Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label perez. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perez. Papar semua catatan

Selasa, 5 Mac 2019

Genting Peras — Kesengsaraan Aku, Kegembiraan anda


Aku ingatkan kayuh basikal ni senang. Senang maksudnya sambil kayuh kita boleh ketawa. Kemudian kita akan sembang-sembang dengan teman seperjuangan tentang lagu-lagu kegemaran kita masa muda-muda dahulu.

Tapi...

Dua hari lepas aku ke Genting Peras, Negeri Sembilan. Satu badan cramp. Memang haru betul!


Jemput tengok vlog aku sepanjang perjalanan ke Genting Peras.


Seperti biasa, aku adalah manusia paling awal tiba di tapak perhimpunan di hadapan Restoran Shaban Maju Presint 15. Lebih kurang dalam 10 minit menunggu, seorang demi seorang mula munculkan diri; Aar, Norman dan Jaja; menjadikan empat orang keseluruhannya.

Baru memasuki daerah Semenyih menuju ke Genting Peras.

Tepat jam 7:30 pagi kami berempat bergerak ke Bangi dan difahamkan dua orang sedang menunggu di sana. Ini menjadikan misi ke Genting Peras ketika ini seramai enam orang.

Aku memang hendak sangat kembali ke Genting Peras. Sudah lama aku tak merasa keperitan mendaki bukit yang melingkar sejauh 9.5 kilometer menuju ke sempadan Negeri Sembilan.

Disebabkan sudah banyak yang aku lupa tentang keadaan bentuk muka buminya, maka apabila melepasi Hutan Rekreasi Sungai Tekala aku mula perlahan-lahan tercicir ke belakang. Apa tidaknya, bukit panjang yang lurus menuju ke atas itu betul-betul meragut kejantanan aku.

Ketika ini seorang Pahlawan Basikal bernama Aar menemani aku. Sambil menemani aku beliau bersungguh-sungguh menjadi motivator bebas — kata-kata motivasi; dan juga perturunkan segala ilmu sihir bagaimana mendaki bukit dengan pantas.

Apabila melintasi sebuah kawasan, aku melihat ke sebelah kanan terdapat kawasan seakan lombong besar. Hah, barulah aku teringat episod-episod lalu... aku sedang melalui Empangan Semenyih ketika ini.

Kalau nak tahu, keluasan empangan ini adalah 1,500 ekar dan merupakan empangan air yang terbesar di Malaysia. Takpe, aku saje je cerita fakta ini.

Empangan Semenyih.

Hah, masak beb! Libang-libu jugak aku waktu tu. Jalan yang sedang aku lalui ini jangan dibuat main. Tempat ini 'keras'. Ramai yang keras lepas kayuh kawasan ini.

Tapi, itulah kan... Kami ini Pahlawan Basikal. Memang kami semua akan berjuang hingga titisan keringan terakhir. Pantang berundur sebelum kayuh. Dengan semangat juang yang tinggi, aku berjaya juga tiba di kaki bukit Genting Peras. Eh, ini baru sampai kaki bukit, belum cerita naik bukit lagi.

Tapi aku boleh ringkaskan cerita ketika mendaki bukit Genting Peras — penat macam nak mengelupur! Kelajuan ketika mendaki sekitar 10 km/j - 14 km/j dan ramai juga aku potong orang tengah kayuh basikal waktu itu. Kalau boleh aku hendak tamatkan permainan kejam ini secepat mungkin. Tak lalu hendak mengadap seksa ketika itu. Lagi cepat habis lagi bagus.

Itu sahaja yang aku boleh simpulkan.

Puncak Genting Peras bersempadan dengan Negeri Sembilan.

Empat orang Pahlawan Basikal sudah berada di puncak sewaktu aku baru tiba di situ. Sebaik sahaja aku tiba kami semua kembali turun ke bawah semula. Seterusnya kami bercadang untuk singgah makan di Gerai Nasi Lemak tepi jalan di Semenyih.

Selera aku memang hilang waktu ini. Nasi lemak aku tengok macam ubat hospital. Aku memang kurang sikit dengan nasi lemak ni. Tapi diorang semua paksa aku makan sebab aku dah bonk. Nak tak nak aku makan jugalah. Itu pun separuh. Sambil makan aku cuba untuk menempah Grab. Tapi, dalam cerita ini aku kan hero. Tak kan aku selaku hero kesudahannya pulang menaiki Grab.

Masing-masing mengasingkan diri.

Nasib baik kelajuan internet waktu itu membataskan hasrat aku. Sudahnya aku matikan skrin telefon aku dan lupakan sahaja niat yang menyimpang tersebut.

Ketika tiba di pekan Semenyih, kami semua hampir kemalangan. Ini disebabkan terdapat sebuah kereta berhenti mengejut ketika hendak masuk simpang. Posisi aku waktu itu berada paling akhir dalam peloton. Kejadian berlaku terlalu pantas. Sewaktu aku brek, tayar aku menggelongsor lalu menghentam saddle salah seorang rakan kami, iaitu Sahlan.

Aku hampir jatuh kerana brake lever serta jari aku terkepit bawah saddle Sahlan. Dalam waktu kelam kabut itu aku sentap sekuat hati handle ke sebelah kanan lalu terlepas daripada Saddle Sahlan. Tarik nafas panjang aku dibuatnya.

