Mukasurat

Khamis, 1 Oktober 2020

Gementar Berhadapan dengan Tiga Lejen Pagi di Sinar FM


Assalamualaikum, Salam 1Basikal dan Selamat Pagi. Pos kali ini aku cuma nak bercerita tentang aku dijemput sebagai tetamu ke radio Sinar FM pada 30 September 2020; iaitu semalam pagi.

Terus terang aku langsung tak jangka benda ini berlaku dan benda inilah aku takut sejak dari dulu lagi. Dan, aku dah bersiap-siaga sejak dari sekolah lagi untuk menolak kalau-kalau ada mana-mana stesen komunikasi panggil aku untuk temuramah.


Sekeping ni je yang aku ada. Itu pun masa aku sorang-sorang kat lobby.

Masa aku baru mula nak beramah-mesra dengan channel Youtube, pernah juga aku berangan. Walau pun aku fikir sangatlah mustahil benda ini terjadi — dijemput oleh stesen penyiaran untuk temubual.

Aku paling takut kalau kena bersoal-jawab di hadapan orang ramai. Aku cukup tak selesa bila banyak mata memandang aku. Aku tak tahu kenapa, tapi aku memang takut betul benda ini.

Bila bercerita aku lupa yang aku tengah gementar. Habis cerita,
gementar datang balik. Cis!

Takut, tak selesa, tiba-tiba rasa nak demam dan macam-macam lagilah! Tak best betul!

Tapi macam biasalah, benda yang kita takut inilah akan datang kepada kita satu hari nanti. Dan, ini benar-benar terjadi kat aku sendiri.

Satu hari pada pagi hari Rabu lepas, ketika sedang bekerja di pejabat, aku dihubungi oleh Penerbit Sinar FM melalui Instagram. Aku sempatlah baca ayat pembukanya sedikit. Perenggan pertamanya sahaja membuatkan heart rate aku melonjak ke zon-4.

Waktu iklan (off air), aku banyak bersembang dengan Jep dan
Rahim tentang basikal juga. Angah pula sibuk mengendalikan
urusan di konti.

Lepas baca perenggan pertama, aku terus tutup Instagram. Aku sudah mula tak boleh duduk diam dan tidak boleh fokus kerja. Dalam kepala aku perbagai soalan datang. Apa dia nak dari aku? Kenapa dia mesej aku? Kalau dia nak aku interview aku, macam mana? Kalau itu kalau ini begitu begini...ahhhh!

Stress betul!

Lima minit kemudian aku memberanikan diri untuk membuka mesej tersebut. Aku baca sampai habis. Ah sudah! Apa yang aku takut selama ini benar-benar terjadi. Akal aku terus ligat berfikir untuk mencari jawapan yang sesuai.

Aku bagitau kawan aku kat sebelah, dia paksa aku pergi.

Aku mengambil masa dua jam lebih jugalah untuk mencari jawapan yang sesuai untuk dibalas.

Aku sebolehnya mahu bersikap adil kepada semua orang. Kalau orang mesej, aku cuba untuk balas. Kalau ada apa-apa permintaan, aku cuba untuk tunaikan. Tapi, permintaan kali ini memang berat.

Takpelah, aku ringkaskan cerita. Aku akhirnya membalas mesej tersebut dan bersetuju untuk masuk radio. Ini kerana aku faham, apabila melibatkan kerja dan seseorang itu menghantar mesej melibat urusan pekerjaannya, sudah pasti ianya penting kepada dirinya.

Bagi memudahkan kerjanya, aku tak banyak tanyalah. Dalam keadaan gementar, aku terima sahaja. Selebihnya aku berserah kepada Pencipta.


Disebabkan gementarlah aku tak terfikir untuk bergambar dengan Jep, Angan dan Rahim. Dan juga sepatutnya aku bergambar juga dengan Penerbit Sinar FM sekali iatu Zureen. Tapi, masa aku kat sana aku tak fikir semua tu. Dalam kepala aku apa yang ada cuma, 'lepas ini soalan apa bakal ditanya, dan lepas ni diorang nak buat apa'.

Itu sahaja.

Sebenarnya, sejak dari semalam aku sudah merancang sesuatu untuk channel Youtube aku. Aku nak rekod video mereka bertiga sedang berkata, "Kepada penonton channel Pahlawan Basikal, teruskan menyokong channel ini dan subscribe sekarang, like dan share video-video Pahlawan Basikal!".


Chewahhhhh. Sudahnya sampai ke sudah aku terlupa benda ini. Ha-ha-haaaaaaaa!

Alah, paling koman pun dapat bergambar pun jadilah untuk kenang-kenangan. Tapi semua ini takde. Lagi 500 tahun akan datang, cerita Pahlawan Basikal bertemu Jep, Angah, Rahim dan Penerbitnya iaitu Zureen menjadi satu mitos.

Dialog penduduk dunia pada 500 tahun akan datang mungkin berbunyi begini, "Aku pernah terdengar kisah Pahlawan Basikal masuk radio Sinar FM lima enam ratus tahun dulu. Tapi bukti takde. Yang ada cerita dari mulut ke mulut je. Alah, lebih kurang macam cerita Hang Tuah je ni. Entah wujud entahkan tidak."


Kalau benar benda ini bakal terjadi. Buat letih aku gementar dan mengelabah sepanjang 6 hari lepas. Bukan senang aku nak melawan perasaan ini. Kecewa betul!

Walau apa pun, aku berterima kasih dan bersyukur. Dalam gementar, secara jujurnya aku mengakui yang pengalaman ini amat menarik untuk aku. Aku ada satu cerita yang bukan semua orang boleh merasainya. Bukan semua orang dapat peluang macam ini. Walau pun aku kayuh basikal pun sekadar hobi, tapi peluang ini datang kepada aku.

Inilah dinamakan rezeki. Rezeki tak salah tempat, masa dan juga orangnya. Dan, akulah orangnya!

Terima kasih Sinar FM (terutama penerbitnya iaitu Zureen) kerana membuka satu ruang untuk aku berani melawan satu perkara yang aku paling takut sejak sekolah lagi.

Kepada yang mendengar temubual tersebut, terima kasih juga kerana sudi meluangkan masa anda. Minta maaf juga di atas kelemahan-kelemahan yang ada pada diri aku.

PS: Jep, Angah dan juga Rahim memang professional sepanjang segmen Pagi di Sinar . Diorang bertiga memang lejen. Tabik hormat!

