Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label scott addict r3. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label scott addict r3. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Disember 2011

Senjata Hitam Putih - Scott Addict R3 Model 2010


Pos kali ini, aku mahu memperkenalkan senjata aku yang berwarna hitam & putih secara lebih dekat lagi dengan para pembaca blog BrekKejap.com.

Aku akan terangkan seperinci mungkin agar anda boleh jadikan panduan untuk membeli basikal yang penuh perisa karbonat pada tahun 2012 yang bakal menjelang tiba.

Inilah basikal aku:

Scott Addict R3 Model 2010.

Nadi paling utamanya adalah bingkai basikal itu sendiri - iaitu jenama Scott model Addict R3 yang dikeluarkan pada tahun 2010. Bingkai ini aku beli 2nd hand dengan harga RM4000. Kalau baru, harganya RM7800.

Tapi, model ini sudah pun diberhentikan pengeluarannya dan digantikan dengan model Foil yang bingkainya berbentuk aero dan semestinya lagi gempak daripada model basikal aku. Tahap kecantikannya jugak setaraf Catherine Zeta Jones di awal umur 20-an!

Ok, lupakan tentang Catherine Zeta Jones dan kembali kepada cerita basikal aku - Bingkainya berkarbon penuh dengan berat hanya 890 gram:

Bingkai Scott Addict R3.

Di bahagian stems, aku gunakan jenama PRO model PLT OS bersaiz 100 mm dan materialnya pula adalah alloy. Aku beli di Rodalink Putrajaya dengan harga RM173:

2012 PRO PLT OS Alloy Stem.

Handlebar pula aku guna jenama 3T Ergonova Pro bersaiz 42 cm. Beratnya 326 gram yang bermaterialkan alloy. Harganya RM200:

3T Ergonova Pro.

Bar tape yang aku gunakan ini sangat lazat berkrim yang aku pasti sangat disukai ramai. Ianya jenama PRO Smart Silicon yang berharga RM38:

PRO Smart Silicon Handlebar Tape.

Aksesori tambahan pula iaitu meter, aku gunakan jenama Cateye Micro Wireless model CC-MC100W berharga RM160. Beratnya 30 gram:

Cateye Micro Wireless CC-MC100W.

Ok, kita ke bahagian lain pula iaitu Seatpost. Aku guna jenama Fi'zi:k model Cyrano yang harganya RM457.90. Materialnya adalah karbon dan saiznya 30'6x330mm. Beratnya pula adalah 235 gram. Apa yang menarik tentang Fi'zi:k Cyrano ini, ianya pernah menang reddot Design Award pada tahun 2010.

Saddle aku gunakan jenama Fi'zi:k juga iaitu model Kurve. Anda boleh ke laman webnya di sini http://www.fizik.it/kurve/ untuk melihat kelebihan saddle ini. Harganya RM741:

Fi'zi:k Cyrano dan Fi'zi:k Kurve.

Kebanyakan orang panggilnya gear. Bagi yang Pro, ianya dipanggil groupset. Aku gunakan jenama Shimano model 105 tahun 2010 berwarna hitam. Berat keseluruhannya adalah 3313 gram. Harga yang aku beli di kedai Jami Bike Centre adalah RM1850:

Shimano 105 - Crank.

Shimano 105 - Rear Derailleurs.

Set roda pula aku pakai jenama Reynolds model Assault tahun 2011. Ianya jenis clincher dan berkarbon penuh. Berat keseluruhannya adalah 1483 gram dan harganya pula adalah RM3800.

Reynolds Assault 2011.

Tayar aku gunakan jenama Hutchinson Intensive bersaiz 700x25 dengan beratnya 240 gram. Sepasang berharga RM254 yang aku beli di KHCycle, Damansara Perdana:

Hutchinson Intensive Clincher.

Dan, yang terakhir sekali adalah tiub. Aku guna jenama Vredestein Race yang beratnya 108 gram. Harganya adalah RM22:

Vredestein Race.

Ya, itulah secara kasarnya ramuan-ramuan yang digunakan ke atasa senjata hitam putih aku. Kos keseluruhannya adalah RM10977.90 setelah ditambah kos pemasangan dan paddle Shimano 105.

Oh ya, berat keseluruhan Scott Addict R3 aku adalah:

Berat basikal aku 7.62 kg.

Cuba bayangkan kalau aku pakai groupset Shimano Dura Ace CS-7900 (2087 gram) dan paddle Keo Blade (115 gram), tidakkah berat basikal aku akan menjadi 6.5 kg? Anda sahaja yang bayangkan - bukannya aku...

PRO Stealth Evo berharga RM2030. Beratnya hanya
350 gram. Aku masih lagi memikirkannya kerana harganya
sangat mahal.

