Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label tower bridge. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tower bridge. Papar semua catatan

Ahad, 19 Jun 2011

Hari ke Enam: Big Bus Tours, Tower of London, Tower Bridge dan Camden Town


Hari ini adalah hari Ahad dan secara automatiknya sudah masuk hari ke 6 aku berada di kota London. Mengikut jadual aku, hari ini adalah aktiviti menaiki bas merah yang tak ada bumbung tu; atau dengan nama lainnya "Hop-On Hop-Off".

Di London, ada beberapa syarikat bas jenis ni beroperasi seperti Premium Tours dan Big Bus Tours. Dalam kes aku ini, aku mengambil syarikat Big Bus Tours. Aku beli tiket bas ini secara online sebulan lebih awal sebelum aku ke London. Jumlah harga tiket untuk dua orang setelah diskaun adalah ₤42.

Inilah Big Bus Tours. Pada aku, menaiki bas jenis ini adalah
perkara yang cukup serius dan perlu menaikinya sekiranya
berada di kota London.


Big Bus Tours akan membawa anda melalui beberapa kawasan utama seperti Big Ben and the Houses of Parliament, The Tower of London, St Paul's Cathedral, The London Eye, Buckingham Palace, Tower Bridge, Trafalgar Square, Piccadilly Circus, Westminster Abbey, Downing Street dan Horse Guards.

Tetapi, sebelum aku ke Hyde Park untuk menaiki Big Bus Tours, aku perlu ke Camden Town dahulu. Camden Town sudah lama berlegar di dalam kepala aku sejak sekian lamanya. Di kaca tv pun sering kali aku melihat orang Malaysia datang ke sini. Difahamkan juga, di sekitar Camden Town terdapat ramai orang Malaysia meniaga.

Jam sudah menunjukkan pukul 9.37 pagi ketika sampai di stesen keretapi bawah tanah Camden Town. Aku perlu habiskan sesi melawat Camden Town secepat mungkin. Kalau tak, rugilah tiket Big Bus Tours yang aku beli.

Sebaik sahaja aku keluar daripada stesen Camden Town, sebelah kanan aku betul-betul ada kedai topi. Aku terus beli topi kaler hitam berharga ₤10. Itupun harga selepas tawar menawar. Orang Malaysia kan hebat kalau bab tawar menawar! Tapi, aku percaya sebenarnya boleh dapat bawah ₤10!

Camden Town - Bergaya dengan topi baru di hadapan
"The Camden Market". Orang agak ramai ketika ini.

Di laluan yang sama, ada "The Camden Market" dan aku terus masuk ke dalam untuk melihat apa yang aku boleh beli. Aku bercadang mahu membeli jaket kulit. Dengar cerita, jaket kulit kat sini murah harganya.

Camden Town - Di dalam The Camden Market terdapat
pelbagai jenis baju. Murah pulak tu!

Camden Town - Isteri aku sedang memilih jaket kulit.

Akhirnya, aku dan isteri aku dapat juga membeli jaket kulit. Isteri aku punya jaket berharga ₤40 dan aku punya ₤50. Yang menariknya, jaket yang aku beli tu harga asalnya adalah ₤190. Macam mana aku boleh dapat harga ₤50 je? Hahahaha... Aku tak mahu cerita kat sini sebab banyak lagi yang belum aku cerita lagi. Sorry geng!

Selepas itu, kami berdua berjalan sekitar 100 meter daripada stesen Camden Town untuk melihat kedai-kedai lain pula. Nak berjalan lebih jauh lagi takut tak sempat pulak nak ke Hyde Park Corner untuk menaiki Big Bus Tours. Jadi, kami berdua mengambil keputusan untuk datang semula ke Camden Town disebelah petangnya.

