Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label eiffel tower. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label eiffel tower. Papar semua catatan

Selasa, 17 Mei 2011

Hari ke Tiga: Sehari Suntuk di Kota Paris


Pukul 8.20 pagi kami berdua keluar daripada hotel dan menaiki keretapi bawah tanah Metro menuju ke Stesen Metro Champ de Mars / Tour Eiffel seperti semalam. Agenda utama hari ini adalah menaiki bas bertingkat Les Cars Rouges City Sightseeing.

Les Cars Rouges - Aku suka duduk di atas bas untuk
menikmati permandangan sekitar Paris.

Bas ini akan bermula dari Eiffel Tower dan tamat pun di Eiffel Tower juga. Sepanjang perjalanan, bas ini akan melalui 9 destinasi utama seperti:
  • Eiffel Tower
  • Champ de Mars
  • Louvre
  • Notré-Dame
  • Musée d'Orsay
  • Opéra
  • Champs Elysées-Etoile
  • Grand Palais
  • Trocadéro
Keseluruhan perjalanan mengambil masa selama 2 jam 15 minit untuk melalui 9 kawasan utama tersebut.

Cuaca agak panas terik. Walaupun terik, anginnya sejuk. Masih boleh berjalan dengan selesa dan tak berpeluh. Tapi, tak sesejuk di London. Kat London kita boleh bergaya dengan jaket kulit dan berjalan sambil seluk poket. Kat Paris aku tak rasa boleh bergaya macam tu. Nampak sangat menipu diri sendiri; pakai jaket konon-kononnya sejuk. Tapi, tak sejuk mana pun.

Eiffel Tower - Ketika melalui sekitar Eiffel Tower
dengan menaiki bas Les Cars Rouges.

 Les Invalides - Dengan nama lainnya adalah
The National Residence of the Invalids. Meriam tembaga yang
tersusun tu wujud sekitar kurun ke 17 dan 18.


La Seine - Sungai ni besar dan berada di tengah-
tengah kota Paris.

Salah satu bangunan yang berhampiran dengan La Seine.

Sepanjang perjalanan, boleh aku katakan bandar Paris sangat cantik. Bangunan-bangunan yang ada di Paris lebih menarik berbanding kota London. Kota Paris banyak hasil tinggalan kerajaan Roman sekitar 2000 tahun lalu. Walaupun bangunan-bangunan tersebut amat lama kewujudannya, ianya masih lagi dalam keadaan baik.

Notre Dame - Kelihatan orang ramai beratur untuk masuk ke
dalam gereja lama tersebut.

La Seine - Masih lagi melalui sekitar sungai kebanggaan
orang Paris.

Tribunal de Commerce - Bangunan mahkamah.

Salah satu papan tanda yang ada di Paris. Aku hanya
tengok gambar untuk mengagak arahannya.

Ketika ini, aku tak fikir apa dah. Kiri dan kanan penuh dengan bangunan-bangunan menarik. Siapa yang salah tidur dan terseliuh tengkuknya ketika ini, amatlah malangnya. Alhamdulillah, disaat ini tengkuk aku sihat walafiat. Aku tak ada masalah mendongak dan menoleh kepala aku dan seterusnya menangkap gambar untuk dikongsikan dengan pembaca blog ini.

Musée d'Orsay - Muzium dalam stesen
keretapi terbesar dibina pada tahun 1900.

Opéra de Paris - Atau dengan nama lainnya adalah
Palais Garnier. Mempunyai sejumlah 1600 kerusi di dalamnya.

Perancangan aku yang seterusnya adalah untuk berhenti di Place de la Concorde dan berjalan kaki ke arah Arch de Triomphe. Jauhnya pula adalah 2.2 kilometer. Apa yang pasti, ketika itu aku amat teruja untuk merasai bagaimana perasaannya ketika berjalan kaki menuju ke salah satu mercu tanda orang Roman.

Jadi, untuk meneruskan agenda tersebut, kami berdua turun daripada bas Les Cars Rouges dan meneliti peta dan buku panduan "Must See Paris" yang sentiasa aku bawak bersama.

Seminit telah berlalu... Aku masih membelek peta. 3 minit berlalu dan aku masih membelek peta...

Tak boleh jadi! Aku memang ada masalah membaca peta dan ianya satu penyakit semulajadi. Jadi, aku mengambil keputusan untuk berjalan terus sambil cuba mengingat bangunan yang aku tempuh tadi ketika menaiki bas.

