Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label tri paku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tri paku. Papar semua catatan

Rabu, 29 Februari 2012

Eh, Mana Azizulhasni Awang?


Pada 3 hari lepas iaitu 26hb Februari 2012, aku berpeluang menjadi pelakon tambahan yang khabarnya untuk siri dokumentari Astro Discovery Channel tentang Azizulhasni Awang.

Pada awalnya, aku menolak pelawaan salah seorang ahli Tri Paku iaitu Awe. Tapi, bila dengarnya ramai jugak geng Tri Paku pun turut serta jadi pelakon tambahan, aku pun tak nak le lepaskan peluang ni.

Segala persiapan sangat rapi dan sudah tersedia pada
malam sebelumnya.

Aku keluar rumah awal dan hari masih gelap lagi.
Janji dengan Mawi kat jalan keluar Putrajaya jam 6:45 pagi.

Khabarnya jugak, hanya 7 orang sahaja diperlukan sebagai pelakon tambahan dan setiap seorang dibayar RM100. Yang menjadi kepalanya pula adalah Shah dan kami semua hanya mengikut telunjuknya sahaja.

Aku tak ambik port sangat bab RM100 tu. Janji aku dapat masuk TV. Seumur hidup aku, tak pernah merasa masuk TV. Jangankan kelibat, bunyi batuk aku pun tak pernah sama sekali.

Pengambaran dilakukan di Batu 18, Hulu Langat. Jadi, kesemua pelakon (chewahhhh) perlu berkumpul di Dewan Orang Ramai Batu 14 dan sama-sama menuju ke Sekolah Rendah Choon Hwa. Ini kerana semua orang yang terlibat telah pun menunggu kami semua di sekolah tersebut.

Jam sudah pukul 7:47 pagi. Kami semua perlu tiba di
Sekolah Rendah Choon Hwa jam 8:00 pagi.

Sedang menunggu Shah tiba sedangkan kami sudah berada
di hadapan sekolah tersebut.

Ini semua orang Tri Paku.

Apabila tiba di sekolah tersebut, kami semua dihidangkan sarapan nasik lemak, kuih-muih, air milo dan juga nescafe.

Mata aku tercari-cari manalah si Azizulhasni Awang. Tak ada pun. Oh, mungkin beliau sedang make up kot.

Rupa-rupanya, mana ada Azizulhasni Awang hari tersebut. Azizul dah pun selesai pengambarannya di Terengganu semalam. Aisehhhhhh salah info rupanya aku...

Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Choon Hwa di
Batu 18, Jalan Dusun Tua, Hulu Langat.

Kanak-kanak sekolah ini pun berlakon jugak. Diorang semua
jadi penyokong di tepi jalan.

Sarapan nasik lemak. Aku tak makan pun.

Makan sambil bersembang.

Tapi, tak apa lah. Tak ada Azizulhasni Awang pun tak apa. Janji dapat masuk TV.

Dalam 15 minit selepas itu, kami semua diberi arahan untuk mulakan pengambaran. Kami semua pun mengikut Shah dan pada yang sama ada beberapa rakan lain baru tiba. Ini menjadikan pelakon tambahan bertambah kepada 15 orang.

Seterusnya, kami menghala ke arah Genting Perez. Dan, di pertengahan jalan yang menghala ke Genting Perez lah pengambaran dilakukan.

Sedang menunggu arahan seterusnya daripada
Tuan Direktor.

Cikgu sedang memberi nasihat kepada anak-anak murid
supaya kelihatan sopan ketika sedang berlakon.

Sepanjang pengambaran itu, tak ada cerita yang menarik pun yang boleh diceritakan kat korang semua. Balik-balik buat benda yang sama.

Peranan kami semua hanya mengayuh basikal ke hulu ke hilir dan pada masa yang sama kamera mengambil aksi kami.

Tak ada lagak ngeri. Tak ada dialog. Hanya kayuh basikal. Itu sahaja.

Kononnya ketika itu adalah perlumbaan basikal yang sedang berlangsung dan kami semua adalah Pro Cyclist dari pelbagai negara.

Sedang menunggu babak seterusnya.

Masa ni semua dah rasa agak bosan dan tertanya-tanya
bila nak habis.

