Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label pnr. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pnr. Papar semua catatan

Isnin, 18 Mac 2019

Hanya Boleh Merancang Sahaja...


Aku baru sahaja pulih daripada demam, sakit tekak, selsema dan batuk. Punyalah aku menjaga kesihatan agar rancangan untuk turut serta acara Reunion NOGLB @ PNR pada minggu lalu berjalan lancar. Tapi itulah... kita hanya boleh merancang sahaja. Cuma ianya belum tentu menjadi...

Walaupun aku agak kurang kayuhan sepanjang beberapa minggu ini. Tetapi setiap Jumaat malam aku tidak akan lepaskan peluang untuk kayuh basikal dalam Putrajaya. Dapat 40 kilometer pun jadilah daripada tidak ada apa-apa langsung.


Aku bersama dua orang rakan lain kayuh sekitar 55 kilometer memasuki Cyberjaya sebelum pulang ke Putrajaya. Waktu itu sudah ada signal bahawa perancangan aku tidak berjalan dengan lancar. Ini kerana kamera Gorpo aku tidak boleh dihidupkan pada ketika itu. Maka sepanjang kayuhan tiada vlog secara total.

Setelah pulang ke rumah, aku dapati sebenarnya kamera aku kehabisan bateri. Aku cukup yakin dua hari lepas aku sudah pun mengecas sehingga penuh. Hingga ke saat ini ianya tinggal misteri. Bagaimana mungkin baterinya sudah dicas penuh 100% boleh ke habis dengan sendirinya.

Pelik sungguh!

Waktu pagi Ahad memang ramai yang bersukan sepanjang
Presint 2, Putrajaya.

Kemudiannya aku rasakan tekak aku agak perit pada malam itu. Dan sewaktu bangun Subuh, aku dapat rasakan aku sudah pun demam.

Bermula episod ngeri selepas itu...

Hari Ahad yang sepatutnya aku menyertai Reunion NOGLB @ PNR langsung aku lepaskan macam tu sahaja. Terbaring atas katil sambil memandang siling bukanlah aktiviti yang menyeronokkan kepada yang bernyawa. Tambahan pula rakan-rakan seperjuangan berseronok ke KLIA sejauh 80 kilometer, manakala aku terkebil-kebih di atas katil. Huh! Satu perasaan yang sangat sukar digambarkan dalam cerita kali ini.

Aku sempat menaiki puncak bukit Hotel Pulse Grande yang dahulu
namanya Shangri-La.

Isnin dan Selasa aku terpaksa mengambil cuti sakit dan sepanjang minggu lepas aku tak larat hendak kayuh basikal langsung. Hinggalah pada Ahad semalam...

Walaupun batuk dan selsema masih tersisa pada Subuh semalam, aku capai basikal langsung meneruskan agenda pada pagi tu — kayuh basikal sorang-sorang!

Setiap kali tiba di persimpangan lampu isyarat, lampu pasti bertukar merah
dengan tiba-tiba. Sungguh mencabar mental kalau kayuh dalam Putrajaya ni.

Pada semalam harinya aku kayuh basikal dalam Putrajaya sahaja. Kayuhan syok sendiri. Tanpa tekanan dan juga tanpa kelajuan yang tidak munasabah. Fikiran aku lapang dan terasa bebas tanpa apa-apa tekanan.

------------------------------------
Fakta Kayuhan
------------------------------------


Durasi: 2 jam 27 minit
Kalori: 2082 kcal


Jarak: 62.74 km
Purata kelajuan: 25.5 km/h
HR Max: 145 bpm

------------------------------------

Aku pulang dengan satu perasaan puas; setelah terkangkang di atas katil berhari-hari lamanya. Kayuhan aku tidaklah se-epik seperti suatu masa dahulu yang cukup mencabar mental dan fizikal — hanya sekadar mengeluarkan peluh dan melapangkan fikiran di hari Ahad.

PS: Aku masih menunggu mana-mana kayuhan reunion sekarang ni. Apa-apa reunion pun tak kisah. Reunion Kelab Azizan Osman pun boleh, janji kayuh!

Jumaat, 5 September 2014

Sejarah Ringkas Putrajaya Night Ride


Aku rasa ada di antara korang sememangnya tahu tentang nama 'Putrajaya Night Ride' atau dengan nama ringkasnya adalah 'PNR'. Tapi aku percaya ramai tak berapa nak tahu tentang sejarahnya.