Aku tak pasti ada kat mana sekarang ini. Tapi, aku percaya
hala jalan yang aku tuju boleh membawa aku ke
Place de la Concorde.

Issey Miyake - Salah satu butik untuk golongan elit.

Sebelum masuk ke butik Issey Miyake, anda perlu melalui
terowong ini.

Kedai-kedai sekitar jalan yang aku lalui agak berprofil tinggi dan hanya golongan elit sahaja mampu membelinya. Isteri aku sibuk sangat nak masuk butik Issey Miyake dan aku cuba menghalangnya. Tapi, tak sempat menghalangnya, beliau sudah pun masuk ke dalam butik tersebut.

Tak sampai 3 minit beliau keluar tanpa sebarang bungkusan dibeli dan mengatakan sebotol minyak wangi berharga €90. Oh, ok!

Perjalanan diteruskan dan masih mengharap akan ternampak tugu Place de la Concorde. Tak jauh daripada butik yang kami singgah tadi, aku sudah boleh nampak Place de la Concorde tersergam kukuh.

Gambar ini diambil kali ke 7 oleh isteri aku.
Selebihnya semua jahanam. Isteri aku ambik
gambar cincai dan muka aku muka bengang.

Place de la Concorde - Inilah tugu tersebut
dari jarak dekat.

Place de la Concorde - Gambar keseluruhan
objek yang dikatakan tugu peringatan.

Place de la Concorde - Pandangan dari sudut
berlainan pula.

Place de la Concorde - Penerangannya dalam bahasa Perancis.

Pada lantai Place de la Concorde, ada penerangan tentang tugu tersebut di dalam bahasa Perancis. Setelah dialih bahasa, ianya berbunyi begini:

Tempat ini
Dirasmikan pada tahun 1763.
Diawalnya namanya
Tempat Louis XV

Dari November 1792 hingga Mei 1795
Kemudian disebut
Place de la Revolusion.
Ini adalah tempat utama
Siksaan Umum.
Termasuk Louis XVI
Pada 21 Januari 1793
Dan Marie - Antoinette
Pada 16 Oktober 1793

Ntah betul ntah tidak samada betul ke tugu ini hanya untuk memperingati kisah tersebut. Aku pulak mempunyai pandangan dari sudut yang berbeza tentang tugu ini.

Apabila sudah berada di Place de la Concorde, adalah tidak sukar untuk mengenal pasti macam mana nak menuju ke Arch de Triomphe. Ini kerana kedudukan antara Place de la Concorde dan Arch de Triomphe amatlah strategik:



(A) Place de la Concorde dan (B) pula adalah Arch de Triomphe. Senang kan?

Selama ini anda mungkin bayangkan yang anda berada di suatu tempat dan mungkin selama 20 tahun anda membayang perkara yang sama. Dan, suatu hari yang sudah ditetapkan, anda berada di situ dan sedang menikmatinya. Bukankah ianya satu kepuasan?

Jalan yang lurus menuju ke Arch de Triomphe.

Taman bunga yang ada ketika dalam perjalanan.

Butik Adidas - Cadangnya nak beli jersey bola. Tak jadi beli
sebab harga terlampau mahal.

Tengah-tengah pekan pun ada bomba. Tak tau sapa yang
tersangkut dalam lif.

Dah nak sampai sangat ni. Di hadapan dah mula ramai orang
sedang mengambil gambar.

Arch de Triomphe - Ada seorang sedang bergaya
seperti patung. Dan, dihadapannya ada tin berisi
duit syiling yang diberi oleh pelancong.

Arch de Triomphe - Tu dia! Hasil tangan orang Roman.

Arch de Triomphe - Ianya dikelilingi jalanraya berbentuk
bulatan. Jalannya sibuk dan tanpa isyarat lalulintas.

Aku tak pasti berapa lama aku berada di situ. Aku khusyuk menikmatinya daripada jauh seperti dalam gambar yang pernah aku lihat sebelum ini. Oh ye, aku tak pergi pun bawah Arch de Triomphe tu. Sebenarnya, boleh naik ke atas dengan kadar bayaran tertentu.

Sampai kat sini lah bateri kamera aku habis. Ini semua gara-gara tersalah beli universal plug yang dibeli semalam. Haru betul!

