Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label camden town. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label camden town. Papar semua catatan

Jumaat, 19 Ogos 2011

Hari ke Sembilan: Harrods dan Horse Tunnel Market


Kejap je masa berlalu, sedar-sedar sudah pun masuk hari ke sembilan aku berada di kota London. Ini bermakna esok adalah hari terakhir aku di kota London dan perlu pulang ke Malaysia di sebelah petangnya.

Aktiviti hari ini tidak padat seperti sebelumnya. Ini kerana jadual yang aku susun pada hari yang kesembilan ini hanya untuk membeli belah di Harrods dan Camden Town sahaja.

Sebelum keluar hotel, aku mengira lagi wang berbaki dalam pouch yang sentiasa aku bawak ke mana-mana pun. Kira punya kira, masih ada lagi ₤700 - Ini sudah bagus! Lalu, aku mengasingkan ₤50 pound ke dalam beg duit aku dan ₤50 lagi di dalam poket bahagian luar pouch yang mudah dicapai.

Pukul 8.25 pagi, kami berdua keluar daripada hotel dan seperti biasa, terus menuju ke stesen Old Street dan tiba di stesen Knightsbridge pada pukul 9.16 pagi.

Knightsbridge - Sedang menuju ke Harrods.

Harrods - Oh, inilah rupanya pusat membeli-belah Harrods.

Cuaca di pagi hari sekitar London sangatlah sejuk. Ini membuatkan kami berdua berjalan dengan laju untuk masuk terus ke dalam Harrods. Sampai di hadapan pintu masuk, kami terpandang nota di hadapan pintu yang tertulis:

Harrods - Opening Hours 10 am - 8 pm.

Ini maknanya, aku perlu tunggu di luar dalam keadaan mengeletar selama 40 minit! Sambil-sambil menunggu pintu dibuka, aku merayau sekeliling bangunan Harrods.

Harrods - Di hadapan pintu Harrods, ada kedai kek. Nampak
macam sedap je keknya.

Harrods - Sebijik kereta Ferrari bernombor plate Johor JA 11.

Tunggu punya tunggu akhirnya tepat jam 10 pagi barulah pintu masuk Harrods dibuka. Apa lagi, kami berdua terus masuk dan tiba-tiba rasa macam orang yang sangat kaya.

Kiri dan kanan aku dipenuhi dengan pakaian-pakaian mahal daripada pereka yang mungkin terkenal. Sorry lah geng, aku tak reti bab-bab pakaian ni. Jenama-jenama barang basikal aku tau lah.

Ada jenamanya aku tak reti nak sebut punyalah melambak. Memang tak dinafikan, pakaiannya memang gempak. Harganya je mencecah RM8000 lebih. Kalaulah aku pulang ke Kampung Cik Zainal dengan berpakaian sebegini rupa, silap gayanya aku terus dilantik jadi Ketua Kampung. Kalau nak lebih hebat lagi, aku boleh dicalonkan sebagai Adun Hulu Kinta.

Disebabkan aku terlampau berangan sangat ketika itu, aku terlupa nak ambik gambar pakaian-pakaian tersebut untuk dikongsikan dengan korang semua. Maafkanlah aku seadanya...

Aku teruskan perjalanan di dalam Harrods ke tingkat atasnya pula...

Harrods - Bahagian cenderahati. Setakat ini, harganya masih
didalam kemampuan aku - walaupun harganya masih tidak
logik.

Harrods - Bersedia memasuki kawasan orang-orang kaya.

Harrods - Karpet je harganya ₤3,995.00 (RM19,661.00).
Gila apa!

Harrods - Teddy Bear besar di sebelah karpet gila tu pulak
harganya ₤1900. Sama gila dengan karpet disebelahnya.

Daripada tadi aku perati bini aku, mata dia bulat je. Ntah apa dia berangan, aku pun tak tau. Apa yang pastinya, jangan dia gatal-gatal beli karpet merepek tadi tu. Aku tau duit dia tinggal berapa lagi!

