Mukasurat

Rabu, 7 Mac 2012

Hadiah Bulan Ini: Meter "Sigma BC 1909 HR STS Wireless"


Biasanya setiap bulan, aku akan meraikan Hari Kesyukuran yang aku cipta sendiri. Tak ada hari yang tepat sebenarnya tarikh Hari Kesyukuran tersebut, janji ianya di awal setiap bulan.

Untuk memeriahkan lagi Hari Kesyukuran tersebut, aku akan menghadiahkan diri sendiri dengan barang-barang basikal.

Kali ini hadiahnya adalah meter basikal "Sigma BC 1909 HR STS Wireless".

Ini adalah proses penggantian meter Cateye Wireless yang aku ceritakan beberapa minggu lepas ianya sudah rosak dilanggar kereta.

KHCycle kat Damansara Perdana.

Jam 1:00 tengahari semalam, tatkala rakan-rakan pejabat aku pergi makan nasik, aku pula ke kedai basikal KHCycle yang terletak di Damansara Perdana untuk membeli meter Sigma.

Setelah membayar RM390, aku terus pulang ke pejabat dan menayang-nayang meter yang aku baru beli tadi kat rakan-rakan pejabat. Aku pun terus bercerita tentang kehebatan meter tersebut seperti cadence, heart rate dan beberapa istilah yang hebat bunyinya yang sengaja aku ulang beberapa kali. Mereka semua ternganga sambil terpancul perkataan "Dahsyatnya!".

Resit pembelian meter Sigma BC 1909 HR STS Wireless.

Padahal tak ada apa-apa pun. Saja aku eksyen sebenarnya. Lagipun, diorang mana tau pasal basikal.

Oh ye, apa yang menarik pada meter ini, ianya ada fungsi cadence, heart rate, suhu, kalori dan beberapa fungsi yang lain. Dengan harga tak sampai RM400, aku boleh dapat kesemuanya yang aku sebutkan tadi. 

Inilah meternya dan berat sekitar 453 gram.

Sebaik sahaja aku sampai di rumah, aku teruskan misi memasang meter Sigma. Aku buka YouTube dan cari video cara-cara bagaimana memasang model meter macam aku punya. Nasib baik ada:


Lepas habis video tu, aku pasang sekali lagi dan ikut serentak - apa yang dalam video tu buat, aku ikut je. Tak susah sangat sebab kalau korang tengok video tu, memang senang sangat nak ikut. Aku yang jenis pegang spanar setahun sekali pun boleh ikut, ini kan korang yang lagi expert.

Nasib baik ada YouTube. Kalau tak, aku tak tau nak buat
macam mana dengan benda-benda ni.

Sebelum itu, aku perlu bukak meter Cateye yang rosak tu dulu:

Meter Cateye berjaya dibuka.

Inilah meter Cateye yang sudahpun rosak.

Lepas je bukak meter yang rosak tu, aku pasang balik video YouTube tadi dan bermulalah pengembaraan aku yang bakal korang saksikan...

LANGKAH PERTAMA
Aku ikut sebijik susunan dalam video tu. Tak berani nak
ubah ikut kreativiti sendiri, nanti tersalah pasang, naya je...

LANGKAH KE-DUA
Benda ni aku berjaya pasang dalam beberapa minit je.
Senang sangat. 

LANGKAH KE-TIGA
Yang ni pulak, dekat 30 minit baru sempurna. Aku tersalah
pasang. Nak bukak balik, punyalah susah.

LANGKAH KE-EMPAT
Ni pun nasib baik aku tak pasang terbalik. Aku dah nak ikat
pakai cable tie dah. Nasib baik perasan.

LANGKAH KE-LIMA
Akhir sekali, lepas masukkan bateri, setkan beberapa perkara
mengikut selera aku pada meter tersebut, barulah aku
pasangkan kat basikal aku.

