Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label pejalan kaki. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pejalan kaki. Papar semua catatan

Selasa, 29 November 2011

Penutup Kisah-kisah di London dan Paris


Kalau diikutkan, cerita tentang aku di London sudah pun tamat. Tetapi, ada juga yang bertanyakan kepada aku bila mahu menyambung cerita aku itu.

Bukan tak mahu cerita, cuma ceritanya tak ada. Ye lah, hari terakhir aku di London hanya bangun tidur macam biasa, mandi, berkemas segala barang ke dalam beg-beg dan terus balik.

Tak ada apa yang menarik pun.

Jadual terakhir aku di kota London.

Travelodge Old Street - Setelah siap berkemas dan bersedia
untuk pulang ke Malaysia

Tapi, tak mengapa... Aku cuba ulaskan perkara-perkara yang sukar dilupakan dan aku senaraikan beberapa perkara yang aku rasakan menarik sepanjang di sana.

Perkara-perkara yang mendebarkan:
  1. Ketika Sedang Menunggu Kapal Terbang di LCCT
    Aku jenis yang suka fikir yang bukan-bukan. Kerap juga aku bayangkan kalau-kalau terjadinya kapal terbang yang bakal aku naiki tak boleh terbang. Lagipun, aku memang tak suka naik kapal terbang; sebab setiap kali naik kapal terbang aku terpaksa telan pil tahan pening.
  2. Sesi Temuramah di Imigresen Lapangan Terbang Stansted
    Agak panik apabila pegawai Imigresen mula banyak tanya. Mula-mula bahasa Inggeris aku agak lancar. Masuk soalan ke-tiga, bahasa Inggeris aku dah bunyi bahasa Uganda.
  3. Pemeriksaan Keselamatan di Stesen Eurostar, St Pancras International
    Aku tak jangkakan yang masih ada pemeriksaan keselamatan di Stesen Eurostar. Kebetulan pulak, orang yang di hadapan aku ditahan atas alasan passport nya hampir tamat tempoh dan tidak boleh menaiki keretapi. Aku tak pasti, kenapa aku pulak yang tumpang panik di atas kejadian tersebut.
  4. Setibanya di Gare du Nord, Paris
    Teringat akan babak cemas dalam filem "Taken" (lihat babak filem ini di sini) yang aksi penculikan terjadi di Paris. Sedang aku membelek peta di luar pintu Stesen Gare du Nord, aku di beri salam oleh seorang lelaki yang umurnya dalam lingkungan 45 - 50 tahun. Seterusnya, beliau berkata-kata dalam bahasa Perancis. Kejap tu jugak aku terus masuk ke dalam semula - Risau kalau-kalau aku diculik olehnya!
  5. Kejadian di Sekitar La Tour Eiffel
    Sedang membeli cenderahati di tepi-tepi jalan, aku dan isteri aku disergah oleh polis Perancis. Aku agak panik sebab aku tak teringat nak simpan nombor telefon kedutaan Malaysia di Paris. Kalau aku ditangkap, macam mana aku telefon diorang?! Tapi, nasib baiklah polis Perancis tu tak tangkap aku.
  6. Hampir Terlepas Bas ke Windsor Castle, Stonehenge & Oxford
    Ini semua hal bini aku - Boleh pulak nak ke tandas ketika semua orang tengah menunggu arahan daripada Pemandu Pelancong Evan Evans Tour. Bila bas sampai, bini aku pulak tak ada. Stress betul!
  7. Angkara Setin Coca-Cola
    Kejadian ini terjadi ketika di Lapangan Terbang Stansted ketika pulang ke Malaysia. Disebabkan setin Coca-Cola yang aku beli di Paris ni lah aku diperiksa dengan ketat ketika melepasi pintu keselamatan. Beg galas aku diasingkan selepas diimbas dan aku diarahkan membuka kasut. Beg galas aku digeledah dan pegawai Imigresen terjumpa setin Coca-Cola di dalam beg aku. Aku langsung tak teringat bila masanya aku letak air tersebut dalam beg aku!