Aku memang hampir-hampir jatuh waktu itu. Perghhhh... Alhamdulillah.

Tidak lama kemudiannya, aku tercicir sekali lagi. Kaki aku mulai kekejangan untuk pertama kalinya dalam masa empat bulan aku mula kayuh basikal. Kedua-dua belah peha aku rasa macam nak meletup. Memang aku tidak ada pilihan lain selain terpaksa hadap lagi 20 kilometer berbaki.

Tiba di Bangi, kami semua mulai berpecah untuk pulang ke rumah masing-masing. Yang tinggal cuma kami berempat sahaja. Tidak lama kemudian tinggal aku seorang sahaja menjadi komando.

Singgah di Petronas Kampung Sungai Merab. Tatkala ini yang lain
sudah balik, yang tinggal aku seorang.

Pagi tadi aku tiba paling awal dan tengahari jam 1:20 petang akulah tiba paling akhir sekali... Ceh, memang dramatik sungguh!

Memang siksa kali ini. Kejantanan aku diragut rakus ketika mendaki Genting Peras. Tenaga aku banyak habis di situ. Inilah puncanya kaki aku kejang.

Tak apa. Nanti aku akan kembali sekali lagi ke Genting Peras. Tapi tunggu le aku kuat sikit ha-ha!

------------------------------------
Fakta Kayuhan
------------------------------------

Durasi: 4 jam 41 minit
Kalori: 4764 kcal

Jarak: 117.69 km
Purata kelajuan: 25.2 km/h
HR Max: 178 bpm
------------------------------------

PS: Harap semua terhibur cerita aku kali ini. Kesengsaraan aku, kegembiraan anda... Chewahhh!

Isnin, 24 Oktober 2011

Kayuhan Nafsu ke Hulu Langat


Aku namakan kayuhan Ahad semalam adalah Kayuhan Nafsu. Ini kerana seminggu tak kayuh basikal yang disebabkan hujan rahmat setiap malam di sekitar Putrajaya.

Aku sebenarnya hanya mengikut Jami Centre Team (Aku namakan kumpulan ni sempena nama kedai basikal Jami). Aku pun tak tau pun sebenarnya ke mana arahnya kayuhan kali ini. Tapi yang pasti kayuhan kali ini berkemungkinan besar sejauh 80 km - Memandangkan jumlah yang menyertai kayuhan kali ini dalam lingkungan 20 orang.

Aku bersama Iskandar di hadapan kedai basikal Jami Centre,
yang terletak di Taman Koperasi Cuepacs, Kajang. 

Sudah bersedia untuk melancarkan senjata masing-masing.

Kayuhan bermula jam 7.30 pagi. Laluannya pula melewati Kajang - Semenyih - Hulu Langat - Perez (sempadan Jelebu, Negeri Sembilan) - Batu 9, Cheras - Kajang. Secara puratanya, kelajuan dalam sekitar 27 km/j:


Pada aku, ada beberapa bukit yang agak mencabar iaitu sekitar empangan di Jalan Sungai Lalang dan Perez. Laluan melalui empangan tersebut semua terpaksa melaluinya kerana tiada jalan lain. Tapi, yang menaiki Perez hanya 5 orang sahaja - yang lain semua terus ke pekan Hulu Langat. Oh ye, puncak Perez adalah 1661 kaki (506.28 meter) dari paras laut sejauh 8 km.

Semenyih - Sedang menunggu beberapa orang yang
tersangkut di persimpangan lampu trafik.

Jalan Sungai Lalang - Berhenti sebentar sambil menunggu
rakan lain sebelum mendaki empangan Jalan Sungai Lalang.  

Perez - Di sempadan Jelebu, Negeri Sembilan. Mendaki
sejauh 8 km selama 27 minit dengan purata kelajuan 21 km/j

Selepas turun dari Perez hingga di Kampung Gabai, kami berlima kayuh dengan kadar kelajuan 35 - 40 km/j sambil memotong sekumpulan Mat Saleh. Ini boleh menimbulkan kepanasan melampau ke atas Mat Saleh tersebut - Lalu terjadilah perlumbaan pendek yang berkelajuan 50 km/j hinggalah tiba di pekan Batu 18, Hulu Langat.

Batu 18, Hulu Langat - Mereka berdua inilah yang
bertanggungjawab membuatkan sekumpulan Mat Saleh
tadi rasa tercabar.

Hulu Langat - Berhenti berehat sebelum pulang ke
Taman Cuepacs.

Kami berlima teruskan kayuhan hingga ke pekan Hulu Langat untuk berkumpul semula dengan rakan-rakan yang lain yang tidak mendaki Perez dan seterusnya menuju ke Jami Bike Centre, Kajang semula.

Secara keseluruhannya, kayuhan mengambil masa selama 3 jam 18 minit sejauh 88.40 km dengan penggunaan tenaga sebanyak 2673 kcal.

PS: Aku masih ingat lagi buat pertama kalinya aku mendakit bukit Perez, azabnya seperti sedang menyimpan duit ke dalam ASB!
PPS: Terima kasih kepada jurufoto iaitu Fadzil (Awe).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...