Mukasurat

Isnin, 5 Disember 2011

Kayuhan Bagan Lalang Edisi "Tanpa Had Kelajuan"


Dalam jarak waktu yang terdekat ini, sudah dua kali kayuhan menghala ke Bagan Lalang dilakukan; iaitu pada 27hb November pada minggu lepas dan juga yang terbaru pada hari semalam iaitu 4hb December.

Kayuhan pada minggu lepas bersama Kumpulan Sri Petaling seramai 13 orang ke Bagan Lalang bermula dari Taman Seri Empangan, Putrajaya yang jauhnya hanya 106 km dengan kelajuan purata 28.5 km/j selama 3j : 44m : 17s.

Bagan Lalang - Bersama Kumpulan Sri Petaling.

Kayuhan terkini ke Bagan Lalang bersama Kumpulan Jami Bike Centre seramai 16 orang iaitu semalam bermula daripada Taman Koperasi Cuepacs, Kajang yang mengambil masa 4j : 9m : 10s sejauh 121.19 km dengan kelajuan puratanya 29.2 km/j.

Jami Bike Centre - Inilah tokei kedai basikal Jami Bike Centre
yang terletak di Taman Koperasi Cuepacs, Kajang.
*Gambar hak milik Fadzil

Seperti biasa, kalau kayuh dengan kumpulan ini bermakna tema Sky Team serta Pinarello Dogma masing-masing akan mendominasi sepanjang kayuhan berlangsung.

Jami Bike Centre - Sedang bersiap sedia bersama senjata
masing-masing.

Jami Bike Centre - Kayuhan kali ini M. Kumaresan tiada;
Sebaliknya abangnya iaitu M. Rajen bersama isteri.
*Gambar hak milik Fadzil

Dua orang doktor mewakili hospital masing-masing.
*Gambar hak milik Fadzil

Berkumpul sebelum lanyak bukit-bukit De Palma, Sepang.

Kayuhan kali ini memang agak laju kerana walaupun jalan-jalan yang dilalui agak berbukit, terutamanya kawasan De Palma Sepang, ketika sampai di Bagan Lalang purata kelajuan mencecah 30.2 km/j.

Dalam poket belakang sudah stand by 3 paket power gel...

Dah sampai di Sepang Gold Coast.
*Gambar hak milik Fadzil

Bagan Lalang - Sedang memulihkan tenaga sebelum pulang
ke Kajang semula.

Hey, basikal pun perlu berehat jugak tau!

Dalam 1 jam jugak le kami semua berada di Bagan Lalang. Aku rasa ambik gambar je dah 15 minit... Ye lah, posing kena ada gaya, baru gambar cantik nak tunjuk kat korang semua nanti. Itu pasal kena luangkan masa lebih sikit untuk sikat rambut, taruk bedak dan cover perut.

Dan hasilnya, nah!

Jami Bike Centre Team!
*Gambar hak milik Fadzil

Lepas ambik gambar kitorang semua terus bergerak pulang menghala ke Kajang semula. Ya, laluan masih lagi sama seperti tadi.

Cuma yang bezanya keadaan yang panas melampau dan angin yang sangat kuat. Aku cuba tarik 37 km/j, tetapi makin lama makin perlahan menjadi 29 km/j. Haru betul!

Nasib baik ada kereta sokongan mengiringi sepanjang kayuhan berlangsung. Jadi, lagi 20 km terakhir kami semua berhenti mengisi air yang dah habis dan sambil tu menunggu yang masih tertinggal di belakang.

Kereta sokongan yang membawa air dan beberapa roda
ganti. Aku mengharapkan kayuhan akan datang bawalah
sekali nasi beriyani!

Air mineral sebagai penyambung selera kayuhan sebentar
lagi.


Bersedia untuk menyambung 20 km yang berbaki.

Sebelum itu, aku sempat bergambar dengan pembaca setia
blog aku iaitu Azlan.
*Gambar hak milik Azlan

Ketika tiba di pekan Kajang, keadaannya agak sengsara jugak le. Ini kerana suasana yang panas, angin yang berbahang dan asap kenderaan seperti bas dan lori. Ketika itu juga keadaan jalanraya agak sesak dengan pelbagai jenis kenderaan.

Seterusnya, jam 1:30 tengahari kami tiba di Jami Bike Centre.

Apa yang aku boleh simpulkan di sini, kayuhan kali ini agak mantap dan mencabar. Kalau kayuh perlahan memang kena tinggal jauh. Jadi, nak tak nak kenalah usaha sehabis daya menekan pedal sampai habis sesi kayuhan.

PS: Sepanjang 7 hari baru-baru ini, aku sudah pun berlari dan berbasikal sejauh 284 km. Fakta yang agak menarik tentang diri aku. Ehem!
PPS: Terima kasih kepada Fadzil dan Azlan diatas gambar-gambar sepanjang kayuhan berlangsung.

