Mukasurat

Jumaat, 31 Januari 2020

UNTOLD STORY: Dari KKB ke Cameron Highlands


Aku ke Cameron Highlands pada hari Jumaat 24hb Januari 2020 minggu lepas. Hari ini hari Jumaat 31hb Januari dan seminggu sudah pun berlalu. Pantas betul masa berjalan.

Kepada yang masih belum menonton vlog aku ke Cameron Highlands, jemputlah tonton video di bawah ini:



Ini adalah pengalaman pertama aku bike packing. Walau pun tidaklah jauh macam kayuh ke bulan, tapi sudah cukup memberi aku sedikit pengalaman dan pengajaran sepanjang tempoh tersebut.

Untuk pengetahuan korang, ini adalah menu kayuhan Norman; dan diikuti pula oleh Jaja atau lebih dikenali sebagai Kak Pah (isteri kesayangan Norman), YB Aziaan, Zul, Zack dan juga Huda.

Berat keseluruhan: 8.6kg + 3.2kg = 11.8kg.

Sebelum ini Norman, Jaja dan YB Aziaan agak kerap jugak bike packing. Seperti pada tahun lepas sahaja mereka ini bersama-sama rakan lain kayuh basikal dari Kajang ke Danok dan mereka juga ke Krabi.

Cuma aku sahaja tidak mempunyai lesen besar cuti lama-lama untuk ikut serta kayuh bersama mereka sebelum ini. Tapi setakat tiga hari macam ke Cameron Highlands, apalah sangat; itu sebab aku boleh ikut.

Di awal perancangan, kayuhan bermula di Kajang dan kemudian bertukar ke TBS, Cheras. Setelah meneliti aspek keselamatan dan waktu yang tidak berapa sesuai (terpaksa menempuh kesesakan dalam Kuala Lumpur), maka tempat berkumpul bertukar di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.


Parkir
Sebelum itu, Mawi (Pegawai Bomba) iaitu salah seorang rakan kami telah pun memaklumkan Balai Bomba Kuala Kubu Bharu untuk kami meletakkan kenderaan selama 3 hari. Akan tetapi, disebabkan sedikit salah faham yang berlaku, kami tidak dapat meletakkan kenderaan di situ.

Oh ya, yang berkumpul di Kuala Kubu Bharu adalah Zul, Norman, Jaja dan juga aku. Lagi 3 orang iaitu Zack, YB Aziaan dan juga Huda parking di Damansara (kalau tak silap aku lah).

Dalam keadaan kelam kabut itu, Mawi cuba membantu dari jarak jauh dengan menghubungi Tuan Azman dari Akademi Latihan Bomba KKB. Lalu Tuan Azman menguruskan urusan parkir kami semua tanpa sebarang masalah.

Nasib baik jarak antara Balai Bomba KKB dan Akademi Latihan Bomba tersebut tidak jauh.

Terima kasih Tuan Azman!


Hari Pertama - Pengembaraan Bermula
Tepat jam 8:15 pagi, kami berempat mulakan kayuhan dari KKB menghala ke Simpang Pulai. Urusan homestay di Simpang Pulai sudah diuruskan oleh Norman. Sebelum naik ke Cameron Highlands, kami akan bermalam di Simpang Pulai.

Konsep kayuhan bike packing tidak serumit macam orang berlumba siapa sampai dulu. Kayuhan sekitar 27 - 30 km/j sahaja dan setiap 2 jam wajib berhenti makan. Kalau air habis, singgah je di stesen minyak terdekat untuk beli air.

Tapi, konsep kayuhan tersebut telah dinodai oleh 3 orang sahabat dari Damansara iaitu Zack, YB Aziaan dan Huda. Sebaik sahaja kami semua bergabung di Slim River (bayangkan diorang kejar kami dari Damansara hingga ke Sim River; Hah, berapa kelajuan diorang bertiga ni?!) daripada kelajuan sekitar 27-30 km/j terus mencanak kepada 35 - 40 km/j.

Kalau macam ni, memang cramp lah aku. Aku pun kelam kabut makan power gel yang aku beli petang semalam. Sebaik sahaja aku habis telan power gel, diorang terus belok ke kiri dan terus singgah makan di Restoran TomYam House.