Kemudian, kami menaiki bas Les Cars Rouges semula dan bercadang untuk ke Louvre di mana adanya potret Mona Lisa. Ok lah, aku bagitau awal-awal di sini bahawa aku gagal mencari Louvre. Beberapa kali aku cuba bertanyakan pemandu bas tersebut dan aku tak faham sepatah haram pun apa yang dia sampaikan.

Di sinilah aku mula menyampah dengan orang Perancis. Dan, aku mula terfikir mungkin disebabkan inilah orang Inggeris menyerang orang Perancis suatu ketika dahulu!

Sampai suatu tempat yang aku tak pasti di mana sebenarnya aku berada. Aku pun turun daripada bas Les Cars Rouges. Waktu itu jam sudah pun menunjukkan pukul 12.50 tengahari. Aku jalan-jalan sekitar kawasan tersebut dan ternampak pameran lukisan yang bertema "NATURE ET IDEAL". Tanpa berlengah, aku pun membeli 2 keping tiket dan jumlah keseluruhannya adalah €22.

Ada dua pameran serentak dalam satu bangunan. Aku
memilih pameran lukisan bertemakan permandangan.

Ok, berita terkini: Sedang aku mengemaskinikan gambar sebentar tadi dan tiba-tiba teringat akan kamera digital Canon sebagai back up sekiranya kamera Nikon habis bateri. Kamera tersebut dalam jagaan isteri aku ketika di Paris. Lalu aku pun menyalin semua gambar-gambar ke dalam komputer aku.

Tiba-tiba aku ternampak satu gambar bangunan yang isteri aku ambik. Aku besarkan dan nah!

Musée du Louvre - Inilah bangunannya!

Perkataan Musée du Louvre yang teramat kecil untuk dibaca!

Ini maknanya aku sudah pun lalu di hadapan bangunan tersebut pada hari pertama aku sampai Paris! Ok, tutup cerita pasal Musée du Louvre dan jangan sebut apa-apa perkataan Mona Lisa!

Sebut nama Lisa Surihani tak apa...

Sepanjang perjalanan ketika mencari Musée du Louvre, agak jauh juga aku berjalan. Sebahagian sungai La Seine hingga ke seberang semata-mata mencari Musée du Louvre. Jam sudah pun menunjukkan pukul 5.20 petang dan perut pulak dah lapar. Singgah kedai arab dan order yang mana ada gambar nasik.

Kedai Halal orang Arab. Tak pasti Arab mana, janji halal.

Berkerut aku tengok jenis makanan mcm ni. Tak pasti nak
makan mana satu dulu.

Selepas membayar €32 untuk makanan tadi, aku pun beredar dan mencari stesen Metro untuk pulang ke hotel.

Tiba di Jaurés pukul 6.00 petang. Masih awal lagi kalau nak balik ke hotel. Jadi, ada baiknya kami berjalan-jalan di sekitar hotel dan melihat apa yang ada di situ.

Libertel Canal Saint Martin - Ni lah hotel yang
aku menginap.

Jaurés - Sekitar Avenue Secrétan.

Jaurés - Kelihatan Yahudi Ortodoks sedang berjalan.
Rothchild Foundation juga ada di sekitar ini.

Jaurés - Kedai bunga.

Jaurés - Sekitar Avenue Secrétan.

Jaurés - Singgah beli sekilo strawberi.

Selepas itu, kami berdua singgah di pasaraya semalam dan cari universal plug yang betul dan beli beberapa makanan untuk makan esok pagi.

Esok pagi aku akan pulang semula ke London dengan menaiki Eurostar. Aku akan pastikan segala bateri sudah di cas dan pastikan aku tak terlajak tidur.

PS: Secara keseluruhannya, aku berpuas hati dengan kota Paris. Orang kata kota Paris kota romantik. Ntah le, aku tak tau kat mana yang romantiknya. Yang aku nampak, banyak sangat bangunan tinggalan orang Roman.

Ahad, 15 Mei 2011

Hari ke Dua: Menuju ke Paris (Bahagian II)


...Sambungan Hari ke Dua: Menuju ke Paris (Bahagian I)

Percaya atau tidak, sememangnya aku sedang terpacak di hadapan Menara Eiffel. Itulah kenyataannya!

Ketika itu, pelbagai jenis manusia dari serata negara berada di situ; daripada Asia hinggalah ke Latina. Sekali-sekala ada jugak tersempak dengan rakyat Malaysia. Bukan susah pun nak bezakan orang Malaysia dengan Indonesia.