Aku menaiki tingkat seterusnya...

Ketika aku di bahagian eskaletor, baru aku perasan yang dekorasinya sangat unik - Penuh dengan elemen-elemen Mesir seperti firaun, piramid dan ukiran-ukiran kuno Mesir.

Harrods - Ketika menuruni eskalator. Perhatikan di
dindingnya, terdapat ukiran purba Mesir.

Harrods - Sekeliling dindingnya dipenuhi ukiran yang sama.

Harrods - Suasanya di bahagian eskalatornya agak malap.

Harrods - Ruang memperingati tragedi pada August 31, 1997.
Unsur Illuminati jelas kelihatan.

Harrods - Replika Firaun di dalam bangunan
Harrods.

Aku melihat jam sudah pun pukul 11.07 minit pagi. Setakat ini, aku berjaya habiskan sebanyak ₤45 ke atas beberapa cenderahati, biskut dan cokelat. Jadi, ada baiknya aku keluar secepat mungkin daripada Harrods sebelum duit aku habis lebih banyak lagi.

Destinasi seterusnya adalah Horse Tunnel Market yang terletak di Camden Town. Kami tiba di situ jam 1.00 petang. Aku bercadang untuk luangkan lebih masa di dalam pekan ni tanpa kelam kabut. Aku mahu jalan pelan-pelan sambil menikmati udaranya yang dingin, sekali sekala anginnya bertiup kuat dan melihat gelagat orang-orang yang berada di sekitarnya.

Camden Town - Sedang menaiki eskelator.

Camden Town - Sebaik keluar daripada stesen
Camden Town.

Camden Town - salah satu kedai yang terdapat di sekitarnya.

Camden Town - Riverness Street Market.

Camden Town - Macam-macam jenis kedai ada di sepanjang
jalan kecil ni.

Camden Town - Baju Gothic pun ada di sini.

Camden Town - Kedai pakaian.

Camden Town - Di simpang empat. Tak berapa banyak
kenderaan yang lalu lalang.

Camden Town - Kedai baju dan kedai kasut paling banyak
di dalam Camden Town.

Camden Town - Dalam bangunan ni lebih kurang sama
macam Central Market, KL.

Camden Town - Barulah nampak kereta lalu lalang.

Lepas jalan-jalan di sekitarnya, kami berdua singgah di kedai "Kita Kitchen" untuk makan. Kalau dapat makan makanan panas pun sedap jugak. Jadi, kami berdua pesan 2 mangkuk laksa, air bandung dan teh tarik. Yang mengambil pesanan aku adalah anak tokei kedai iaitu Mahathir.

Sedang menunggu makanan sampai, kami berdua perhatikan gelagat orang yang lalu lalang di hadapan kami dan mengambil gambar suasana sekitarnya.

Camden Town - Kedai makan orang Parsi.

Camden Town - Kedai Donat. 6 ketul ₤2.50 dan memang
sedap.

Tak lama lepas tu, makanan kami sampai dan apa lagi, kami berdua pulun-sepulun-pulunnya sehabis daya. Sedap seyyyy! Bayangkan dalam keadaan cuacanya yang sejuk, dapat makan Laksa Singapore yang berasap-asap.

Camden Town - Singgah kedai "Kita Kitchen" dan makan
Laksa Singapore.

Lepas kami berdua makan, sembang-sembang dengan geng "Kita Kitchen" dan bertukar nombor telefon, kami berdua terus menuju ke Horse Tunnel Market. Aku sempat cakap kat Mahathir dan rakannya yang kampungnya di Bandar Baru Bangi, kalau balik Malaysia jangan lupa telefon kami berdua. Kita boleh jumpa dan sembang panjang kat Malaysia.

Camden Town - Inilah Horse Tunnel Market.

Camden Town - Di dalam Horse Tunnel Market.

Camden Town - Di persekitarannya penuh dengan patung-
patung kuda.

Camden Town - Di dalamnya banyak kedai-kedai kulit dan
aksesori seperti rantai dan gelang.