Jam 10.50 pagi, kami menaiki keretapi bawah tanah untuk menuju ke Hyde Park Corner. Ketika sampai di Hyde Park Corner, berderet bas tak berbumbung sedang pakir di tepi jalan sambil ditemani seorang awek yang tugasnya melayan pelanggan. Aku menuju ke arahnya sambil menyerahkan e-Voucher Big Bus Tours dan membeli sekali pakej melawat Tower of London dan Tower Bridge yang berharga ₤52 untuk dua orang.

Selepas membayar pakej tiket tersebut dan menukarkan e-Voucer kepada tiket asli, kami menaiki bas dengan penuh gaya, mutu dan keunggulan. Yelah, jaket kulit baru beb!

Hyde Park - Seorang lelaki sedang memberi ucapan sambil
dikelilingi orang ramai.

thistle Marble Arch - Ini hotel tau, bukan pusat membeli belah!

Di London, jarang sekali nampak bangunan-bangunan tinggi
seperti kita di sini.

Gloucester Place - Tak pasti bangunan apa.

Oxford Circus - Bendera-bendera Union Jack digantung
sepanjang jalan ini.

Memang aku akui, ketika melalui Big Ben dan Houses of Parliament, bangunan lama ini memang sangat cantik. Oh ye, bangunan ini mula dibina pada tahun 1097 dan 1099 oleh William Rufus. Siap dibina pada 10 April 1858 dan diistiharkan sebahagian daripada "UNESCO World Heritage Site" pada tahun 1987.

Berlainan dengan kita di sini. Asal ada banggunan lama, habis dirobohnya. Bukannya nak dipulihara semula; contohnya, Penjara Pudu!

Big Ben and the Houses of Parliament - Selama ini aku hanya
tengok di dalam tv sahaja. Sekarang ini betul-betul di hadapan
mata aku!

Untuk gambaran sebenar Big Ben dan Houses of Parliament dalam versi video, sila lihat di bawah. Anda dinasihatkan tengok video ini sebanyak dua kali. Masa tengok mula-mula tu, biar tengok sampai habis. Tengok kali ke dua pulak, pejamkan mata anda dan bayangkan anda turut sama berada di atas Big Bus Tours:


London Eye - Bersebelahan Sungai Thames.

London Eye - Laluan menuju ke London Eye.

Di Malaysia, ramai orang sering merungut yang jalanraya kita sering dikorek oleh Jabatan Kerja Raya. Ada juga yang berkata, negara lain tak macam tu pun. Ah, siapa cakap? Sepanjang aku di london, kerap jugak aku nampak diorang korek dan kambus jalan. Dah le jalan sempit, lepas tu pulak waku itu lah diorang korek jalan. Depan hotel aku sendiri pun ada orang korek jalan tau!

Ave Maria Lane - Jangan ingat kat Malaysia je sibuk korek
kambus jalan. Kat London pun lebih kurang sama je
macam kita kat sini.

Tower Bridge daripada jauh. Kami berdua sedang ke arah
sana.

Bangunan yang di hadapan ini adalah City Hall
dan di hujung sana; bangunan seakan peluru itu pula
adalah 30 St Mary Axe.

Tower Bridge - Sedang melalui Tower Bridge.

Tower of London - Di sebelah Tower Bridge
adalah Tower of London.

Sebaik sahaja bas berhenti di hadapan Tower of London, kami berdua turun daripada Big Bus Tours dan terus menuju ke istana lama tersebut. Tower of London terletak bersebelahan dengan Sungai Thames. Ketika itu ramai orang berada di sepanjang Sungai Thames sambil bergambar berlatarbelakangkan Tower Bridge.

Nasib baik aku beli tiket masuk dengan awek cantik Big Bus Tours tadi. Kalau tak, aku terpaksa beratur panjang di kaunter tiket Tower of London.

Tower of London - Ketika masuk ke dalam istana.

Tower of London - Agak pelik kenapa jual kereta dalam
istana lama ini.