Lepas je siap pasang, aku terus pergi cuba kayuh kat keliling apartment aku. Masa tengah kayuh tu, aku perasan yang cadence tidak berfungsi. Aku berenti dan cek apa yang patut. Aku on off meter tu dan barulah fungsi cadence muncul pada meter.

Nasib baik...

Tadi aku pergi lagi KHCycle. Semalam sku terlupa nak beli
botol air. Botol air lama aku kaler biru. Tak ngam dengan
kaler basikal aku.

Aku nak puji lebih-lebih, tak boleh lagi sebab aku baru je nak bermesra dengan meter Sigma ni. Tapi, macam aku cakap tadi dengan harga yang tak sampai RM400, aku boleh dapat macam-macam dalam satu jenis meter sahaja. Jadi, pada aku ianya sangat berbaloi.

Buku manual yang tiada fungsinya apabila ada YouTube.

Lagipun, aku dah cek kat Ebay, harganya memang mahal. Paling murah pun kurang berbelas RM je. Lagipun kena tunggu 14 hari baru dapat barang. Setakat jimat belas-belas ringgit, tak payah le. Baik aku pergi beli yang ada kat depan mata. Terus dapat kejap tu jugak.

Kalau korang nak cari meter basikal, boleh masukkan meter macam aku punya ni dalam senarai. Manalah tahu kot-kot ianya dalam lingkungan bajet korang. Alah membeli, menang memakai.

PS: Aku sebenarnya ada masalah untuk mengenal kiri dan kanan. Itu sebab aku kerap tersalah pasang sepanjang proses pemasangan meter yang aku ceritakan tadi. Kadang-kala huruf "S" pun aku tulis terbalik!

Isnin, 5 Mac 2012

Kayuhan ke Lenggeng: Inilah Kekejangan yang Sebenar!


Kali terakhir aku kayuh adalah ketika pengambaran untuk dokumentari tentang Azizulhasni Awang pada Ahad minggu lepas. Itu pun hanya 37.29 km je.

Dah le Kuantan Century Ride lagi 2 minggu je; 160 km pulak tu. Patutnya mileage meningkat. Tapi sebaliknya makin menurun.

Tak boleh jadi ni...

Dan, pada semalam harinya iaitu 4hb Mac 2012, bertempat di Masjid Putra, Putrajaya, aku dan beberapa rakan lain turut sama bergabung dengan Kumpulan EnCC Enchal. Akibat penggabungan ini, jumlah keseluruhan yang menyertai kayuhan ini meningkat kepada 21 orang.

Dalam 9 orang antara kami berkumpul di Info Centre
berhadapan dengan bangunan MAMPU sebelum bergabung
dengan EnCC Enchal.

Bersedia untuk mulakan kayuhan.

Tepat jam 8.10, selepas membaca doa selamat yang dibaca oleh Alias, kami semua bergerak menuju ke Lenggeng, Negeri Sembilan.

Kayuhan tidaklah laju mana dan sepanjang kayuhan tersebut aku hanya melayan cadence — pakai crank kecik dan hanya menukar casette belakang mengikut rentak permukaan jalan. Memandangkan 7 hari aku tak kayuh basikal, jadi tak berani sangat nak pakai crank besar.

Sepanjang kayuhan, meter dalam lingkungan 30 - 35 km/j. Cuaca juga agak redup dan nyaman. Kalaulah cuaca macam gini sampai tengahari, alangkah mesra alamnya.

Berhenti sebentar di Jenderam Hulu untuk menunggu
7 orang lagi yang masih di belakang.

Tak lama lepas tu, cuaca makin terik dan tiba di Jenderam Hulu kami semua berhenti sekitar 5 minit untuk menunggu mereka yang terputus peloton.

Tak lama lepas tu, hanya 5 orang sahaja yang tiba. Lagi 2 orang rakan dah pun patah balik sebab ada masalah-masalah tertentu. Tinggallah 19 orang yang teruskan cabaran ke Lenggeng...

