Mukasurat

Isnin, 29 April 2019

Kemalangan Maut sewaktu ke Bagan Lalang. Akibatnya, 3 Tiub Bocor!


Kita sudah di penghujung bulan April. Beberapa hari lagi kita akan menyambut Ramadan. Memang cepat sungguh masa berlalu.

Sebelum datangnya Ramadan, aku akan cuba mendapatkan cerita-cerita menarik untuk dimuatkan ke dalam channel YouTube aku. Jadi aku akan sertai apa jua kayuhan, janji ada footages yang menarik untuk dikongsikan dengan anda semua.

Oleh sebab itu aku pun dengan eksyennya turut serta kayuhan ke Bagan Lalang semalam. Itulah... Walau pun aku kerap bonk, perasaan eksyen ni sukar untuk dibuang jauh-jauh.

Aku bersembang polis trafik sekejap. Tiba-tiba ada seorang
Pahlawan Basikal menegur aku kat situ.

Seperti biasa kami akan berkumpul di Presint Diplomatik. Cuma sejak akhir-akhir ini lokasi di dalam Presint Diplomatik kerap berubah-ubah. Sewaktu aku berbual dengan polis trafik yang sedang bertugas di persimpangan lampu isyarat, aku disapa oleh YB Azian.

"Farizal!" tempik seseorang dari dalam kereta di simpang lampu isyarat di situ.

Aku agak terkejut sebenarnya. Tidak sangka ada yang berani tegur aku sewaktu berbual dengan polis trafik.

"Ah, YB... dah lambat ni," kata aku spontan. Polis trafik tadi sekadar memerhati perbualan kami berdua.

"Jumpa kat Lan Kedah. Semua dah ada kat sana!" YB sempat berpesan kepada aku sebelum memecut laju.

YB Azian memecut keretanya bersungguh-sungguh waktu itu.

"Berani sungguh dia pecut laju-laju depan aku. Kau tahu apa nombor plat..."

Belum sempat polis trafik menghabiskan ayatnya, aku tukar gear langsung memejut laju. Tak sanggup menganiaya rakan sendiri dengan membongkarkan nombor plat kereta rakan seperjuangan kepada polis trafik tersebut.

Nasib baik basikal aku takde nombor plat. Kalau tidak...

Sedang berkumpul di hadapan Restoran Lan Kedah di Presint Diplomatik.

Kali ini semua yang sertai adalah seramai 14 orang. Dan aku sentiasa beradai di belakang dan juga di tengah-tengah peloton. Terteleng-teleng kepala aku mencari posisi menarik untuk dirakamkan dalam bentuk video.

Aku tidak sesekali duduk di hadapan peloton kerana ada dua sebab:
  1. Bonk / Cramp
  2. Footage video tak berapa menarik
Sebaik sahaja melepasi Bandar Enstek, terdapat kemalangan ngeri telah berlaku. Kami jangkakan kejadian tersebut baru terjadi di sekitar 10 atau 15 minit lepas. Sewaktu kami menempuh di kawasan kejadian, terdapat kaca-kaca bertaburan di sepanjang jalan. Aku dengan berhati-hatinya melalui jalan tersebut sambil tangan merakam suasana di tempat kejadian.

Kemalangan maut di Sepang.

Keadaan mangsa amat teruk dan kesemuanya sudah dibawa keluar dari kenderaan yang di bahagian pemandunya remuk. Kereta tersebut berada di sebelah kanan aku.

Di sebelah kiri pula terdapat sebuah bas sudah terbabas di bahu jalan sebelah kiri. Ramai penumpang bas berada di tepi jalan. Difahamkan oleh orang yang berada di situ, bas mengelak kereta tersebut memotong — bas tidak dapat mengelak sepenuhnya lalu menghentam terus kereta tersebut.

Bas terbabas di bahu jalan.

Kami sewaktu itu ramai yang tayarnya pancit — tiga orang kesemuanya. Setelah menukar tiub, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Putrajaya semula. Waktu ini meter aku sudah menunjukkan 53 kilometer.

Keputusan untuk batalkan ke Bagan Lalang, Sepang dibuat atas sebab keselamatan dan merendahkan risiko-risiko tiub pancit. Lalu kami semua berpatah balik ke arah laluan yang sama tadi dah singgah di restoran berhampiran untuk bersarapan.

Bocor on the spot kena kaca.

3 orang di antara kami tiubnya bocor disebabkan kaca-kaca bertaburan
di atas jalan raya sebentar tadi.

Setelah itu, kami semua menyambung perjalanan menuju ke Kampung Limau Manis. Ketika ini aku sudah cukup bersedia untuk mengharungi bukit-bukit tersebut. Malangnya... ketika di Bangi ada pula yang gatal kaki menekan pedal melajukan kayuhan yang tak masuk akal.

Akibatnya, aku kehabisan peluh untuk dibazirkan; lalu tersadai keseorang di belakang sekali. Nasib baiklah sudah masuk di kawasan yang aku sudah biasa. Taklah panik sangat tertinggal di kawasan yang asing.

Sebelum masing-masing membawa haluan sendiri...

Dengan sepantas kilat aku membatalkan hasrat untuk mendaki bukit Kampung Limau Manis. Lagi pun kelibat kawan-kawan aku pun sudah lama menghilang.

Perlahan-lahan aku mendaki bukit-bukit di situ dan menempuh bukit sepanjang melalui Kampung Sungai Merab.

Akhirnya tiba juga aku di Putrajaya dalam keadaan selamat. Waktu itu memang aku dah senget 90 darjah. Memang tak larat dah.

------------------------------------
Fakta Kayuhan
------------------------------------

Durasi: 3 jam 28 minit
Kalori: 3473 kcal

Jarak: 90.96 km
Purata kelajuan: 26.2 km/h
HR Max: 187 bpm
------------------------------------

Jemput tengok vlog sepanjang kayuhan kali ini:


Begitulah cerita kayuhan kali ini. Kayuhan yang plot di akhir cerita berubah tanpa dirancang.

Akhir kata, sewaktu kita bersuka-suka, ada yang lain sedang berduka...

PS: Ramadan makin hampir. Aku rasa memang berkuranganlah aktiviti basikal. Pening jugak kepala ni... nak buat topik apa untuk video-video dalam channel YouTube aku.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 9 April 2019

Kejadian-kejadian Pelik Pada Dua Minggu Lepas


Minggu lepas sebenarnya banyak kejadian aneh terjadi. Cuma aku tak sempat nak kemaskini blog aku ini. Aku sebenarnya terlalu fokus bervlog dan bekerja keras untuk memajukan isi kandungan channel YouTube aku.

Sekiranya anda masih belum subscribe channel Youtube aku, sila klik di bawah ini sambil menonton video-videonya:


Hari ini aku mengambil kesempatan di pagi-pagi buta ini untuk bercerita dengan korang melalui blog ini.

Kejadian Pelik Pertama
Pada 23 Mac 2019 bulan lepas, kayuhan pagi Ahad itu aku disajikan oleh seorang rakan lama dengan basikal barunya. Lebih menarik lagi beliau sudah berhenti kayuh hampir 4 tahun dan mengambil keputusan berani untuk kembali berjuang dengan basikal barunya.

Seperti aku juga sebelum ini, kayuhan pertama setelah bercuti panjang amat memeritkan. Sama peritnya putus cinta dengan Selena Gomez. Satu badan seolah-olah sengaja berpakat mahu pedajal aku. Seluruh deria rasa bergabung menjadi satu iaitu hanya deria kesakitan sahaja berfungsi.

Selena Gomez.

Itulah terjadi kepada Pae yang berhempas pulas sehingga kejang satu badan. Walau bagaimana pun, seminggu selepas itu aku kembali berjumpa beliau; dengan gembiranya beliau berkata kepada aku, "Hari ni aku tak cramp dah...aku dah training secukup rasa sepanjang minggu!".

Jemput tengok video di bawah ini dalam pandangan visual yang lebih jelas:




Kejadian Pelik Ke-2
Pada semalam harinya aku pulang dari kampung dan sememangnya tidak bercadang mahu kayuh basikal. Jadi itu sebabnya aku langsung tidak memeriksa keadaan kamera Gopro aku.