Ketika di dalam istana, ada perkara yang sangat menarik terjadi dengan tiba-tiba. Bateri kamera Nikon aku habis! Aku minta kamera Canon satu lagi dalam simpanan isteri aku. Isteri aku cakap tak bawak. Hah, sungguh menarik kerana ianya terjadi di dalam Istana lama Inggeris ini.

Nasib baik masa kecil dahulu aku selalu tengok filem MacGyver. Jadi, berbekal kecerdikan sejak kecil lagi, aku mengeluarkan telefon bimbit Sony Ericsson aku yang baterinya masih penuh. Telefon bimbit ini memang aku sentiasa bawa dalam keadaan tutup kerana berpotensi menggantikan kamera-kamera aku yang telah kehabisan baterinya. Sekiranya aku ditanggap oleh CIA atau mana-mana Pegawai Interpol, aku masih lagi ada kamera yang disembunyikan di dalam poket seluar!

Tower of London - Di pintu masuk menara Lanthorn yang
dibina pada tahun 1220-1238.

Tower of London - Di bahagian dalam kubu istana.

Tower of London - Ada lakonan secara terus dihadapan
para pelancong.

Tower of London - Pelakon yang sedang menunggu giliran
wataknya pula.

Tower of London - Dinding asal yang sebahagiannya sudah
runtuh.

Tower of London - Pemandu pelancong sedang
eksyen di hadapan para pelancong.

Kawasannya boleh dikatakan besar jugak. Jadi, ada sebahagian kawasan di dalam Tower of London aku tak dapat nak pergi.

Seterusnya, kami berdua keluar daripada Tower of London dan terus menuju ke arah Tower Bridge melalui tepi Sungai Thames. Tiba di Tower Bridge, kami terus menuju ke kaunter tiket untuk menukarkan tiket sementara yang diberi oleh awek Big Bus Tours tadi kepada tiket yang sebetulnya.

Selepas mendapatkan tiket, para pelawat perlu menunggu untuk menaiki lif menuju ke atas Tower Bridge.

Tower Bridge - Inilah tiket yang sebetulnya berbanding
tiket sementara hanya berbentuk resit sahaja.

Tower Bridge - Di dalamnya ada pertunjukan video
menceritakan sejarah tentang Tower Bridge.

Tower Bridge - Sepanjang laluan ini para pelancong akan
dihidangkan dengan segala informasi berkaitan jambatan-
jambatan di dunia dan sejarah Tower Bridge.

Tower Bridge - Permandangan Sungai Thames dari
Tower Bridge.

Inilah Tower Bridge yang sebenar!

Tower Bridge bukan lah besar mana pun. Tak sampai sejam boleh habis jalan. Oh ya, para pelawat boleh juga melawat di bahagian enjin Tower Bridge di mana jambatan tersebut beroperasi. Aku tak pergi pun sebab aku perlu menaiki feri secara percuma melalui sepanjang Sungai Thames.

Bagaimana boleh percuma? Ini kerana sekiranya menggunakan servis Big Bus Tour, para pelanggan mereka akan dapat menaiki feri secara percuma.

Thames River - Sedang beratur untuk menaiki feri.

Thames River - Tower Bridge sedang dinaikkan agar
kapal di bawahnya dapat melalui Sungai Thames.

Thames River - Pemandu pelancong sedang menjalankan
tanggungjawabnya kepada para pelancong.

Thames River - Mercu seakan-akan Place de la Concorde pun
ada di London. Adakah ianya satu kebetulan? Kalau di Jamrah,
batu ini hanya sesuai untuk direjam!

Thames River - Eye of London.

Thames River - Feri akan menurunkan penumpangnya di
Big Ben and the Houses of Parliament.

Selepas turun di Big Ben and the Houses of Parliament, kami terus menuju ke keretapi bawah tanah yang terdapat di situ. Kami berdua bercadang mahu ke Camden Town semula untuk mencari makanan Melayu.

Stesen Westminster - Sedang menunggu keretapi bawah
tanah menuju ke Camden Town.