Jumaat, 10 Julai 2020

Aku Sedang Mengembalikan Tahap Kecerdasan Semula


Alhamdulillah. Setelah 3 bulan terperap di rumah, akhirnya kita boleh melakukan aktiviti normal seperti sebelumnya. Kalau waktu PKP kita tak boleh nak kayuh basikal kat luar, hari ini kita dibolehkan berbuat demikian — kayuh sepuas-puasnya hingga melepasi daerah mahu pun negeri-negeri.

Tapi perlu diingatkan kita masih di bawah takluk PKPP — jangan lalai atau terlalu selesa. Kita masih belum bebas ancaman COVID-19.

Pahlawan Basikal di rumah
Sepanjang PKP, aku cuma mampu vlogging dalam bilik je...


Tapi, itulah... bila kita kayuh basikal ramai-ramai ni susah nak kawal. Bertepuk tampar segala bagai. Maka, penjarakan sosial memang tak adalah. Nak bersosial tapi penjarakan sosial, eh ini memar sukar.

Aku sendiri pun pada awalnya cuba sedaya upaya menjauhkan diri dari orang di sekeliling aku. Sudahnya dalam tak sedar bahu aku ini sudah ditepuk-tepuk berkali-kali sepanjang aktiviti berbasikal dengan kenalan-kenalan lain.

Kita perlu jujur dengan diri kita sendiri dan mengakui yang penjarakan sosial memang sukar dilakukan apabila berada dalam kelompok ramai.

Berbasikal sewaktu PKPP
Seminggu tak kayuh dan mileage dalam sebulan pun ciput,
terus belasah 120km.


Seperti tersedia maklum, sejak PKPB hinggalah PKPP dapatlah aku kayuh basikal beberapa kali. Pada awalnya, seperti di dalam vlog-vlog aku sebelum ini menunjukkan aku kayuh secara berseorangan. Dan tidak lama selepas itu aku mula menyertai kelompok kecil bawah 10 orang berbasikal dalam Putrajaya. Sewaktu PKPP diumumkan pula, aku mula menyertai kumpulan basikal keluar dari Putrajaya.

Segalanya aku dokumentasikan dalam vlog-vlog aku. Kalau korang belum tonton, jemputlan tonton. Jangan kecilkan hati aku. Ha-ha!

Sejak kita dibenarkan kayuh di luar rumah, sebenarnya aku cuma dapat sesekali je kayuh. Bila dah dapat fitness sedikit, aku terpaksa berhenti sekejap dari aktiviti kayuhan disebabkan terdapat perkara yang lebih penting.

Kemudian, sambung balik latihan untuk dapat fitness semula. Tengah sedap kayuh, terpaksa berhenti semua dari latihan. Inilah aku hadapi dalam sebulan dua lalu.

Ini kerana arwah mak mertua aku menghidap kanser tahap 4. Sakitnya semakin kritikal hingga hati dan buah pinggangnya dimamah kanser. Disebabkan sewaktu kita dilarang keluar daerah, cuma isteri aku sahaja dibenarkan pulang ke kampung untung meluangkan masa menjaga emaknya. Aku di rumah pula menguruskan hal-hal anak-anak aku.

Kalau terjadi seperti ini, aku tidak sesekali akan keluar kayuh walau pun cuma dalam Putrajaya. Dikhuatiri sekira terjadinya ke atas aku perkara yang tidak diingini ketika berbasikal, ini akan menambah masalah. Kalau aku ditimpa kecelakaan jalan raya atau sebagainya, bagaimana keadaan anak aku yang masing-masing berumur 15 dan 10 tahun di rumah nanti?

Sepanjang 10 tahun berbasikal ini, macam-macam yang aku lihat dan alami. Sebagai contoh, aku pernah bercerita tentang kemalangan ketika berbasikal pada tahun 2013 kalau tak silap. Sedang seronok kayuh, tiba-tiba tanpa disangka terjadinya kemalangan melibatkan aku dan dua orang rakan lain.

Aku terselamat tanpa jatuh. Manakala dua orang rakan aku mengalami patah tulang di pergelangan tangan dan seorang lagi patah tulang selangka.

Dan waktu ini kami semua berada di daerah Negeri Sembilan.

Cerita ini boleh dibaca di sini: http://www.brekkejap.com/2013/05/kayuhan-extra-jahanam-edisi-mini-kcr.html.

Kemalangan Basikal di Negeri Sembilan
Kelam kabut jugak waktu ni. Aku pulak, cassette belakang tak dapat
berfungsi sepenuhnya disebabkan kemalangan.


Beginilah, kepada yang masih baru dalam dunia basikal, nasihat aku cuma satu: sentiasalah berfikiran rasional dan beringat-ingat selalu.

Kemalangan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Aku pun tak terkecuali. Apa yang boleh, kita berfikiran rasional mempertimbangkan bakal risiko dan mengurangkan risiko tersebut.

Baiklah, setakat ini sahaja cerita aku.

Eh, hairan juga aku pagi-pagi aku sudah mula menulis pasal basikal. Entah jin mana merasuk aku ha-ha!

PS: Sekarang ni aku kembali berusaha untuk mendapatkan kecerdasan seperti sebelum PKP. Kalau tak cergas, macam mana aku nak buat vlog. Bukan senang nak kayuh laju-laju sambil bercakap 😂

Jumaat, 22 Mei 2020

Novel Sulung Aku: Krisis Foxtrot - Kontra


Semenjak COVID-19 melanda negara kita, aku memang langsung tak berbasikal. Paling terkini aku berbasikal adalah pada minggu lepas. Itu pun setelah hampir seminggu PKPB diumumkan. Barulah aku berani nak kayuh basikal secara solo.

Tapi, pos kali ini aku bukanlah nak bercerita pasal COVID-19 atau basikal sangat. Aku cuma nak umumkan yang novel aku sudah pun dicetak. Sekiranya korang belum tahu, aku pernah menulis tentang ini di pos beberapa tahun lalu.


Cerita bertajuk KONTRA yang aku tulis pada 2016 sudah dicetak. Tapi cetakannya tak banyak dan hampir habis. Di kedai-kedai buku pula masih belum ada. Aku difahamkan selepas PKP ini tamat, barulah akan dicetak dalam kuantiti yang lebih besar untuk diletakkan di kedai-kedai buku.

Masalahnya, bila isu COVID-19 dan PKP ini tamat, kita semua pun tak tahu. Selagi vaksin belum jumpa, kita kekal dengan gaya kehidupan yang macam sekarang ni lah. Nak pergi kerja pun susah. Bukan itu je, nak kayuh basikal ramai-ramai macam dulu pun memang tak dapatlah.