Entah macam mana, jin dari suku jenis apa aku pun tidak pasti sudah berbisik ke telinga, "Kau lepas sembahyang Subuh terus terlentang atas katil balik buat apa? Pergilah kayuh!".

Aku dalam keadaan separa sedar menurut perintah jin tersebut. Sedar-sedar aku sudah pun bersiap sedia hendak kayuh pada pagi itu. Sedang menolak basikal keluar daripada lif pangsapuri, aku terima mesej melalui WhatsApp:

5 tahun menghilang, tiba-tiba pagi-pagi buta dapat mesej.
Memang satu kejutan. Lagipun first time dengar perkataan 'Beknallem'.

Rashdan atau panggilan manjanya DD menghantar mesej ajak kayuh. Macam tak percaya jugak sebenarnya. Dia ni dah berhenti kayuh 5 tahun kalau tak silap aku. Tapi, seronok juga bila DD ajak kayuh. Bukan apa, sudah tentu kayuhan pagi ini santai-santai sahaja. Cuma yang tak seronoknya, Gopro aku kehabisan bateri dan tidak bersama aku ketika ini.

Berbekalkan kamera telefon pintar aku ini, aku pun mendokumentasikan sepanjang kayuhan pada hari itu:



Kejadian Pelik Ke-3
Kali terakhir aku kayuh basikal pada waktu malam secara berkumpulan yang besar adalah pada 2014. Pada hari Selasa, 2 April 2019 aku berkesempatan untuk turut serta kayuhan EZR. Waktu bersiap-siap hendak ke tapak perhimpunan kumpulan basikal ini berkumpul, aku rasa macam nak cancel je. Maklumlah balik dari kerja.

Tapi aku gigihkan juga badan aku ini agak tidak ada satu syaitan pun berjaya menggoda aku pada malam itu. Akhirnya berjaya juga aku melangkah keluar dari rumah dan seterusnya menuju ke Palace of Justice (POJ) yang terletak di Presint 2, Putrajaya.

Sepanjang kayuhan aku sibuk mendokumentasi ke dalam kamera aku. Sudahnya lagi 7 kilometer kayuhan tamat, aku bonk.

Setakat ini, kayuhan berpuratakan 30 km/j adalah kayuhan paling laju sejak tahun 2014 pernah aku buat.


Itulah turutan cerita sepanjang dua minggu ini. Semoga anda terhibur dengan kisah tauladan kali ini. Malam ini aku cuba sertai kayuhan EZR sekali lagi. Kalau bonk jugak, aku upgrade groupset aku ke Dura-Ace paling terkini — mungkin sebab groupset yang aku pakai sekarang ni puncanya aku bonk.

PS: Sejak aku beli basikal 5 bulan lepas, basikal aku belum pernah diservis lagi. Aku malas nak ke kedai basikal bukan apa...pasal takut terupgrade komponen-komponen basikal yang harganya tak masuk akal!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 2 April 2019

Kenapa aku BLOG dan VLOG?


Aku pernah bercerita tentang kenapa aku kayuh basikal pada beberapa bulan lalu. Hari ini aku menulis pula tentang kenapa aku menulis blog dan vlog (video log).

Walaupun aku ada merakam topik ini dalam bentuk video dan dimuatnaik ke dalam channel Youtube Pahlawan Basikal, tetapi aku rasakan ada baiknya aku olahkan semula ke dalam bentuk tulisan. Jadi, audiens mempunyai pilihan samada mahu menonton video atau mahu membaca sahaja. Boleh pilih mana satu yang sesuai dengan kehendak semasa.

Sekiranya mahu menonton, sila mainkan video aku di bawah ini:


Kepada yang mahu membaca, boleh teruskan dengan cerita di bawah ini.

Baiklah, mengapa aku sibuk-sibuk menulis dan merakam segala aktiviti berkaitan basikal? Seperti dalam video yang aku muatnaik tempoh hari, aku buat dua perkara ini kerana:

Minat
Aku minat dengan penulisan. Dalam masa yang sama juga video pun aku minat juga. Ini mungkin kerana aku bekerja dalam bidang kreatif, maka dua benda ini saling berkait rapat antara satu sama lain.

Jadi aku boleh meluangkan banyak masa dengan menulis dan juga mengedit video. Aku menikmati setiap proses tersebut hingga memakan masa berjam-jam lamanya. Aku benar-benar seronok dengan apa yang aku buat.

Disebabkan seronok itulah aku tidak perasan sudah hampir 3 jam aku menghadap telefon pintar aku ini. Edit dengan menggunakan telefon memang susah. Tidak sama seperti menggunakan komputer. Dengan skrin yang terhad dan juga kemampuan aplikasi yang sedang aku guna cukup menguji tahap kesabaran aku.

Tidak Ramai Sanggup Buat
Aku faham kenapa tidak ramai yang kayuh basikal sanggup buat apa yang aku buat sekarang ini. Iyalah, sibuk nak rakam video atau gambar ketika sedang kayuh bukan kerja yang mudah. Silap langkah, sedang sibuk merakam video; boleh berguling atas jalan raya sebab terlanggar tunggul kayu.

Itu risiko yang aku sentiasa waspada.

Sambil kayuh, aku boleh tanya kenalan aku apa-apa perkongsian yang boleh
sama-sama kita manfaatkan.

Satu hal yang paling ketara adalah mereka yang otai dalam bidang sukan basikal ini tidak ada waktu untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada kita. Kalau ada pun ianya secara tidak formal dan sukar untuk kita capai. Mungkin mereka ini berkongsi dengan rakan-rakan sewaktu lepak di kedai mamak. Atau mungkin juga berkongsi tips di wall Facebook peribadi masing-masing. Semua ini hanya boleh diakses di kalangan mereka yang terdekat sahaja.

Apa jua petua yang dikongsikan ketika ini, orang lain tak akan tahu. Di sinilah
peranan aku bermula - agar tip-tip yang dikongsikan terlepas ke luar.

Bagaimana dengan mereka yang lain-lain? ...yang masih baru dalam sukan ini dan kayuh basikal pun sorang-sorang pula macam mana? Mereka ini pun memerlukan nasihat atau petua-petua ajaib daripada mereka yang berpengalaman.

Atau mungkin juga punyai minat tetapi tidak ada wang lebihan untuk membeli sebuah basikal. Ini pun satu hal juga. Bukan mudah hendak kumpul duit semata-mata untuk dapatkan sebuah basikal.

Dengan adanya video-video aku ini mungkin juga sedikit sebanyak dapat juga feel macam mana keadaannya kayuh basikal pagi, petang, siang, malam, hujan, panas, dan macam-macam situasi alam semulajadi.

Lebih dramatik lagi, lepas tengok video aku, esok lusa terus beli basikal dan ikut sama kayuh. Ha-ha!

Aku bukan sengaja nak racun korang membuta tuli. Sesungguhnya kayuh basikal ni memang seronok. Tak percaya? Cuba beli basikal lumba sebijik. Ha-ha!

Tapi lepas beli basikal kenalah kayuh. Jangan lepas beli, simpan dalam bilik. Kalau macam tu memanglah tak seronok. Duit habis, basikal pula berhabuk. Hah, yang ini memang tak best!

Kalau aku tak rakam video, korang tak akan dapat melihat suasana
di sekeliling aku. Betapa uniknya manusia sekeling ketika ini. Kalau korang
faham le. Ha-ha!

Aku rasa setakat ini sahaja cerita aku. Semoga bermanfaat perkongsian aku kali ini.

PS: Sebenarnya cerita aku kali aku aku sudah tulis lama. Entah kenapa macam susah pulak aku nak habiskan penulisan aku kali ini.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Isnin, 18 Mac 2019

Hanya Boleh Merancang Sahaja...


Aku baru sahaja pulih daripada demam, sakit tekak, selsema dan batuk. Punyalah aku menjaga kesihatan agar rancangan untuk turut serta acara Reunion NOGLB @ PNR pada minggu lalu berjalan lancar. Tapi itulah... kita hanya boleh merancang sahaja. Cuma ianya belum tentu menjadi...

Walaupun aku agak kurang kayuhan sepanjang beberapa minggu ini. Tetapi setiap Jumaat malam aku tidak akan lepaskan peluang untuk kayuh basikal dalam Putrajaya. Dapat 40 kilometer pun jadilah daripada tidak ada apa-apa langsung.