Kelajuan masih kekal sekitar 30 - 35 km/j hinggalah tiba di Broga, Negeri Sembilan. Memandangkan peloton sudah pun terputus dua tanpa sedar, kami perlahankan sedikit kelajuan dalam beberapa minit dengan harapan dapat sambung balik peloton yg terputus tu.

Tapi, tak nampak bayang-bayang peloton yang terputus tu. Memandangkan ada lagi 3 km berbaki tiba di destinasi, kami meningkatkan sedikit kelajuan ketika mendaki bukit-bukit kecil sekitar Broga dan mengakibatkan terputusnya peloton menjadi 3 tanpa sedar.

Lagi 2 km nak sampai destinasi, kelajuan tiba-tiba meningkat dan aku terpaksa pakai crank besar dan nah, kelajuan mencecah 57 km/j!

Ketika ini, aku cuma berharapkan mereka yang berada di dalam peloton dapat turut sama drafting.

Lagi 500 meter hendak sampai, tengok belakang sapa pun tak ada. Hanya aku dan Mie Bulat je.

Dalam 3 minit lepas tu barulah peloton ke-2 muncul.

Biasanya aku akan bawa Power Gel untuk persediaan apabila
perlu.

Dalam 20 minit kemudian, muncul pula peloton ke-3.
*Gambar hak milik Azlan.

Memandangkan ada di antara kami perlu pulang awal kerana jemputan kenduri kawin dan kerja, kami seramai 6 orang bergerak pulang dahulu lalu meninggalkan 13 orang rakan yang lain di kedai kopi.

Kami bergerak pulang sekitar jam 11:30 pagi kalau tak silap. Tatkala ini matahari pulak makin memacak.

Kami berenam pulang awal.
*Gambar hak milik Azlan.

Ketika perjalanan pulang kelajuan sekitar 30 - 35 km/j juga. Angin agak kuat ketika ini.

Apabila perjalanan sudah mencecah 90 km, aku mula rasakan kemungkinan besar aku akan cramp. Tanda-tandanya sudah nampak:

Garam dalam badan sudah mula keluar dalam kuantiti yang
banyak.

Jadi, aku perlu mengawal kelajuan dan tidak memberi tekanan melampau pada kaki. Walaupun ketika itu aku rasakan badan aku masih cergas dan kaki tidak ada tanda-tanda akan kekejangan.

Lagi 15 km nak sampai putrajaya, salah seorang daripada kami iaitu Halim kekejangan betis dan kami berhenti sebentar di Dengkil.

Dan ketika sampai di Sungai Merab, peha aku pulak kena. Lebih menarik lagi, kedua-dua peha aku kekejangan serentak.

Lagi 7 km je nak sampai. Ahhhh, elok sangat le tu...

Inilah keadaan mereka ketika perjalanan pulang. Ketika ini,
kami berenam yang pulang awal sudah tiba sekitar Bangi.
*Gambar hak milik Azlan.

Nasib baik Halim singgah 7 Eleven di Sungai Merab tadi untuk membeli air mineral sejuk. Dengan air itulah Halim simbahkan ke peha aku untuk legakan kekejangan.

Fuhhh, nasib baik ada Halim bersama air sejuknya...

Kami sampai jam 1:10 tengahari di Info Centre, Putrajaya dan aku terpaksa meminta bantuan Halim untuk menghantar aku pulang dengan menaiki SUV beliau. Tak sanggup aku kayuh 7 km berbaki untuk pulang ke rumah dalam keadaan peha yang tak sihat.

Terima kasih Halim!

Basikal aku atas SUV Halim.

Apa yang boleh aku simpulkan di sini, kayuhan sejauh 111 km selama 4 jam 13 minit adalah sangat berselera. Walaupun kekejangan kedua-dua belah peha, ini tak bermakna kayuhan perlu dihentikan. Hanya peha sahaja sakit; bukannya semangat yang sakit.