Camden Town - Terowong yang terdapat
di dalamnya

Camden Town - Dipenuhi dengan deretan kedai yang
pelbagai jenis barangan dijual.

Camden Town - Sejarah tentang The Stables.

Camden Town - Kedai kulit lagi...

Camden Town - Sebelum kamera aku baterinya
habis, sempat ambik gambar orang sedang
melukis

Aku hairan betul dengan kamera Nikon aku ni, cepat sangat baterinya habis. Nak kata tak cas, tiap-tiap malam aku cas. Nak kata bateri kong, tak kan lah - Kan ke kamera baru!

Dalam jam 4 petang, kami terus pulang ke hotel dan sempat singgah kedai Turkey di kedai yang biasa kami pergi. Cadangnya nak beli makanan dan nak salam dengan mamat Turkey yang kami biasa sembang tu. Tapi dia cuti pulak hari tu. Ye lah, hari ni hari terakhir kami boleh jumpa, esok memang tak sempatlah sebab dah nak balik ke Malaysia.

Tak apa lah, tak dapat jumpa pun tak apa lah. Janji baki duit pound sterling aku masih banyak. Kalau aku duduk lama kat dalam Harrods, silap gaya mau terbeli benda-benda merepek yang harganya sangat mengarut!

PS: Malam tadi aku termimpikan London. Nampak sangatlah dalam diam aku rindukan pengalaman ketika di sana.

Khamis, 21 Julai 2011

Hari ke Lapan: Emirates Stadium, Museum of London, Clarks dan Camden Town


Hari ni 26hb April 2011, mengikut jadual - aktivitinya adalah pergi ke Arsenal Stadium, membeli-belah kasut Clarks, melawat Museum of London dan menjelajah Camden Town.

Aku bukan le peminat sukan bola sepak. Tapi, Stadium Arsenal ni paling dekat dan mudah untuk ke situ. Lagipun, kedai Clarks dengan Stadium Emirates dekat. Boleh harung satu kali dan jimat masa aku.

Tengok peta di bawah ni, (A) Emirates Stadium dan (B) Clarks Factory Shop:


Daripada stesen Old Street, aku turun di stesen Holloway Road. Jam sudah pun menunjukkan pukul 9.40 pagi. Keadaannya sangat-sangat-sangat sejuk dan bukan nak berlagak, aku terpaksa jugak pakai jaket kulit. Tangan kena masuk poket jaket sebab sejuknya buatkan tangan rasa kebas.

Itu pasal dalam filem James Bond banyak aksi seluk poket; sejuk rupanya!

Emirates Stadium - Kena naik tangga dulu sebelum sampai
ke sini.

Emirates Stadium - Stadiumnya sangat besar. Lagi besar
daripada bilik pejabat aku!

Masa aku tiba di Stadium Arsenal ni, tak ramai orang di sekitarnya. Kalau ada pun, sorang dua lalu lalang dalam perjalanan ke tempat kerja. Bila aku naik tangga untuk ke bahagian atasnya, baru nampak ada sekumpulan pelawat. Tengok macam budak sekolah je.


Selepas ambik gambar sekitar stadium, aku masuk kedai yang menjual segala berkaitan Kelab Bola Sepak Arsenal. Kedai ini namanya "The Armoury".

The Armoury - Pusing kiri; Waaahhh, rambang mata aku
dibuatnya!

The Armoury - Pusing kanan, ahhhh tak boleh tahan! Aku
dah standby ₤70 kat tangan.

The Armoury - Jersey Arsenal yang sudah
ditandatangani para pemain. Ianya berharga
₤550.

Lama jugaklah aku kat dalam kedai ni. Isteri aku dah bising-bising sampai lepak kat luar kedai. Aku tengah keliru nak beli apa, pasal banyak sangat jersey dan baju yang lawa-lawa.

Akhirnya, aku beli jersey retro tahun 1988-1989, 3 helai t-shirt untuk anak aku dan 2 keping pelekat kat cermin kereta untuk kawan pejabat aku. Ok lah, tak mahal sangat sebab jumlah keseluruhan harganya adalah ₤54.