Selasa, 29 November 2011

Penutup Kisah-kisah di London dan Paris


Kalau diikutkan, cerita tentang aku di London sudah pun tamat. Tetapi, ada juga yang bertanyakan kepada aku bila mahu menyambung cerita aku itu.

Bukan tak mahu cerita, cuma ceritanya tak ada. Ye lah, hari terakhir aku di London hanya bangun tidur macam biasa, mandi, berkemas segala barang ke dalam beg-beg dan terus balik.

Tak ada apa yang menarik pun.

Jadual terakhir aku di kota London.

Travelodge Old Street - Setelah siap berkemas dan bersedia
untuk pulang ke Malaysia

Tapi, tak mengapa... Aku cuba ulaskan perkara-perkara yang sukar dilupakan dan aku senaraikan beberapa perkara yang aku rasakan menarik sepanjang di sana.

Perkara-perkara yang mendebarkan:
  1. Ketika Sedang Menunggu Kapal Terbang di LCCT
    Aku jenis yang suka fikir yang bukan-bukan. Kerap juga aku bayangkan kalau-kalau terjadinya kapal terbang yang bakal aku naiki tak boleh terbang. Lagipun, aku memang tak suka naik kapal terbang; sebab setiap kali naik kapal terbang aku terpaksa telan pil tahan pening.
  2. Sesi Temuramah di Imigresen Lapangan Terbang Stansted
    Agak panik apabila pegawai Imigresen mula banyak tanya. Mula-mula bahasa Inggeris aku agak lancar. Masuk soalan ke-tiga, bahasa Inggeris aku dah bunyi bahasa Uganda.
  3. Pemeriksaan Keselamatan di Stesen Eurostar, St Pancras International
    Aku tak jangkakan yang masih ada pemeriksaan keselamatan di Stesen Eurostar. Kebetulan pulak, orang yang di hadapan aku ditahan atas alasan passport nya hampir tamat tempoh dan tidak boleh menaiki keretapi. Aku tak pasti, kenapa aku pulak yang tumpang panik di atas kejadian tersebut.
  4. Setibanya di Gare du Nord, Paris
    Teringat akan babak cemas dalam filem "Taken" (lihat babak filem ini di sini) yang aksi penculikan terjadi di Paris. Sedang aku membelek peta di luar pintu Stesen Gare du Nord, aku di beri salam oleh seorang lelaki yang umurnya dalam lingkungan 45 - 50 tahun. Seterusnya, beliau berkata-kata dalam bahasa Perancis. Kejap tu jugak aku terus masuk ke dalam semula - Risau kalau-kalau aku diculik olehnya!
  5. Kejadian di Sekitar La Tour Eiffel
    Sedang membeli cenderahati di tepi-tepi jalan, aku dan isteri aku disergah oleh polis Perancis. Aku agak panik sebab aku tak teringat nak simpan nombor telefon kedutaan Malaysia di Paris. Kalau aku ditangkap, macam mana aku telefon diorang?! Tapi, nasib baiklah polis Perancis tu tak tangkap aku.
  6. Hampir Terlepas Bas ke Windsor Castle, Stonehenge & Oxford
    Ini semua hal bini aku - Boleh pulak nak ke tandas ketika semua orang tengah menunggu arahan daripada Pemandu Pelancong Evan Evans Tour. Bila bas sampai, bini aku pulak tak ada. Stress betul!
  7. Angkara Setin Coca-Cola
    Kejadian ini terjadi ketika di Lapangan Terbang Stansted ketika pulang ke Malaysia. Disebabkan setin Coca-Cola yang aku beli di Paris ni lah aku diperiksa dengan ketat ketika melepasi pintu keselamatan. Beg galas aku diasingkan selepas diimbas dan aku diarahkan membuka kasut. Beg galas aku digeledah dan pegawai Imigresen terjumpa setin Coca-Cola di dalam beg aku. Aku langsung tak teringat bila masanya aku letak air tersebut dalam beg aku!

Old Street - Setiap kali pulang dari jalan-jalan di kota London,
aku akan singgah Sainsbury's Local ini yang letaknya sebaris
dengan laluan Travelodge Old Street.

Old Street - Di dalam kedai Sainsbury's Local. Kelihatan
seorang pelanggan sedang menggunakan mesin untuk
membayar barang-barang yang dibeli.

Old Street - Di sebelah kedai Sainsbury's Local terdapat
pesaingnya iaitu TESCO express. Kebanyakannya, harga
barang murah 1 pence daripada Sainsbury's Local.