Ketika sampai di hadapan PICC ketika Halim hantarkan aku pulang, terlihat rakan-rakan yang kami tinggalkan di kedai kopi Lenggeng di persimpangan lampu trafik sekitar jam 2 petang. Tahniah kepada mereka kerana berjaya habiskan kayuhan — walaupun dengar khabarnya salah seorang daripada mereka spoke nya patah ketika perjalanan pulang.

PS: Kuantan Century Ride makin hampir. Takut betul aku dengan perkataan cramp!

Rabu, 29 Februari 2012

Eh, Mana Azizulhasni Awang?


Pada 3 hari lepas iaitu 26hb Februari 2012, aku berpeluang menjadi pelakon tambahan yang khabarnya untuk siri dokumentari Astro Discovery Channel tentang Azizulhasni Awang.

Pada awalnya, aku menolak pelawaan salah seorang ahli Tri Paku iaitu Awe. Tapi, bila dengarnya ramai jugak geng Tri Paku pun turut serta jadi pelakon tambahan, aku pun tak nak le lepaskan peluang ni.

Segala persiapan sangat rapi dan sudah tersedia pada
malam sebelumnya.

Aku keluar rumah awal dan hari masih gelap lagi.
Janji dengan Mawi kat jalan keluar Putrajaya jam 6:45 pagi.

Khabarnya jugak, hanya 7 orang sahaja diperlukan sebagai pelakon tambahan dan setiap seorang dibayar RM100. Yang menjadi kepalanya pula adalah Shah dan kami semua hanya mengikut telunjuknya sahaja.

Aku tak ambik port sangat bab RM100 tu. Janji aku dapat masuk TV. Seumur hidup aku, tak pernah merasa masuk TV. Jangankan kelibat, bunyi batuk aku pun tak pernah sama sekali.

Pengambaran dilakukan di Batu 18, Hulu Langat. Jadi, kesemua pelakon (chewahhhh) perlu berkumpul di Dewan Orang Ramai Batu 14 dan sama-sama menuju ke Sekolah Rendah Choon Hwa. Ini kerana semua orang yang terlibat telah pun menunggu kami semua di sekolah tersebut.

Jam sudah pukul 7:47 pagi. Kami semua perlu tiba di
Sekolah Rendah Choon Hwa jam 8:00 pagi.

Sedang menunggu Shah tiba sedangkan kami sudah berada
di hadapan sekolah tersebut.

Ini semua orang Tri Paku.

Apabila tiba di sekolah tersebut, kami semua dihidangkan sarapan nasik lemak, kuih-muih, air milo dan juga nescafe.

Mata aku tercari-cari manalah si Azizulhasni Awang. Tak ada pun. Oh, mungkin beliau sedang make up kot.

Rupa-rupanya, mana ada Azizulhasni Awang hari tersebut. Azizul dah pun selesai pengambarannya di Terengganu semalam. Aisehhhhhh salah info rupanya aku...

Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Choon Hwa di
Batu 18, Jalan Dusun Tua, Hulu Langat.

Kanak-kanak sekolah ini pun berlakon jugak. Diorang semua
jadi penyokong di tepi jalan.

Sarapan nasik lemak. Aku tak makan pun.

Makan sambil bersembang.

Tapi, tak apa lah. Tak ada Azizulhasni Awang pun tak apa. Janji dapat masuk TV.

Dalam 15 minit selepas itu, kami semua diberi arahan untuk mulakan pengambaran. Kami semua pun mengikut Shah dan pada yang sama ada beberapa rakan lain baru tiba. Ini menjadikan pelakon tambahan bertambah kepada 15 orang.

Seterusnya, kami menghala ke arah Genting Perez. Dan, di pertengahan jalan yang menghala ke Genting Perez lah pengambaran dilakukan.

Sedang menunggu arahan seterusnya daripada
Tuan Direktor.

Cikgu sedang memberi nasihat kepada anak-anak murid
supaya kelihatan sopan ketika sedang berlakon.

Sepanjang pengambaran itu, tak ada cerita yang menarik pun yang boleh diceritakan kat korang semua. Balik-balik buat benda yang sama.