Aku bersama dua orang rakan lain kayuh sekitar 55 kilometer memasuki Cyberjaya sebelum pulang ke Putrajaya. Waktu itu sudah ada signal bahawa perancangan aku tidak berjalan dengan lancar. Ini kerana kamera Gorpo aku tidak boleh dihidupkan pada ketika itu. Maka sepanjang kayuhan tiada vlog secara total.

Setelah pulang ke rumah, aku dapati sebenarnya kamera aku kehabisan bateri. Aku cukup yakin dua hari lepas aku sudah pun mengecas sehingga penuh. Hingga ke saat ini ianya tinggal misteri. Bagaimana mungkin baterinya sudah dicas penuh 100% boleh ke habis dengan sendirinya.

Pelik sungguh!

Waktu pagi Ahad memang ramai yang bersukan sepanjang
Presint 2, Putrajaya.

Kemudiannya aku rasakan tekak aku agak perit pada malam itu. Dan sewaktu bangun Subuh, aku dapat rasakan aku sudah pun demam.

Bermula episod ngeri selepas itu...

Hari Ahad yang sepatutnya aku menyertai Reunion NOGLB @ PNR langsung aku lepaskan macam tu sahaja. Terbaring atas katil sambil memandang siling bukanlah aktiviti yang menyeronokkan kepada yang bernyawa. Tambahan pula rakan-rakan seperjuangan berseronok ke KLIA sejauh 80 kilometer, manakala aku terkebil-kebih di atas katil. Huh! Satu perasaan yang sangat sukar digambarkan dalam cerita kali ini.

Aku sempat menaiki puncak bukit Hotel Pulse Grande yang dahulu
namanya Shangri-La.

Isnin dan Selasa aku terpaksa mengambil cuti sakit dan sepanjang minggu lepas aku tak larat hendak kayuh basikal langsung. Hinggalah pada Ahad semalam...

Walaupun batuk dan selsema masih tersisa pada Subuh semalam, aku capai basikal langsung meneruskan agenda pada pagi tu — kayuh basikal sorang-sorang!

Setiap kali tiba di persimpangan lampu isyarat, lampu pasti bertukar merah
dengan tiba-tiba. Sungguh mencabar mental kalau kayuh dalam Putrajaya ni.

Pada semalam harinya aku kayuh basikal dalam Putrajaya sahaja. Kayuhan syok sendiri. Tanpa tekanan dan juga tanpa kelajuan yang tidak munasabah. Fikiran aku lapang dan terasa bebas tanpa apa-apa tekanan.

------------------------------------
Fakta Kayuhan
------------------------------------


Durasi: 2 jam 27 minit
Kalori: 2082 kcal


Jarak: 62.74 km
Purata kelajuan: 25.5 km/h
HR Max: 145 bpm

------------------------------------

Aku pulang dengan satu perasaan puas; setelah terkangkang di atas katil berhari-hari lamanya. Kayuhan aku tidaklah se-epik seperti suatu masa dahulu yang cukup mencabar mental dan fizikal — hanya sekadar mengeluarkan peluh dan melapangkan fikiran di hari Ahad.

PS: Aku masih menunggu mana-mana kayuhan reunion sekarang ni. Apa-apa reunion pun tak kisah. Reunion Kelab Azizan Osman pun boleh, janji kayuh!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 5 Mac 2019

Genting Peras — Kesengsaraan Aku, Kegembiraan anda


Aku ingatkan kayuh basikal ni senang. Senang maksudnya sambil kayuh kita boleh ketawa. Kemudian kita akan sembang-sembang dengan teman seperjuangan tentang lagu-lagu kegemaran kita masa muda-muda dahulu.

Tapi...

Dua hari lepas aku ke Genting Peras, Negeri Sembilan. Satu badan cramp. Memang haru betul!


Jemput tengok vlog aku sepanjang perjalanan ke Genting Peras.


Seperti biasa, aku adalah manusia paling awal tiba di tapak perhimpunan di hadapan Restoran Shaban Maju Presint 15. Lebih kurang dalam 10 minit menunggu, seorang demi seorang mula munculkan diri; Aar, Norman dan Jaja; menjadikan empat orang keseluruhannya.

Baru memasuki daerah Semenyih menuju ke Genting Peras.

Tepat jam 7:30 pagi kami berempat bergerak ke Bangi dan difahamkan dua orang sedang menunggu di sana. Ini menjadikan misi ke Genting Peras ketika ini seramai enam orang.

Aku memang hendak sangat kembali ke Genting Peras. Sudah lama aku tak merasa keperitan mendaki bukit yang melingkar sejauh 9.5 kilometer menuju ke sempadan Negeri Sembilan.

Disebabkan sudah banyak yang aku lupa tentang keadaan bentuk muka buminya, maka apabila melepasi Hutan Rekreasi Sungai Tekala aku mula perlahan-lahan tercicir ke belakang. Apa tidaknya, bukit panjang yang lurus menuju ke atas itu betul-betul meragut kejantanan aku.

Ketika ini seorang Pahlawan Basikal bernama Aar menemani aku. Sambil menemani aku beliau bersungguh-sungguh menjadi motivator bebas — kata-kata motivasi; dan juga perturunkan segala ilmu sihir bagaimana mendaki bukit dengan pantas.

Apabila melintasi sebuah kawasan, aku melihat ke sebelah kanan terdapat kawasan seakan lombong besar. Hah, barulah aku teringat episod-episod lalu... aku sedang melalui Empangan Semenyih ketika ini.

Kalau nak tahu, keluasan empangan ini adalah 1,500 ekar dan merupakan empangan air yang terbesar di Malaysia. Takpe, aku saje je cerita fakta ini.

Empangan Semenyih.

Hah, masak beb! Libang-libu jugak aku waktu tu. Jalan yang sedang aku lalui ini jangan dibuat main. Tempat ini 'keras'. Ramai yang keras lepas kayuh kawasan ini.

Tapi, itulah kan... Kami ini Pahlawan Basikal. Memang kami semua akan berjuang hingga titisan keringan terakhir. Pantang berundur sebelum kayuh. Dengan semangat juang yang tinggi, aku berjaya juga tiba di kaki bukit Genting Peras. Eh, ini baru sampai kaki bukit, belum cerita naik bukit lagi.

Tapi aku boleh ringkaskan cerita ketika mendaki bukit Genting Peras — penat macam nak mengelupur! Kelajuan ketika mendaki sekitar 10 km/j - 14 km/j dan ramai juga aku potong orang tengah kayuh basikal waktu itu. Kalau boleh aku hendak tamatkan permainan kejam ini secepat mungkin. Tak lalu hendak mengadap seksa ketika itu. Lagi cepat habis lagi bagus.

Itu sahaja yang aku boleh simpulkan.

Puncak Genting Peras bersempadan dengan Negeri Sembilan.

Empat orang Pahlawan Basikal sudah berada di puncak sewaktu aku baru tiba di situ. Sebaik sahaja aku tiba kami semua kembali turun ke bawah semula. Seterusnya kami bercadang untuk singgah makan di Gerai Nasi Lemak tepi jalan di Semenyih.

Selera aku memang hilang waktu ini. Nasi lemak aku tengok macam ubat hospital. Aku memang kurang sikit dengan nasi lemak ni. Tapi diorang semua paksa aku makan sebab aku dah bonk. Nak tak nak aku makan jugalah. Itu pun separuh. Sambil makan aku cuba untuk menempah Grab. Tapi, dalam cerita ini aku kan hero. Tak kan aku selaku hero kesudahannya pulang menaiki Grab.

Masing-masing mengasingkan diri.

Nasib baik kelajuan internet waktu itu membataskan hasrat aku. Sudahnya aku matikan skrin telefon aku dan lupakan sahaja niat yang menyimpang tersebut.

Ketika tiba di pekan Semenyih, kami semua hampir kemalangan. Ini disebabkan terdapat sebuah kereta berhenti mengejut ketika hendak masuk simpang. Posisi aku waktu itu berada paling akhir dalam peloton. Kejadian berlaku terlalu pantas. Sewaktu aku brek, tayar aku menggelongsor lalu menghentam saddle salah seorang rakan kami, iaitu Sahlan.