Novel sulung aku bertajuk KRISIS FOXTROT: Kontra

Novel ini mengisahkan seorang pedagang saham bernama Farhan mendapat satu perisian komputer tanpa nama yang diterimanya melalui e-mail. Siapa penghantarnya kekal misteri. Setelah beberapa kali menerima e-mail yang sama, akhirnya dia memasang perisian tanpa nama tersebut ke dalam komputernya.

Sejak dari itu, hasil daripada kegunaan perisian tersebut, Farhan berjaya membuat keuntungan melalui saham sehingga RM200,000 dalam waktu yang singkat. Perisian itu mampu memberikan maklumat yang tepat kenaikan harga saham-saham di dalam pasaran saham tempatan.

Apa lagi, Farhan pun enjoy sakanlah tanpa mengetahui kesan-kesan buruknya.

Dalam waktu yang sama, perisian tersebut telah menyebabkan beberapa siri kematian secara mengejut kepada para pemiliknya sebelum ini. Farhan tahu tentang itu. Tapi dia belasah jugaklah (terdesak) sebab sebelum ini modalnya hampir habis akibat terkelepet dalam jual beli saham.

Farhan ada kawan baik namanya Sham. Memang baik sungguhlah. Dia punya level kawan baik macam gini — sanggup mati demi kawan. Diorang berdua bekerja dalam satu pejabat dan ada masalah sikap iaitu kerja sambil lewa dan selalu masuk kerja lewat.

Satu hari diorang berdua kena buang kerja. Dalam masa yang sama jugak diorang berdua berkenalan dengan adik-beradik bernama Rania dan Dayana. Rania ni aku bayangkan macam Juliana Evans. Karakternya seakan tomboy (tapi bukan tomboy), suka pakai topi besbol dan terrer menggodam komputer.

Dalam pada itu, seorang peguam bernama Zahar memiliki firma guaman yang diambang muflis. Dalam keadaan terdesak, dia menugaskan Rania untuk dapat perisian tersebut untuknya. Rania sekadar menerima upah daripada Zahar dan tidak tahu menahu tentang kemampuan perisian tersebut.

Sehinggalah...

Oklah cukuplah sedikit sinopsis untuk korang semua bayangkan novel aku berkenaan apa. Novel ini berkonsepkan Cyber-Thriller. Padat dengan nilai persahabatan, kekeluargaan, emosi dan suspens. Sekiranya berminat, korang boleh hubungi https://www.facebook.com/tebook.press untuk tempahan. Cuma tinggal 8 naskah sahaja. Kalau habis, kena tunggu PKP tamat.

Korang jangan cari kat kedai buku pulak. Memang tak akan jumpalah. Sebab ada yang pergi cari di kedai buku.

Okey, 

Manuskrip Asal novel Krisis Foxtrot: Kontra
Manuskrip Asal novel Krisis Foxtrot: Kontra

Aku mula menulis manuskrip ini sekitar bulan November atau Disember 2016. Siap sepenuhnya pada 26 Julai 2017. Lapan bulan jugaklah aku pulun menyiapkan manuskrip ke-dua aku ni. Oh ye, manuskrip pertama aku bertajuk 'Rempat' hampir diterbit dengan Lejen Press. Akan tetapi dibatalkan disaat-saat akhir kerana mempunyai masalah dalaman syarikat.

Hingga kini manuskrip tersebut masih terbiar macam tu je. Aku pun malas nak beriya sangat. Tiba masanya nanti, ada rezeki, adalah novel ke-dua aku kat kedai-kedai buku.

Manuskrip oleh Farizal Hassan
Petikan daripada manuskrip pertama aku yang bertajuk Rempat.

Manuskrip oleh Farizal Hassan
Salah satu babak dalam bab 14 manuskrip pertama aku.

Okeylah, kita nak menyambut Aidilfitri dua hari je lagi. Walau pun kali ini sambutannya berbeza, kita masih lagi dalam keadaan beraya. Cuma takdelah beria macam dulu-dulu boleh merayau ke mana-mana.

Di sini aku nak ambik kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin kat korang semua. Semoga raya kali ini kita tak akan lupa buat selama-lamanya.

Jaga diri baik-baik.

PS: Harap korang dapat beri sokongan kat novel aku seperti korang beri sokongan kat blog dan channel YouTube aku. Muah ciked!

Jumaat, 31 Januari 2020

UNTOLD STORY: Dari KKB ke Cameron Highlands


Aku ke Cameron Highlands pada hari Jumaat 24hb Januari 2020 minggu lepas. Hari ini hari Jumaat 31hb Januari dan seminggu sudah pun berlalu. Pantas betul masa berjalan.

Kepada yang masih belum menonton vlog aku ke Cameron Highlands, jemputlah tonton video di bawah ini:



Ini adalah pengalaman pertama aku bike packing. Walau pun tidaklah jauh macam kayuh ke bulan, tapi sudah cukup memberi aku sedikit pengalaman dan pengajaran sepanjang tempoh tersebut.

Untuk pengetahuan korang, ini adalah menu kayuhan Norman; dan diikuti pula oleh Jaja atau lebih dikenali sebagai Kak Pah (isteri kesayangan Norman), YB Aziaan, Zul, Zack dan juga Huda.

Berat keseluruhan: 8.6kg + 3.2kg = 11.8kg.

Sebelum ini Norman, Jaja dan YB Aziaan agak kerap jugak bike packing. Seperti pada tahun lepas sahaja mereka ini bersama-sama rakan lain kayuh basikal dari Kajang ke Danok dan mereka juga ke Krabi.

Cuma aku sahaja tidak mempunyai lesen besar cuti lama-lama untuk ikut serta kayuh bersama mereka sebelum ini. Tapi setakat tiga hari macam ke Cameron Highlands, apalah sangat; itu sebab aku boleh ikut.

Di awal perancangan, kayuhan bermula di Kajang dan kemudian bertukar ke TBS, Cheras. Setelah meneliti aspek keselamatan dan waktu yang tidak berapa sesuai (terpaksa menempuh kesesakan dalam Kuala Lumpur), maka tempat berkumpul bertukar di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.


Parkir
Sebelum itu, Mawi (Pegawai Bomba) iaitu salah seorang rakan kami telah pun memaklumkan Balai Bomba Kuala Kubu Bharu untuk kami meletakkan kenderaan selama 3 hari. Akan tetapi, disebabkan sedikit salah faham yang berlaku, kami tidak dapat meletakkan kenderaan di situ.

Oh ya, yang berkumpul di Kuala Kubu Bharu adalah Zul, Norman, Jaja dan juga aku. Lagi 3 orang iaitu Zack, YB Aziaan dan juga Huda parking di Damansara (kalau tak silap aku lah).