Camden Town - Tangga stesennya sangat curam. Bayangkan
eskelatornya rosak! Aku sudah merasa pengalaman
menaiki tangga eskelator ketika rosak.

Sampai di Camden Town, kami berdua terus mencari kedai Melayu. Dalam 20 minit jugalah kami berjalan mencari di mana kedai makanan Melayu. Akhirnya kami patah balik jalan yang kami datang tadi. Dan, ketika itulah kami berdua terdengar ada satu suara perempuan menegur kami di dalam Bahasa Melayu. Dengan spontannya aku senyum pada perempuan tersebut.

Lalu kami tanya di mana kedai masakan Melayu dan beliau memberitahu bahawa kedai masakan Melayu yang kami cari hanya di sebelah kedai yang kami sedang berdiri.

Memang betul, ada kedai melayu di situ! Nama kedai tersebut adalah "Kita Kitchen".

Camden Town - Permandangan sepanjang jalan di waktu
petang.

Camden Town - Bangunan kedai Camden Lock.

Camden Town - Ada sungai di sini.

Aku pun agak teruja apabila dapat berjumpa dengan orang Melayu di bumi asing ni. Diorang pun tak sombong macam manusia-manusia dalam kantin Malaysia Hall. Aku dan isteri aku sembang macam dah kenal lama. Di dalam kedai ini ada 4 orang pekerja. Salah seorangnya anak tokei kedai yang bernama Mahathir dan masih belajar di sekitar London.

Menurut Mahathir, di sekitar Camdem Town terdapat ramai orang Malaysia meniaga makanan dan cenderahati. Kebanyakannya adalah Cina Pulau Pinang.

Camden Town - Satu-satunya kedai makan masakan Melayu.
Kita Kitchen mula beroperasi sejak hampir dua bulan lalu.

Camden Town - Keadaan kedai Kita Kitchen.

Camden Town - Masakan Melayu di bumi asing.

Di Kita Kitchen, kami berdua bungkus nasik goreng. Kami minta sambal belacan, abang tu cakap dah habis. Ok takpe, esok petang kami datang lagi.

Selepas membayar ₤6, kami terus beredar dan ketika sampai di Old Street, kami berdua singgah di kedai Turkey semalam dan beli burger sebagai backup sekiranya nasi goreng tak cukup. Memang betul tak cukup. Nasib baik ada burger!

Ini bukan kerana nasi goreng tersebut sedikit, tetapi kami memang lapar. Biasanya ketika tengahari, memang tak sempat nak cari kedai makan sebab aktiviti sangat padat. Biasanya tengahari kami hanya makan Snickers Bar sahaja.

Sebagai backup, aku beli burger kat kedai Turkey di
Old Street.

Seharian sepanjang hari Ahad di kota London memang memenatkan. Walaupun penat, ianya penat yang berbaloi. Setiap sen yang dikeluarkan memang tak terasa rugi. Inilah percutian yang terbaik pernah aku buat setakat ini.

PS: Camden Town adalah pekan kecil dan keadaan persekitarannya sangat best. Deretan kedai sepanjang jalan membuatkan pekan kecil itu kelihatan sungguh hebat. Camden Town memang terbaik!

Selasa, 24 Mei 2011

Hari ke Empat: Dari Paris Pulang ke London


Pada 22hb April, 2011; Secara rasminya aku sudah pun 4 hari berada di luar liputan Maxis, Digi, Celcom mahupun Astro.

Pukul 7.50 pagi, aku keluar dari hotel Libertel Canal Saint-Martin, menaiki Metro di Jaur├Ęs dan seterusnya menuju ke stesen Gare du Nord. Dan, jam 8.10 pagi aku sudah pun sampai di stesen tersebut.