Apa yang aku suka di London:
  1. Cuaca yang Kering dan Dingin
    Pergi ke mana-mana tanpa berpeluh. Ini kerana disebabkan cuacanya yang semulajadi sejuk dan berangin. Oh ye, waktu itu adalah musim bunga.
  2. Sistem Pengangkutan yang Efisyen
    Segala jenis pengangkutan samada bas atau keretapi yang tepat pada waktunya. Jadi, tidak perlu risau terlambat ke destinasi.
  3. Orangnya yang Ramah
    Orang Inggeris mudah diminta pertolongan. Sekiranya ingin bertanyakan jalan, minta sahaja pertolongan dengan orang yang ada di sekitarnya. Mereka akan senyum dan berkata, "Yes, what can I help you, mister?"
  4. Harga Barangan yang Murah dan Kerap Ada Sales
    Pada aku, barang-barang di sini sangat murah. Aku masih ingat pada hari pertama aku sampai, aku sempat membeli-belah dua helai t-shirts dan 4 helai (2 kotak) seluar dalam dengan hanya ₤13.
  5. Keadaan Persekitaran yang Selamat
    Sepanjang di London, aku rasa seakan selamat berbanding Paris. Di London, kebanyakan daripada mereka lebih sporting. Tetapi, di Paris gaya mereka memandang agak pelik. Lagilah kalau yang bertudung seperti isteri aku contohnya, mereka memandang dari atas ke bawah.

Eiffel Tower - Hari pertama aku tiba di Paris.

Beberapa perkara yang boleh diambil iktibar:

Kisah di dalam Keretapi Underground

Kejadian ini berlaku ketika baru sahaja pulang dari Paris dan sedang menuju ke Travelodge Old Street. Di dalam keretapi bawah tanah tersebut, aku dan isteri aku sedang berdiri dan setiap orang yang masuk melalui pintu memang aku betul-betul di hadapan aku.

Selepas itu ada pasangan seperti kekasih masuk dan pintu pun mula nak tutup. Tetapi, di luar pintu ada pasangan tua yang berumur dalam lingkungan 60-an sedang cuba masuk tetapi tidak berjaya - lebih teruk lagi, begnya terkepit di pintu. Dan, ketika itulah lelaki muda daripada pasangan kekasih tadi itu cuba menahan pintu itu sekuat hati daripada tertutup. Akhirnya, pasangan tua itu dapat masuk sambil senyum mengucapkan terima kasih dan terus duduk di kerusi.

Baker Street - Stesen Underground dan perhentian bas
di Baker Street.

Akibat daripada tindakan lelaki muda itu menahan pintu, kedua telapak tangannya habis kotor. Nampaknya lelaki muda itu tidak ada tisu atau sapu tangan utk membuang kotoran. Aweknya juga menggeleng kepala yang dia juga tidak ada tisu. Selepas itu ada seorang lelaki muda juga usianya yang kebetulan melihat kejadian tadi terus membuka beg galasnya dan mengeluarkan tisu basah lalu menyerahkan kepada lelaki muda tadi itu.

Ini sangat mengujakan aku kerana disitu adanya satu jalinan yang utuh di antara orang-orang Inggeris ini. Ianya seperti dalam filem!

"Excuse Me Mister, I Need Your Help."
Setelah letak semua beg-beg yang berat di Travelodge Old Street, aku dan isteri aku keluar semula ke kota London. Setibanya di stesen keretapi bawah tanah Old Street, aku agak keliru dengan laluan keretapi tersebut.

Sedang berusaha memahami laluan keretapi bawah tanah, aku terperasan ada seorang lelaki Inggeris yang berpakaian kemas sedang berdiri sambil memeriksa iPhone-nya di satu sudut. Aku terus ke arahnya sambil menegur dalam bahasa Inggeris:

"Excuse Me Mister, I Need Your Help", kata aku. Lelaki Inggeris itu memandang aku dan terus tersenyum dan membalas, "Yes, sure - How can I help you?".


Old Street - Di hadapan hotel di mana tempat aku menginap.

Masa dia tengah terangkan kat aku tentang laluan keretapi-keretapi tersebut, dahi aku berkerut dan dia bertanya, "Are you okay? Nevermind, just follow me.", katanya sambil tersenyum.

Tiba-tiba aku teringat apa yang aku pernah buat suatu masa dahulu - Pernah suatu ketika dahulu ketika di stesen LRT Pandan Jaya ketika baru pulang kerja aku disapa oleh dua orang warga Canada bertanyakan bagaimana hendak ke suatu tempat. Aku terangkan padanya dan mereka berdua kelihatan keliru. Dan, aku katakan pada mereka berdua, "Are you okay? Nevermind, just follow me."

Ah, inilah dikatakan karma!

Kesesakan di Lebuhraya
Sedang menghala pulang ke London dari Oxford dengan menaiki bas pelancongan Evan Evans Tour, lebuhraya yang menghala ke London sudah mula sesak. Aku lihat jam waktu itu sudah pun pukul 5.15 petang dan orang ramai sedang dalam perjalanan pulang dari kerja.

Tatkala ini, aku memerhatikan gelagat orang-orang Inggeris ini apabila tersangkut di kesesakan lalu lintas yang agak teruk juga. Mereka ini sangat berdisiplin dan keadaan lalu lintasnya masih teratur - tiada menghimpit kenderaan lain atau memotong barisan di laluan kecemasan.