Old Street - Setiap kali pulang dari jalan-jalan di kota London,
aku akan singgah Sainsbury's Local ini yang letaknya sebaris
dengan laluan Travelodge Old Street.

Old Street - Di dalam kedai Sainsbury's Local. Kelihatan
seorang pelanggan sedang menggunakan mesin untuk
membayar barang-barang yang dibeli.

Old Street - Di sebelah kedai Sainsbury's Local terdapat
pesaingnya iaitu TESCO express. Kebanyakannya, harga
barang murah 1 pence daripada Sainsbury's Local.

Apa yang aku suka di London:
  1. Cuaca yang Kering dan Dingin
    Pergi ke mana-mana tanpa berpeluh. Ini kerana disebabkan cuacanya yang semulajadi sejuk dan berangin. Oh ye, waktu itu adalah musim bunga.
  2. Sistem Pengangkutan yang Efisyen
    Segala jenis pengangkutan samada bas atau keretapi yang tepat pada waktunya. Jadi, tidak perlu risau terlambat ke destinasi.
  3. Orangnya yang Ramah
    Orang Inggeris mudah diminta pertolongan. Sekiranya ingin bertanyakan jalan, minta sahaja pertolongan dengan orang yang ada di sekitarnya. Mereka akan senyum dan berkata, "Yes, what can I help you, mister?"
  4. Harga Barangan yang Murah dan Kerap Ada Sales
    Pada aku, barang-barang di sini sangat murah. Aku masih ingat pada hari pertama aku sampai, aku sempat membeli-belah dua helai t-shirts dan 4 helai (2 kotak) seluar dalam dengan hanya ₤13.
  5. Keadaan Persekitaran yang Selamat
    Sepanjang di London, aku rasa seakan selamat berbanding Paris. Di London, kebanyakan daripada mereka lebih sporting. Tetapi, di Paris gaya mereka memandang agak pelik. Lagilah kalau yang bertudung seperti isteri aku contohnya, mereka memandang dari atas ke bawah.

Eiffel Tower - Hari pertama aku tiba di Paris.

Beberapa perkara yang boleh diambil iktibar:

Kisah di dalam Keretapi Underground

Kejadian ini berlaku ketika baru sahaja pulang dari Paris dan sedang menuju ke Travelodge Old Street. Di dalam keretapi bawah tanah tersebut, aku dan isteri aku sedang berdiri dan setiap orang yang masuk melalui pintu memang aku betul-betul di hadapan aku.

Selepas itu ada pasangan seperti kekasih masuk dan pintu pun mula nak tutup. Tetapi, di luar pintu ada pasangan tua yang berumur dalam lingkungan 60-an sedang cuba masuk tetapi tidak berjaya - lebih teruk lagi, begnya terkepit di pintu. Dan, ketika itulah lelaki muda daripada pasangan kekasih tadi itu cuba menahan pintu itu sekuat hati daripada tertutup. Akhirnya, pasangan tua itu dapat masuk sambil senyum mengucapkan terima kasih dan terus duduk di kerusi.

Baker Street - Stesen Underground dan perhentian bas
di Baker Street.

Akibat daripada tindakan lelaki muda itu menahan pintu, kedua telapak tangannya habis kotor. Nampaknya lelaki muda itu tidak ada tisu atau sapu tangan utk membuang kotoran. Aweknya juga menggeleng kepala yang dia juga tidak ada tisu. Selepas itu ada seorang lelaki muda juga usianya yang kebetulan melihat kejadian tadi terus membuka beg galasnya dan mengeluarkan tisu basah lalu menyerahkan kepada lelaki muda tadi itu.

Ini sangat mengujakan aku kerana disitu adanya satu jalinan yang utuh di antara orang-orang Inggeris ini. Ianya seperti dalam filem!

"Excuse Me Mister, I Need Your Help."
Setelah letak semua beg-beg yang berat di Travelodge Old Street, aku dan isteri aku keluar semula ke kota London. Setibanya di stesen keretapi bawah tanah Old Street, aku agak keliru dengan laluan keretapi tersebut.