Aku mula-mula kayuh basikal dulu tahun 2010 sorang-sorang je. Dua minggu selepas tu jumpa geng-geng basikal dalam ruang sembang Bicycle Buy Sell (BBS). Dari situ aku kenal beberapa kawan dan mula berkayuh dengan diorang iaitu Faizul, Opie dan Iskandar.

Di kedai mamak Presint 14.

Kami bertiga kayuh setiap malam hari Selasa, Khamis dan Sabtu pagi. Laluan pada waktu itu bermula di Masjid Putra dan adakalanya di Mahkamah Putrajaya, melalui jalan sepanjang Presint 2, Bukit Alamanda, Cyberjaya, PICC dan pulang ke Masjid Putra.

Laluan ini Faizul punya idea. Aku dan beberapa rakan lain ikutkan sahaja.

Nak harapkan aku, kirim salam je le. Laluan pergi balik kerja aku terer lah!

Pada satu hari yang aku dah lupa hari apa, tetapi masih lagi di tahun 2010, Faizul telefon aku ajak kayuh dengan kumpulan Tri Paku. Difahamkan kayuhan Tri Paku setiap malam Rabu dan Jumaat pada pukul 9:30 malam.

Ketika Kayuhan Amal Tri Paku.

Dengan perut buncit, aku terima pelawaan tersebut. Hey, ketika itu berat aku 71 kg tau!

Zaman boroi.

Dan, sejak daripada itu aku mula kenal ramai kawan. Bayangkan ada masanya sekali kayuh mencecah 20 orang lebih.

Aku masih ingat dalam kumpulan tersebut, Faisal Maat, Lee dan Awe adalah orang terawal menegur aku. Walaupun aku agak gendut ketika itu, mereka masih boleh menerima aku seadanya.

Faisal dan Ajak.

Di pitstop PICC.

Di parkir bangunan MAMPU.

Masa itu aku kayuh setiap Rabu dan Jumaat tanpa miss. Kalau terlepas satu kayuhan, hati jadi susah dan mula rasa murung hampir seminggu lamanya.

Makin hari makin ramai dan dalam tak sedar, aku mula perasan ramai anak-anak didik Jami Bike Centre ikut kayuh sekali.

Awe, Halim dan Iskandar. Ini semua champion tau!

Sejak daripada itu, kayuhan mencecah 30 lebih orang. Semakin hari kayuhan semakin laju hingga pernah heart rate aku mencecah 218 bpm ketika mendaki Bukit Alamanda.

Sekitar 2011, tempat berkumpul menjadi dua iaitu di Presint 14 dan tapak parkir MAMPU iaitu semua ahli Tri Paku berkumpul.

Di awal 2012, lokasi berkumpul ditukar ke Masjid Putra dan ahli Tri Paku masih tetap di tapak parkir MAMPU. Dan semua akan sama-sama bergerak kayuh dari Masjid Putra.

Sejak dari situ, kami mula mengubah selera pada setiap kayuhan hari Ahad mestilah menarik. Lalu kami yang terdiri daripada Faizul, Norman, Faisal Maat, Taufiq, Awe, Mawi, Iskandar, Fariz Atraz dan Mie Bulat mula mengubah laluan menghala ke Labu, Ampangan 2 dan beberapa laluan-laluan pelik.

Ketika di lebuhraya LEKAS menuju ke Ampangan 2.

Kayuhan jahanam ke PD. Aku siap sesat dan kayuh balik Putrajaya
sorang-sorang.

Kisah-kisah kayuhan ini aku pernah ceritakan dalam blog ini dan aku anggapkan kayuhan-kayuhan tersebut memang marvelous!

Itulah serba sedikit sejarah kayuhan PNR ini. Difahamkan sekarang ini ada masanya yang turut serta kayuh mencecah 40 orang lebih. Cukup ramai.

Banyak kisah sedih, gembira, salah faham, kemalangan kecil serta kemalangan hingga meragut nyawa salah seorang daripada kami sengaja aku simpan. Ada masa, aku cerita lagi.

Lagipun dah 10 bulan aku tak kayuh basikal. Dan aku bercadang nak kayuh basikal balik setelah anak aku Danial bertanya,

"Ayah tak kayuh basikal dah ke? Asyik angkat besi je."

Aku tak pasti ianya perli atau mencabar aku untuk kayuh basikal semula.

PS: Aku bercadang nak mula kayuh basikal malam ni. Tapi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...