Dalam keadaan kelam kabut itu, Mawi cuba membantu dari jarak jauh dengan menghubungi Tuan Azman dari Akademi Latihan Bomba KKB. Lalu Tuan Azman menguruskan urusan parkir kami semua tanpa sebarang masalah.

Nasib baik jarak antara Balai Bomba KKB dan Akademi Latihan Bomba tersebut tidak jauh.

Terima kasih Tuan Azman!


Hari Pertama - Pengembaraan Bermula
Tepat jam 8:15 pagi, kami berempat mulakan kayuhan dari KKB menghala ke Simpang Pulai. Urusan homestay di Simpang Pulai sudah diuruskan oleh Norman. Sebelum naik ke Cameron Highlands, kami akan bermalam di Simpang Pulai.

Konsep kayuhan bike packing tidak serumit macam orang berlumba siapa sampai dulu. Kayuhan sekitar 27 - 30 km/j sahaja dan setiap 2 jam wajib berhenti makan. Kalau air habis, singgah je di stesen minyak terdekat untuk beli air.

Tapi, konsep kayuhan tersebut telah dinodai oleh 3 orang sahabat dari Damansara iaitu Zack, YB Aziaan dan Huda. Sebaik sahaja kami semua bergabung di Slim River (bayangkan diorang kejar kami dari Damansara hingga ke Sim River; Hah, berapa kelajuan diorang bertiga ni?!) daripada kelajuan sekitar 27-30 km/j terus mencanak kepada 35 - 40 km/j.

Kalau macam ni, memang cramp lah aku. Aku pun kelam kabut makan power gel yang aku beli petang semalam. Sebaik sahaja aku habis telan power gel, diorang terus belok ke kiri dan terus singgah makan di Restoran TomYam House.

Cis! Kalau aku tahu diorang berhenti makan, tak adalah aku telan power gel.

Baru habis makan di Restoran TomYam House, Slim River.

Oh ya, nasib baik isteri Zack iaitu Sheila ditugaskan memandu Ford Ranger sepanjang jalan. Kami semua dengan rakusnya tumpang letak beg sekali. Alhamdulillah, hilang beban sepanjang kayuhan.

Sepanjang perjalanan aku sibuk merakam video segala momen dengan menggunakan GoPro HERO7 Black aku. Ianya agak sukar kerana aku tidak menggunakan mikrofon. Aku tidak menggunakan mikrofon sebab apabila hujan, kamera aku boleh dimasuki air melalui port mikrofon. Jadinya, setiap kali mahu bercakap, aku terpaksa memegang kamera. Dan ini membataskan aku untuk bebas bermonolog sewaktu sedang mengayuh basikal.

Berhenti sebentar di Tapah untuk berehat.

Ketika sedang regroup di Gopeng, Perak.

Perjalanan dari KKB ke Simpang Pulai sejauh 140 km tidak ada masalah. Segalanya berjalan dengan lancar dan mengikut perancangan asal. Cuma bab purata kelajuan 31 km/j sahaja di luar jangkaan aku.

Kami bermalam sehari di homestay Teratak Qasih Simpang Pulai yang beralamat di 22, Pulai Jaya 2, Taman Bersatu, 31350 Kampung Kepayang, Perak.



Hari ke-2 - Cameron Highlands
Hari yang dinantikan sudah tiba. Aku terjaga dari tidur jam 4:30 pagi. Bukannya terjaga disebabkan semangat nak kayuh. Aku terjaga sebab bunyi cassette basikal. Aku tengok Norman tengah terkumat-kamit membaca mentera sambil menolak basikal ke hadapan dan ke belakang. Selang beberapa saat kemudian aku lihat beliau menghembus ke arah basikalnya.

Mungkin sedang membaca mentera siam yang dipelajarinya ketika berbasikal ke Krabi pada hujung tahun lalu.

Pada jam 6 pagi pula Abang Lan, Zameer, Mariana dan Hasya tiba dari Kuala Lumpur. Mereka berempat mahu turut serta kayuhan dari Simpang Pulai ke Cameron Highlands.

Setelah bersarapan di kedai mamak yang terdapat di dalam kawasan perumahan tersebut, kami seramai 11 orang terus menghala ke Cameron Highlands.

Sempat bergambar di Simpang Pulai sebelum bertolak ke Cameron Highlands.
Dari Kiri: Abang Lan, Zul, Mariana, Hasha, Jaja, Huda, Norman,
YB Aziaan, Zack dan Zameer.

Di awal 10 kilometer aku dah rasa macam nak pengsan. Kaki aku tak berapa nak steady pada pagi itu. Ini mungkin disebabkan kesan daripada kayuhan semalam. Aku sudah lama tak buat perangai kayuh hari-hari. Bila jadi macam ni, memang terasa sangat dia punya sengsara.

Nak tak nak memang kena hadaplah. Takkan nak patah balik ke homestay. Dah beberapa kali aku batal kayuh ke Cameron. Bila ada peluang, tak kan aku nak give up?

Ah, kayuh ajelah. Lagi pun ini bukan berlumba siapa sampai dulu. Aku boleh berhenti ikut sedap hati untuk rekod video suasana hutan sepanjang jalan. Takde sapa nak melarang.

Setiap kali nampak papan tanda, aku pasti tertanya-tanya dah sampai
Cameron Highlands atau belum.

Di awal kayuhan memang perlahan. Sambil kayuh aku rekod hutan-hutan kiri dan kanan. Ada juga seorang dua yang sedang kayuh basikal menegur aku. Suara diorang menegur aku kedengaran bergengung je. Bukan tangan je kebas, telinga aku pun dah naik kebas dek penangan bukit-bukit yang semakin galak meninggi.

Dahaga dia jangan cakaplah. Di kilometer ke-40, air cuma tingga 150 ml je. Nasib baik ada jugak kedai runcit orang asli. Tak fikir panjang. Aku letak basikal aku depan pintu kedai dan terus membeli setin Coke dan 1 botol besar air minum. Aku cari air mineral, tapi takde.

Nasib baik ada kedai.

Masa ni aku tak fikir langsung kedai ni kedai jelmaan orang bunian ke... kedai jin ke... Masa ni kepala otak aku dah kebas. Dalam kepala aku cuma nak sampai homestay di Brinchang yang sudah ditempah oleh Norman.

Aku rasa waktu ni kalau pergi hospital, aku rasa doktor terus hantar aku masuk wad kecemasan. Silap-silap terus dihantar ke wad gila.