Peranan kami semua hanya mengayuh basikal ke hulu ke hilir dan pada masa yang sama kamera mengambil aksi kami.

Tak ada lagak ngeri. Tak ada dialog. Hanya kayuh basikal. Itu sahaja.

Kononnya ketika itu adalah perlumbaan basikal yang sedang berlangsung dan kami semua adalah Pro Cyclist dari pelbagai negara.

Sedang menunggu babak seterusnya.

Masa ni semua dah rasa agak bosan dan tertanya-tanya
bila nak habis.

Aku rasa dalam sejam jugak le baru selesai pengambaran. Selepas Shah mengambil bayaran yang keseluruhannya RM700 dan kami semua terus menghala ke Bukit Hantu untuk manfaatkan masa yang berbaki.

Inilah pertama kalinya aku menghadap Bukit Hantu yang tingginya boleh dikatakan mencabar. Tapi, ianya tak sejauh Genting Perez dan ketinggian bukitnya agak mencanak jugak le berbanding Genting Perez.

Sepanjang mendaki, meter aku sekitar 11 - 12 km sejam. Aku tak tahu berapa kilometer perlu mendaki kerana ini pengalaman pertama aku. Jadi, aku tak berani nak tekan lebih-lebih.

Karang aku tekan macam naik Genting Perez, sekali 15 km jauhnya... Hah, naya!

Lepas mendaki dalam 15 minit dan turun sekitar 5 - 7 minit, kami semua tiba di Dewan Orang Ramai Batu 14 sekitar jam 10.55 pagi.

Shah sedang memberi kata penutup dan ucapan terima kasih
di atas kesungguhan kami ketika berlakon pagi tadi.

Waktu ini sedang menunggu duit daripada Shah.

Lepas masukkan basikal ke dalam kereta masing-masing, kami semua minum di gerai bersebelahan dewan dan Shah mula membahagikan wang hasil titik peluh berlakon pagi tadi.

Setiap orang dapat RM70 setelah diagihkan kepada para pelakon tambahan yang muncul di saat-saat akhir. Sejam berlakon dapat RM70 kira oklah. Cukup untuk isi minyak penuhkan tangki kancil aku dan makan tengahari Nasi Pakistan berlaukkan kambing.

Akhir sekali, diharapkan agar para pembaca aku dapat menjadikan cerita aku ini sebagai panduan iaitu Bagaimana Melibatkan Diri dalam Bidang Lakonan Secara Semulajadi.

PS: Harap-harap Yusuf Haslam melihat aku berlakon dalam dokumentari yang aku berlakon tu. Manalah tau kot-kot dia berminat dengan lakonan dengan aku ke.

Khamis, 23 Februari 2012

Wednesday Night Ride: Tragedi Botol Air


Hari Rabu semalam; bersamaan 22 Februari 2012, seorang rakan yg turut serta Wednesday Night Ride di Putrajaya cedera agak parah akibat terjatuh ketika kayuhan sedang berlangsung. Ketika jatuh, beliau tidak sedarkan diri kerana kepalanya terhentak kuat di jalanraya dan tangannya turut patah pada masa yang sama.

Zuraidy Shamsudin mengerang kesakitan ketika diangkat
ke atas pengusung milik Hospital Putrajaya.

Okey, ceritanya begini...

Seperti biasa kami semua akan berkumpul di Information Centre, Putrajaya dan kayuhan bermula jam 9:40 malam.

Malam itu hanya seramai 16 orang sahaja dan tidak seperti biasa yang boleh mencecah 28 orang. Dan juga, kelajuan di tahap sederhana dan tidak seagrasif seperti hari-hari sebelumnya.

Ketika 300 meter sebelum sampai Tasik Cyberjaya, kami semua memperlahankan kayuhan sekitar 15 - 20 km/j untuk minum dan mengumpul tenaga semula. Ketika inilah Zuraidy yang kedudukannya betul-betul di belakang aku terjatuh.