Aku rasa dalam sejam jugak le baru selesai pengambaran. Selepas Shah mengambil bayaran yang keseluruhannya RM700 dan kami semua terus menghala ke Bukit Hantu untuk manfaatkan masa yang berbaki.

Inilah pertama kalinya aku menghadap Bukit Hantu yang tingginya boleh dikatakan mencabar. Tapi, ianya tak sejauh Genting Perez dan ketinggian bukitnya agak mencanak jugak le berbanding Genting Perez.

Sepanjang mendaki, meter aku sekitar 11 - 12 km sejam. Aku tak tahu berapa kilometer perlu mendaki kerana ini pengalaman pertama aku. Jadi, aku tak berani nak tekan lebih-lebih.

Karang aku tekan macam naik Genting Perez, sekali 15 km jauhnya... Hah, naya!

Lepas mendaki dalam 15 minit dan turun sekitar 5 - 7 minit, kami semua tiba di Dewan Orang Ramai Batu 14 sekitar jam 10.55 pagi.

Shah sedang memberi kata penutup dan ucapan terima kasih
di atas kesungguhan kami ketika berlakon pagi tadi.

Waktu ini sedang menunggu duit daripada Shah.

Lepas masukkan basikal ke dalam kereta masing-masing, kami semua minum di gerai bersebelahan dewan dan Shah mula membahagikan wang hasil titik peluh berlakon pagi tadi.

Setiap orang dapat RM70 setelah diagihkan kepada para pelakon tambahan yang muncul di saat-saat akhir. Sejam berlakon dapat RM70 kira oklah. Cukup untuk isi minyak penuhkan tangki kancil aku dan makan tengahari Nasi Pakistan berlaukkan kambing.

Akhir sekali, diharapkan agar para pembaca aku dapat menjadikan cerita aku ini sebagai panduan iaitu Bagaimana Melibatkan Diri dalam Bidang Lakonan Secara Semulajadi.

PS: Harap-harap Yusuf Haslam melihat aku berlakon dalam dokumentari yang aku berlakon tu. Manalah tau kot-kot dia berminat dengan lakonan dengan aku ke.

Selasa, 14 Februari 2012

Malang Tidak Berbau!


Seperti yang tersedia maklum, aku ada sentuh sedikit pada pos aku sebelum ini tentang tiub aku pancit dan pada masa yang sama tayar aku juga terkoyak ketika kayuhan bersama Team Tri Paku ke LCCT, Sepang.

Tapi sebelum tu, aku mahu selit sedikit kejadian Ahad minggu lepas, ketika sedang kayuh basikal di 70 km sekitar Putrajaya, meter aku terpelanting dan meter tersebut dilanggar kereta — betul-betul di hadapan mata aku!

Meter Cateye aku sudah rosak!

Cuba korang bayangkan, dah le meter aku kena langgar dengan kereta depan mata aku. Keesokan harinya pulak, tayar pulak bikin masalah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul tau!

Ok, sambung balik cerita tayar aku tadi...

Sebenarnya, tiub aku pancit dua kali dan kali ke-tiganya barulah tayar aku terkayok ketika sedang mengepam tiub. Ketika itu aku baru sahaja kayuh sejauh 14 km daripada Pullman Putrajaya.

Nasib baik Mosyawir yang lengkap peralatannya ada bersama aku. Dialah yang banyak membantu aku. Ketika tiub aku terkoyak, aku tak mau menyusahkan dia dan menahan teksi untuk pulang ke rumah sahaja.

Team Tri Paku - Mosyawir, Faizal dan Esmen.
*Gambar hak milik Mosyawir.

Ketika sangap kat rumah daripada pagi ke tengahari di hari Isnin selepas pulang menaiki teksi, aku cuba google tentang tayar yang aku pakai iaitu jenama Hutchinson. Aku cuba membaca pengalaman mereka yang telah pakai tayar jenama tersebut. Rupa-rupanya ramai juga yang terkena macam aku — tayarnya mudah koyak di bahagian tepi.

Hutchinson Intensive jenis Clincher yang bahagian sisinya
mudah koyak.