Aku hampir jatuh kerana brake lever serta jari aku terkepit bawah saddle Sahlan. Dalam waktu kelam kabut itu aku sentap sekuat hati handle ke sebelah kanan lalu terlepas daripada Saddle Sahlan. Tarik nafas panjang aku dibuatnya.

Aku memang hampir-hampir jatuh waktu itu. Perghhhh... Alhamdulillah.

Tidak lama kemudiannya, aku tercicir sekali lagi. Kaki aku mulai kekejangan untuk pertama kalinya dalam masa empat bulan aku mula kayuh basikal. Kedua-dua belah peha aku rasa macam nak meletup. Memang aku tidak ada pilihan lain selain terpaksa hadap lagi 20 kilometer berbaki.

Tiba di Bangi, kami semua mulai berpecah untuk pulang ke rumah masing-masing. Yang tinggal cuma kami berempat sahaja. Tidak lama kemudian tinggal aku seorang sahaja menjadi komando.

Singgah di Petronas Kampung Sungai Merab. Tatkala ini yang lain
sudah balik, yang tinggal aku seorang.

Pagi tadi aku tiba paling awal dan tengahari jam 1:20 petang akulah tiba paling akhir sekali... Ceh, memang dramatik sungguh!

Memang siksa kali ini. Kejantanan aku diragut rakus ketika mendaki Genting Peras. Tenaga aku banyak habis di situ. Inilah puncanya kaki aku kejang.

Tak apa. Nanti aku akan kembali sekali lagi ke Genting Peras. Tapi tunggu le aku kuat sikit ha-ha!

------------------------------------
Fakta Kayuhan
------------------------------------

Durasi: 4 jam 41 minit
Kalori: 4764 kcal

Jarak: 117.69 km
Purata kelajuan: 25.2 km/h
HR Max: 178 bpm
------------------------------------

PS: Harap semua terhibur cerita aku kali ini. Kesengsaraan aku, kegembiraan anda... Chewahhh!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 26 Februari 2019

Rocket Ride oleh Maxxis - Moh ke Lenggeng kite!


Pada Ahad baru-baru ini (24 Februari 2019) aku berpeluang sertai sekumpulan besar seramai 78 orang ke Lenggeng, Negeri Sembilan. Mereka semua ini terdiri daripada Pahlawan Basikal yang mempunyai kepakaran bertempur dalam hutan, jalan raya mahu pun bukit bukau.

Sebenarnya, aku pun gerun juga bila tiba di tapak perhimpunan pada pagi itu. Masing-masing dengan senjata canggih dan moden. Jika hendak dibandingkan dengan aku, handle bar pun serupa tukul besi — berat nak mampus!



Jemput tengok video di atas ini. Segala emosi berada di dalamnya.

Sebenarnya aku kekurangan informasi tentang kayuhan ini pada mulanya. Aku agak terkejut juga apabila terlihat di persekitaran pada waktu itu seakan ada mini event. Di situ terdapat mini booth memaparkan acara tersebut ditaja oleh MAXXIS. Seperti tersedia maklum, rata-ratanya tahu MAXXIS memang mengeluarkan produk tayar basikal yang lazat berkrim. Harganya pun boleh tahan jugalah.

Sedang melakukan demo mekanikal oleh kakitangan
MAXXIS bersama Dilla dari team Speedzone dan EZR.

Terkebil-kebil jugalah aku waktu itu.

Aku cuma ingatkan ini adalah kayuhan hujung minggu biasa-biasa yang sering EZR (Dahulu nama EZ Ride) buat. Rupa-rupanya ini adalah luar biasa pada aku. Aku lihat susun-atur acara nampak kemas dan memang dirancang rapi. Segalanya nampak teratur.

Dengan spontannya aku memberikan satu tabik hormat sebagai penghargaan. Semua orang memandang pelik. Tapi aku tidak kisah.

Gambar ini aku pinjam tanpa kebenaran daripada Mohd Shahrin.

Baiklah, acara ini diberi nama ROCKET RIDE by MAXXIS. Kumpulan-kumpulan basikal yang terlibat adalah EZR, SPEEDZONE, LSR, NOGLB, SPCC, XL TEAM, PSB dan juga SMC.

Di sini aku terkesan dengan seorang ahli Speedzone dan juga EZR ni; namanya Dilla. Aku pernah pos jemputan Charity Ride for Dilla dalam page Facebook Pahlawan Basikal pada November 19, 2018 lalu.

Walaupun aku tak pernah mengenali beliau secara peribadi, tapi bila tengok dia sihat 100% daripada kemalangan beberapa bulan lalu, aku pun tumpang seronok.

Dalam masa yang sama Charity Ride for Dilla juga menemukan aku dengan kawan-kawan lama yang kayuh laju-laju macam orang gila dalam Putrajaya suatu masa dahulu. Seperti yang sedia maklum, aku berhenti kayuh basikal tiga tahun. Jadi ini umpama jejak kasih untuk aku. Nasib baik tak masuk TV3...

Ok sambung balik cerita asal. Aku kalau sudah mula merepek, memang boleh terpesong akidah orang. Memang bahaya.

Setelah sedikit taklimat ringkas oleh wakil penganjur, kayuhan epik pun bermula sedikit lewat beberapa belas minit. Dalam masa yang sama aku takut le jugak kalau-kalau masuk 50 kilometer aku terus bonk.

Kali terakhir aku kayuh 100 kilometer adalah pada dua minggu lepas sewaktu ke Bagan Lalang. Waktu itu aku bonk. Boleh tengok buktinya di sini.

Disebabkan waktu ini ramai perempuan, tiba-tiba aku rasa macam James Bond pulak. Semangat aku jadi lain macam sikit. Tapi itulah... perasaan itu sekejap je — 30 minit kemudian nafas aku dah jadi pendek.

LEKAS Highway
Sebaik sahaja masuk ke LEKAS Highway, peloton di hadapan mula memecut. Aku sekadar tengok dari jauh sahaja. Kalau aku ikut diorang semua, cerita blog aku hari ni habis takat ini sahaja.

Oh ye, sepanjang kayuhan kali ini ada kereta sokongan oleh Gin Huat. Sempat mereka bertanyakan samada aku okey atau pun tidak. Huh, nampak sangat aku bonk waktu itu. Rambut aku pun habis terkeluar dari lubang-lubang udara helmet. Patut le diorang tanya aku ok ke tak. Keadaan aku agak kritikal waktu itu.

Aku pun menumpang peloton yang terdiri daripada 5 orang Pahlawan Basikal untuk mengelakkan bonk berterusan.

Terima kasih banyak-banyak kepada mereka ini yang menerima
aku dalam peloton.

Tengok... Siap lambai kat aku. Sedangkan waktu ini aku sudah hampir
berputus asa.

Bukit Puyuh
Kali terakhir aku menaiki Bukit Puyuh kalau tak silap aku tahun 2013. Aku pun dah tak ingat bila. Aku agak sahaja. Bila menaiki bukit ini, aku tawakal ajelah sebab aku pun sudah tak berapa ingat berapa jauh aku perlu mendaki.

Eleh, rupa-rupanya tak sampai 2 kilometer pun. Rasa eksyen jugak le waktu tu. Ha-ha!

Lepas ni aku patut tukar nama Bukit Puyuh ini kepada Bukit Kacang.

Kat atas puncak berhenti sekejap sambil tunggu yang lain yang masih berusaha keras mendaki. Kemudian kami semua menyambung perjalanan yang berbaki beberapa kilometer sahaja untuk sampai ke gerai di Lenggeng.

Di gerai nasi lemak ini pihak penganjur membuat cabutan bertuah. Tahniah kepada mereka yang bertuah tersebut.

Cabutan bertuah di dalam gerai nasi lemak Lenggeng.

Setelah itu kami semua menyambung perjalanan untuk pulang ke Putrajaya. Yang menariknya, laluan melalui kampung sekitar Semenyih ini memang aku tidak pernah lalu. Kiri kanan pokok, memang menarik. Perang bendera antara parti Barisan Nasional dan parti Harapan memenuhi jalan kampung.

Sepanjang perjalanan aku cuma mengambil sikap berhati-hati. Meter sudah mencecah 85 kilometer dan risiko untuk cramp memang boleh terjadi bila-bila masa sahaja.