Dalam stesen Metro di Gare du Nord, sekali lagi aku tersesat. Aku tak tahu macam mana nak keluar daripada stesen Metro untuk menuju ke stesen Eurostar. Yang pastinya, stesen Eurostar juga berada di dalam stesen Gare du Nord. Memanglah ada papan tanda menunjuk arah ke stesen Eurostar. Tapi, bila aku ikut arah papan tanda yang tersedia ada, aku akan berbalik ke arah yang sama aku datang tadi.

Aihhh, dah serupa papan tanda kat Malaysia pulak!

Suasana sekitar stesen Gare du Nord di waktu pagi.

Akhirnya, aku ternampak 4 orang polis Perancis di suatu sudut; tiga lelaki dan seorang perempuan. Nasib baik ada polis. Boleh jugak aku tanya kat mana stesen Eurostar. Lalu, aku menuju terus ke arah polis wanita tersebut. Polis lelaki, aku abaikan dahulu. Lagipun, polis perempuan tu nampak agak cun jugak. Ehem!

Sebaik sahaja aku nak bukak mulut nak tanya soalan mudah, laju je polis perempuan tu angkat tangan sambil menunjukkan isyarat "Tidak". Tuih! Sombong betul polis Perancis ni. Dah la baju seragam diorang macam mekanik. Topi pulak macam topi pengakap. Sombong pulak dengan pelancong. Bengang betul aku.

Kalau korang tak percaya pakaian seragam diorang macam aku cakap tadi, korang tengok sendiri gambar kat bawah ni:

Mekanik + Pengakap = Polis Perancis.

Seperti biasa, kekadang sesuatu yang kita tak suka terjadi mesti ada hikmahnya. Masa polis Perancis tadi menunjukkan isyarat "Tidak" pada aku, aku ternampak lambang seperti perkataan Eurostar di dinding belakang kepala dia. Jadi, aku pun menolak sekuat hati kepala polis Perancis perempuan yang menghalang pandangan aku untuk pastikan samada betul ke itu lambang Eurostar. Dan, situasi menjadi kecoh dan berlaku pergaduhan yang amat...

...perkara sebegitu tak terjadi sebenarnya. Aku cuma membayangkannya sahaja!

Selepas itu, aku pun memanggil isteri aku dan terus menuju ke arah stesen Eurostar. Sebenarnya, aku dah tak sabar sangat nak balik ke London semula. Ini mungkin kerana perangai orang Perancis itu sendiri yang sombong dan berlagak cun membuatkan perasaan tersebut secara automatiknya datang.

Dipendekkan cerita, keretapi Eurostar bertolak pukul 10.14 pagi waktu Paris dan sampai London jam 11.28 pagi waktu London.

St. Pancras International - Kehangatan Olimpik sudah terasa.

St. Pancras International - Basikal ada di mana-mana.

St. Pancras International - Penunggang basikal sedang
membeli tiket keretapi.

St. Pancras International - Sudah beli tiket keretapi dan
sedang menuju ke stesen Underground.

St. Pancras International - Basikal Pinarello hanya disandarkan
di tiang sementara tuannya ke tandas.

Sampai di London, aku terasa lega sangat. Aku dah mula tak sabar nak ke hotel Travelodge Old Street untuk simpan beg yang sangat berat. Seterusnya, boleh meneruskan aktiviti yang sudah dirancang.

Pukul 12.10 tengahari, kami berdua sampai di stesen Old Street. Sebaik sahaja keluar daripada stesen tersebut, aku mula keliru dengan jalan-jalan yang ada di hadapan mata aku apabila dibandingkan dengan peta Google Map yang aku cetak. Aku tak pasti aku sebenarnya berada di kedudukan mana satu. Ini kerana dalam stesen tersebut mempunya 8 pintu keluar untuk ke pelbagai arah.

Stesen Underground Old Street - Aku sepatutnya mengikut
arah 'Exit 4' untuk ke Travelodge Old Street.

Setelah berlegar-legar sekitar jalan yang ada di stesen Old Street, aku mula minta bantuan seorang wanita yang kebetulan melalui jalan yang sama. Apabila ditanya, dia pun keliru mana satu jalan yang sebenarnya untuk ke hotel Travelodge.