Untuk pengetahuan korang, aku baru je pakai tayar Hutchinson dan sudah lanyak sejauh 2327 km. Aku juga ada terbaca pengalaman seorang pengguna tayar jenis yang sama juga telah koyak di bahagian tepi tayar setelah lenjan sejauh 2500 km. Perkara macam ni tak sepatutnya terjadi.

Setelah meminta pendapat rakan-rakan dan juga membaca pendapat di internet, aku mengambil keputusan untuk bertukar kepada jenama Continental GP4000. Aku terus telefon Jami Bike Centre dan jawapan hampa yang aku terima - Stok habis!

Hari Rabu minggu lepas aku bawak sepasang set roda aku ke pejabat dan pagi itu jugak aku berjalan kaki daripada pejabat aku ke KHCycle di Damansara Perdana untuk memasang tayar Continental GP4000.

Sambil jalan dalam KHCycle, aku terpandang
Scott Foil Team Issue. Ianya datang sekali Campy Groups,
Mavic 2012 Wheel, Ritchey WCS dan San Marco Saddle.
*Gambar hak milik KHCycle.

Kebetulan Saiful iaitu bekas pekerja Rodalink Putrajaya selaku juga bekas pemain bass kumpulan The Pilgrims era 90-an ada di situ. Disebabkan aku sudah biasa dengan Saiful ketika di Rodalink Putrajaya, mudah le aku minta pertolongan daripadanya. Saiful le bertanggungjawab memasang rim tape jenama Zefal, tiub Continental Race 28 dan Continental GP4000.

Sepasang tayar dan tiub jenama Continental
dan rim tape jenama Zefal.

Sebenarnya, aku nak ambik Continental GP4000s. Tapi, masa kat KHCycle mata aku jadi rambang dan terambik GP4000. Cisssss!!!

Tak apalah. Dah terbeli. Nak buat macam mana. Pakai ajelah...

Klik gambar untuk lihat harga setiap barang.

Jumlah keseluruhannya.

Setelah tukar rim tape, tiub dan tayar yang baru, aku dapat jimat 146 gram. Ini memang aku tak sangka sebenarnya. Sekarang basikal aku sudah menjadi 7.52 kg.

Malam Rabu seperti biasa akan ada Lumba Mini anjuran Tri Paku di Putrajaya. Inilah masanya aku menguji presitasi tayar baru. Memang ternyata tayar Continental GP4000 sangat baik. Memang puas hati aku dapat pakai Continental GP4000.

Continental GP4000 sudah siap pasang.

Tapi, dari segi ketahanannya aku tak pasti. Harap-harap boleh tahan setahun lebih. Jangan jadi macam tayar Hutchinson sudah le. Baru pakai 3 bulan, dah koyak!

PS: Sebijik Continental GP4000 lebih mahal daripada tayar Kancil aku. Fuhhhhh!!!

Jumaat, 26 Ogos 2011

Temuramah: Bersama Ironman Muda


Pahlawan Basikal: Assalamualaikum Lee. Terima kasih kerana sudi luangkan masa dengan aku malam ni.
Fadhli Khairon: Waalaikumussalam. Aku pun nak ucapkan terima kasih kat kau kerana sudi menemubual aku :)

Pahlawan Basikal: Okey Lee, boleh kau ceritakan serba sedikit tentang diri engkau secara umumnya kepada pembaca blog aku?
Fadhli Khairon: Orait, nama aku Fadhli Khairon dan kawan-kawan panggil aku Lee. Bekerja di Rodalink, Putrajaya. Hobi aku berbasikal, lari dan berenang.

Ketika di Port Dickson Triathlon 2011.

Pahlawan Basikal: Bila kau mula berbasikal secara serius?
Fadhli Khairon: Aku mula serius sangat dengan basikal ni pada tahun 2007. Inilah pertama kali aku sertai perlumbaan Dualthlon seumur hidup aku. Dualthlon ni dianjurkan oleh UM Malakoff University Siri 2007. Kau boleh ke laman web http://www.duathlonseries.com.my untuk mengetahui lebih lanjut tentang mereka.