Jadi aku cuma duduk dalam peloton di tengah-tengah sahaja. Hinggalah tiba di Jenderam Hilir dan menghampiri Kampung Sungai Merab.

Nama bukit ini adalah Bukit Minang. Bukit ini memang aku paling menyampah. Aku tak tahu siapa punya idea lalu ikut sini. Mati-mati aku ingat lalu ikut jalan sewaktu pergi tadi - tanpa bukit dan boleh kayuh senang lenang. Sekali kena tempuh bukit yang paling aku menyampah - simpang lampu isyarat di Kampung Sungai Merab.

Cis!

Aku memang tak suka lalu ikut jalan ni.

Aku kayuh selaju mungkin agar kerja siksa ini habis secepat yang boleh. Aku rasa heart rate aku 100% lebih masa naik bukit ini. Nasib baik aku tak menolak waktu mendaki. Tiba-tiba eksyen datang kembali dalam jiwa aku. Iyalah, berjaya naik bukit tanpa cramp. Ha-ha!

Di sempadan simpang masuk daerah Putrajaya, kami singgah sebentar pekena air kelapa. Terus terang aku katakan air kelapa yang dijual di gerai tersebut rasanya paling teruk pernah aku minum. Tapi itulah, dalam keadaan panas mencecah 42° apa sangatlah yang boleh aku harap. Bersyukur seadanya...

Gembira sebab baru selesai minum air kelapa. Lagi 7 kilometer nak sampai
ke Palace of Justice, Putrajaya.

Alhamdulillah, aku berpecah dengan empat orang yang lain setibanya aku di Presint 5. Aku tak tahu nama mereka. Tapi aku rasakan mereka ini adalah dari keturunan orang yang baik-baik belaka.

Disebabkan aku kayuh dari rumah, aku dapat lebih kilometer iaitu 116 kilometer. Apa yang aku rasakan ketika ini? Tak lain tak bukan, memang aku rasa sangat puas hati. Rakan-rakan baru yang manis-manis keadaannya memberikan aku semangat untuk pulang ke rumah dengan maruah yang sedikit pun tak tercalar.


Ini Vlog yang sempat aku dokumentasikan sewaktu kayuhan.
Jemput subscribe channel Youtube aku sekali ya.

Terima kasih daun keladi. Ada masa, aku ikut korang lagi.

PS: Minggu ini aku mahu ke Broga dari Putrajaya. Tapi kali ni semua jantan belaka.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Isnin, 25 Februari 2019

Cerita Fun Ride dan Harimau Jadian


Kali terakhir aku kayuh basikal adalah pada dua minggu lepas sewaktu ke Bagan Lalang. Ceritanya boleh baca di sini.

Sepanjang dua minggu itu memang aku tidak ada apa-apa aktiviti sukan. Aktiviti makan ada le.

Disebabkan kerisauan yang melampau itulah tanpa berfikir panjang lalu menjadi lanun ketika Fun Ride Against Drugs. Ianya dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia yang berlangsung di hadapan Palace of Justice, Putrajaya.

Putrajaya Fun Ride Against Drugs 2019

Aku tiba jam 8:35 malam. Aku ingatkan aku tiba lewat. Rupa-rupanya kayuhan bermula jam 9:30 malam. Sementara menunggu kayuhan bermula, aku buat-buat sibuk merekod video di sekeliling aku.

Aku tengok sorang pun aku tak kenal. Macam biasa aku akan tegur sesiapa yang berada berhampiran aku. Kekadang ada yang melayan, tapi ada juga yang eksyen macam kayuh kuat sangat ha-ha!

Ini bukan acara lumba basikal mahu pun Century Ride. Ini cuma kayuhan untuk berseronok sahaja. Tapi, bagi aku ini kesempatan untuk aku rebut. Dapat kayuh 40 kilometer pun jadilah daripada tidak ada langsung.

Ahad nanti ada kayuhan epik anjuran Rocket Ride bersama Maxxis sejauh 106 kilometer. Silap gaya, habis aku nanti kalau takde mileage. Cuak beb!

Eleh, macam biasalah. Bila dah kayuh basikal, memang tak ingat dunia. Selagi tak kena maki dengan marshal atau abang polis trafik yang bertugas, memang kayuh basikal macam orang gila. Fun Ride sudah serupa macam Century Ride. Itu pun nasib baik ada kereta marshal mengawal kelajuan di hadapan peloton. Kalau tak...

Aku ingatkan aku boleh mengawal nafsu untuk menjadi seorang yang sopan ketika berbasikal di acara yang polisnya ramai sedang berjaga. Tapi...

Aku pun dua kali lima. Sama gila haha!

Sudahnya 33 kilometer tak sampai sejam pun. Aku terus balik rumah...

Ketika dalam perjalanan, aku menggunakan laluan klasik sewaktu aku PNR dahulu. Laluan bukit misteri di Presint 5R3 memang kerap aku gunakan ketika mahu pulang ke rumah sekitar jam 12:30 - 1:30 pagi waktu kegemilangan Putrajaya Night Ride dahulu.

Di laluan ini terdapat sebuah bukit mister yang pernah aku ceritakan dalam blog ini suatu waktu dahulu - perihal Harimau Jadian di bukit Presint 5.

Jadi aku mengambil kesempatan untuk mendokumentasikan cerita ini ke dalam bentuk vlog Youtube aku. Jemput tengok ya:


Okeylah. Cukup setakat ini dahulu. Ada lagi cerita kayuhan yang hendak aku taip lepas ni.

PS: Aku sebenarnya dah tak larat nak kayuh laju-laju macam dulu. Tapi kalau aku kayuh perlahan, aku terpaksa kayuh saorang-sorang kat belakang... Cis!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 13 Februari 2019

Jantung Aku 'Overheated' ke Bagan Lalang


Sudah 3 bulan lebih aku pakai Ridley Noah. Setakat ini aku takde hendak komplen apa-apa; melainkan beratnya sahaja. Aku tahu penyumbang terbesar beratnya adalah parts yang lain-lain seperti wheelsets, handlebar, stem dan juga pedals. Bingkai utamanya memang okey, takde masalah.

Oleh sebab itu aku bukan main berani hendak turut serta mereka yang bergelar Pahlawan Basikal dari permukiman yang berbeza ke Bagan Lalang, Sepang.



Aku tahu risikonya, tapi nak buat macam mana... Sampai bila aku nak kayuh 60 kilometer je? Oleh sebab itulah aku mahu turut serta mereka — walau pun suatu masa dahulu aku nyaris-nyaris dilucutkan pangkat sebagai Pahlawan Basikal.

(...sebenarnya aku telah bermimpi seorang tua bongkok tiga memberi kata putus samada aku mahu meneruskan hobi berbasikal seperti dahulu ataupun tidak. Jika aku berkeras untuk berkata tidak, maka title 'Pahlawan Basikal' akan dilucutkan serta merta.)

Sebab itulah esok pagi aku terus ke Kedai Basikal Orbit Cycle yang terletak di Sri Kembangan untuk membeli basikal baru.

Tengah pasang apa yang patut.

Setelah ada basikal baru, ceritanya mana mungkin boleh habis takat itu sahaja. Aku harus ada mileage. Kayuhan mestilah kena ada peningkatan dari segi keupayaan dan juga jaraknya harus jauh selagi boleh.

Aha, bahagian inilah yang paling sukar! Beli basikal anytime. Kalau nak cari masa kayuh basikal tu tak berapa nak anytime.

Dalam keadaan tak berapa nak anytime itulah mengundang padah ketika ke Bagan Lalang. Aku rasa macam nak jual basikal balik (...jangan ambil serius akan perkataan 'jual basikal' tadi. Aku cuma mahu penceritaan aku nampak dramatik sahaja).

Masih menunggu askar gerila yang lain, mana tahu ada yang tiba
di saat akhir. Tapi, memang takde... kami berlima je kali ini.

Persiapan tidak berapa rapi pada malam sebelumnya membuatkan aku kelam kabut pada waktu subuh Ahad. Banyak benda yang aku terlupa; beg duit tertinggal dan sepanjang kayuhan aku tidak bawa kad pengenalan, air baru nak isi waktu mahu keluar rumah, sarapan makan dalam kereta dalam keadaan kelam kabut, makanan tambahan (kurma) aku juga terlupa nak bawak, dan akhir sekali adalah kesakitan otot masih tersisa sewaktu membuat core strength pada tiga hari lalu.