Orang kat situ pun tak paham jalan sekitar Old Street, inikan aku yang baru je sampai.

Jadi, berbekalkan kecerdasan mental yang ada disaat itu, aku berjaya mengesan hotel Travelodge Old Street. Jarak antara stesen Old Street ke Travelodge Old Street adalah 300 meter.

Aku sampai awal di Travelodge Old Street iaitu pukul 12.35 tengahari. Waktu masuk hotel adalah sepatutnya pukul 3 petang. Tapi, takkan lah aku nak tunggu sampai pukul 3 petang kot. Jadi, aku terus ke mesin 'Express Check-In' untuk mengesahkan tempahan yang dibuat 4 bulan lepas.

Travelodge Old Street - Mesin 'Express Check-In'.

Travelodge Old Street - Ruang lobi.

Untuk pengesahan menggunakan mesin 'Express Check-In', aku perlu masukkan kad kredit yang sama ketika menempah bilik secara online 4 bulan lepas. Selepas itu baru akan keluar arahan seterusnya dan aku hanya perlu mengikutnya sahaja. Untuk masuk hotel lebih awal, aku perlu membayar extra ₤10 dan menjadikan jumlah keseluruhannya adalah ₤367 untuk penginapan selama 6 hari.

Travelodge Old Street - Resit yang berjumlah ₤367.00 untuk
penginapan selama 6 hari.

Setelah selesaikan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar, aku terus menuju ke tingkat dua dengan menaiki lif dan mencari biliknya yang bernombor 224.

Travelodge Old Street - Sedang mencari bilik bernombor 224.

Travelodge Old Street - Ruang bilik yang agak besar.

Travelodge Old Street - Bilik air.

Pukul 2.10 petang kami berdua keluar semula untuk ke Trafalgar Square dan National Gallery. Dengan menaiki keretapi bawah tanah di stesen Old Street; turun di stesen King's Cross untuk menukar keretapi yang menghala ke Charing Cross.

Aku mengambil masa 3 hari untuk memahami sepenuhnya sistem keretapi Underground. Ini kerana laluannya yang komplek dan boleh menimbulkan kekeliruan yang serius serta mampu merosakkan 50% daripada 100 billion neurons yang ada dalam otak kita.

Jadi, untuk mengelakkan perkara sedemikian berlaku, aku perlu memahami bagaimana laluan keretapi bawah tanah beroperasi dengan memahami gambarajah di bawah:

Maklumat selanjutnya boleh didapati di http://www.tfl.gov.uk

Sedikit penerangan dan perbandingan: Sekiranya LRT Star kita di sini, akan ada laluan ke Ampang, Sentul Timur dan Sri Petaling. Underground Tube pula ada Bakerloo, Central dan lain-lain tadi tu adalah umpama Ampang, Sentul Timur dan Sri Petaling lah. Jadi, untuk ke sesuatu tempat, anda perlu pastikan keretapi tersebut samada Bakerloo, Central atau lain-lain dan kemudian barulah pastikan di stesen mana mahu turun.

Mudah kan? Dengar cerita orang memang macam senang. Kalau pergi sendiri tengok. Hah, baru tau!

Kedudukan Trafalgar Square adalah berhadapan dengan National Gallery. Ketika kami berdua sampai di Trafalgar Square, ada pementasan teater "Passion of Jesus" secara terbuka.

Anda boleh melihat suasana sebenar sekitar Trafalgar Square melalui video di bawah ini:


Trafalgar Square - Pementasan "Passion of Jesus" secara
langsung.

Trafalgar Square - Sekitar Trafalgar Square. Chewahh, tengok
mamat Negro tu, siap pakai seluar kaler pink datang tengok
"Passion of Jesus".

Nak mengambil gambar pun tak berapa syok sangat sebab sekarang ni ramai sangat orang. Jadi, kami berdua terus ke National Gallery yang berhadapan dengan Trafalgar Square.

