Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label vlog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label vlog. Papar semua catatan

Jumaat, 15 November 2019

Aku Kembali Menulis... Azam Baru 2020!


Sejak ada channel sendiri kat Youtube (klik sini), blog ajaib serbaneka ini seolah-olah dilupakan begitu sahaja. Kalau blog ini bernyawa macam kita, sudah tentu siang malam beliau maki aku seadanya.

Aku minta maaf sebab sudah jarang sekali kemaskini blog ini. Bukannya apa, nak dapatkan momentum untuk berblog semula agak payah.

Bayangkan bila masa terluang, aku akan kayuh basikal. Dalam masa yang sama juga aku akan merekod sepanjang aktiviti. Selepas itu aku akan meluangkan masa berjam-jam untuk mengedit video dengan menggunakan telefon aku. Selepas siap mengedit video pula, aku akan memuat naik ke akaun YouTube untuk ditonton oleh para subscribers Pahlawan Basikal.

Bukan setakat upload sahaja. Sudah pasti aku kena memikirkan tajuk-tajuk yang menarik, mengarang di bahagian discription serta beberapa ruangan wajib untuk diisi dalam akaun tersebut. Semua ini mengambil masa yang agak lama untuk aku sediakan; sebelum ianya besedia untuk ditonton oleh orang ramai.

Aku bukan merungut. Aku cuma bagitau korang je.

Dalam beberapa bulan ini banyak juga aktiviti yang aku sertai. Cuma tak menyempat nak bercerita kat sini. Sebagai contoh; kalau korang tengok vlog-vlog dalam YouTube aku yang lepas, ada sahaja aktiviti-aktiviti pelik yang aku sertai.

Sebagai contoh, kayuh basikal bersama artis seperti Yasmin Hani, Sazzy Falak, Ezlynn dan public figure lain seperti Sha'arin, Nash, Prem dan juga Alexandra Daddario.


Aku ada sekeping ni je bergambar dengan Yasmin Hani dan Sha'arin. Ini pun
aku cilok dari Instagram Yasmin Hani (pautan ke akaunnya)
Aku segan nak ajak selfie dengan diorang berdua sebenarnya. Ha-Ha!

Aku berterima kasih kepada satu kumpulan basikal ini yang bertempat di Putrajaya iaitu SpeedZone kerana memberi peluang untuk aku turut sama kayuh basikal pada malam tersebut.



Dalam masa yang sama juga aku turut sertai aktiviti kayuhan di sebelah malamnya seperti EZR di Putrajaya. Hujung minggu pula aku akan ikut pelbagai kumpulan basikal sekitar Putrajaya kayuh ke merata-rata daerah.

Setiap aktiviti-aktiviti tersebut memang aku akan rekod dan mempersembahkan di dalam channel YouTube aku. Boleh aku katakan 99% aku rekod sewaktu kayuh untuk dijadikan vlog. Lagi 1% tu aku tak rekod.

Selepas itu pada 14 September aku sertai company trip di tempat kerja aku ke Krabi. Ini adalah percubaan pertama aku untuk Travel Vlog. Vlog-vlog kembara tersebut boleh dicapai di sini:


Gaya kena ada. Bateri ada ke takde ke, itu cerita lain.

Kalau aku nak cerita aktivit-aktiviti sepanjang tiga empat bulan dalam satu pos memang mustahil sangat. Aku rasa cukuplah sekadar dua vlog tersebut aku sebut. Mungkin selebihnya korang boleh tonton terus melalui channel aku.

Oh ya, aku nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada anda yang menyokong karya-karya aku samada blog mahu pun vlog. Setakat ini subscribers YouTube Pahlawan Basikal sudah pun mencecah 3,253 orang. Terharu juga aku sebenarnya. Tak sangka ada yang sanggup luangkan masa menonton vlog-vlog aku.

Aku masih ingat lagi buat pertama kalinya aku upload video pertama aku kat YouTube. Tertanya-tanya juga aku entah siapalah nak tonton vlog aku gamaknya. Kelam kabut je video aku ni aku tengok ha-ha-ha!

Aku akui yang aku bekerja keras untuk membangunkan channel yang satu ini. Ianya bukanlah satu kerja mudah. Buat video bukanlah bidang kerja aku. Ianya amat baru pada aku. Bayangkan, aku edit video pun pakai telefon. Aku mana tau edit video pakai komputer.

Jadi, aku bermula dari bawah. Daripada tak ada kamera, sampailah aku gigih beli kamera pertama aku iaitu Gopro HERO7 Black. Berbekalkan modal itulah aku bersungguh-sungguh rekod setiap aktiviti berbasikal aku.

Aku beli peralatan sikit-sikit. Mana cukup duit nak terus beli sekali harung.

Adapter ni cekik darah! Nak tak nak kena beli juga.
Kalau takde benda ni, mikrofon tak boleh pakai.

Sekarang ni aku pakai mikrofon jenis ini. Beli kat Lazada RM43.

Bukannya kerja mudah. Aku tidak ada rujukan bagaimana vlogging set up sewaktu berbasikal. Kalau ada di internet pun, langsung tak sesuai untuk basikal yang agak kompetatif dan adakalanya agrasif.

(Untuk pengetahuan korang semua, rujukan utama aku ada motovlog tempatan. Mereka ini sangat bagus dalam bidang masing-masing. Walau bagaimana pun vlogging setup mereka jauh beza dengan basikal.)