Masa ni ramai daripada kami agak panik sebab beliau tidak
sedarkan diri.

Aku difahamkan beliau terjatuh ketika cuba meletakkan botol air dan ketika itulah beliau hilang kawalan. Ketika jatuh itulah beliau tidak sempat menahan dengan tangan dan kepalanya terhentak kuat di atas jalanraya. Nasib baik beliau memakai topi keselamatan.

Sedang cuba sedarkan Zuraidy daripada terus tidak
sedarkan diri.

Agak bernasib baik ketika kayuhan kali ini ada dua orang doktor turut serta iaitu Doktor Azim dan Doktor Azlan. Dalam waktu kecemasan ini, Doc Azim cuba sedarkan Zuraidy dan pada masa yang sama Doc Azlan menghubungi Ambulan.

Lebih kurang seminit Zuraidy tersedar dan dialog pertama yang diucapkan:

"Aku kat mana ni...?"

Ketika itu Doktor Azim ada di sebelahnya dan pada masa yang sama ada di antara kami bukakan topi keledar dan kasut yang dipakai oleh Zuraidy.

Cuba menenangkan Zuraidy yang sedang mengerang.

Masih sedang menungg Ambulan sampai.

Ada seorang penunggang motosikal ingin mengetahui
apa yang terjadi.

Dalam masa menunggu Ambulan sampai, ada yang suruh tahan bas. Dalam waktu yang sama aku terdengar ada yang cuba membantah idea itu.

Ye lah, buat apa nak tahan bas. Bukannya bas tu boleh hantar straight terus ke hospital. Dah tu pulak, kalau naik bas kena beratur, kan dah buat lambat. Itu tak apa lagi. Nak kena bayar tambang tu lagi satu hal.

Tak lama lepas tu Ambulan pun sampai.

Macam mana kita tengok filem, macam itulah keadaannya
ketika itu – Ambulan mengeluarkan bunyi siren.

Agak sengsara jugak le aku tengok si Zuraidy ketika itu. Setiap kali cuba mengangkat ke pengusung, beliau mengerang kesakitan.

Iskandar cuba bodek driver Ambulan untuk membawa
basikal Zuraidy sama-sama ke hospital. Tapi, jawapan hampa
yang diterima.

Setelah beliau dibawa oleh Ambulan, kami semua berbincang macam mana nak bawa basikal Zuraidi. Akhirnya, kata putus dibuat; basikal perlu dibuka kepada beberapa bahagian dan dibahagikan setiap seorang untuk membawanya.

Ada yang membawa tayar. Ada juga yang mengusung bingkai. Pada masa yang sama ada juga yang memegang seatpost.

Dan kami semua menuju ke Putrajaya semula dengan kayuhan yang perlahan...

Difahamkan, saat ini Zuraidy sedang dibawa ke Pulau Pinang untuk pembedahan bagi memasukkan besi pada tangannya.

Semoga beliau segera pulih dan kuatkan semangat!

PS: Aku kekurangan mood pada hari ini. Kalah bidding jersi Pro Team dan skin suit di eBay dengan teruk!!!

Selasa, 14 Februari 2012

Malang Tidak Berbau!


Seperti yang tersedia maklum, aku ada sentuh sedikit pada pos aku sebelum ini tentang tiub aku pancit dan pada masa yang sama tayar aku juga terkoyak ketika kayuhan bersama Team Tri Paku ke LCCT, Sepang.

Tapi sebelum tu, aku mahu selit sedikit kejadian Ahad minggu lepas, ketika sedang kayuh basikal di 70 km sekitar Putrajaya, meter aku terpelanting dan meter tersebut dilanggar kereta — betul-betul di hadapan mata aku!

Meter Cateye aku sudah rosak!

Cuba korang bayangkan, dah le meter aku kena langgar dengan kereta depan mata aku. Keesokan harinya pulak, tayar pulak bikin masalah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul tau!

Ok, sambung balik cerita tayar aku tadi...