Sedang berjalan, ada di antara penjual cenderahati di tepi-tepi jalan menegur dalam Bahasa Melayu; "Apa khabar? Malaysia?". Aku hanya senyum dan menganggukkan kepala. Ini maknanya, rakyat Malaysia mudah dikenali di mata orang asing.

Di Menara Eiffel, memang ramai sangat orang. Ada yang sedang berjalan-jalan di bawah Menara Eiffel, ada juga yang sedang beratur untuk naik ke atas menara.

Untuk paparan video yang lebih jelas, sila tukar format video di bawah ini kepada HD 1080p:


Eiffel Tower - Suasana di bawah Menara Eiffel.

Eiffel Tower - Pandangan dari sudut terdekat
daripada bawah.

Aku tak rasa yang aku nak turut serta naik ke atas Menara Eiffel. Orang yang beratur pun terlampau ramai; sedangkan aku pula mengejar masa. Aku kat Paris bukan lama mana pun. Jadi, aku perlu pastikan segalanya berjalan lancar. Lagipun, aku sudah pun membayar tiket bas Paris Hop-On Hop-Off untuk 2 hari; iaitu hari ni dan esok.

Eiffel Tower - Di bawah menara Eiffel.

Setelah berlegar-legar selama 1 jam 10 minit, kami berdua kembali semula di mana para penjual cenderahati yang menegur kami tadi. Cadangnya nak beli key chain Menara Eiffel dan magnet peti ais.

Sedang kami memilih cenderahati, tiba-tiba penjual cenderahati tersebut nampak agak kalut, "Faster! Faster! Police is coming.". Ketika itu aku dan isteri aku sedang leka memilih cenderahati yang dilambakkan atas kain rentang di tepi jalan. Dalam hati aku pun membalas, "Peduli apa aku polis nak datang ke, nak pergi ke, aku bukan curi pistol dia."

Sedang aku cukupkan jumlah cenderahati yang aku mahu, tiba-tiba si penjual tersebut menggenggam selonggok cenderahati yang kami asingkan tadi dan menyerahkan kepada isteri aku dan kemudian beliau melarikan diri.

Isteri aku hanya sempat membayar €5 sedangkan jumlah keseluruhannya adalah €9. Belum sempat longgokan cenderahati tersebut dimasukkan ke dalam beg, kami disergah oleh seorang polis Perancis. Isteri aku terkebil-kebil dan aku pula cuba faham apa yang cuba dikatakan oleh polis Perancis itu; walaupun aku tahu akan tak akan faham sepatah perkataan pun.

Sebelum insiden Polis Perancis, kami sempat menikmati
ais krim berharga €7.

Polis itu cakap dalam Bahasa Perancis, manalah aku nak faham. Aku hanya mengangkat bahu sambil memandang beliau. Agaknya polis tu fed up apa yang dia cakap aku langsung tak faham. Jadi, dia cakap dengan isteri aku pulak. Hah! Polis itu silap besar. Isteri aku cakap Bahasa Inggeris pun lintang pukang, lagikan nak faham cakap Perancis.

Seperti biasa, isteri aku terkebil-kebil - memandang aku sambil menggenggam selonggok cenderahati. Polis tu agaknya dah mati akal dan memandang aku semula sambil berkata-kata. Orang disekeliling lalu lalang hanya memerhatikan insiden yang berlaku ke atas kami berdua.

Permandangan sebegini di sekitar Menara Eiffel adalah
normal.

Agaknya polis tu dah letih bercakap dengan orang yang tak akan faham apa yang terjadi sebenarnya. Lalu beliau berlalu pergi.

Sampai ke sudah aku tak faham apa yang polis tu cakap. Aku cuma mengagak, mungkin satu kesalahan membeli pada orang yang menjual cenderahati di luar gerai yang disediakan. Agaknya lah!

Kemudian, seperti tidak ada apa-apa yang terjadi, kami berdua terus ke gerai cenderahati yang lain untuk mencari cenderahati magnet peti ais pulak. Sedang kami memilih cenderahati di dalam kedai tersebut, si penjual yang melarikan diri tadi kembali semula sambil menuntut baki selebihnya iaitu €4. Cis!

Eiffel Tower - Pandangan dari jarak dekat di atas Menara Eiffel.