Pahlawan Basikal: Baiklah Lee, sebut tentang basikal, aku ada perasan masa kita kayuh setiap malam Rabu dan Jumaat baru-baru ni, kau bawa basikal baru dan masih berkilat. Aku percaya kau mesti ada lebih dari satu basikal...
Fadhli Khairon: Hahahaha. Ya, itu memang basikal baru! Basikal Triathlon L’ex Presse tersebut adalah basikal ke-tiga aku dan satu-satunya basikal jenis itu yang aku ada setakat ini. Selain itu, aku ada dua lagi basikal iaitu jenis road bike Cannondae R1000 dan jenis mountain bike GT Zaskar.

Bersama Triathlon L’ex Presse ketika di
Port Dickson Triathlon 2011.

Pahlawan Basikal: Boleh ceritakan apa keistimewaan setiap satunya?
Fadhli Khairon: Aku boleh katakan setiap basikal yang aku ada mempunyai keistimewaannya sendiri. Contohnya basikal Cannondae R1000, ianya sangat bagus untuk jalanraya yang rata dan mendatar. Ketika mendaki bukit juga sangat lazat.

Triathlon L’ex Presse pula tersangat bagus prestasinya ketika di jalanraya yang mendatar.

GT Zaskar pula aku hanya pakai untuk off road. Sekali sekala layan mountain bike pun syok jugak!

Pahlawan Basikal: Banyak jugak basikal kau, Lee. Ok takpe, soalan seterusnya...
Fadhli Khairon: Eh, tunggu dulu. Aku nak minum Milo Ais dulu. Kau tunggu aku kejap ye...

Pahlawan Basikal: Aaaaa... Ok.

5 minit berlalu dan Lee muncul kembali sambil lap mulutnya dengan tisu.

Pahlawan Basikal: Eh, mana Milo nya?
Fadhli Khairon: Dah habis.

Pahlawan Basikal: Untuk aku?
Fadhli Khairon: Sorry geng, susu dah habis. Eh, apa soalan yang kau nak tanya tadi?

Pahlawan Basikal: Oooo, aku nak tanya tadi tentang pengalaman terbaik dan terburuk kau dalam perlumbaan yang lepas-lepas dan pengalaman tu kau akan ingat sampai bila-bila.
Fadhli Khairon: Ermm... (Sambil mengaru-garu perut) Pengalaman terbaik aku adalah ketika menyertai Ironman Langkawi 2010. Kau tahu lah, nak habiskan game ni bukan senang. Nak berenang sejauh 3.8 km, naik basikal 180 km dan lepas tu pulak kena berlari 42.2 km. Aku mendapat tempat ke 40 dan berjaya habiskannya selama 16 jam 44 minit dan 54 saat. Memang puas hati!

Pengalaman terburuk aku adalah menggunakan minyak panas beberapa minit sebelum perlumbaan basikal bermula. Kononnya nak bagi power, tapi lain pulak jadinya. Lagi haru kalau terkena pada bahagian sensitif. Cisss!

Pahlawan Basikal: Hebat tu! Tapi, macam mana kau kekalkan stamina? Maksud aku, waktu bila kau berlatih? Dah le kerja sampai pukul 8 malam.
Fadhli Khairon: Oooo... Tu takde hal lah. Biasanya aku buat latihan selepas waktu kerja. Kalau sempat, pagi sebelum masuk kerja pun aku boleh berlatih.

Pahlawan Basikal: Boleh kau ceritakan tentang kumpulan TRI-PAKU yang kau sertai ini? Difahamkan kumpulan ini mempunyai pelbagai kemahiran seperti berbasikal, berlari dan berenang jarak jauh.
Fadhli Khairon: Ya, TRI-PAKU mempunyai beberapa ahli yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Tapi, paling ramai adalah lelaki. Kebanyakan daripada kami memang berkebolehan dalam berbasikal, berlari dan juga berenang jarak jauh - Sesuai dengan motto kami iaitu “Life Time Endurance”.

Kepada yang berminat untuk mengetahui kumpulan TRI-PAKU, boleh lah ke Facebook Fan Page kami di https://www.facebook.com/tripakuteam

Tapi, yang pastinya kayuhan TRI-PAKU setiap malam Rabu dan Jumaat, semuanya tak reti kayuh ala kadar - Semua balun selaju boleh! Kah kah kah

Bersama-sama ahli Tri Paku yang lain ketika Tri Paku Night
Ride, Putrajaya.

