Kaki Cepat Sangat Pulihnya?
Disamping kuasa Allah, sedikit ilmu aku dalam pemakanan menjadi penggeraknya. Sebaik sahaja aku rasa kaki aku macam ada yang tak kena, aku minum susu kambing segar. Kebetulan kat kedai mamak kami lepak selepas kayuh ada jual susu kambing.

Seperti kita ketahui, setiap 100 gram susu kambing mengandungi 3.5 gram protein dan lebih tinggi daripada susu lembu. Tugas protein pula adalah membaik pulih sel-sel otot.

Kemudian, pergi klinik dapatkan ubat sapu dan pil kurang bengkak. Ubat tahan sakit tak perlu makan. Sakit tu tahan je.

Ubat sapu dan pil tahan bengkak.

Akhir sekali, tuam dengan ais dalam 15 minit.

Lepas tu tidur. Tidur tu penting sebab waktu kita tidur tu lah badan kita mula pulihkan sel-sel yang sudah rosak. Dalam kes aku, aku tidur selama 4 jam.

Kalau Allah izin, pulihlah sakit-sakit tu.

Apa yang penting selepas rasa sakit, langkah-langkah tadi harus dilakukan secepat mungkin. Begitulah ceritanya.

Semoga apa yang dikongsikan dalam kisah aku ini boleh dijadikan tauladan.

PS: Sakit tekak belum hilang. Biasanya ambik masa seminggu jugak le.

Isnin, 31 Oktober 2011

Kayuhan di Pagi Ahad: Misi Mendaki Bukit Limau Manis, Kajang


Aktiviti sebagai penutup hujung minggu bagi bulan Oktober dimulakan dengan kayuhan kesihatan yang bermula dari:

Presint Diplomatik, Putrajaya > Dengkil > Kota Warisan, Salak Tinggi > De Palma Inn, Sepang > Kampung Limau Manis, Kajang > Presint Diplomatik, Putrajaya.

Jam 7:18 pagi sekitar Putrajaya. Sedang menaiki kereta
menuju Presint Diplomatik.

Tepat Jam 7:45 pagi, kami yang terdiri daripada wakil setiap daerah Wilayah Persekutuan dan Selangor seramai 6 orang mula bergerak keluar daripada Putrajaya menuju ke Dengkil dengan kayuhan cadence.

Presint Diplomatik - Sebelum mulakan kayuhan, ambik
gambar dulu. Karang masa kayuh memang takkan dapat
ambik gambar.

Sepanjang laluan daerah Dengkil, kadar kelajuan secara puratanya 38 - 45 km/j. Sekali-sekala terlajak jugak 50 km/j. Tapi, kena kawal sedikit kelajuan sebab perjalanan jauh lagi. Lagipun ada beberapa bukit yang sedang menanti di penghujung kayuhan.

Kayuhan diteruskan hingga ke Salak Tinggi, Sepang untuk menuju ke De Palma Inn. Laluan ini ada satu bukit yang agak panjang sekitar 700 meter. Bukit ini Lance Armstrong tak pernah lalu - Mungkin gerun dengan ketinggian bukit yang agak panjang ini dan seterusnya mengambil keputusan mendaki Mont Ventoux yang terletak di Selatan Perancis sahaja.

Selepas bukit panjang De Palma Inn tadi, kami kayuh selaju yang boleh sehingga memasuki daerah Kampung Limau Manis, Kajang. Purata kelajuan setakat ini masih 30 km/j.

Setiba di bukit-bukit tinggi Limau Manis, purata kelajuan makin menurun hingga mencecah 27 km/j. Ini kerana bukit-bukitnya yang tinggi dan panjang. Kalau satu atau dua bukit sahaja, tak apalah. Ini ada lima bukit yang agak tinggi jugalah yang perlu didaki.

Ini belum masuk bukit Alamanda yang panjang tu!

Memang bukit-bukit di sekitar Limau Manis memang mencabar mental. Aku nak cerita banyak pun tak reti. Korang kena merasa sendiri. Perlu diingatkan Jan Ullrich pun tak pernah jejak kakinya di sini. Ini mungkin kerana di awal-awal lagi beliau sudah surrender dengar nama Limau Manis, Kajang!

Lepas habis azab mendaki bukit-bukit Limau Manis, kami terus memasuki Putrajaya dan seterusnya melalui bukit Alamanda dengan kelajuan di meter sekitar 22 km/j.

Presint Diplomatik - Baru habis kayuh.

Basikal milik Norman.

Specialized S-Works milik Iskandar dan Scott Addict milik
aku.

BMC SLX01 milik Faizul Hashim.

Orbea Diva kaler pink milik Man.

Pinarello FP3 kepunyaan Shahrul.

Kami tamatkan kayuhan sekitar jam 9:57 pagi. Secara keseluruhannya, kayuhan kali ini:
Purata Kelajuan: 27.68 km/j
Kalori: 1776 kcal
Jarak: 58.72 km
Masa: 2h:07m:08s
Kayuhan kali ini agak meletihkan kerana angin yang kuat serta angkara bukit-bukit durjana. Walaupun sejauh 58.72 km, sudah cukup untuk buatkan degupan jantung mencanak naik mencecah 196 bpm.

PS: Aku sudah timbang berat basikal aku semalam iaitu 7.96 kg dan sedang berusaha untuk turunkan lagi 200 gram sehingga hujung bulan November ini. Berikan aku sedikit duit wang emas semangat!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...