Aku jugak malam itu tidur sedikit lewat. Semua ini satu pakej penyumbang untuk menjahanamkan aku.

Jadi sepanjang kayuhan aku rasakan jantung aku tidak berapa steady. Kadar degupan jantung aku rasakan cepat naik dan lambat turun. Lagi 10 kilometer hampir tiba ke Bagan Lalang, aku dapat rasakan perut aku hendak cramp. Nasib baik waktu itu sudah hampir sampai, jadi aku boleh berehat di mana-mana kedai sekitar pantai Bagan Lalang.

Di Jenderam Hilir. Heart Rate tinggi waktu ini. Kena pulak
lepas tu aku tarik... Peh! Inilah permulaan dada aku rasa sudah mulai panas.

Ini pun satu hal juga, telur separuh masak aku sampai ke sudah tak sampai. Aku cuma minum Nescefe je. Cis!

Maka, tenaga aku tak berapa nak tip-toplah. Waktu itu aku ingatkan aku ada bawa bar coklat Snickers; tapi, harammmm...ini pun aku terlupa ha-ha!

Waktu pulang semula ke Putrajaya, sekitar 40 kilometer berbaki aku mula dapat rasa dada aku panas semula. Kadar degupan jantung aku tidak normal — terlalu senang melonjak 98% dalam keadaan yang tidak masuk akal.

Waktu ini bateri jam Polar aku dah bagi amaran — bateri nak habis!

Waktu dari Putrajaya ke Bagan Lalang, aku mulai rasa degupan jantung aku tidak berapa stabil dan dada mulai panas. Emosi aku juga sudah tidak berapa sedap; sudah mula takut-takut manalah tahu aku tumbang tepi jalan ke.

Jadi sepanjang perjalanan pulang aku cuma drafting dan sentiasa mengawal degupan jantung aku. Nasib baik waktu ini empat orang Pahlawan Basikal masih lagi cergas. Kalau semua kondisi macam aku, susah jugak nak masuk lima orang sekali dalam van Ambulans.

Ketika di De Palma Inn Sepang, sedang mendaki bukit aku dapat rasakan dada aku makin panas. Memang haru betul. Aku boleh rasakan jantung aku overheated.

Sedang mendaki bukit De Palma Inn Sepang. Heart rate memang
tinggi waktu ni.

Sampai ke sudah aku kawal kelajuan kaki aku untuk teruskan kayuhan berbaki kurang 30 kilometer lagi ke Putrajaya. Sepanjang perjalanan itu jugalah seorang komando gerila Pahlawan Basikal iaitu Aar menemani aku sampai habis.

Mungkin Aar takut aku pengsan kot. Iyalah, kalau aku pengsan macam mana aku nak muat naik video lakonan kami ke Youtube? Ini pun masalah besar juga. Oleh itu, maka kami semua selamat sampai ke Putrajaya.

Semua gembila menyambut ketibaan aku...
Itulah, aku slow sangat kayuh ha-ha!

Video lakonan kami pun selamat dimuat naikkan ke Youtube. Kiranya happy ending jugalah cerita aku kali ini.

Sebagai penutup, aku hidangkan vlog aku yang tidak seberapa ini untuk hiburan korang semua. Kayuhan seterusnya aku tidak pasti ke mana. Aku ikut je...


PS: Baru nak dapat rentak kayuhan jarak jauh, hujung minggu ni aku balik kampung pulak. Ish!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 30 Januari 2019

Apa Ada Dalam Poket Jersi Aku?


Kali terakhir aku kayuh basikal adalah pada Isnin minggu lepas. Sekarang ni dah lebih seminggu aku tak kayuh. Risau jugak kalau-kalau aku mula kayuh balik kaki aku akan kekejangan tahap 4.
Kalau waktu kerja memang aku payah nak kayuh sebab aku akan sampai rumah lewat malam. Melainkan hari jumaat sebab esoknya cuti. Jadi semangat nak kayuhnya agak tinggi.

Dalam waktu rehat sebegini, aku terfikir mahu membuat video untuk berkongsi tip-tip tentang basikal. Sebagai pembukanya aku buatkan satu video tentang perkongsian tips dan letakkannya di channel Youtube aku.

Kepada yang berbasikal pasti terlintas di fikiran  apa yang ada dalam poket belakang teman-teman sekayuh kita waktu itu. Kepada yang tidak punyai basikal pula mungkin terfikir benda yang sama jugak. Kadangkala poketnya hingga terjojol punyalah dasyat  tak tahu apa benda yang dibawanya sekali waktu sedang kayuh basikal.

Jadi, dengan inisiatif yang tidak seberapa ini aku pun dengan rajinnya buatlah satu video. Harapan aku agar tiada sesiapa pun akan berterusan mempersoalkan pasal kandungan poket para cyclists.

Kalau ada yang masih bertanya, korang beri sahaja pautan video aku ini. Iyalah, kalau sepuluh orang tanya, letih jugak nak menjawab. Tapi, dengan adanya video aku ini aku harap beban korang akan berkurangan.

Letih kalau asyik menjawab benda yang sama. Perdana Menteri Jepun pun boleh fedap kalau asyik cakap benda yang sama.

Meh jemput tengok video aku kat bawah ni. Semoga perkongsian aku kali ini ada manfaatnya:



PS: Kalau korang nak dapat update video-video aku cepat, silalah ke channel Youtube aku di https://tinyurl.com/y6u2oe2j. Aku biasa aku muat naik video terkini terus ke Youtube sebelum menulis dan pos dalam blog ini. Klik sini untuk baca sampai habis...

Khamis, 24 Januari 2019

Cerita Dua Minggu


Sekarang ni aku tengah sibuk fokus channel Youtube Pahlawan Basikal. Dalam 24 hari ini aku sudah terbit sebanyak 12 video. Isi kandungan videonya pula terdiri daripada vlog, ulasan produk berkaitan basikal dan juga aktiviti berbasikal aku.

Bagi waktu terdekat ini aku akan buat satu lagi kategori berkenaan tip berbasikal. Ini kerana dalam cerita-cerita aku yang lepas melalui blog ini mungkin agak terhad isi kandungan mahupun capaian khalayaknya. Maka, aku fikir ada baiknya aku perkembangkan bentuk penyampaiannya agar lebih luas dan santai — iaitu melalui video.

Sekarang ini ramai yang suka menonton Youtube. Aku sendiri pun macam tu, habis video Youtube aku geledah. Daripada video bagaimana mahu menternak ikan paus hinggalah cara-cara membaiki tombol pintu tandas.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna aku mahu tingalkan terus blog aku ini. Aku pun tak tahu berapa ramai yang membacanya, tapi blog ini ada sentimental value dalam hidup aku. Perlu diingatkan, tidak semua isi kandungan boleh dirakam melalui video. Adakalanya ia perlu dihadkan skopnya dan mungkin gaya penceritaanya lebih sesuai dalam bentuk teks.

Kepada yang belum menonton video-video di channel Youtube Pahlawan Basikal, aku berharap sangat agar sudi-sudilah menonton, like video-videonya dan subscribe. Tiga perkara tersebut mampu melonjakkan adrenalin aku agar terus berkarya secara percuma sambil berkongsi ilmu.

Jangan lupa subscribe ye:




Berbasikal ke Lenggeng, Negeri Sembilan
Pada 13hb Januari dua minggu lepas, aku dan seramai tujuh yang lain berbasikal ke Mukim Lenggeng terletak dalam Daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Aku sudah lama tak ke sini. Seingat aku kali terakhirnya adalah tahun 2013. Dah hampir 6 tahun beb haha! Aku pun sudah lupa macam mana keadaan bentuk muka buminya. Tapi apa yang pasti, berbekalkan pengalaman lampau, aku tidak boleh kayuh ikut sedap hati. Silap gaya boleh cramp.


Nanti aku buat vlog mengenai tip pemakanan sebagai persediaan aku ketika ke Lenggeng. Korang jangan lupa subscribe dan jenguk-jenguk channel aku tu nanti. Mana tau tip-tip yang bakal aku kongsikan nanti mampu melayakkan diri korang ke Le Tour de France tahun 2040 nanti...haha!