Rupa-rupanya dalam 900 meter dari kedai runcit misteri (Kedai Air Terjun namanya), di Kafe Banjaran itu diorang semua tengah tunggu aku. Siap makan pau dan minum air Coke.

Kalau aku tahu kat depan sikit tu ada kafe yang jauh lagi maju dan ada pau, takdelah aku singgah berhenti untuk refill air kat kedai tadi.

Sementara makan dan minum di Kafe Banjaran kami semua menunggu Abang Lan, Zameer, Mariana, Hasha dan Huda masih di belakang. Tapi kami semua tak dapat tunggu lama sebab perlu meneruskan perjalanan yang masih berbaki 30 kilometer lagi. Kalau lewat sangat, entah pukul berapa sampai nanti.

Maka, perjalanan perlu diteruskan tanpa mereka berlima.

Dari Kafe Banjaran ke sempadan Perak - Pahang cuma 3.1 kilometer sahaja. Kitorang berhenti sekejap untuk ambil gambar sebelum menyambung kembali perjalanan.

Masa ni aku cuma terbayang-bayang bukit-bukit sepanjang
30 kilometer di hadapan.

Semakin kami menghampiri Brinchang, jalan semakin sesak dengan kenderaan-kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Maklumlah, cuti Tahun Baru Cina; memang suasananya begini setiap kali cuti umum.

Sudahlah terpaksa mengelak kereta, motor dan juga Bangla yang menghalang laluan, kami terpaksa menempuh bukit-bukit yang semakin mencanak tingginya. Permukaan jalan yang berpasir dan terdapatnya batu-batu kecil agak mengganggu kayuhan kami.

Jenuh jugak le mendaki sambil mengelak batu, lubang, pasir dan juga motor-motor yang entah datang dari mana. Sedikit sebanyak mengganggu momentum kayuhan kami semua.

Sudah sampai kemuncak kayuhan. Zul takde dalam gambar sebab
pergi beli aiskrim. Dalam masa yang sama sedang menunggu Abang Lan,
Zameer, Mariana, Hasha dan Huda.

Sepanjang 10 kilometer sebelum tiba di garisan penamat iaitu di Copthorne, permukaan bukitnya memang mencabar. Bukit-bukitnya memang tough. Kat sinilah kedua-dua peha aku kejang. Tapi, nasib baik sekejap je.

Akhirnya kami semua tiba dengan penuh gaya. Sekitar 10 minit kemudian Huda pula tiba. Huba maklumkan kepada kami Abang Lan, Zameer, Mariana dan Hasha dah berpatah balik ke Simpang Pulai untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Ketika ini Zack sudah sampai di Brinchang sudah lama dan kami jangka dia terus ke homestay. Kami berenam terus ke restoran yang terdapat di Brinchang untuk makan dahulu sebelum ke homestay.

Dah kami semua hidup bahagia selamanya di Cameron Highlands. Tamat.


...

Begitulah kisah kami semua ketika dari Simpang Pulai hinggalah ke Cameron Highlands. Untuk aku seorang newbie dalam bike touring seperti ini banyak memberi aku pengalaman baru. Bermula dari sini mungkin akan membawa aku ke episod bike touring yang seterusnya. Manalah tahu.

Semoga anda semua terhibur membaca kisah kali ini. Jika berkesempatan, aku akan menulis tentang persediaan aku untuk bike touring . Mungkin korang boleh jadikan panduan kot-kot nak menjelajah dengan basikal dalam negara ke.

Oklah, sampai di sini sahaja cerita untuk kali ini. Jika anda masih belum menonton vlog aku ke Cameron Highlands, jemputlah tonton.

PS: Sejak balik dari Cameron Highlands, aku masih belum kayuh lagi. Entah apalah nasib aku selepas ini...

Selasa, 7 Januari 2020

Susurmasa 2019: Tahun yang PALING MENCABAR!


Assalamualaikum, Salam 1Basikal dan Selamat Tahun Baru 2020. Dalam tak sedar, dah setahun aku bervlog di YouTube — berkongsi aktiviti-aktiviti berkaitan basikal bersama kawan-kawan mahu pun kayuhan solo dalam Putrajaya.

Sebelum ini aku tak terfikir atau merancang langsung untuk bervlog. Apatah lagi nak tunjuk kat orang video aku kat YouTube. Aku bukannya reti bercakap depan kamera. Lagi pun tak pernah aku buat kerja macam ni sepanjang aku hidup. Bercakap sambil menghalakan lensa kamera tepat ke muka sendiri, dan kemudian kena bercakap. Bila aku tengok muka sendiri yang sedang bercakap dalam video, dah serupa muka menteri kena tangkap polis disabitkan rasuah — kelat je muka aku. Ha-ha!

Lama kelamaan aku sudah biasa tengok muka sendiri dalam video. Cakap apa sahaja yang aku nak cakap dan kayuh basikal dengan hati yang gembira. Walau pun beratus kali pusing tempat yang sama. Disebabkan aku suka kayuh basikal, perasaan gembira itu tetap ada dalam jiwa. Mungkin itu sebabnya orang yang menonton vlog aku turut sama merasakan keseronokan sepanjang aku berbasikal.

Tahun 2019 yang lalu pada aku memang mencabar, dramatik, fantastik, sedih, gembira dan kelam-kabut nak buat macam-macam benda. Jadi, pos kali ini aku akan berkongsikan susurmasa sepanjang 2019 lalu.

Mari mengembara bersama aku!

Channel YouTube Pahlawan Basikal
Seperti yang korang tahu, aku berhenti daripada berbasikal sekitar 3 tahun lamanya. Akibatnya, aku kekurangan kawan untuk diajak kayuh bersama.

Tatkala ini, yang sudi meneman aku adalah Norman, Jaja, Sahlan, Mawi, Aar, Paon, Jeffery, Faizul, Komeng, Pae, Faizal, Faisal, Osama dan beberapa rakan-rakan lain sewaktu Putrajaya Night Ride sekitar tahun 2011 - 2015 dahulu.

Ini channel YouTube rasmi Pahlawan Basikal.

Di sinilah timbulnya idea mahu merakam aktiviti kayuhan dalam bentuk video. Jika korang lihat video-video lama, ramai di antara mereka ini menghiasi vlog-vlog aku.

Beberapa bulan kemudian, rakan-rakan aku ini beralih pula kepada berbasikal secara touring; dimana ianya di luar kemampuan aku. Berbasikal dari Kajang ke Danok, Krabi dan beberapa lokasi yang memerlukan kudrat dan masa yang banyak.