Kalau aku bayangkan ianya akan menjadi lebih parah kerana aku perlu mengeluarkan lagi duit sebanyak RM6500 untuk mendapatkan berat itu!

PS: Aku perlu tidur awal kerana esok ada Larian Kitar Semula di Presint 2, Putrajaya sejauh 7 km bermula jam 7:30 pagi. Doakan aku menang berjaya bangun awal esok pagi tau!

Selasa, 8 November 2011

Kronologi Sepanjang 360 Hari Yang Lalu


Okey, sama-sama ikut aku menyanyi lagu Hari Jadi sambil diselangi tiupan trompet:

Selamat Hari Jadi...Selamat Hari Jadi...
Selamat Hari Jadi Pahlawan...Selamat Hari Jadi...
Oh, terima kasih kerana turut sama menyanyikannya bersama-sama aku. Sesungguhnya aku sangat terharu.


Jangan salah faham. Sebenarnya, hari ini bukanlah hari jadi aku. Sebaliknya, hari ini adalah genapnya setahun aku mengayuh basikal lumba.

Sepanjang 360 hari yang lepas, pelbagai perkara yang telah terjadi dan segalanya tak pernah aku bayangkan. Daripada berbasikal biasa-biasa hinggalah kepada basikal luar biasa yang hampir-hampir diluar kemampuan aku!

Marilah ikut aku mengembara dengan mesin masa jenama Scott yang aku cipta ini; khusus mengimbau kronologi yang nonkriminal tentang aku dan basikal:

Sabtu, 16 October 2010
22 hari sebelum berbasikal - Hari ini hari Sabtu dan seperti biasa, aku mulakan larian aku jam 7:45 pagi. Dalam 500 meter berlari, aku mula rasakan lutut kiri aku sengal-sengal. Aku sangkakan mungkin disebabkan tiada regangan sebelum larian. Jadi, aku perlahankan larian dan sampai satu tahap aku rasakan kaki aku tidak boleh bergerak lagi.

Aku berjalan terhinjut-hinjut sejauh 2 km untuk pulang ke rumah.


Selasa, 19 October 2010
Aku masih MC hari ini. Sedang berehat di ruang tamu, aku terpandang sekumpulan penunggang basikal Mountain Bike sedang menuju ke PCP, Taman Cabaran.

Sedang tercapik-capik menuju ke dapur, terpandang pula jiran aku sedang mengusung basikal. Ah, ini seperti petanda dan aku perlu lakukan sesuatu!

Sabtu, 6 November 2010
Hari ini aku mula rasakan yang aku boleh berjalan dengan normal. Tiada sakit-sakit di sekitar lutut aku. Seperti biasa, jam 7:45 pagi aku mulakan larian perlahan dan diselang-selikan dengan berjalan sekitar PICC, Putrajaya.

Selepas larian, aku pergi ke Presint 9 untuk membeli sarapan. Dan, disinilah segala-galanya bermula; Aku terpandang kain rentang yang besar dengan perkataan "RODALINK KINI DIBUKA DI PRESINT DIPLOMATIK". Aku tak tau apa itu Rodalink, tapi yang menarik perhatian aku ada gambar basikal di atas kain rentang tersebut.

Rodalink Putrajaya - Ketika acara perasmian sedang
berlangsung.

Disebelah petangnya, aku bawa keluarga aku pergi ke Rodalink untuk melihat-lihat basikal apa yang ada disitu. Dan, inilah pertama kalinya aku berjumpa dengan staf Rodalink iaitu Zakhir dan Fadhli Khairon.

Sebelum pulang, aku sempat berkata pada Zakhir bahawa esok aku akan datang lagi untuk membeli basikal.

Ahad, 7 November 2010
Sekitar jam 11.30 pagi, aku sudah pun tercegat di hadapan Rodalink dan terus membeli basikal jenama Polygon model Helios F100 yang harganya RM1145:


Polygon model Helios F100 - Basikal pertama aku.

Facebook - Aku kerap kemaskinikan aktiviti berbasikal aku
dalam Facebook.

Sejak daripada itu, aku sudah mula rajin ke Rodalink untuk minta nasihat tentang basikal dan cara-cara mengayuh basikal dengan betul.

Disamping itu juga aku kerap ke laman Bicycle Buy & Sell untuk menyertai ruang sembang. Disinilah aku mula kenal beberapa orang rakan dan ada di antara mereka menjadi rakan sekayuh hingga kini.

* Terima kasih kepada Cawan yang bertanggungjawab kenalkan aku laman web tersebut!