Aku lihat pemandu-pemandu ini kelihatan tenang sambil membuka tingkap dan ada yang membaca surat khabar. Reaksi muka mereka sangat relax.

Dan, ketika ini tiada langsung dengar bunyi hon!

Sebelum keluar untuk berjalan-jalan di kota London, inilah
sarapan pagi yang dibeli di TESCO express.

Nampak tak air Fanta tu? Aku suka minum air ni masa kat
sana. Botol besar tu ₤1 lebih je. Sedaaaaap!

Pejalan Kaki Diberi Keutamaan

Kalau kita di sini, perkara sebegini dianggap remeh. Dari jauh dah nampak orang nak melintas jalan, lagi dilajunya kenderaan. Pernah beberapa kali dihimpit ketika menunggang basikal. Aku juga di hon dari jauh ketika sedang berlari dan dipintas dari hadapan ketika sedang melintas jalan. Jahanam betul!

Tetapi, di London tidak terjadi sedemikian rupa. Pengguna jalan raya diberi hak yang saksama. Malah, pejalan kaki dan penunggang basikal dihormati lebih daripada Perdana Menteri!

Tak percaya? Cubalah datang ke London :)

Oklah, itu sahaja beberapa cerita yang boleh aku kongsikan selaku penutup Kisah-kisah di London & Paris. Semoga cerita-cerita aku ini boleh dijadikan pendorong, panduan serta persediaan apabila anda mahu ke sana nanti.

Koleksi cerita-cerita aku ketika di London dan Paris boleh dicapai di sini: http://www.brekkejap.com/p/cerita-dari-london-paris.html.

PS: Hari Isnin semalam sedang aku menunggang basikal secara solo, aku nyaris-nyaris di langgar oleh sebuah kereta Perodia Viva dari arah kiri. Di dalamnya terdapat 4 orang bebudak perempuan yang masih berhingus sedang berseronok di atas jalan raya. Tanpa mengangkat tangan tanda meminta maaf, mereka ini memotong tanpa memandang aku.

Jumaat, 11 November 2011

Rekodkan Aktiviti Sukan Menggunakan Telefon Pintar


Hari ini aku ingin berkongsi dengan anda semua tentang aplikasi-aplikasi telefon pintar yang membantu merekodkan setiap aktiviti-aktiviti sukan aku.

Pada aku, ianya penting sebab daripada situlah aku tahu tahap mana prestasi aku ketika itu. Kalau dahulunya aku setakat mengagak sahaja setiap prestasi aku. Tetapi, sejak ada aplikasi-aplikasi yang bakal aku ceritakan sebentar lagi, aku dah ada rekod yang tepat dan boleh dilihat dengan mata kasar; seterusnya menjadikannya sebagai rujukan.

Okey, aku mulakan dengan aplikasi:

Endomondo Sports Tracker PRO
Harga: Sekitar RM12

Endomondo - Paparan skrin pada telefon pintar.

Kalau nak diikutkan, aku baru gunakan aplikasi ni pada 4 September 2011 iaitu 3 bulan lepas. Sepanjang aku guna aplikasi ni pada telefon Sony Ericsson Xperia x10, agak okey jugalah. Ini kerana ada beberapa fungsi yang agak menarik dan aku anggapkan ianya satu kelebihan.

Kelebihan

  • Rekod terperinci seperti masa mulanya aktiviti, jarak, tempoh keseluruhan masa yang diambil, purata kelajuan, kelajuan maksima, kalori, ketinggian permukaan tanah dan kadar degupan jantung
  • Peta di sepanjang laluan ketika aktiviti berlangsung

Kekurangan

  • Kalau korang ada telefon yang setaraf gerabak keretapi, mungkin boleh memberi kesan ketika sedang berlari. Seperti aku, telefon aku agak berat dan besar. Jadi, ianya seperti bebanan pada aku
  • Adakalanya ketika sedang berlari, aplikasi ini tiba-tiba terhenti dan beberapa saat selepas itu berjalan seperti biasa dan ianya boleh terjadi banyak kali. Untuk mengelak perkara ini terjadi setiap kali aku berlari, aku akan pastikan fungsi "Auto Pause" pada tetapan aku matikan dahulu (Masalah ini tiada ketika sedang berbasikal)
  • Kena ada sambungan internet untuk memuat-turun Google Map dan fungsi GPS dalam telefon pintar perlu diaktifkan
  • Kuat pakai bateri!

Walaupun ada beberapa fungsi sosial di dalam laman web nya seperti menambah rakan dan menyertai beratus-ratus cabaran yang disediakan; tapi, aku lebih suka tumpukan pada dua kelebihan yang aku nyatakan di atas tadi.

Endomondo - Laluan yang direkodkan ketika aktiviti
sedang berlangsung.