Sebenarnya, tiub aku pancit dua kali dan kali ke-tiganya barulah tayar aku terkayok ketika sedang mengepam tiub. Ketika itu aku baru sahaja kayuh sejauh 14 km daripada Pullman Putrajaya.

Nasib baik Mosyawir yang lengkap peralatannya ada bersama aku. Dialah yang banyak membantu aku. Ketika tiub aku terkoyak, aku tak mau menyusahkan dia dan menahan teksi untuk pulang ke rumah sahaja.

Team Tri Paku - Mosyawir, Faizal dan Esmen.
*Gambar hak milik Mosyawir.

Ketika sangap kat rumah daripada pagi ke tengahari di hari Isnin selepas pulang menaiki teksi, aku cuba google tentang tayar yang aku pakai iaitu jenama Hutchinson. Aku cuba membaca pengalaman mereka yang telah pakai tayar jenama tersebut. Rupa-rupanya ramai juga yang terkena macam aku — tayarnya mudah koyak di bahagian tepi.

Hutchinson Intensive jenis Clincher yang bahagian sisinya
mudah koyak.

Untuk pengetahuan korang, aku baru je pakai tayar Hutchinson dan sudah lanyak sejauh 2327 km. Aku juga ada terbaca pengalaman seorang pengguna tayar jenis yang sama juga telah koyak di bahagian tepi tayar setelah lenjan sejauh 2500 km. Perkara macam ni tak sepatutnya terjadi.

Setelah meminta pendapat rakan-rakan dan juga membaca pendapat di internet, aku mengambil keputusan untuk bertukar kepada jenama Continental GP4000. Aku terus telefon Jami Bike Centre dan jawapan hampa yang aku terima - Stok habis!

Hari Rabu minggu lepas aku bawak sepasang set roda aku ke pejabat dan pagi itu jugak aku berjalan kaki daripada pejabat aku ke KHCycle di Damansara Perdana untuk memasang tayar Continental GP4000.

Sambil jalan dalam KHCycle, aku terpandang
Scott Foil Team Issue. Ianya datang sekali Campy Groups,
Mavic 2012 Wheel, Ritchey WCS dan San Marco Saddle.
*Gambar hak milik KHCycle.

Kebetulan Saiful iaitu bekas pekerja Rodalink Putrajaya selaku juga bekas pemain bass kumpulan The Pilgrims era 90-an ada di situ. Disebabkan aku sudah biasa dengan Saiful ketika di Rodalink Putrajaya, mudah le aku minta pertolongan daripadanya. Saiful le bertanggungjawab memasang rim tape jenama Zefal, tiub Continental Race 28 dan Continental GP4000.

Sepasang tayar dan tiub jenama Continental
dan rim tape jenama Zefal.

Sebenarnya, aku nak ambik Continental GP4000s. Tapi, masa kat KHCycle mata aku jadi rambang dan terambik GP4000. Cisssss!!!

Tak apalah. Dah terbeli. Nak buat macam mana. Pakai ajelah...

Klik gambar untuk lihat harga setiap barang.

Jumlah keseluruhannya.

Setelah tukar rim tape, tiub dan tayar yang baru, aku dapat jimat 146 gram. Ini memang aku tak sangka sebenarnya. Sekarang basikal aku sudah menjadi 7.52 kg.

Malam Rabu seperti biasa akan ada Lumba Mini anjuran Tri Paku di Putrajaya. Inilah masanya aku menguji presitasi tayar baru. Memang ternyata tayar Continental GP4000 sangat baik. Memang puas hati aku dapat pakai Continental GP4000.

Continental GP4000 sudah siap pasang.

Tapi, dari segi ketahanannya aku tak pasti. Harap-harap boleh tahan setahun lebih. Jangan jadi macam tayar Hutchinson sudah le. Baru pakai 3 bulan, dah koyak!

PS: Sebijik Continental GP4000 lebih mahal daripada tayar Kancil aku. Fuhhhhh!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...