Ada di antara mereka ini aku kenali sejak 2010 lagi.

Di pagi Ahad sekitar Sepang.

Bila aku bersedia nanti, aku akan turut serta mereka touring. Pasti menarik!

Cardock
Aku memang suka menonton video-video di YouTube. Daripada video tentang monyet-monyet di Afrika hinggalah video-video tentang masak-masak di dapur. Tak kisahlah apa video sekali pun, aku memang suka tonton dengan hati dan minda yang terbuka.

Kebetulan waktu itu aku kerap menonton video-video di channel YouTube Cardock. Dan waktu itu Cardock ada menganjurkan kelas berkenaan YouTube di Kuala Lumpur pada 30hb Mac 2019. Tanpa berfikir panjang, aku terus daftar dengan yuran sebanyak RM50.

Di dalam kelas YouTube Cardock.

Di sinilah aku dapat mengenal ramai YouTube Creators seperti Cardock sendiri, Alif Marjans TV, Moonjay Goodman dan ramai lagi yang subscribers mereka terdiri daripada puluhan ribu; malah ratusan ribu subscribers. Dalam komuniti ini aku mengambil kesempatan untuk belajar daripada mereka ini dari segi isu teknikal dan praktikal berkenaan YouTube.

Emak Aku Meninggal Dunia
Dalam keseronokan berbasikal sambil bervlog, aku sekeluarga diuji dengan kehilangan orang yang tersayang. Pada pertengahan bulan Mac, emak aku jatuh sakit. Dan seminggu sebelum Syawal, emak aku menghembuskan nafas yang terakhir.

Ok, kita langkau babak ini. Sebab kisah ini tak seronok untuk dikongsikan.

---

Dalam keadaan yang tak menentu, aku cuba bertahan untuk terus kekal berkongsi video-video di channel YouTube aku. Aku berpegang dengan apa yang telah Cardock pesan dalam kelasnya iaitu Istiqomah.

Walau pun subscribers aku ratus-ratus je, aku kekal positif. Dalam kepala aku cuma ada satu — Istiqomah. Aku berterusan rakam sewaktu berbasikal, muat turun footages yang adakalanya mencecah puluhan hingga ratusan klip video yang belum disunting dari GoPro ke handphone, edit video dan seterusnya muat naik ke YouTube.

Inilah disiplin aku sepanjang tahun 2019.

EZR
Setelah agak lama aku berbasikal secara berseorang dalam Putrajaya, salah seorang subscriber channel Pahlawan Basikal meninggalkan komen dalam salah satu video aku. Komen ini membawa satu episod baru dalam vlog-vlog aku yang seterusnya. Namanya Shukri dan beliau memberi maklumat tentang EZR dan beberapa aktiviti-aktiviti kayuhan di sebelah malam sekitar Putrajaya.

Dari kiri: Shukri, Koc5 dan Ujang.

Sewaktu EZR malam hari Selasa.
Gambar hak milik Bang Mill.

Sejak dari itu aku turut sertai kayuhan anjuran EZR yang sebelum ini aku langsung tak tahu. Terima kasih Shukri!

Misi Mengejar Yasmin Hani
Ini memang aku tak boleh lupa. Betul-betul melonjak nama Pahlawan Basikal. Ini semua di luar rancangan aku yang pada mulanya aku anggap video ini adalah siri kegagalan aku. Rupa-rupanya sambutan vlog ini di luar jangkaan.

Pada bulan Kemerdekaan, EZR dan SpeedZone menganjurkan siri Kayuhan Kibar Jalur Gemilang pada 27 Ogos 2019. Pada poster tersebut terpampang gambar Yasmin Hani. Hah, siapa yang tak kenal dengan beliau? Inilah peluang aku untuk kayuh basikal bersama selebriti.

Sebaik sahaja tiba di lokasi perhimpunan, tiba-tiba aku malu nak rekod video dekat-dekat. Jadi, aku tengok Yasmin Hani dari jauh je. Ha-ha!

Dalam malu itu aku berusaha jugak untuk dapatkan footages Yasmin Hani sepanjang kayuhan. Kalau boleh aku nak kayuh sebelah dia sambil rekod. Tapi, aku gagal bertemu dengannya sepanjang kayuhan itu.

Sudahnya aku pulang ke rumah dengan hampa. Dan, aku bercadang untuk tidak memuatnaik ke YouTube. Ini kerana aku gagal untuk mendapatkan video bersama Yasmin Hani. Bukan sahaja gagal babak video sahaja. Malah sekeping gambar bersama beliau pun langsung tak ada. Kalau ada pun, cuma sekeping sahaja. Itu pun dalam keadaan menyelit nun jauh kat belakang. Cis! Memang kecewa.

Ini sahaja gambar kenangan yang aku ada. Aku reda...
Gambar hak milik Bang Mill.

Tapi, ramai yang dah tahu aku ambil video pada malam itu. Hendak atau tidak, terpaksalah aku kena muatnaik jugak ke YouTube.

Sudahnya, vlog ini mendapat sambutan ramai. Memang aku tak sangka. Hinggakan Yasmin Hani dan Sha'arin (Suami) menonton vlog tersebut dan mendapat respon yang baik.

Terima kasih Hani dan Sha'arin.

SPEEDZONE
Dalam aktiviti EZR, banyak kumpulan basikal yang sertainya. Salah satunya adalah kumpulan basikal SpeedZone. Setakat ini kumpulan basikal ini adalah antara yang paling aktif dengan pelbagai aktiviti berbasikal sepanjang minggu di Putrajaya.

Selepas siri vlog Misi Mengejar Yasmin Hani tersebut, aku diberi peluang untuk sertai mereka sewaktu kayuh basikal bersama Yasmin Hani, Sha'arin, Sazzy Falak, Nash, Prem dan juga ahli SpeedZone yang lain di dalam Putrajaya.

Yasmin Hani, Sha'arin, Sazzy Falak, Nash, Prem dan SpeedZone.
Gambar hak milik Pett.

Memang marveles!

Selepas itu, SpeedZone menjemput aku lagi untuk sertai bersama mereka iaitu SPEEDZONE ANNUAL RIDE 2019 pada 2 - 3 November selama 2 hari. Pembikinan video kali ini memang mencabar. Aku memberikan 100% tumpuan sepanjang acara dan pulang ke rumah terus membuat suntingan.

Aku kena pastikan vlog kali ini adalah yang terbaik pernah aku buat. Jadi aku memerlukan masa selama 2 hari untuk menyiapkan video yang panjangnya 16 minit. Lagi pun ramai yang menunggu video kali ini — terutamanya mereka yang sertai acara tersebut. Mestilah mereka mahukan satu video untuk merakam sebagai kenangan. Jadi, aku harus buat sehabis baik dan curahkan segala idea yang belum pernah aku buat.