Hoohathlon 2011 di Putrajaya.

Pahlawan Basikal: Ya betul tu. Hahahah... Baiklah Lee, siapa yang memberikan kau motivasi dengan apa yang kau buat sekarang ini?
Fadhli Khairon: Chris Mccormack. Beliau adalah Ironman World Championship. Kepada mereka yang tak kenal siapa beliau, boleh ke http://www.youtube.com/watch?v=xjhLFujBSj8.

Pahlawan Basikal: Sekiranya berpeluang, di manakah dalam dunia ini kau ingin mengayuh basikal?
Fadhli Khairon: Queen Kaahumany Highway, Kailua-Kona. Ianya adalah laluan yang perlu dilalui oleh semua perserta World Championship Ironman Kailua-Kona!

Pahlawan Basikal: Selain berbasikal, kau juga seorang yang berkebolehan dalam larian jarak jauh. Boleh kongsikan pengalaman dan nasihat kepada mereka yang ingin cuba-cuba dalam dunia larian ini?
Fadhli Khairon: Aku bukannya terrer sangat. Lagipun larian ni bukan kelebihan utama aku. Tapi, aku berjaya juga habiskan larian sejauh 42.2km iaitu ketika di Ironman Langkawi 2010.

Kepada mereka yang masih baru dalam larian ni, aku nasihatkan agar lebihkan latihan daripada biasa sebelum menyertai apa-apa pertandingan. Kalau tak, sakit dapat dan perlumbaan tak jugak dapat habiskan.

Pahlawan Basikal: Harapan kau kepada pengguna-pengguna jalanraya yang lain terhadap penunggang basikal dan pelari.
Fadhli Khairon: Kongsilah jalanraya bersama-sama dengan pengayuh basikal dan pelari! Bak kata mat saleh, ‘Sharing is Caring’.

Pahlawan Basikal: Sebelum mengakhiri perbualan kita, apa pendapat kau tentang Yuna?
Fadhli Khairon: Ini soalan pun ada ka? Dia chantek!!! Kakaka…!

Pahlawan Basikal: Oklah Lee, terima kasih banyak-banyak sebab sudi meluangkan masa dengan aku. Semoga kau akan terus berjaya dengan apa yang kau ceburi.
Fadhli Khairon: Terima kasih kembali.


Fakta tentang L’Ex Presse Cycles

 L'ex Presse Cycles

  • L’Ex Presse Cycles ditubuhkan pada July 24, 2011 sempena dengan Port Dickson International Triathlon
  • L’Ex Presse adalah satu jenama basikal baru dari Singapura, buatan Taiwan
  • L’Ex Presse membekalkan aksesori seperti bingkai basikal (road, triathlon dan mtb), aero bar dan carbon wheels set
  • L’Ex Presse produk kebanyakan mengunakan Carbon 3K (T700 material)

Layari Facebook L’Ex Presse Cycles di https://www.facebook.com/#!/pages/Lex-Presse-Cycles/140172822736645 dan LIKE!

PS: Nantikan pula edisi temuramah bersama seorang lagi Triathlete muda selaku bakal seorang juruterbang!

Selasa, 5 April 2011

Kayuhan TRI PAKU: Tempat Berkumpul Setiap Rabu & Jumaat di Putrajaya


Kepada mereka yang teringin sangat nak turut serta kumpulan pengayuh tegar sekitar Putrajaya setiap Rabu dan Jumaat, pukul 9.00 malam, sila berkumpul di Information Centre, Putrajaya.

Sila lihat peta di bawah untuk lokasi perhimpunan ritual sebelum kayuhan bermula:


View Information Centre in a larger map

Kalau masih lagi tak faham di mana kedudukan Information Centre, anda juga boleh ke Masjid Putra; Betul-betul mengadap pintu masjid. Kemungkinan di situ ada ramai kumpulan basikal. Tetapi, cuba bertanya adakah mereka pengikut kumpulan TRI PAKU. Jika jawapannya "YA" - Tahniah, anda sedang menuju kepantasan maksima pada malam itu!