Oh ye, aplikasi ni tak semestinya untuk yang berbasikal sahaja. Ianya juga sesuai kepada mereka yang berjalan, berlari, bermain ski, kayak, papan luncur atau apa jenis sukan yang melibatkan pergerakan yang jauh.


Kalau berminat, korang boleh pergi laman web di bawah untuk memuat-turun:

  1. http://www.endomondo.com
  2. http://tinyurl.com/6pqlhkd - Pengguna Android
  3. http://tinyurl.com/6nj4l6h - Pengguna iPod 4th Gen / iPhone 3Gs, 4 & 4s
  4. http://tinyurl.com/7b2zs8m - Pengguna Blackberry

-------------

Instant Heart Rate
Harga: Sekitar RM9.50

Aplikasi ini adalah satu aplikasi segera yang membolehkan aku monitor kadar degupan jantung tanpa memerlukan perkakasan tambahan. Selagi telefon pintar seseorang ada kamera dan mempunyai pemprosesan Android atau Apple iOS, ianya boleh digunakan.

Instant Heart Rate

Bagaimana Mengukur Kadar Jantung Ketika Rehat
Mengukur kadar denyutan jantung waktu sedang berehat adalah satu proses yang sangat mudah. Waktu yang sesuai untuk mengukur kadar denyutan jantung adalah di awal pagi selepas terjaga dari tidur. Waktu itulah jantung kita betul-betul sedang berehat.

Selepas terjaga dari tidur, berikan masa sekurang-kurangnya 15 minit sambil berbaring. Jangan pulak bangun dan berjalan ke dapur atau tandas. Kalau dah mula berjalan, jantung sudah mula bekerja dan bukannya sedang berehat.

Instant Heart Rate - Keputusannya boleh kongsikan
ke dalam laman social.

Selepas 15 minit berbaring, barulah bukak aplikasi Instant Heart Rate dan letakkan jari anda di atas lensa kamera telefon pintar sekitar 10 saat dan kadar degupan jantung semasa anda akan dipaparkan pada skrin telefon pintar.


Perlu diingatkan bahawa kadar degupan jantung antara lelaki dan perempuan adalah berbeza. Sila ke http://www.buzzle.com/articles/resting-heart-rate-chart.html untuk melihat jadual kedudukan degup jantung anda.

Untuk memuat-turunkan aplikasi ini, anda boleh menggunakan telefon pintar anda sendiri dengan kata carian “Instant Heart Rate” atau layari sahaja di http://www.instantheartrate.com/ untuk keterangan lanjut.

-------------

Simple Weight Recorder
Harga: Percuma

Perisian ini adalah untuk menyimpan rekod berat badan dan mengira Body Mass Index (BMI). Dan, bukannya kena pijak telefon pintar anda untuk menimbang berat badan.

Dalam erti kata lain, anda perlu juga ada alat penimbang di rumah sebelum menggunakan aplikasi ini. Sebaik-baik jenis penimbang berat badan adalah jenis digital.

Simple Weight Recorder

Beberapa ciri yang ada pada aplikasi ini:

  • Antara muka pengguna yang mudah
  • Carta
  • Paparan warna untuk kehilangan / penambahan berat badan
  • Tetapan matlamat dan perbezaan berat badan
  • Kehilangan berat badan
  • Body Mass Index (BMI)
  • Unit dalam ka / lb atau cm / kg

Kalau tak silap aku, Simple Weight Recorder hanya menyokong perisian Android sahaja. Kepada pengguna iPhone atau iPod Touch, anda boleh menggunakan aplikasi percuma atau berbayar yang lain seperti Weight Recorder atau Monitor Your Weight.

Kepada pengguna sistem Android, sila ke http://tinyurl.com/86ra6rc untuk memuat-turun aplikasi Simple Weight Recorder.

-------------

dailymile
http://www.dailymile.com/

dailymile adalah portal sosial untuk orang yang aktif bersukan. Sama seperti Facebook, cuma yang bezanya laman web ini menyimpan rekod aktiviti-aktiviti sukan anda.

dailymile

Apa bezanya dengan aplikasi Endomondo Sports Tracker PRO? Bezanya, Endomondo memuat-naik aktiviti anda secara terus ke laman sosial Endomono melalui telefon pintar anda. Sebaliknya, pengguna dailymile perlu mengisi data-data secara manual melalui akaun anda di dailymile.

Selain itu juga, dailymile mempunyai fungsi memuat-naik gambar, video, menulis nota serta menyelaraskan gajet Garmin atau Nike+ ke dalam akaun sosial dailymile.

Pada aku, Endomondo dan dailymile mempunyai kelebihan masing-masing dan sememangnya aku memerlukan kedua-dua benda ini untuk menilai prestasi aku.

-------------

Okey, aku sudah pun berkongsi dengan anda semua tentang aplikasi-aplikasi yang aku gunakan dan terpulang kepada anda untuk mencubanya.