Lepas tu, kami berdua menuju ke Clarks Factory Shop yang terletak 1.28 km daripada Stadium Arsenal. Dengan keadaannya yang sejuk dan mulut berasap-asap, kami berdua berjalan berpandukan peta yang aku cetak daripada Google Map.

Seven Sisters Road - Sepanjang perjalanan menuju ke
Clarks Factory Shop.

Ketika melalui sepanjang jalan Holloway Road dan Seven Sisters Road,  banyak kedai kasut sukan, pasaraya dan kedai-kedai telefon. Aku sempat singgah kedai kasut sukan yang ada di situ. Ketika dalam kedai kasut tersebut, aku ada perasan seorang lelaki Negro tinggi lampai memakai jaket tebal.

Lagaknya agak pelik...

Ketika aku keluar daripada kedai, dia pun turut sama keluar dan masuk kedai bersebelahan kedai kasut tadi. Aku masih perhatikannya dari jauh. Aku melihat dia menggosok tangannya sambil melihat-lihat barang-barang di dalam kedai itu. Lepas tu dia keluar daripada kedai tu dan masuk ke dalam kedai seterusnya.

Ohhh, rupa-rupanya itulah salah satu jenis trik untuk panaskan badan. Sebabnya, kat luar sejuk dan dalam kedai sahaja ada alat pemanas. Terbalik dengan kita di sini; kat luar panas, dalam kedai sejuk.

Aku ingatkan dia nak mencuri. Rupa-rupanya niat dia ikhlas untuk memanaskan badan sendiri. Maaf abang Negro, saya orang baru di kota London!

Clarks Factory Shop - Inilah kedainya. Setiap kasut dapat
diskaun 50%.

Aku sampai Clarks Factory Shop dalam pukul 11.45 pagi. Sebaik je masuk ke dalam kedai, aku tengok orang agak ramai. Ada seorang Negro sebagai Jaga dalam kedai tu. Badan dia besar dan tinggi dalam 180 cm.

Isteri aku pergi ke bahagian perempuan dan aku ke bahagian lelaki. Banyak betul kasut-kasut yang ada kat rak. Tapi, semuanya saiz besar-besar; saiz 9, 10, 11 dan 12. Ini semua saiz Negro yang jadi Jaga tadi tu! Aku tak nampak pun saiz untuk aku.

Sedang mencari, jumpa satu kasut yang menarik minat aku. Tapi saiznya kecik pulak iaitu saiz 7. Aku ambik kasut tu dan bawa ke kaunter dan aku tanya samada ada tak kasut saiz 8. Negro perempuan yang jaga kaunter tu cakap tak ada.

Oh ok, aku tak percaya cakap beliau! Aku terus letak kasut tu dan cari dengan penuh harapan. Nah, memang rezeki aku - saiz aku ada! Aku ambik dan terus pergi bayar.

Clarks Factory Shop - Kasut yang aku beli kat situ. Tak mau
cerita banyak, aku terus pakai. Oh ye, harganya ₤29.99.
Harga asal sebelum diskaun adalah ₤59.98

Lepas bayar, aku tunggu isteri aku kat luar kedai. Sambil tunggu, aku terus pakai kasut Clarks. Tak lama lepas tu, isteri aku keluar daripada kedai dan bawak 3 pasang kasut. Banyak betul duit dia. Bila aku nak tukar duit, semedang cakap tak cukup.

Destinasi seterusnya adalah Museum of London yang terletak di London Wall. Selepas makan di kedai makan Fish & Chip sekitar Holloway Road, kami berdua menuju ke stesen Holloway Road dan turun di stesen Barbican.

Daripada stesen Barbican nak ke Museum of London hanya 321 meter sahaja:


Aku tiba di Museum of London pada pukul 1.36 tengahari. Muzium orang Inggeris ni sangat besar dan menarik. Sepanjang aku di dalam muzium, aku seperti melalui zaman-zaman yang pernah dilalui oleh orang-orang Inggeris suatu ketika dahulu.

