Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label smart trainer. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label smart trainer. Papar semua catatan

Selasa, 30 Mac 2021

MAGENE T300 - Mesin ajaib 'smart trainer' yang harus dimiliki!


Assalamualaikum dan Salam 1Basikal. Aku hampir terlupa yang aku ada blog. Asyik dengan Instagram dan Youtube buatkan aku terlupa tentang blog ini.

Jadi, hari ni aku nak bercerita tentang smart trainer yang aku beli pada bulan lepas. Ini smart trainer pertama aku sepanjang aku kayuh basikal. Sebelum ini bukannya tak nak beli, cuma harganya mahal buatkan aku malas nak fikir.

Korang bayangkan, nak kayuh dalam rumah pun aku kena beli satu mesin yang harganya beribu. Rasa macam dunia ni dah tak betul.

Bukan takde mesin yang ratus-ratus harganya yang dijual di Shopee. Ada je... Cuma jenis aku ni, kalau nak membeli, haruslah menang memakainya.

Aku tak nak beli yang mana aku tengok pun langsung tak bersemangat. Itu akulah. Kalau korang, aku tak tahu. Sesetengah orang tak kisah, asalkan ada.

Tapi aku bukan macam tu. Aku akan buat sasaran barang yang aku betul-betul nak, seterusnya simpan duit sampai cukup. Bila dah cukup, baru aku beli.

Treadmill tu langsung aku lipat sejak ada smart trainer.

Tapi disebabkan COVID 2.0 ni betul-betul buatkan aku terkesan. Nak kayuh kat luar pun terdedah dengan risiko jangkitan. Adakalanya juga diganggu orang yang tak betul kepalanya - menghimpit aku sewaktu berbasikal. Baik kereta mahu pun motor.

Selain tu juga, kalau aku jarang kayuh, ini akan mengganggu proses aku membuat vlog sewaktu berbasikal. Bila bercakap, heart rate tinggi dan ini membuatkan aku tak cukup nafas untuk bercakap. Dan dalam masa yang sama membuatkan oksigen tak cukup sampai ke otak membuatkan aku menjadi tidak kreatif.

Penyelesaiannya, aku harus ada sebuah mesin ajaib yang mampu milik dan kondisinya haruslah cukup memuaskan hati aku.

Aku letak bersebelahan treadmill.

Setelah membuat kajian smart trainer yang aku mampu hampir 3 bulan, akhirnya aku memilih Magene T300. Dan, sehingga aku menulis blog ini, aku cukup berpuas hati dapat memiliki smart trainer Magene T300 ini.

Tapi itulah... Setiap bulan aku perlu mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar aplikasi Zwift sekitar RM62. Kalau tidak, mesin ajaib buatan China ini boleh jadi tukun buruk. Kayuh tanpa Zwift akan buatkan kita kayuh tanpa motivasi.

Inilah Magene T300.

Selain Zwift, ada juga aplikasi yang lain seperti RGT Cycling, Rouvy, Bkool dan beberapa virtual cycling platform yang lain. Aku memilih Zwift sebab kebanyakannya daripada kita kat Malaysia ni memilih Zwift. Senang cakap, ramai kawan-kawan aku menggunakan Zwift. Manalah tahu aku nak kayuh dengan diorang ni dalam Zwift, anytime boleh.

Aku pernah cuba masuk dalam RGT Cycling, tapi yang kayuh waktu tu cuma puluh-puluh orang je. Bila aku masuk Zwift, nah... beribu orang tengah kayuh.

Tapi untuk sementara ni biar aku dengan Zwift dulu; sebelum bertukar kepada platform lain.

Aku guna karpet gym yang dibeli di shopee.
Aku takut jiran bawah dengar kuat sangat.

Oh ya, aku beli Magene T300 ni kat Shopee. Nama kedai yang aku beli tu Granfondo. Banyak juga barang yang aku beli kat kedai ni; Shimano Pro Stealth carbon rail saddle, Bryton 530, carbon bottle cage, aku beli kat kedai nilah.

Kebanyakannya harga yang dijualnya agak murah. Itu yang aku beli kat kedai dia.

Kalau korang nak beli dan mempunyai bajet yang sederhana, aku cadangkan korang beli yang macam aku punya. Harga set lengkap adalah RM3,000. Kalau tanpa cassette harganya akan murah sedikit.

Lepas aku banyak luangkan masa kayuh kat Zwift dengan menggunakan Magene T300 ni, aku akui yang ianya banyak membantu aku ketika bikevlogging. Bayangkan aku dah tak kayuh kat luar 2 bulan; dan terus kayuh 100km sekitar Putrajaya tanpa sebarang masalah.

Katakanlah apabila Selangor diumumkan PKPP sama macam Putrajaya, aku akan terus ikut kumpulan basikal dan kayuh 100 km ke atas seperti biasa tanpa bonk.


Sambil kayuh, aku boleh tonton Netflix bersebelahan Zwift.

Kalau dulu aku terpaksa ambil masa 2 minggu untuk bina kecergasan semula sebelum ikut mana-mana kumpulan basikal. Tapi kali ni, tak payah. Tamat je PKPB, aku terus ikut diorang kayuh beratus km. Nak kayuh kat mana, cakap je. Amerika, Zimbabwe, Kepulauan Cayman, Bermuda, Bagan Lalang, hah cakap je.

Itulah kelebihan apabila ada smart trainer yang dihubungkan kepada aplikasi Zwift. Mungkin apa yang aku ceritakan ini mampu membuatkan korang memilih apa yang terbaik untuk diri korang.

Baiklah, aku berhenti setakat ini sahaja untuk topik smart trainer. Sebab aku nak sambung cerita topik lain pulak. Nantikan pos akan datang.

Sehingga kita bertemu kembali. Adios!

PS: Aku nak buat meet up dengan subscribers kat Zwift nanti. Tapi tak tahu macam mana ha-ha!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...