Tak semestinya apa yang aku guna ini menepati cita rasa anda yang secara tak langsung mewakili penduduk muka bumi yang 7 billion ramainya. Mustahil aku boleh puaskan hati kesemuanya. Tetapi, kalau aku dapat puaskan hati 1% (70,000,000) sahaja daripada 7 billion tadi, dah cukup alhamdulillah.

Semoga pos aku kali ini sedikit sebanyak dapat memberikan sesuatu yang berguna dan sedikit sebanyak dapat menyumbang perkara positif di dalam aktiviti-aktiviti sukan anda.

Salam Sukan!

PS: Aku sedang tercari-cari telefon pintar apa yang mempunyai skin yang besar tetapi ringan. Sila cadangkan kepada aku di ruangan komen yang disediakan.

Selasa, 8 November 2011

Kronologi Sepanjang 360 Hari Yang Lalu


Okey, sama-sama ikut aku menyanyi lagu Hari Jadi sambil diselangi tiupan trompet:

Selamat Hari Jadi...Selamat Hari Jadi...
Selamat Hari Jadi Pahlawan...Selamat Hari Jadi...
Oh, terima kasih kerana turut sama menyanyikannya bersama-sama aku. Sesungguhnya aku sangat terharu.


Jangan salah faham. Sebenarnya, hari ini bukanlah hari jadi aku. Sebaliknya, hari ini adalah genapnya setahun aku mengayuh basikal lumba.

Sepanjang 360 hari yang lepas, pelbagai perkara yang telah terjadi dan segalanya tak pernah aku bayangkan. Daripada berbasikal biasa-biasa hinggalah kepada basikal luar biasa yang hampir-hampir diluar kemampuan aku!

Marilah ikut aku mengembara dengan mesin masa jenama Scott yang aku cipta ini; khusus mengimbau kronologi yang nonkriminal tentang aku dan basikal:

Sabtu, 16 October 2010
22 hari sebelum berbasikal - Hari ini hari Sabtu dan seperti biasa, aku mulakan larian aku jam 7:45 pagi. Dalam 500 meter berlari, aku mula rasakan lutut kiri aku sengal-sengal. Aku sangkakan mungkin disebabkan tiada regangan sebelum larian. Jadi, aku perlahankan larian dan sampai satu tahap aku rasakan kaki aku tidak boleh bergerak lagi.

Aku berjalan terhinjut-hinjut sejauh 2 km untuk pulang ke rumah.


Selasa, 19 October 2010
Aku masih MC hari ini. Sedang berehat di ruang tamu, aku terpandang sekumpulan penunggang basikal Mountain Bike sedang menuju ke PCP, Taman Cabaran.

Sedang tercapik-capik menuju ke dapur, terpandang pula jiran aku sedang mengusung basikal. Ah, ini seperti petanda dan aku perlu lakukan sesuatu!

Sabtu, 6 November 2010
Hari ini aku mula rasakan yang aku boleh berjalan dengan normal. Tiada sakit-sakit di sekitar lutut aku. Seperti biasa, jam 7:45 pagi aku mulakan larian perlahan dan diselang-selikan dengan berjalan sekitar PICC, Putrajaya.

Selepas larian, aku pergi ke Presint 9 untuk membeli sarapan. Dan, disinilah segala-galanya bermula; Aku terpandang kain rentang yang besar dengan perkataan "RODALINK KINI DIBUKA DI PRESINT DIPLOMATIK". Aku tak tau apa itu Rodalink, tapi yang menarik perhatian aku ada gambar basikal di atas kain rentang tersebut.

Rodalink Putrajaya - Ketika acara perasmian sedang
berlangsung.

Disebelah petangnya, aku bawa keluarga aku pergi ke Rodalink untuk melihat-lihat basikal apa yang ada disitu. Dan, inilah pertama kalinya aku berjumpa dengan staf Rodalink iaitu Zakhir dan Fadhli Khairon.

Sebelum pulang, aku sempat berkata pada Zakhir bahawa esok aku akan datang lagi untuk membeli basikal.

Ahad, 7 November 2010
Sekitar jam 11.30 pagi, aku sudah pun tercegat di hadapan Rodalink dan terus membeli basikal jenama Polygon model Helios F100 yang harganya RM1145:


Polygon model Helios F100 - Basikal pertama aku.

Facebook - Aku kerap kemaskinikan aktiviti berbasikal aku
dalam Facebook.

Sejak daripada itu, aku sudah mula rajin ke Rodalink untuk minta nasihat tentang basikal dan cara-cara mengayuh basikal dengan betul.

Disamping itu juga aku kerap ke laman Bicycle Buy & Sell untuk menyertai ruang sembang. Disinilah aku mula kenal beberapa orang rakan dan ada di antara mereka menjadi rakan sekayuh hingga kini.

* Terima kasih kepada Cawan yang bertanggungjawab kenalkan aku laman web tersebut!