Cis! Kalau aku tahu diorang berhenti makan, tak adalah aku telan power gel.

Baru habis makan di Restoran TomYam House, Slim River.

Oh ya, nasib baik isteri Zack iaitu Sheila ditugaskan memandu Ford Ranger sepanjang jalan. Kami semua dengan rakusnya tumpang letak beg sekali. Alhamdulillah, hilang beban sepanjang kayuhan.

Sepanjang perjalanan aku sibuk merakam video segala momen dengan menggunakan GoPro HERO7 Black aku. Ianya agak sukar kerana aku tidak menggunakan mikrofon. Aku tidak menggunakan mikrofon sebab apabila hujan, kamera aku boleh dimasuki air melalui port mikrofon. Jadinya, setiap kali mahu bercakap, aku terpaksa memegang kamera. Dan ini membataskan aku untuk bebas bermonolog sewaktu sedang mengayuh basikal.

Berhenti sebentar di Tapah untuk berehat.

Ketika sedang regroup di Gopeng, Perak.

Perjalanan dari KKB ke Simpang Pulai sejauh 140 km tidak ada masalah. Segalanya berjalan dengan lancar dan mengikut perancangan asal. Cuma bab purata kelajuan 31 km/j sahaja di luar jangkaan aku.

Kami bermalam sehari di homestay Teratak Qasih Simpang Pulai yang beralamat di 22, Pulai Jaya 2, Taman Bersatu, 31350 Kampung Kepayang, Perak.



Hari ke-2 - Cameron Highlands
Hari yang dinantikan sudah tiba. Aku terjaga dari tidur jam 4:30 pagi. Bukannya terjaga disebabkan semangat nak kayuh. Aku terjaga sebab bunyi cassette basikal. Aku tengok Norman tengah terkumat-kamit membaca mentera sambil menolak basikal ke hadapan dan ke belakang. Selang beberapa saat kemudian aku lihat beliau menghembus ke arah basikalnya.

Mungkin sedang membaca mentera siam yang dipelajarinya ketika berbasikal ke Krabi pada hujung tahun lalu.

Pada jam 6 pagi pula Abang Lan, Zameer, Mariana dan Hasya tiba dari Kuala Lumpur. Mereka berempat mahu turut serta kayuhan dari Simpang Pulai ke Cameron Highlands.

Setelah bersarapan di kedai mamak yang terdapat di dalam kawasan perumahan tersebut, kami seramai 11 orang terus menghala ke Cameron Highlands.

Sempat bergambar di Simpang Pulai sebelum bertolak ke Cameron Highlands.
Dari Kiri: Abang Lan, Zul, Mariana, Hasha, Jaja, Huda, Norman,
YB Aziaan, Zack dan Zameer.

Di awal 10 kilometer aku dah rasa macam nak pengsan. Kaki aku tak berapa nak steady pada pagi itu. Ini mungkin disebabkan kesan daripada kayuhan semalam. Aku sudah lama tak buat perangai kayuh hari-hari. Bila jadi macam ni, memang terasa sangat dia punya sengsara.

Nak tak nak memang kena hadaplah. Takkan nak patah balik ke homestay. Dah beberapa kali aku batal kayuh ke Cameron. Bila ada peluang, tak kan aku nak give up?

Ah, kayuh ajelah. Lagi pun ini bukan berlumba siapa sampai dulu. Aku boleh berhenti ikut sedap hati untuk rekod video suasana hutan sepanjang jalan. Takde sapa nak melarang.

Setiap kali nampak papan tanda, aku pasti tertanya-tanya dah sampai
Cameron Highlands atau belum.

Di awal kayuhan memang perlahan. Sambil kayuh aku rekod hutan-hutan kiri dan kanan. Ada juga seorang dua yang sedang kayuh basikal menegur aku. Suara diorang menegur aku kedengaran bergengung je. Bukan tangan je kebas, telinga aku pun dah naik kebas dek penangan bukit-bukit yang semakin galak meninggi.

Dahaga dia jangan cakaplah. Di kilometer ke-40, air cuma tingga 150 ml je. Nasib baik ada jugak kedai runcit orang asli. Tak fikir panjang. Aku letak basikal aku depan pintu kedai dan terus membeli setin Coke dan 1 botol besar air minum. Aku cari air mineral, tapi takde.