Jam sudah menunjukkan pukul 4.40 petang. Aku perlu menaiki bas Paris Hop-On Hop-Off secepat mungkin. Kami terus menuju ke tempat perhentian bas yang betul-betul berhadapan dengan Menara Eiffel. Tak sampai 2 minit, bas tersebut tiba dengan penuh bergaya.

Paris Hop-On Hop-Off - Permandangan sekitar Paris ketika
menaiki bas Paris Hop-On Hop-Off.

Tiket bas Paris Hop-On Hop-Off berharga €26 seorang untuk 2 hari. Boleh naik dan turun sesuka hati di mana-mana kawasan utama sekitar Paris. Tak silap aku, tiket ni aku dapat harga murah kerana aku beli sekali pakej keretapi Eurostar dan hotel. Harga keseluruhannya adalah berjumlah £301.80.

Paris Hop-On Hop-Off - Aku tak pasti bangunan apa.
Seperti biasa, asalkan cantik, aku akan mengambil gambar.

Paris Hop-On Hop-Off - Di persimpangan jalan.

Notre Dame de Paris - Aku turun daripada bas Paris
Hop-On Hop-Off sekitar Notre Dame untuk mencari
stesen keretapi Metro.

Di Paris, aku agak sukar memahami sistem pengangkutan keretapi mereka. Papan tanda juga agak mengelirukan. Contohnya di London, lambang keretapi bawah tanah mereka di mana-mana pun sama. Di dalam buku panduan atau peta pun sama lambangnya. Walaupun papan tandanya sejauh 100 meter, anda akan dapat mengenal-pasti ianya adalah stesen Underground.

Di paris pula, tiada lambang Metro seperti di Paris Gare du Nord atau pun dalam peta. Yang ada hanya gerbang besi yang usang dengan tertera nama Metropolitan. Sekiranya anda berada jauh, anda tidak akan perasan ianya adalah stesen yang sama iaitu Metro.

Disebabkan kekeliruan ini, aku sesat hampir 45 minit di sekitar Notre Dame. Setelah tanya seorang negro perempuan di perhentian bas, barulah jumpa stesen Metro berdekatan.

Pasaraya sekitar hotel di tempat aku menginap.

Aku sampai di Jaurés pukul 6.40 petang. Singgah sekejap pasaraya terdekat untuk mencari universal plug untuk cas iPod Touch dan kamera aku. Sambil-sambil tu beli air, roti, cokelat, keju dan strawberry. Jumlah keseluruhannya hampir €22. Universal plug tu yang sebenarnya buat jadi mahal. Dah lah mahal, tersalah beli jenis plug pulak. Hampeh betul!

Malam tu, langsung tak dapat cas bateri kamera dan iPod aku.

PS: Hari ke 2 di paris sangat mengujakan. Berjalan daripada Place de la Concorde hingga ke Arch de Triomphe sejauh 2.13 kilometer. Nantikan sambungannya!

Selasa, 10 Mei 2011

Hari ke Dua: Menuju ke Paris (Bahagian I)


Hari ini 20 April 2011, hari Rabu. Pukul 4.30 pagi aku dah bangun tidur. Kalau waktu Malaysia pula pukul 11.30 pagi. Jadi, tak mustahil aku rasa macam nak pegi kayuh basikal. Mata segar!

Pukul 6 pagi dah cerah. Kereta pun tak banyak lagi
di jalanraya. Keadaan sekeliling pula agak berkabus.

Keadaan bilik sebelum menuju ke Stesen St Pancras.

Pukul 7.20 pagi kami berdua keluar daripada hostel dan menuju ke stesen St. Pancras International. Keluar je pintu utama hostel, sejuknya macam ada 1,715 unit penghawa dingin keliling pinggang. Masa ni aku pakai tshirt je. Saja nak merasa sejuknya puas-puas.

Nampak tak kat belakang tu ada orang tengah naik basikal?
Selamba pakai seluar pendek. Waktu ni suhu dalam 7° selsius.

Sampai je di stesen St. Pancras, aku terus menuju ke stesen keretapi Eurostar. Nasib baik semalam petang selepas balik daripada Baker Street, aku sempat tinjau di mana letaknya Eurostar dalam stesen St. Pancras. Jadi, mudahlah aku pagi-pagi macam ni; terus ke mesin automatik Eurostar untuk mengambil tiket keretapi ke Paris.