Ahad, 7 Desember 2010
Inilah pertama kalinya dalam sejarah hidup aku mengayuh basikal sejauh 60 km dan kelajuannya mencecah 38 km/j. Ini semua angkara Iskandar Specialized, Zul BMC, Shahrul Bianchi dan Tuah Giant. Dah lah kayuh laju-laju, jauh pulak tu. Lepas tu pulak pekena bukit Limau Manis!

Sampai rumah, aku terus rasa macam nak demam!

Ahad, 12 Desember 2010
Buat pertama kalinya aku menyertai acara berbasikal iaitu Kayuhan Kesihatan Putrajaya 2010 Anjuran myJICA. Anda boleh ke pos aku yang terdahulu untuk cerita selanjutnya. Klik sini.

Sabtu, 31 Desember 2010
Aku turut serta Kayuhan Tahun Baru Interpark Ride Putrajaya anjuran Perbadanan Putrajaya. Buat pertama kalinya berjumpa dengan ahli laman web Bicycle Buy & Sell.

Aku tak ada dalam gambar ni.

Ahad, 1 Januari 2011
Keesokannya, hasil perbincangan aktiviti hari Ahad, buat pertama kalinya aku ke Hulu Langat untuk mendaki bukit Perez yang terkenal dengan aktiviti mendaki sambil berbasikal.

Hulu Langat - Bersama basikal aku yang sudah diubahsuai
menjadi basikal lumba. Kebonjolan perut aku juga masih
terserlah ketika ini.

Jumaat, 8 Januari 2011
Pertama kali aku turut serta kayuhan Tri Paku Nite Ride. Dan, hingga sekarang aku masih lagi mengikut aktiviti kumpulan ini berkayuh setiap malam Rabu dan Jumaat.

Tri Paku Nite Ride setiap malam Rabu dan Jumaat.

Ahad, 30 Januari 2011
Hari ini sangat mengujakan; Secara rasminya aku bertukar basikal kepada basikal lumba yang asli iaitu BMC model Streetfire SSX 2009. Proses pemasangannya dilakukan di Jami Bike Centre, Kajang. Kos keseluruhannya mencecah RM4500:

BMC Streetfire SSX 2009.

Sejak berbasikal BMC ini, aku memang tak duduk diam. Ada sahaja aktiviti setiap hujung minggu. Dalam waktu yang sama aku kerap melakukan latihan seperti berlari. Sepanjang tahun 2011 juga aku banyak berlatih bersama Team Tri Paku.

Tri Paku Nite Ride.

Ahad, 20 Februari 2011
Aku sertai Criterium Kencana-SIC Bikeathon 2011. Keseluruhannya, seramai 600 peserta dan 12 pusingan litar adalah wajib. Tapi, aku cuma mampu buat 2 pusingan sahaja. Selanjutnya ada disini.

Ahad, 6 March 2011
Kayuhan paling jauh yang pernah aku lakukan sehingga kini iaitu 114 km ke Bagan Lalang. Aku pernah ceritakan kayuhan tersebut di sini.

Sabtu, 10 Jun 2011
Sekali lagi terjadi ketika sedang berlari - Lutut aku tercedera lagi. Kali ini sebelah kanan.

Lutut kanan aku pulak cedera. Mengambil masa hampir dua
minggu untuk sembuh.

Ahad, 25 September 2011
Setelah 10 bulan bersama BMC Streetfire SSX, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menukar basikal kepada jenama Scott Addict R3. Anda boleh membaca kisahnya di sini.

Rodalink Putrajaya - Inilah hasilnya setelah menjalankan
pembedahan selama 3 jam 30 minit.

Ahad, 9 Oktober 2011
Aku tak pernah mengikut kumpulan Jami Bike Centre mengayuh basikal. Hari ini aku mengambil keputusan untuk mencuba laluan kumpulan ini. Kalau laluannya menarik, bolehlah aku turut serta kayuhan mereka pada masa-masa akan datang.

Setelah pulang dari kayuhan ke Lenggeng, Negeri Sembilan yang jauhnya 76.57 km selama 3 jam, aku terus memasang set roda Reynolds Assault yang berharga RM3800.

Jami Bike Centre - Reynolds Assault Clincher RM3800.

Jami Bike Centre - Proses pemasangan sedang berlangsung.

Scott Addict R3 2010 - Beginilah rupanya basikal aku yang
terkini.

Ahad, 23 Oktober 2011
Sekali lagi aku mengikut Kumpulan Jami Bike Centre ke Hulu Langat yang jauhnya 87.5 km dan mengambil masa selama 3 jam 15 minit. Ceritanya ada di sini.

Team Jami Bike Centre - Kayuhan ke Hulu Langat.

Ahad, 30 Oktober 2011
Akhirnya aku menjual rangka basikal BMC Streetfire SSX aku kepada rakan sekayuh. Cadangnya basikal ini aku nak jadikan basikal ke dua aku. Tapi, memandang kosnya boleh jadi berganda; maka, aku batalkan sahaja niat aku. Jalan penyelesaian untuk selamatkan duit aku, aku jualkan sahaja!