Ahad, 7 Desember 2010
Inilah pertama kalinya dalam sejarah hidup aku mengayuh basikal sejauh 60 km dan kelajuannya mencecah 38 km/j. Ini semua angkara Iskandar Specialized, Zul BMC, Shahrul Bianchi dan Tuah Giant. Dah lah kayuh laju-laju, jauh pulak tu. Lepas tu pulak pekena bukit Limau Manis!

Sampai rumah, aku terus rasa macam nak demam!

Ahad, 12 Desember 2010
Buat pertama kalinya aku menyertai acara berbasikal iaitu Kayuhan Kesihatan Putrajaya 2010 Anjuran myJICA. Anda boleh ke pos aku yang terdahulu untuk cerita selanjutnya. Klik sini.

Sabtu, 31 Desember 2010
Aku turut serta Kayuhan Tahun Baru Interpark Ride Putrajaya anjuran Perbadanan Putrajaya. Buat pertama kalinya berjumpa dengan ahli laman web Bicycle Buy & Sell.

Aku tak ada dalam gambar ni.

Ahad, 1 Januari 2011
Keesokannya, hasil perbincangan aktiviti hari Ahad, buat pertama kalinya aku ke Hulu Langat untuk mendaki bukit Perez yang terkenal dengan aktiviti mendaki sambil berbasikal.

Hulu Langat - Bersama basikal aku yang sudah diubahsuai
menjadi basikal lumba. Kebonjolan perut aku juga masih
terserlah ketika ini.

Jumaat, 8 Januari 2011
Pertama kali aku turut serta kayuhan Tri Paku Nite Ride. Dan, hingga sekarang aku masih lagi mengikut aktiviti kumpulan ini berkayuh setiap malam Rabu dan Jumaat.

Tri Paku Nite Ride setiap malam Rabu dan Jumaat.

Ahad, 30 Januari 2011
Hari ini sangat mengujakan; Secara rasminya aku bertukar basikal kepada basikal lumba yang asli iaitu BMC model Streetfire SSX 2009. Proses pemasangannya dilakukan di Jami Bike Centre, Kajang. Kos keseluruhannya mencecah RM4500:

BMC Streetfire SSX 2009.

Sejak berbasikal BMC ini, aku memang tak duduk diam. Ada sahaja aktiviti setiap hujung minggu. Dalam waktu yang sama aku kerap melakukan latihan seperti berlari. Sepanjang tahun 2011 juga aku banyak berlatih bersama Team Tri Paku.

Tri Paku Nite Ride.

Ahad, 20 Februari 2011
Aku sertai Criterium Kencana-SIC Bikeathon 2011. Keseluruhannya, seramai 600 peserta dan 12 pusingan litar adalah wajib. Tapi, aku cuma mampu buat 2 pusingan sahaja. Selanjutnya ada disini.

Ahad, 6 March 2011
Kayuhan paling jauh yang pernah aku lakukan sehingga kini iaitu 114 km ke Bagan Lalang. Aku pernah ceritakan kayuhan tersebut di sini.

Sabtu, 10 Jun 2011
Sekali lagi terjadi ketika sedang berlari - Lutut aku tercedera lagi. Kali ini sebelah kanan.

Lutut kanan aku pulak cedera. Mengambil masa hampir dua
minggu untuk sembuh.

Ahad, 25 September 2011
Setelah 10 bulan bersama BMC Streetfire SSX, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menukar basikal kepada jenama Scott Addict R3. Anda boleh membaca kisahnya di sini.

Rodalink Putrajaya - Inilah hasilnya setelah menjalankan
pembedahan selama 3 jam 30 minit.

Ahad, 9 Oktober 2011
Aku tak pernah mengikut kumpulan Jami Bike Centre mengayuh basikal. Hari ini aku mengambil keputusan untuk mencuba laluan kumpulan ini. Kalau laluannya menarik, bolehlah aku turut serta kayuhan mereka pada masa-masa akan datang.

Setelah pulang dari kayuhan ke Lenggeng, Negeri Sembilan yang jauhnya 76.57 km selama 3 jam, aku terus memasang set roda Reynolds Assault yang berharga RM3800.

Jami Bike Centre - Reynolds Assault Clincher RM3800.

Jami Bike Centre - Proses pemasangan sedang berlangsung.

Scott Addict R3 2010 - Beginilah rupanya basikal aku yang
terkini.

Ahad, 23 Oktober 2011
Sekali lagi aku mengikut Kumpulan Jami Bike Centre ke Hulu Langat yang jauhnya 87.5 km dan mengambil masa selama 3 jam 15 minit. Ceritanya ada di sini.

Team Jami Bike Centre - Kayuhan ke Hulu Langat.