Inilah tiket keretapi Eurostar ke Paris. Peta tu pulak adalah
lokasi hotel ketika di Paris nanti.

Keadaan ketika hendak menaiki keretapi Eurostar seakan-akan menaiki kapal terbang. Para penumpang akan melalui pintu keselamatan. Segala beg akan di imbas dan perlu menunjukkan passport kepada pegawai imegresen yang bertugas.

Stesen Eurostar - Sedang menuju ke platfom 18.

Di awal perjalanan, tiada apa yang menarik sangat kerana ada beberapa terowong perlu dilalui. Setiap kali aku hidupkan kamera Nikon CoolPix S8100 untuk mengambil gambar permandangan, masa itulah keretapi akan memasuki terowong. Tiga empat kali macam tu, aku pun fed-up.

Berhenti sekejap di stesen Ebbsfleet International. Mungkin
mengambil atau menurunkan penumpang.

Permandangan seperti ini banyak di sepanjang perjalanan
daripada London ke Paris.

Perjalanan mengambil masa 2 jam 15 minit. Jadi, aku pun tidur sekejap ketika melalui terowong yang agak panjang. Sewaktu melalui terowong tersebut, difahamkan bahawa keretapi sedang merentasi laut menuju ke Perancis.

Dari London sampailah 15 minit nak sampai Paris diorang
berdua macam ni.

Aku terjaga daripada tidur masa ada pengumuman dalam beberapa minit lagi akan sampai Paris. Aku tengok penumpang di hadapan aku masih lagi tidur dengan mulut ternganga. Ini maknanya mereka ternganga sambil tidur selama 2 jam 15 minit!

Sampai sahaja stesen Gare du Nord, Paris, aku terus mencari di mana stesen keretapi Metro. Stesen Gare du Nord sama seperti stesen St. Pancras International - Dan seperti KL Sentral juga. Segala pengangkutan utama berada di sini.

Gare du Nord, Paris. Fungsinya sama seperti KL Sentral kita
kat sini.

Masalah utama pada aku di sini adalah segala jenis papan tanda semuanya dalam bahasa Perancis. Cis! Cis! Cis! Agak menyusahkan aku. Jadi, aku hanya mengagak sahaja setiap kali membaca papan tanda. Percubaan pertama, aku mencari mana-mana perkataan Metro. Ok, jumpa - Tak susah mana!

Aku beli tiket keretapi Metro untuk 2 orang berharga €3.40 dan menuju ke Jaurés. Sampai di Jaurés, aku cuba mencari mana-mana perkataan "Libertel Canal Saint Martin" iaitu nama hotel bakal aku menginap selama 3 hari 2 malam. Papan tanda banyak, tapi langsung takde perkataan yang aku cari.

Pusing kanan, kiri depan, belakang, tak jumpa jugak. Akhirnya, isteri aku tanya dalam kedai berdekatan dan hotel yang aku cari tak jauh daripada situ.

Jalan kurang daripada 5 minit, maka nampaklah hotel "Libertel Canal Saint Martin".

Libertel Canal Saint Martin - Biliknya takde penghawa dingin.
Yang ada hanya kipas.

Ok lah, sekurang-kurangnya ada tv. Segala rancangan habis
dialih bahasa menjadi bahasa Perancis.

Sejam selepas sampai hotel, aku keluar semula dan menuju ke kota Paris. Lokasi pertama adalah La Tour Eiffel; atau dalam bahasa Inggeris nya adalah Eiffel Tower. Dengan menaiki keretapi Metro; daripada stesen Jaurés dan turun di stesen Champ de Mars / Tour Eiffel.

Tu dia. Dah nampak puncak menara Eiffel.

Stesen Metro Champ de Mars / Tour Eiffel memang sangat dekat dengan menara Eiffel. Jalan ke hadapan sedikit dalam 30 meter, dah boleh nampak puncak menara Eiffel.

Dan dalam beberapa minit pula, aku dah terpacak betul-betul depan menara Eiffel.

Betulkah ini menara Eiffel seperti mana dalam filem Jackie Chan - Rush Hour 3? Atau, sekadar poster besar yang direntangkan di hadapan aku konon-kononnya ada geng-geng basikal TRI-PAKU nak mempermainkan perasaan aku?

BERSAMBUNG...

PS: Nantikan cerita seterusnya bagaimana seorang rakyat Malaysia hampir-hampir ditangkap polis Perancis!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...