Daripada sebelum wujudnya London hinggalah London pada hari ini. Banyak yang aku dapat belajar tentang sejarah orang Inggeris di dalam Museum of London. Lama jugak ada berada di dalam muzium ni; dalam 3 jam 30 minit jugak le.

Okey lah, aku buat slideshow untuk korang semua apa yang ada dalam Museum of London. Jemputlah tengok ye:


Masa menuju ke pintu keluar, ternampak cafe di tingkat 1 dan kami berdua duduk di situ. Aku suruh isteri aku belikan aku satu kopi Macchiato yang berharga ₤1.55. Isteri aku minta duit, aku tak bagi. Aku cakap pakai duit dia sendiri. Aku tau dia ada banyak duit lagi. Kalau duit dia tak banyak, macam mana boleh beli kasut Clarks 3 pasang!

Aku dengar isteri aku membebel dalam bahasa Inggeris. Chewahhh, bila masa isteri aku terrer bahasa Inggeris!

Dalam 5 minit kopi aku pun sampai. Aku ingatkan Macchiato ni sama macam kopi Starbuck. Aku juga sangkakan saiznya juga mestilah sama.

Sebaliknya, kopi yang aku terima jauh beza keadaannya:

Museum of London - Kopi Macchiato berharga ₤1.55.

Walaupun keadaan kopi tersebut tidak cukup sifatnya. Tapi, rasanya teramat pahit dan terlalu pekat. Aku tak pernah rasa kopi sepekat ini. Patutlah ianya dalam bekas yang kecik. Aku mengambil masa selama 10 minit untuk habiskan kopi tersebut.

Lepas aku berjaya habiskan kopi Macchiato itu, kami berdua keluar daripada Museum of London dan menuju ke Camden Town.

Aku tiba di Camden Town pada pukul 4.50 petang. Tujuan aku ke Camden Town semula kerana mahu mencari kedai basikal Evans Cycles. Evans Cycles kalau di internet amat popular. Pada masa yang sama boleh aku cuba mencari makanan asia yang ada dijual dalam Camden Town.

Aku singgah di kedai Kita Kitchen dan tanya Mahathir kat mana kedai basikal di dalam Camden Town. Beliau mengatakan di sini ada dua kedai basikal iaitu CycleSurgery dan Evans Cycles; dan untuk ke situ aku hanya perlu jalan terus sahaja.

Kedai pertama aku jumpa adalah CycleSurgery:

Camden Town - Kedai basikal CycleSurgery.

Camden Town - Di dalam kedai basikal CycleSurgery.

Kedai ke dua aku jumpa pula adalah Evans Cycles:

Camden Town - Di hadapan kedai Evans Cycles.

Camden Town - Di dalam kedai Evans Cycles.

Selepas itu, kami berdua mencari kedai masakan halal Thai dan membeli dua bungkus mi goreng. Sebelum pulang, sempat juga jalan-jalan di sekitarnya.

Camden Town - Banyak kedai dalam Camden Town.

Camden Town - Lorong yang terdapat di dalam bazar.

Camden Town - Untuk ke Stables Market, kena turun ke
bawah tanah.

Camden Town - Salah satu kedai kulit yang terdapat di
sekitar Camden Town.

Selepas berjalan-jalan sekitar Camden Town, kami berdua pulang ke hotel terus. Tiba di hotel sekitar jam 7.00 petang. Kaki ada sedikit sakit; ye lah, kasut baru lah katakan.

Oh ye, satu perkara lagi - Aku ingatkan kopi pekat berharga ₤1.55 yang aku minum di Museum of London dapat bantu aku tidur lewat sedikit. Tapi, pukul 9.00 malam aku dah hanyut...

PS: Hanya tinggal 2 hari sahaja untuk pulang ke Malaysia. Rindu jugak pada anak-anak aku yang berada di kampung...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...