Sedang berusaha memahami laluan keretapi bawah tanah, aku terperasan ada seorang lelaki Inggeris yang berpakaian kemas sedang berdiri sambil memeriksa iPhone-nya di satu sudut. Aku terus ke arahnya sambil menegur dalam bahasa Inggeris:

"Excuse Me Mister, I Need Your Help", kata aku. Lelaki Inggeris itu memandang aku dan terus tersenyum dan membalas, "Yes, sure - How can I help you?".


Old Street - Di hadapan hotel di mana tempat aku menginap.

Masa dia tengah terangkan kat aku tentang laluan keretapi-keretapi tersebut, dahi aku berkerut dan dia bertanya, "Are you okay? Nevermind, just follow me.", katanya sambil tersenyum.

Tiba-tiba aku teringat apa yang aku pernah buat suatu masa dahulu - Pernah suatu ketika dahulu ketika di stesen LRT Pandan Jaya ketika baru pulang kerja aku disapa oleh dua orang warga Canada bertanyakan bagaimana hendak ke suatu tempat. Aku terangkan padanya dan mereka berdua kelihatan keliru. Dan, aku katakan pada mereka berdua, "Are you okay? Nevermind, just follow me."

Ah, inilah dikatakan karma!

Kesesakan di Lebuhraya
Sedang menghala pulang ke London dari Oxford dengan menaiki bas pelancongan Evan Evans Tour, lebuhraya yang menghala ke London sudah mula sesak. Aku lihat jam waktu itu sudah pun pukul 5.15 petang dan orang ramai sedang dalam perjalanan pulang dari kerja.

Tatkala ini, aku memerhatikan gelagat orang-orang Inggeris ini apabila tersangkut di kesesakan lalu lintas yang agak teruk juga. Mereka ini sangat berdisiplin dan keadaan lalu lintasnya masih teratur - tiada menghimpit kenderaan lain atau memotong barisan di laluan kecemasan.

Aku lihat pemandu-pemandu ini kelihatan tenang sambil membuka tingkap dan ada yang membaca surat khabar. Reaksi muka mereka sangat relax.

Dan, ketika ini tiada langsung dengar bunyi hon!

Sebelum keluar untuk berjalan-jalan di kota London, inilah
sarapan pagi yang dibeli di TESCO express.

Nampak tak air Fanta tu? Aku suka minum air ni masa kat
sana. Botol besar tu ₤1 lebih je. Sedaaaaap!

Pejalan Kaki Diberi Keutamaan

Kalau kita di sini, perkara sebegini dianggap remeh. Dari jauh dah nampak orang nak melintas jalan, lagi dilajunya kenderaan. Pernah beberapa kali dihimpit ketika menunggang basikal. Aku juga di hon dari jauh ketika sedang berlari dan dipintas dari hadapan ketika sedang melintas jalan. Jahanam betul!

Tetapi, di London tidak terjadi sedemikian rupa. Pengguna jalan raya diberi hak yang saksama. Malah, pejalan kaki dan penunggang basikal dihormati lebih daripada Perdana Menteri!

Tak percaya? Cubalah datang ke London :)

Oklah, itu sahaja beberapa cerita yang boleh aku kongsikan selaku penutup Kisah-kisah di London & Paris. Semoga cerita-cerita aku ini boleh dijadikan pendorong, panduan serta persediaan apabila anda mahu ke sana nanti.

Koleksi cerita-cerita aku ketika di London dan Paris boleh dicapai di sini: http://www.brekkejap.com/p/cerita-dari-london-paris.html.

PS: Hari Isnin semalam sedang aku menunggang basikal secara solo, aku nyaris-nyaris di langgar oleh sebuah kereta Perodia Viva dari arah kiri. Di dalamnya terdapat 4 orang bebudak perempuan yang masih berhingus sedang berseronok di atas jalan raya. Tanpa mengangkat tangan tanda meminta maaf, mereka ini memotong tanpa memandang aku.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...