National Gallery - Di dalamnya terdapat lukisan-lukisan lama
dan potrait bangsawan-bangsawan Inggeris.

Di dalam National Gallery tak boleh mengambil gambar. Nak curi-curi ambil gambar pun tak berpeluang kerana setiap sudut terdapat penjaga yang sedang memerhati setiap pelawat.

Selepas itu, kami keluar daripada National Gallery dan mencari telefon awam terdekat untuk menghubungi ejen pelancongan Evan Evans Tour bagi pengesahan tempahan pakej melawat Windsor, Stonehenge & Oxford pada Isnin hadapan.

Di sekitar Trafalgar Square ada banyak telefon awam yang kaler merah tu. Kaler hitam pun ada, tapi cuma ada dua unit sahaja. Selebihnya kaler merah. Lalu, aku masuk untuk membuat panggilan dan telefon tersebut gagal berfungsi. Jadi aku mencuba pondok telefon yang disebelahnya pula. Sebaik sahaja masuk, fuhhhhh hancing tak ingat! Bau pekat! Dalam pondok telefon siap ada iklan-iklan lucah.

Cepat-cepat aku keluar dan mencuba satu lagi telefon dan alhamdulillah telefon tersebut berfungsi dengan baik.

Bergaya di sebelah telefon awam orang Inggeris.

Aktiviti seterusnya, kami berdua menuju ke Tower of London dan Tower Bridge. Daripada Trafalgar Square agak jauh juga nak ke sini. Kami perlu menaiki keretapi bawah tanah di stesen Charing Cross yang berdekatan dengan Trafalgar Square dan menuju ke stesen Tower Hill.

Jam dah menunjukkan pukul 5.00 petang ketika kami sampai di Tower of London. Waktu masuk ke dalam istana pun dah tamat. Jadi, kami berdua bergambar di luar kawasan istana dan berehat di tebing sungai Thames sambil mengemaskinikan status Facebook.

Tower of London - Tower Bridge di sebalik belakang istana.

Tower of London - Dari sudut lain.

Tower Bridge - Ramai orang bergambar di tebing
Sungai Thames.

Jam sudah pun hampir pukul 6 petang. Ya, waktu untuk pulang ke hotel dan berehat sepuas-puasnya. Hari Ahad ni aku akan kembali ke sini lagi dengan menaiki Big Bus Tour yang tiketnya sudah dibeli online bulan lepas. Hari ini aku hanya sekadar penuhkan waktu terluang dengan aktiviti bebas.

Aku sampai di stesen Old Street sekitar jam 6.20 petang. Perut sudah lapar dan singgah sebentar kedai Kebab Turkey di seberang jalan dan order satu kebab saiz besar yang harganya ₤4.00 dan ayam goreng untuk 2 orang yang berharga ₤4.99 serta 2 tin Pepsi.

Old Street - Di dalam kedai kebab orang Turkey.

Old Street - Makanannya agak murah jugak. Itu pasal order
ikut nafsu.

Jumlah kesemuanya adalah ₤13. Ingatkan sikit, rupa-rupanya
stok makan untuk 3 hari.

Old Street - Ketika dalam perjalanan melepasi stesen
keretapi bawah tanah Old Street, aku perasan ada satu
basikal Specialized tiada tayar belakang. Kena curi agaknya.

Esok adalah hari Sabtu dan hari yang ditunggu-tunggu kerana kami berdua akan ke Hyde Park, Marble Arch, Malaysia Hall, Primark Shopping Complex, Hard Rock Cafe dan Piccadilly Circus. Jadi, nantikan kesinambungan cerita aku yang penuh aksi ini!

PS: Di Travelodge, untuk mengetahui arah kiblat, kita perlu pergi tanya sendiri di kaunter lobi. Orang yang menjaga kaunter tu Islam agaknya kerana dia tahu arah kiblat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...