Apa yang pasti aku tak bonk. Agak okey juga ingatan aku ni...masih boleh ingat bagaimana persediaan dan pemakanan pada hari sebelumnya. Pada aku, persediaan amat penting. Kalau tidak ada persediaan yang cukup, silap-silap baru kayuh 50 kilometer terus bonk.



Berbasikal ke Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan
Pada 20hb Januari pula, aku dan bersama dua orang lain iaitu Faisal dan A'ar ke Negeri Sembilan sekali lagi. Kali ni ke Bandar Baru Enstek. Ianya cuma bersebelahan dengan KLIA sahaja. Aku cuma ikut sahaja pelan kayuh dua orang askar gerila ni. Aku sendiri tidak tahu pada awalnya apakah perancangan mereka berdua.

Setahu aku mahu ke KLIA sekali lagi. Entah macam masa, rancangan bertukar di saat akhir ketika kayuh pada pagi itu. Aku tak kisah. Ke mana pun sama sahaja. Pada aku, janji kayuh...hehehe...


Setakat ini aku boleh bertahan dengan kelajuan yang sederhana. Cuma tak berapa nak tahan dengan permukaan muka bumi yang berbukit yang mencanak. Kali ini A'ar yang menjadi jurupandu. Akibatnya beliau mengheret aku bersama mendaki bukit-bukau sepanjang perjalanan. Dajeiiiii sungguh!

Ada dua bukit memang meragut kejantanan aku kali ini - bukit di De Palma dan di simpang lampu isyarat menuju ke Kampung Sungai Merab Ulu. Kemudian ada hati pula bawa aku ke Kampung Limau Manis. Hahaha... memang taklah.


Sudahnya kami bertiga patah balik semula menuju ke Presint Diplomatik, Putrajaya melalui Kampung Sungai Merab. Walaupun permukaan jalannya berbukit, tetapi ianya agak landai (walaupun sedikit panjang). Berbanding dengan bukit-bukit sekitar Kampung Limau manis, yang ini memang hampeh — bukitnya terpacak-pacak.

Begitulah ceritanya sepanjang dua minggu ini. Tidaklah menarik seperti rakan-rakan yang lain waktu itu yang mengambil cabaran ke Frazer Hill sejauh 166 kilometer. Mereka pasti mempunyai cerita yang menarik dan penuh dramatik.

Gambar ni hak milik Norman yang aku cilok daripada Facebook beliau.
Ini waktu mereka ke Frazer Hill pada hari aku ke Enstek. Memang padu!

Akan tetapi, kayuhan ringkas ke Enstek yang aku cerita sebentar tadi benar-benar mengimbau waktu lalu yang tidak mungkin berulang kembali.

Laluan yang mempunyai 1001 kisah para Pahlawan Basikal dari mukim Putrajaya dan sekitarnya.

PS: Hujung minggu ni aku tak dapat kayuh basikal. Kena jaga anak-anak aku kat rumah. Kalau aku keluar kayuh, alamatnya diorang berdua mengadap PS4 hingga ke tengah hari. Bahaya!
Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 15 Januari 2019

Ulasan Helmet Kabuto Flair Setelah 3 Bulan Pakai


Aku sebenarnya bercadang hendak bercerita tentang kayuhan Ahad lepas ke Lenggeng. Tapi, entah macam mana semalam petang (aku MC sebab gastrik) aku capai Gopro aku dan terus buat rakaman berkenaan ulasan helmet yang aku pakai sekarang ini.

Langsung tak ada perancangan dan apa-apa storyboard aku setup ala kadar dan terus rekod.

Aku tak ada pengalaman rekod video. Jadi aku balun aje lah.

Selama ini aku ingatkan suara aku sedap macam mana-mana penyanyi Amerika yang terkenal. Paling kurang pun macam Michael Jackson. Setelah mendengan suara aku dalam video, baru aku tahu sebenarnya suara aku tak sedap langsung.

Tapi lantaklah. Tak sedap pun tak sedaplah. Takkan aku nak cari artis jadi pengacara video aku ni. Sapa nak bayar servis diorang nanti?

Cuma aku mengharapkan agar anda semua bersabar dengan aku... Alah, ini baru video ulasan pertama aku. Nanti lama-lama hasilnya Insya-Allah boleh jadi macam filem The Lord of the Rings.

Aku tak mahu tulis banyak sangat. Jemput tengok video ulasan tentang helmet Kabuto model Flair tahun 2018 ni:


PS: Korang subscribe le channel Youtube aku tu. Kalau ramai yang subscribe, lagi semangat aku buat lebih banyak video nanti. Klik sini untuk baca sampai habis...

Selasa, 8 Januari 2019

Kayuh ke KLIA, Spoke Patah, Tayar Pancit


Semalam aku ada bercerita tentang kayuhan kecemasan aku pada hari Khamis lalu. Walaupun jauhnya cuma 20 km sahaja, namun ianya sedikit sebanyak membantu aku untuk dapatkan sedikit bekalan ketika kayuhan ke KLIA pada Ahad dua hari lepas.

Seperti biasa, tempat berkumpul adalah di Restoran Shaban Maju (dulu namanya Restoran Hatija Maju) yang terletak di Presint Diplomatik, Putrajaya. Kami seramai 9 orang bermula jam 7:35 pagi menuju ke persimpangan lampu isyarat Kampung Sungai Merab. Di sini baru aku teringatkan aplikasi Strava dan jam Polar aku terlupa nak aktifkan.

Tempat berkumpul setiap hari Ahad.

Ceh! Rugi 1 kilometer aku pagi ni...

Dari situ kami semua menuju ke Dengkil melalui Institut Genom Malaysia. Sudah lama aku tidak lalu jalan ini. Seingat akulah, kali terakhir adalah 3 atau 4 tahun lalu sewaktu kayuh basikal ke Bagan Lalang.

Simpang lampu trafik di Institut Genom Malaysia.

Waktu ini masih lagi tidak berapa panas sangat. Lagipun sepanjang laluan ini kiri dan kanannya dipenuhi pokok-pokok. Walaupun aku sudah lama tidak melalui jalan ini, tapi aku bukannya hilang ingatan langsung. Aku tahu di hadapan nanti sudah tidak ada pokok. Bila tak ada pokok, bersiap sedialah menanggung bahang panas matahari.

Waktu ini kelajuan di antara 25 hingga 35 km/j sahaja. Tak ada kelam kabut nak cepat sampai. Aku pun tidak berani nak henjut sakan. Badan aku pun baru nak sesuaikan keadaan semasa. Aku tak mahu lagi bonk tiga empat kali kayuhan kali ini. Aku tak mahu macam minggu lepas. Taubat aku ha-ha!

Berat basikal aku tatkala ini boleh tahan beratnya. Dengan dua botol air sudah 1.2 kilogram, belum campur lagi beban tambahan Gopro yang melekat di stem aku tu.

Jumpa kawan baru di Dengkil menjadikan jumlah kami seramai 10 orang.

Ketika sampai di KLIA, salah seorang daripada kami iaitu Mawi spoke rim-nya patah satu. Nasib baik patahnya cuma satu sahaja. Kalau sepuluh spoke patah, naik Grab lah jawabnya.

Kerja aku ambik video. Sepanjang jalan aku ambik video tanpa disuruh. Sampai di KLIA, semua turun daripada basikal dan terus beratur sambil menunggu kapal terbang melalui atas kepala kami. Dari situ aku sudah faham, semua orang mahu aku ambil video mereka.

Nasib baik aku ada Gopro HERO7 kaler hitam. Ehem-ehem!

Lepas sesi ambil gambar dan footage video, kami semua sambung semula perjalanan dan menuju ke Petronas KLIA. Setiba di stesen minyak tersebut bertembung pula dengan tauke kedai basikal Orbit Cycle sedang mengunyah roti di salah satu meja yang terdapat di dalam Petronas. Aku lihat wajahnya penuh keceriaan apabila kami muncul.

Ini menjadikan jumlah kami meningkat kepada 11 orang.

Ketika dalam perjalanan pulang, di Dengkil, salah seorang daripada kami tayarnya pancit.

Putera Raja Kajang sedang menukar tiub tayarnya.