SpeedZone Annual Ride 2019.
Gambar hak milik Bang Mill.

Secara peribadi, video ini aku sangat berpuas hati. Dan ianya aku anggap adalah vlog yang terbaik sepanjang tahun 2019 pernah aku hasilkan.

Kepada Kak Ros, Awang, Sahidi dan anggota SpeedZone yang lain, TERIMA KASIH! Terima kasih kerana memberi ruang untuk aku berkarya.





Inilah perjalanan aku selama setahun yang lalu. Penuh emosi dan bersungguh-sungguh aku cuba yang terbaik. Seperti kita kayuh basikal atau pun berlari; Ada masanya kita terpaksa tempuh bukit-bukit yang mencanak dan kayuhan kaki amat perlahan. Akan tetapi, kita langsung tak fikir untuk berundur, malah kayuhan kita makin dilajukan. Paling teruk pun, kita berhenti sekejap sebelum menyambung kembali perjalanan yang tertangguh.

Kepada anda semua, terima kasih kerana menjadi sebahagian dalam perjalanan hidup aku sepanjang 2019 lalu.

Semoga tahun 2020 ini kita terus maju ke hadapan. Amin

PS: Apa azam baru 2020 korang? Cer komen kat bawah ni, kongsikan dengan aku.

Isnin, 16 Disember 2019

Kenapa Aku Tak Masuk Powerman 2020?


Sekarang ni ramai yang kaki lari dan berbasikal sibuk dengan agenda yang boleh dikatakan penting jugaklah — POWERMAN MALAYSIA 2020 pada 14 - 15 Mac 2020 pada tahun hadapan. Dan, aku pulak mencari pasal dalam ruangan Youtube Community Pahlawan Basikal dengan bertanyakan satu soalan pelik yang mudah ini:

Salah timing, salah waktu. Hasilnya betul-betul cari pasal...

487 nyawa yang datang mengundi pulak tu. Cis!

Setelah difikirkan semasak-masaknya, aku umumkan bahawasanya aku tak masuk acara 60km lari, 60km berbasikal, dan sekali lagi kena berlari 60km.

Seperti yang pernah aku cerita dalam blog ini, sudah dua kali aku turut sama memeriahkan acara pelik ini iaitu pada tahun 2012 dan juga 2013:

Powerman 2012: http://www.brekkejap.com/2012/11/saya-sudah-powerman-anda-bila-lagi.html

Powerman 2013: http://www.brekkejap.com/2013/10/powerman-2013-kerja-gila-buat-kali-ke-2.html

Waktu itu umur aku dipertengahan 30an. Banyak tenaga lagi dan akal pendek — pantang dicabar, maka terloncat-loncatlah aku menyahut cabaran. Ha-ha-ha!

Medal Powerman 2013.

Tapi bila umur melepasi 40an, aku mula berhati-hati membuat sebarang keputusan yang boleh memudaratkan kesihatan dan mengambil berat akan hubungan kekeluargaan.

Lagi pun, dah tak ada apa yang nak aku buktikan apa yang aku boleh dan apa yang aku tak boleh. Apa yang aku boleh dan apa yang tak boleh, segala-galanya sudah aku ceritakan dalam blog aku ini.

Kembali kepada soalan aku, Kenapa Aku Tak Masuk Powerman 2020? Baiklah, aku berikan sebab-sebabnya:

Yuran Penyertaan yang Mahal
Pada tahun 2012, aku cuma bayar RM170 sahaja. Apabila aku lihat yuran penyertaan pada tahun 2020 pula aku rasa macam nak bersila atas meja. Super Early Bird adalah RM319 dan Early Bird pula RM349.

Early Bird Powerman 2012.
Early Bird Powerman 2013.

Aku tak bersetuju sungguh dengan kenaikan sebanyak 100% ini. Lagi pun handle bar carbon idaman aku masih lagi belum berjaya dimiliki. Dalam keadaan aku ketika ini, berjimat cermat harus didahulukan.

Itu belum masuk lagi kos makanan, supplement sepanjang latihan, dan kos-kos tersembunyi yang lain seperti basikal yang harus diselenggara, pakaian, powerbar, powergel dan lain-lain.

Masa
Ini pun kritikal juga. Bila kita dah ambil keputusan untuk menyertai acara yang kosnya mahal, kita tak bolehlah buat sambil lewa. Latihan harus diutamakan. Takkan dah bayar mahal-mahal, permainan kejam tersebut tidak ditutup dengan penuh bermaruah?

Walau apa pun, latihan adalah wajib dan memerlukan banyak masa kita. Latihan bukan sekadar berlari dan juga berbasikal. Gym perlu juga untuk mendapatkan hasil yang pantas dan berkesan. Macam aku dulu, aku perlu bangun jam 5 pagi untuk lakukan core strenght seperti High Intensity Interval Training (HIIT) dan juga latihan beban sebelum ke tempat kerja yang jauhnya 100 km.

Pada aku, strength/core training adalah paling penting. Bila ada strength, latihan-latihan lain akan menjadi mudah.

Nanti korang bandingkan goodies Powerman tahun 2012 ini dengan
Powerman Malaysia 2020.

Ini pulak goodies Powerman tahun 2013.

Cerita yang tak pernah habis
Bila kita dah masuk acara berbasikal atau apa-apa marathon, dah tentu kita nak menaiktaraf pencapaian seterusnya. Dalam bidang kecergasan kardio ni ceritanya tak akan habis. Marathon, Duathlon, Triathlon, Ultramarathon, Powerman, Ironman... Ish, akan pakai masa yang banyak kalau aku nak cerita satu persatu.

Percayalah, lepas habis Powerman, soalan yang biasa orang tanya, "Bila nak Ironman pulak?"

Lepas dah buat Ironman, soalan seterusnya orang akan tanya, "Bila nak kahwin?"

Cis!

Nasib baik aku dah kahwin.

Walau bagaimanapun...
Kalau mereka yang tak pernah masuk dan tak ada apa benda nak buat kat rumah tu, bagi aku memang patut masuk acara Powerman 2020. Acara ini sangat sesuai kepada mereka yang tak reti berenang macam aku.

Setiap orang pengalamannya berbeza. Pengalaman inilah yang kita nak merasa dan nak kita cerita kat anak-anak kita nanti.

Macam aku dah standby jawapan kalau anak-anak aku tanya nanti...