---

Begitulah perjalanan kisah aku sepanjang setahun aku melibatkan diri dalam dunia basikal. Sekarang ini berat badan aku sudah turun kepada 62 kg berbanding sebelum aku kayuh basikal iaitu 74 kg.

Degup jantung ketika rehat pula sudah turun kepada 58 bpm berbanding sebelumnya iaitu 83 bpm.

Ini aku anggapkan perubahan positif yang ketara dalam tempoh 360 hari yang lepas. Perubahan ini sudah pun menjadi gaya hidup dan tabiat aku. Dan, nampaknya tabiat ini sukar untuk diubah!

PS: Orang kata hobi berbasikal ini sangat mahal. Aku perlu mengakuinya.

Isnin, 31 Oktober 2011

Kayuhan di Pagi Ahad: Misi Mendaki Bukit Limau Manis, Kajang


Aktiviti sebagai penutup hujung minggu bagi bulan Oktober dimulakan dengan kayuhan kesihatan yang bermula dari:

Presint Diplomatik, Putrajaya > Dengkil > Kota Warisan, Salak Tinggi > De Palma Inn, Sepang > Kampung Limau Manis, Kajang > Presint Diplomatik, Putrajaya.

Jam 7:18 pagi sekitar Putrajaya. Sedang menaiki kereta
menuju Presint Diplomatik.

Tepat Jam 7:45 pagi, kami yang terdiri daripada wakil setiap daerah Wilayah Persekutuan dan Selangor seramai 6 orang mula bergerak keluar daripada Putrajaya menuju ke Dengkil dengan kayuhan cadence.

Presint Diplomatik - Sebelum mulakan kayuhan, ambik
gambar dulu. Karang masa kayuh memang takkan dapat
ambik gambar.

Sepanjang laluan daerah Dengkil, kadar kelajuan secara puratanya 38 - 45 km/j. Sekali-sekala terlajak jugak 50 km/j. Tapi, kena kawal sedikit kelajuan sebab perjalanan jauh lagi. Lagipun ada beberapa bukit yang sedang menanti di penghujung kayuhan.

Kayuhan diteruskan hingga ke Salak Tinggi, Sepang untuk menuju ke De Palma Inn. Laluan ini ada satu bukit yang agak panjang sekitar 700 meter. Bukit ini Lance Armstrong tak pernah lalu - Mungkin gerun dengan ketinggian bukit yang agak panjang ini dan seterusnya mengambil keputusan mendaki Mont Ventoux yang terletak di Selatan Perancis sahaja.

Selepas bukit panjang De Palma Inn tadi, kami kayuh selaju yang boleh sehingga memasuki daerah Kampung Limau Manis, Kajang. Purata kelajuan setakat ini masih 30 km/j.

Setiba di bukit-bukit tinggi Limau Manis, purata kelajuan makin menurun hingga mencecah 27 km/j. Ini kerana bukit-bukitnya yang tinggi dan panjang. Kalau satu atau dua bukit sahaja, tak apalah. Ini ada lima bukit yang agak tinggi jugalah yang perlu didaki.

Ini belum masuk bukit Alamanda yang panjang tu!

Memang bukit-bukit di sekitar Limau Manis memang mencabar mental. Aku nak cerita banyak pun tak reti. Korang kena merasa sendiri. Perlu diingatkan Jan Ullrich pun tak pernah jejak kakinya di sini. Ini mungkin kerana di awal-awal lagi beliau sudah surrender dengar nama Limau Manis, Kajang!

Lepas habis azab mendaki bukit-bukit Limau Manis, kami terus memasuki Putrajaya dan seterusnya melalui bukit Alamanda dengan kelajuan di meter sekitar 22 km/j.

Presint Diplomatik - Baru habis kayuh.

Basikal milik Norman.

Specialized S-Works milik Iskandar dan Scott Addict milik
aku.

BMC SLX01 milik Faizul Hashim.

Orbea Diva kaler pink milik Man.

Pinarello FP3 kepunyaan Shahrul.

Kami tamatkan kayuhan sekitar jam 9:57 pagi. Secara keseluruhannya, kayuhan kali ini:
Purata Kelajuan: 27.68 km/j
Kalori: 1776 kcal
Jarak: 58.72 km
Masa: 2h:07m:08s
Kayuhan kali ini agak meletihkan kerana angin yang kuat serta angkara bukit-bukit durjana. Walaupun sejauh 58.72 km, sudah cukup untuk buatkan degupan jantung mencanak naik mencecah 196 bpm.

PS: Aku sudah timbang berat basikal aku semalam iaitu 7.96 kg dan sedang berusaha untuk turunkan lagi 200 gram sehingga hujung bulan November ini. Berikan aku sedikit duit wang emas semangat!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...