Di sini kami seramai 11 orang mulai berpecah. Ada yang terus masuk kerja, pulang ke rumah terus dan ada juga yang mengambil kesempatan menghilangkan diri secara tiba-tiba.

Setiba di Putrajaya, aku kira cuma tinggal 6 orang sahaja. Paling hebat adalah tauke kedai basikal Orbit Cycle. Dia akan menyambung perjalanan pulang ke kedainya di Seri Kembangan sejauh 15 kilometer lagi.

Disebabkan meter basikal Polar aku buat hal di stesen minyak Petronas KLIA, dan juga aplikasi Strava tertutup sendiri di Dengkil membuatkan rekod mileage aku menjadi tak logik.

Sepatutnya 93 kilometer.

Baiklah, sebenarnya aku tak bercadang nak tulis panjang-panjang. Untuk memantapkan penceritaan aku seadanya, silalah saksikan lakonan kami semua melalui video di bawah ini:


Terima kasih kerana mengikuti cerita aku hingga ke penghujung ini. Nantikan cerita yang seterusnya pada minggu hadapan.

PS: Dengar cerita minggu hadapan mahu ke Lenggeng. Entahlah, aku ikut je...
Klik sini untuk baca sampai habis...

Isnin, 7 Januari 2019

Kayuhan Kecemasan


Hari Khamis minggu lepas aku terpaksa mengambil cuti kecemasan. Ini kerana kereta aku pendingin hawanya rosak. Tahun lepas dah diperbaiki. Tahun ini rosak kembali. Habis juga aku RM1525 untuk kos baik pulih kali ini.

Di bengkel kereta SMR Automotive Service Centre (milik Pae, bekas pengayuh basikal tegar PNR suatu masa dahulu), aku terpaksa tinggal kereta selama 3 hari. Asalnya mahu pulang menaiki GRAB. Alih-alih aku ubah fikiran — balik rumah naik basikal!

Sekurang-kurangnya ada juga persiapan Ahad nanti. Katanya mahu ke KLIA sejauh 90+ kilometer.

Kali ini aku nekad, tak mahu bonk lagi. Itu sebab aku mengubah fikiran daripada pulang menaiki GRAB kepada kayuh basikal.


Jemput tengok video di atas.

Sepanjang pulang menaiki basikal melalui Kampung Sungai Merab, Kajang, agak azab jugalah. Jam menunjukkan pukul 10:30 pagi. Matahari memang terpacak di langit kedudukannya. Angin pula punyalah kuat — seakan ribut lagaknya.

Jalan berturap sepanjang kampung yang tidak teratur keadaannya sedikit sebanyak menyumbang keletihan yang melampau.

Setakat 20 kilometer apalah sangat; sekali ambik kau ha-ha-ha!

PS: Maaf sebab cerita kali ini agak ringkas sebab lepas ni aku nak tulis cerita kejadian semalam. Jangan tak tau, kami seramai 9 orang kayuh ke KLIA sejauh 93 km. Aku ingatkan boleh dapat 100 km, tapi... Klik sini untuk baca sampai habis...

Rabu, 2 Januari 2019

Kayuh Basikal 100KM - Selamat Tahun Baru 2019!


Aku sudah kayuh basikal 2 bulan. Sepanjang 2 bulan ini paling jauh aku kayuh adalah 59 km. Aku cuba nak cukupkan 60 km punyalah banyak aral melintang. Tapi bila ada orang sogok 100 km pada Tahun Baru 2019 nanti, takkanlah aku nak tolak pula.

Walaupun aku tahu kayuh basikal 100 km bukan boleh dibuat main. Bukan semua orang boleh tempuh. Siti Nurhaliza Tarudin pun tak pernah kayuh basikal sejauh tu. Inikan rakyat marhaen macam aku ni.


Disebabkan panik tak tentu hala, hari Isnin petang aku pergi ke Farmasi dan juga Rodalink Putrajaya. Cramp spray wajib ada. Begitu juga dengan botol air. Wajib ada dua botol kalau nak kayuh jauh-jauh. Ini kerana sepanjang dua bulan ini aku cuma berbekalkan sebotol air je. Empat botol air lama aku sudah lama aku buang sewaktu pindah rumah tahun lepas.

Niat mahu beli botol air je apabila berada di kedai basikal Rodalink. Tapi entah macam mana, jin kategori apa entah merasuk aku, terbeli pula pam jenis Regulator Cartridge Co2 Airbooster jenama Topeak. Habis dekat RM150 jugak le. Cis!

Esok pagi pukul 7 pagi aku sudah terpacak sebelah Restoran Hatija di Presint Diplomatik. Janji mula pukul 7:30 pagi. Dalam tempoh 30 minit itu seorang demi seorang mula munculkan diri.

Setelah cukup 9 orang, salah seorang daripada kami iaitu Jaja terpaksa berundur diri disebabkan crank basikal beliau longgar.

Sedang membuat keputusan yang berat.

Akhirnya, cuma lapan orang sahaja yang tinggal. Lapan pun lapanlah, janji kayuh.

Macam biasa, dipermulaan sesi memang teruja, gembira dan dipenuhi gelak-tawa. Tunggu le masuk 40 km... waktu tu dah tak berapa gembira sangat.

Berhenti sebentar di Shell Presint 8.

Jalan Putrajaya ni yang jahanamnya bukit-bukit memang bersepah. Itu sebab aku cakap mula-mula memang seronok, masuk 40 km matahari mula membahang dan angin mula kuat. Hah, waktu ni kalau nak menyesal memang sudah terlambat. Tahan aje lah.


Basikal aku sudahlah berat, ditambahnya beban Gopro HERO7 Black (Ehem! Ehem!) Alahai...

Korang bayangkan penangan kayuhan kali ini aku nak tekan rekod button Gopro pun tak kena. Siap boleh nampak bintang-bintang keliling kepala aku. Alah, macam kartun Walt Disney tu... Aku ingatkan dalam filem kartun je ada. Rupa-rupanya memang betul-betul ada.

Musuh utama para cyclist adalah kejang atau dalam bahasa orang Inggirisnya adalah cramp. Dan aku nyaris-nyaris kena ketika kilometer mencecah 70 km. Nasib baik ada cramp spray. Aku memang dah agak sebab mileage aku memang tak cukup sepanjang dua bulan kayuh.

Satu badan mengeletar. Saat ini menyesal pun sudah
tidak berguna lagi.
(Gambar hak milik Sahlan)

Di saat penghujung kayuhan, aku tengok muka setiap peserta sudah keruh semacam. Cahaya takwa di wajah masing-masing sudah hilang — umpama baru sahaja selesai melakukan dosa-dosa besar.

Kalau muka diorang pun semuanya macam tu, muka aku apatah lagi... lagi teruk gamaknya.

Jumlah keseluruhan aku bonk adalah sebanyak 3 kali. Itu pun selepas 60 km kayuh. Jadi 30 km berbaki itu aku bonk sebanyak 3 kali. Waktu ini aku sentiasa di belakang sekali. Kalau aku gigih menekal pedal memang terus kejang peha kiri aku.

Itu sebabnya aku terpaksa pulang awal. Aku cuma mampu kayuh 91 km sahaja. Bayangkan kalau aku paksa jugak 100 km, memang penamat cerita kali aku tajuknya 'AKU KEKEJANGAN'.

Tak sanggup beb... hahaha!

Walau bagaimana pun, 6 orang Pahlawan Basikal yang lain teruskan misi 100KM dengan jayanya.

Aku boleh simpulkan kayuhan pada tahun baru ini amat mengujakan. Agak banyak juga laluan yang aku sendiri tidak pernah jejak. Walau pun aku sudah menetap dalam Putrajaya 14 tahun, masih ada laluan yang belum pernah aku teroka.

Jangan percaya kilometer kat atas ni. Aku terlupa nak on Strava.

Akhir sekali, terima kasih diucapkan kepada 7 orang Pahlawan Basikal kerana setia menunggu aku yang jauh di belakang. Tidak perlu disebut setiap satu nama mereka. Mereka tahu siapa mereka yang aku maksudkan itu.

PS: Mintak anda semua yang membaca cerita ini agar subscribe channel Youtube aku yang tak seberapa itu. Kalau ramai subscribe, barulah aku semangat hendak berkarya.
Klik sini untuk baca sampai habis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...