Sekali lagi untuk keterangan lebih lanjut:

Lokasi berkumpul: Information Centre, Putrajaya (Kawasan Pakir Kereta)
Waktu berkumpul: 9.00 malam
Waktu mula kayuhan: 9.25 malam tepat.
Laluan: Masjid Putra - PICC - Bukit Alamanda - Cyberjaya - PICC - Masjid Putra
Jarak perjalanan: 42 kilometer
Jenis Basikal: Road Bike atau Mountain Bike
Keselamatan: Helmet, lampu dan keadaan basikal yang baik

Itu sahaja. Mudah kan? Selebihnya, serahkan pada kaki anda untuk jalankan tanggungjawab pada malam itu. Jumpa di sana!

PS: Bawak air secukupnya. Kalau tak, terbayang-bayang limau ais ketika sedang berkayuh.

Ahad, 3 April 2011

Tri Paku: Kayuhan Memperingati Mendiang Teoh PK


Pada hari Jumaat lepas, kayuhan khusus memperingati mendiang Teoh PK telah berjalan lancar dengan penyertaan 40 penunggang basikal pelbagai jenama; dari merata pelosok daerah dan mukim. Dari Ipoh pun ada - Jangan memain!

Kepada sesiapa yang tidak tahu berita mengenai kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang basikal pada 26 Mac 2011, 8.15 pagi di lebuhraya MEX Putrajaya; sila ke sini: http://ondscene.my/kemalangan/malang-seorang-pelumba-basikal.

Okey, mari kita saksikan gambar-gambar sepanjang aktiviti tersebut di bawah:

Ini lah pengasas kumpulan TRI PAKU.

Sedang mendengar taklimat mengenai keselamatan ketika
menunggang basikal sekejap lagi.

Ketika ini salah seorang pengasas kumpulan TRI PAKU
sedang berucap.

Tandatangan di atas baju setiap penunggang basikal pada
malam itu. Baju tersebut akan diserahkan kepada keluarga
mendiang Teoh PK.

Berhenti rehat sambil menunggu rakan-rakan yang lain yang
masih berada di belakang.

Aku tak pasti kenapa semua orang memanda ke belakang.

Salah seorang peserta, Elaine.

Najib dengan basikal Dogma nya.

Masih lagi menunggu mereka yang ketinggalan jauh di
belakang.

Mereka ini lah yang terlibat dan bertanggungjawab setiap
kayuhan yang kononnya 25 km/j.

Sila nikmati dalam versi video pula:


Untuk gambar yang lebih banyak, sila ke sini: https://www.facebook.com/album.php?fbid=197549893618844&id=100000915038838&aid=44736

Dengan adanya aktiviti sebegini, diharapkan agar mereka yang mempunyai kenderaan berenjin tahu golongan seperti kami juga mempunyai hak di atas jalan raya. Silalah hormati kami seadanya.

Akhir sekali, dengan penuh harapan agar jangan ada mangsa kerakusan dan kecuaian pemandu selepas ini lagi.

PS: Kadang-kadang ada pemanda kereta mahupun motorsikal sengaja merapatkan kenderaan mereka ketika kami sedang menunggang basikal. Tak pasti apa tujuannya mereka buat macam tu.

Ahad, 27 Mac 2011

Laluan Kayuhan Basikal di Putrajaya setiap Rabu & Jumaat


Kali ini aku mahu bercerita tentang laluan kayuhan basikal setiap Rabu dan Jumaat. Laluan tersebut melewati Putrajaya hingga lah ke Cyberjaya sejauh 42 kilometer.

Biasanya kami akan mulakan kayuhan bermula daripada Info Centre atau Masjid Putra dan melalui sepanjang jalan Presint 2 hingga ke PICC. Ianya sejauh 7 km dan sepanjang laluan tersebut hanya untuk sesi panaskan badan. Ini acara bebas; nak main cadence ke, nak sprint ke, atau nak mengorat awek-awek di tepi jalan ke, ianya terpulang; kerana sebentar lagi akan tiada masa untuk semua itu!

Kawasan PICC - Sesi panaskan badan akan tamat setelah
melewati simpang dihadapan.