Waktu ni Danial darjah 2 dan Iva masih berumur 3 tahun.
---------

Anak-anak aku: Apa kejayaan ayah sepanjang ke hulu ke hilir kayuh basikal selama ni?

Aku: Ah, ayah dah buat Powerman dua kali tau! Bukan separuh, tapi full 11.4km lari, 64km basikal dan last sekali kena lari lagi 11.4km.

Anak-anak aku: Ironman dah?

Aku: Cis!

---------

PS: Kan aku dah cakap, cerita ni tak akan habis punya lah!

Jumaat, 15 November 2019

Aku Kembali Menulis... Azam Baru 2020!


Sejak ada channel sendiri kat Youtube (klik sini), blog ajaib serbaneka ini seolah-olah dilupakan begitu sahaja. Kalau blog ini bernyawa macam kita, sudah tentu siang malam beliau maki aku seadanya.

Aku minta maaf sebab sudah jarang sekali kemaskini blog ini. Bukannya apa, nak dapatkan momentum untuk berblog semula agak payah.

Bayangkan bila masa terluang, aku akan kayuh basikal. Dalam masa yang sama juga aku akan merekod sepanjang aktiviti. Selepas itu aku akan meluangkan masa berjam-jam untuk mengedit video dengan menggunakan telefon aku. Selepas siap mengedit video pula, aku akan memuat naik ke akaun YouTube untuk ditonton oleh para subscribers Pahlawan Basikal.

Bukan setakat upload sahaja. Sudah pasti aku kena memikirkan tajuk-tajuk yang menarik, mengarang di bahagian discription serta beberapa ruangan wajib untuk diisi dalam akaun tersebut. Semua ini mengambil masa yang agak lama untuk aku sediakan; sebelum ianya besedia untuk ditonton oleh orang ramai.

Aku bukan merungut. Aku cuma bagitau korang je.

Dalam beberapa bulan ini banyak juga aktiviti yang aku sertai. Cuma tak menyempat nak bercerita kat sini. Sebagai contoh; kalau korang tengok vlog-vlog dalam YouTube aku yang lepas, ada sahaja aktiviti-aktiviti pelik yang aku sertai.

Sebagai contoh, kayuh basikal bersama artis seperti Yasmin Hani, Sazzy Falak, Ezlynn dan public figure lain seperti Sha'arin, Nash, Prem dan juga Alexandra Daddario.


Aku ada sekeping ni je bergambar dengan Yasmin Hani dan Sha'arin. Ini pun
aku cilok dari Instagram Yasmin Hani (pautan ke akaunnya)
Aku segan nak ajak selfie dengan diorang berdua sebenarnya. Ha-Ha!

Aku berterima kasih kepada satu kumpulan basikal ini yang bertempat di Putrajaya iaitu SpeedZone kerana memberi peluang untuk aku turut sama kayuh basikal pada malam tersebut.



Dalam masa yang sama juga aku turut sertai aktiviti kayuhan di sebelah malamnya seperti EZR di Putrajaya. Hujung minggu pula aku akan ikut pelbagai kumpulan basikal sekitar Putrajaya kayuh ke merata-rata daerah.

Setiap aktiviti-aktiviti tersebut memang aku akan rekod dan mempersembahkan di dalam channel YouTube aku. Boleh aku katakan 99% aku rekod sewaktu kayuh untuk dijadikan vlog. Lagi 1% tu aku tak rekod.

Selepas itu pada 14 September aku sertai company trip di tempat kerja aku ke Krabi. Ini adalah percubaan pertama aku untuk Travel Vlog. Vlog-vlog kembara tersebut boleh dicapai di sini:


Gaya kena ada. Bateri ada ke takde ke, itu cerita lain.

Kalau aku nak cerita aktivit-aktiviti sepanjang tiga empat bulan dalam satu pos memang mustahil sangat. Aku rasa cukuplah sekadar dua vlog tersebut aku sebut. Mungkin selebihnya korang boleh tonton terus melalui channel aku.

Oh ya, aku nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada anda yang menyokong karya-karya aku samada blog mahu pun vlog. Setakat ini subscribers YouTube Pahlawan Basikal sudah pun mencecah 3,253 orang. Terharu juga aku sebenarnya. Tak sangka ada yang sanggup luangkan masa menonton vlog-vlog aku.

Aku masih ingat lagi buat pertama kalinya aku upload video pertama aku kat YouTube. Tertanya-tanya juga aku entah siapalah nak tonton vlog aku gamaknya. Kelam kabut je video aku ni aku tengok ha-ha-ha!

Aku akui yang aku bekerja keras untuk membangunkan channel yang satu ini. Ianya bukanlah satu kerja mudah. Buat video bukanlah bidang kerja aku. Ianya amat baru pada aku. Bayangkan, aku edit video pun pakai telefon. Aku mana tau edit video pakai komputer.

Jadi, aku bermula dari bawah. Daripada tak ada kamera, sampailah aku gigih beli kamera pertama aku iaitu Gopro HERO7 Black. Berbekalkan modal itulah aku bersungguh-sungguh rekod setiap aktiviti berbasikal aku.

Aku beli peralatan sikit-sikit. Mana cukup duit nak terus beli sekali harung.

Adapter ni cekik darah! Nak tak nak kena beli juga.
Kalau takde benda ni, mikrofon tak boleh pakai.

Sekarang ni aku pakai mikrofon jenis ini. Beli kat Lazada RM43.

Bukannya kerja mudah. Aku tidak ada rujukan bagaimana vlogging set up sewaktu berbasikal. Kalau ada di internet pun, langsung tak sesuai untuk basikal yang agak kompetatif dan adakalanya agrasif.

(Untuk pengetahuan korang semua, rujukan utama aku ada motovlog tempatan. Mereka ini sangat bagus dalam bidang masing-masing. Walau bagaimana pun vlogging setup mereka jauh beza dengan basikal.)

Perlahan-lahan aku mencari penyelesaian dari segi masalah visual dan audio. Hinggalah ke saat ini aku masih belajar dan mencari jalan untuk menaik taraf kualiti vlog pada masa akan datang agar lebih sedap untuk ditonton.

Baiklah, setakat ini dahulu cerita aku kali ini. Insya-Allah bersambung dalam episod lain nanti.

PS: Taip - Delete - Taip - Delete... Nampak sangat skil menulis aku dah ke laut. Cis!

PPS: Pos akan datang dalam blog ini nanti aku akan bercerita tentang mesej-mesej tersembunyi dalam sesetengah video-video aku. Aku akan exposed mesej-mesej tersebut secara umum.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...