Perlahan-lahan aku mencari penyelesaian dari segi masalah visual dan audio. Hinggalah ke saat ini aku masih belajar dan mencari jalan untuk menaik taraf kualiti vlog pada masa akan datang agar lebih sedap untuk ditonton.

Baiklah, setakat ini dahulu cerita aku kali ini. Insya-Allah bersambung dalam episod lain nanti.

PS: Taip - Delete - Taip - Delete... Nampak sangat skil menulis aku dah ke laut. Cis!

PPS: Pos akan datang dalam blog ini nanti aku akan bercerita tentang mesej-mesej tersembunyi dalam sesetengah video-video aku. Aku akan exposed mesej-mesej tersebut secara umum.

Selasa, 2 April 2019

Kenapa aku BLOG dan VLOG?


Aku pernah bercerita tentang kenapa aku kayuh basikal pada beberapa bulan lalu. Hari ini aku menulis pula tentang kenapa aku menulis blog dan vlog (video log).

Walaupun aku ada merakam topik ini dalam bentuk video dan dimuatnaik ke dalam channel Youtube Pahlawan Basikal, tetapi aku rasakan ada baiknya aku olahkan semula ke dalam bentuk tulisan. Jadi, audiens mempunyai pilihan samada mahu menonton video atau mahu membaca sahaja. Boleh pilih mana satu yang sesuai dengan kehendak semasa.

Sekiranya mahu menonton, sila mainkan video aku di bawah ini:


Kepada yang mahu membaca, boleh teruskan dengan cerita di bawah ini.

Baiklah, mengapa aku sibuk-sibuk menulis dan merakam segala aktiviti berkaitan basikal? Seperti dalam video yang aku muatnaik tempoh hari, aku buat dua perkara ini kerana:

Minat
Aku minat dengan penulisan. Dalam masa yang sama juga video pun aku minat juga. Ini mungkin kerana aku bekerja dalam bidang kreatif, maka dua benda ini saling berkait rapat antara satu sama lain.

Jadi aku boleh meluangkan banyak masa dengan menulis dan juga mengedit video. Aku menikmati setiap proses tersebut hingga memakan masa berjam-jam lamanya. Aku benar-benar seronok dengan apa yang aku buat.

Disebabkan seronok itulah aku tidak perasan sudah hampir 3 jam aku menghadap telefon pintar aku ini. Edit dengan menggunakan telefon memang susah. Tidak sama seperti menggunakan komputer. Dengan skrin yang terhad dan juga kemampuan aplikasi yang sedang aku guna cukup menguji tahap kesabaran aku.

Tidak Ramai Sanggup Buat
Aku faham kenapa tidak ramai yang kayuh basikal sanggup buat apa yang aku buat sekarang ini. Iyalah, sibuk nak rakam video atau gambar ketika sedang kayuh bukan kerja yang mudah. Silap langkah, sedang sibuk merakam video; boleh berguling atas jalan raya sebab terlanggar tunggul kayu.

Itu risiko yang aku sentiasa waspada.

Sambil kayuh, aku boleh tanya kenalan aku apa-apa perkongsian yang boleh
sama-sama kita manfaatkan.

Satu hal yang paling ketara adalah mereka yang otai dalam bidang sukan basikal ini tidak ada waktu untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada kita. Kalau ada pun ianya secara tidak formal dan sukar untuk kita capai. Mungkin mereka ini berkongsi dengan rakan-rakan sewaktu lepak di kedai mamak. Atau mungkin juga berkongsi tips di wall Facebook peribadi masing-masing. Semua ini hanya boleh diakses di kalangan mereka yang terdekat sahaja.

Apa jua petua yang dikongsikan ketika ini, orang lain tak akan tahu. Di sinilah
peranan aku bermula - agar tip-tip yang dikongsikan terlepas ke luar.

Bagaimana dengan mereka yang lain-lain? ...yang masih baru dalam sukan ini dan kayuh basikal pun sorang-sorang pula macam mana? Mereka ini pun memerlukan nasihat atau petua-petua ajaib daripada mereka yang berpengalaman.

Atau mungkin juga punyai minat tetapi tidak ada wang lebihan untuk membeli sebuah basikal. Ini pun satu hal juga. Bukan mudah hendak kumpul duit semata-mata untuk dapatkan sebuah basikal.

Dengan adanya video-video aku ini mungkin juga sedikit sebanyak dapat juga feel macam mana keadaannya kayuh basikal pagi, petang, siang, malam, hujan, panas, dan macam-macam situasi alam semulajadi.

Lebih dramatik lagi, lepas tengok video aku, esok lusa terus beli basikal dan ikut sama kayuh. Ha-ha!

Aku bukan sengaja nak racun korang membuta tuli. Sesungguhnya kayuh basikal ni memang seronok. Tak percaya? Cuba beli basikal lumba sebijik. Ha-ha!

Tapi lepas beli basikal kenalah kayuh. Jangan lepas beli, simpan dalam bilik. Kalau macam tu memanglah tak seronok. Duit habis, basikal pula berhabuk. Hah, yang ini memang tak best!

Kalau aku tak rakam video, korang tak akan dapat melihat suasana
di sekeliling aku. Betapa uniknya manusia sekeling ketika ini. Kalau korang
faham le. Ha-ha!

Aku rasa setakat ini sahaja cerita aku. Semoga bermanfaat perkongsian aku kali ini.

PS: Sebenarnya cerita aku kali aku aku sudah tulis lama. Entah kenapa macam susah pulak aku nak habiskan penulisan aku kali ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...