Laluan ini jauhnya adalah 6 kilometer sebaik sahaja memasuki
simpang tadi.

Siang hari akan ada ramai sedang berlari. Tapi, apabila
malam, akan ada Bangla atau Indonesia baru balik kerja.

Bukit pertama sejauh 400 meter yang menuju ke arah Alamanda.

Bukit ke dua sejauh 1 kilometer selepas bukit pertama tadi.
Bukit ini biasanya ramai pengayuh basikal akan tercicir.

Sila nikmati video di bawah selepas turun daripada bukit Alamanda tadi untuk gambaran yang lebih jelas. Kepada sesiapa yang belum pernah menunggang basikal sekitar Putrajaya, sila bayangkan anda sedang mengayuh:


Fuh, memang layan... Itu baru tengok video, belum menunggang basikal lumba berjenama BMC!

Laluan di bawah ini tidak berapa selamat kepada penunggang basikal kerana tiada lampu jalan yang dipasang pada waktu malam. Kebocoran tiub juga kerap berlaku disini. Kalau nasib tak baik, rim yang berharga beribu-ribu juga boleh bengkok disebabkan lubang-lubang yang bersepah. Jadi, sila bawa rim khusus untuk latihan.

Laluan keluar daripada Putrajaya menuju Cyberjaya di hadapan.

Ini adalah check point pertama sebelum keluar daripada Putrajaya.
Kami akan menunggu sesiapa yang terlewat di sini

Bukit fly over memasuki Cyberjaya ini agak panjang dan tinggi.

Dalam Cyberjaya banyak juga bukit yang tak berapa tinggi,
tapi agak panjang.

Ini pun bukit jugak. Nampak je tak berapa tinggi.

Di sebelah kiri ada tasik. Laluan ini kena hati-hati sebab kadang
kala ada kereta yang memakir ditepi-tepi jalan.

100 meter di hadapan simpang ke kiri menuju Putrajaya.
Ini pun bukit jugak.

Laluan di bawah ini sudah dua orang penunggang basikal terjatuh. Bulan lepas, seorang patah tangah akibat terlanggar batu. Ini mungkin kerana jalannya lurus dan lazat untuk memecut. Aku terkecuali daripada aksi sprint disebabkan aku dilahirkan bukan untuk itu; tetapi, menulis blog!

Biasanya, laluan inilah para Sprinter beraksi. Aku biasanya
di belakang sekali.

Laluan memasuki kawasan Putrajaya semula. Bukit ini agak
panjang.

Selepas bukit tadi, kami akan berhenti berehat disini sambil
menunggu penunggang-penunggang lain yang di belakang.
Ini checkpoint terakhir atau sesi penutup dan bersedia menuju
ke arah Masjid Putra atau Info Centre dengan kelajuan santai.

Biasanya, dengan kelajuan 35 km/j - 50 km/j, kami akan habiskan dalam masa 1 jam 30 minit. Ini termasuk dua tempat yang kami berhenti untuk menunggu yang mana tercicir. Kalau tak berhenti, sejam sudah boleh habis sebenarnya.

Oh ye, penunggang basikal pada hari Rabu antara 10 ke 15 orang. Tetapi, hari Jumaat boleh mencecah 36 orang. Ada yang daripada KL, Mantin, Bangi, Kajang, Cyberjaya dan sekitar Putrajaya.

Permandangan ketika merehatkan kaki di kedai mamak,
Presint Diplomatik.

Kesimpulannya, mengayuh basikal di Putrajaya sangat menyelerakan. Jalan yang besar dan kereta yang kurang. Kebanyakan kereta sudah faham di waktu-waktu tertentu akan ada sejumlah penunggang basikal akan bermaharajalela sekitar laluan tersebut.

Kepada yang berminat untuk turut serta, sila ikuti laman Facebook Tri Paku di sini => http://www.facebook.com/profile.php?id=100000915038838.

PS: Sesiapa yang mahu turut serta aktiviti setiap Rabu dan Jumaat, amatlah dialu-alukan. Tanpa yuran bulanan, cuma bermodalkan sebijik basikal yang boleh dibawa laju. Itu sahaja!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...