Ahad, 30 Oktober 2011
Akhirnya aku menjual rangka basikal BMC Streetfire SSX aku kepada rakan sekayuh. Cadangnya basikal ini aku nak jadikan basikal ke dua aku. Tapi, memandang kosnya boleh jadi berganda; maka, aku batalkan sahaja niat aku. Jalan penyelesaian untuk selamatkan duit aku, aku jualkan sahaja!

---

Begitulah perjalanan kisah aku sepanjang setahun aku melibatkan diri dalam dunia basikal. Sekarang ini berat badan aku sudah turun kepada 62 kg berbanding sebelum aku kayuh basikal iaitu 74 kg.

Degup jantung ketika rehat pula sudah turun kepada 58 bpm berbanding sebelumnya iaitu 83 bpm.

Ini aku anggapkan perubahan positif yang ketara dalam tempoh 360 hari yang lepas. Perubahan ini sudah pun menjadi gaya hidup dan tabiat aku. Dan, nampaknya tabiat ini sukar untuk diubah!

PS: Orang kata hobi berbasikal ini sangat mahal. Aku perlu mengakuinya.

Ahad, 25 September 2011

Kisah Sedih dalam Gembira - Selamat Tinggal BMC SSX Streetfire


Hari Khamis baru-baru ni, aku dapat sa-biji bingkai basikal baru yang berjenama Scott model Addict R3 yang dikeluarkan pada tahun 2010. Jadi, secara rasminya inilah basikal karbon penuh pertama aku.

Bingkai Scott Addict R3 2010.

Semalam, aku pergi ke Rodalink Putrajaya untuk memasang basikal baru ni. Komponen-komponen basikal BMC aku pindahkan ke bingkai Scott. Proses ini dijayakan oleh Lee, iaitu seorang mekanik bertauliah dari Rodalink. Sesiapa yang tak kenal siapa beliau, sila ke sini.

BMC SSX Streetfire 2009 dalam kenangan.

Selamat datang ke dalam hidup aku!

Proses pemasangan mengambil masa selama 3 jam 30 minit dan aku sedikit pun tak bosan apabila berada di dalam kedai basikal.

Rodalink Putrajaya - BMC aku sudah berjaya dibogelkan
tanpa belas kasihan.

Rodalink Putrajaya - Lee sedang melakukan ritual tanpa
sebarang Keminyan Bunian; hanya spana sahaja sudah
mencukupi.

Setelah segalanya sempurna terpasang, aku pun buat kayuhan percubaan sejauh 1 km di luar Rodalink Putrajaya dan ketika kayuhan berlangsung, terasa janggal pulak dengan bingkai Scott ni. Geometri basikal ini 99% sama seperti basikal BMC aku - agak mustahil aku rasa bingkai ni kecik.

Pagi ini hari Ahad, aku cuba lagi untuk melakukan kayuhan dengan berpakaian lengkap seperti biasa. Sedikit malang kerana hari ini agak berjerebu dengan IPU nya mencecah 60* (Sila rujuk laman ini). Dengan memakai penutup hidung, aku teruskan pendakian bukit PICC.

Hanya sempat melakukan satu pusingan, hujan turun dengan lebatnya. Setelah reda, aku pulang ke rumah untuk mengubah kedudukan seat post yang sedikit tinggi sebelum ini.

PICC - Aku terpaksa berteduh di pintu masuk PICC.

PICC - Hujan ini satu rahmat kerana melenyapkan
sekurang-kurangnya 40% jerebu buatan Sumatera,
Indonesia.

Setelah hujan berhenti, aku menyambung kembali kayuhan yang belum selesai. Ketika ini barulah aku rasakan segalanya hampir sempurna - Geometrinya sama seperti basikal BMC aku. Cuma, stem bersaiz 120 mm yang aku pakai sekarang ini sedikit panjang - Aku perlu menukarkannya kepada 110 mm barangkali untuk mengelakkan lenguh-lenguh bahu ketika sedang mengayuh basikal.

Putrajaya - Pandangan dari puncak PICC. Di waktu ini, jerebu
dan kabus bergabung tenaga.

PICC - Agak lemas jugak le ketika sedang mendaki bukit.
Tapi, apa nak buat; jerebu memang menyusahkan.

Selepas hujan yang agak lebat sebentar tadi, aku dapat rasakan jerebu sangat berkurangan. Oh, terima kasih Tuhan!

PS: Berat basikal Scott Addict R3 aku sekarang ni 8.3 kg. Sekiranya aku dapat set roda Cosmic Carbone SLR, Look KéO 2 Max dan Dura Ace Crank, berkemungkinan besar boleh turun kepada 7.9 kg.

PPS: Mengapa negara jiran kita yang satu ni tak bosan-bosan membakar hutan? Tension betul aku!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...