Nasib baik ada kedai.

Masa ni aku tak fikir langsung kedai ni kedai jelmaan orang bunian ke... kedai jin ke... Masa ni kepala otak aku dah kebas. Dalam kepala aku cuma nak sampai homestay di Brinchang yang sudah ditempah oleh Norman.

Aku rasa waktu ni kalau pergi hospital, aku rasa doktor terus hantar aku masuk wad kecemasan. Silap-silap terus dihantar ke wad gila.

Rupa-rupanya dalam 900 meter dari kedai runcit misteri (Kedai Air Terjun namanya), di Kafe Banjaran itu diorang semua tengah tunggu aku. Siap makan pau dan minum air Coke.

Kalau aku tahu kat depan sikit tu ada kafe yang jauh lagi maju dan ada pau, takdelah aku singgah berhenti untuk refill air kat kedai tadi.

Sementara makan dan minum di Kafe Banjaran kami semua menunggu Abang Lan, Zameer, Mariana, Hasha dan Huda masih di belakang. Tapi kami semua tak dapat tunggu lama sebab perlu meneruskan perjalanan yang masih berbaki 30 kilometer lagi. Kalau lewat sangat, entah pukul berapa sampai nanti.

Maka, perjalanan perlu diteruskan tanpa mereka berlima.

Dari Kafe Banjaran ke sempadan Perak - Pahang cuma 3.1 kilometer sahaja. Kitorang berhenti sekejap untuk ambil gambar sebelum menyambung kembali perjalanan.

Masa ni aku cuma terbayang-bayang bukit-bukit sepanjang
30 kilometer di hadapan.

Semakin kami menghampiri Brinchang, jalan semakin sesak dengan kenderaan-kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Maklumlah, cuti Tahun Baru Cina; memang suasananya begini setiap kali cuti umum.

Sudahlah terpaksa mengelak kereta, motor dan juga Bangla yang menghalang laluan, kami terpaksa menempuh bukit-bukit yang semakin mencanak tingginya. Permukaan jalan yang berpasir dan terdapatnya batu-batu kecil agak mengganggu kayuhan kami.

Jenuh jugak le mendaki sambil mengelak batu, lubang, pasir dan juga motor-motor yang entah datang dari mana. Sedikit sebanyak mengganggu momentum kayuhan kami semua.

Sudah sampai kemuncak kayuhan. Zul takde dalam gambar sebab
pergi beli aiskrim. Dalam masa yang sama sedang menunggu Abang Lan,
Zameer, Mariana, Hasha dan Huda.

Sepanjang 10 kilometer sebelum tiba di garisan penamat iaitu di Copthorne, permukaan bukitnya memang mencabar. Bukit-bukitnya memang tough. Kat sinilah kedua-dua peha aku kejang. Tapi, nasib baik sekejap je.

Akhirnya kami semua tiba dengan penuh gaya. Sekitar 10 minit kemudian Huda pula tiba. Huba maklumkan kepada kami Abang Lan, Zameer, Mariana dan Hasha dah berpatah balik ke Simpang Pulai untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Ketika ini Zack sudah sampai di Brinchang sudah lama dan kami jangka dia terus ke homestay. Kami berenam terus ke restoran yang terdapat di Brinchang untuk makan dahulu sebelum ke homestay.

Dah kami semua hidup bahagia selamanya di Cameron Highlands. Tamat.


...

Begitulah kisah kami semua ketika dari Simpang Pulai hinggalah ke Cameron Highlands. Untuk aku seorang newbie dalam bike touring seperti ini banyak memberi aku pengalaman baru. Bermula dari sini mungkin akan membawa aku ke episod bike touring yang seterusnya. Manalah tahu.

Semoga anda semua terhibur membaca kisah kali ini. Jika berkesempatan, aku akan menulis tentang persediaan aku untuk bike touring . Mungkin korang boleh jadikan panduan kot-kot nak menjelajah dengan basikal dalam negara ke.

Oklah, sampai di sini sahaja cerita untuk kali ini. Jika anda masih belum menonton vlog aku ke Cameron Highlands, jemputlah tonton.

PS: Sejak balik dari Cameron Highlands, aku masih belum kayuh lagi. Entah apalah nasib aku selepas ini...

Tiada ulasan:

Catat Komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...