Mukasurat

Khamis, 1 Oktober 2020

Gementar Berhadapan dengan Tiga Lejen Pagi di Sinar FM


Assalamualaikum, Salam 1Basikal dan Selamat Pagi. Pos kali ini aku cuma nak bercerita tentang aku dijemput sebagai tetamu ke radio Sinar FM pada 30 September 2020; iaitu semalam pagi.

Terus terang aku langsung tak jangka benda ini berlaku dan benda inilah aku takut sejak dari dulu lagi. Dan, aku dah bersiap-siaga sejak dari sekolah lagi untuk menolak kalau-kalau ada mana-mana stesen komunikasi panggil aku untuk temuramah.


Sekeping ni je yang aku ada. Itu pun masa aku sorang-sorang kat lobby.

Masa aku baru mula nak beramah-mesra dengan channel Youtube, pernah juga aku berangan. Walau pun aku fikir sangatlah mustahil benda ini terjadi — dijemput oleh stesen penyiaran untuk temubual.

Aku paling takut kalau kena bersoal-jawab di hadapan orang ramai. Aku cukup tak selesa bila banyak mata memandang aku. Aku tak tahu kenapa, tapi aku memang takut betul benda ini.

Bila bercerita aku lupa yang aku tengah gementar. Habis cerita,
gementar datang balik. Cis!

Takut, tak selesa, tiba-tiba rasa nak demam dan macam-macam lagilah! Tak best betul!

Tapi macam biasalah, benda yang kita takut inilah akan datang kepada kita satu hari nanti. Dan, ini benar-benar terjadi kat aku sendiri.

Satu hari pada pagi hari Rabu lepas, ketika sedang bekerja di pejabat, aku dihubungi oleh Penerbit Sinar FM melalui Instagram. Aku sempatlah baca ayat pembukanya sedikit. Perenggan pertamanya sahaja membuatkan heart rate aku melonjak ke zon-4.

Waktu iklan (off air), aku banyak bersembang dengan Jep dan
Rahim tentang basikal juga. Angah pula sibuk mengendalikan
urusan di konti.

Lepas baca perenggan pertama, aku terus tutup Instagram. Aku sudah mula tak boleh duduk diam dan tidak boleh fokus kerja. Dalam kepala aku perbagai soalan datang. Apa dia nak dari aku? Kenapa dia mesej aku? Kalau dia nak aku interview aku, macam mana? Kalau itu kalau ini begitu begini...ahhhh!

Stress betul!

Lima minit kemudian aku memberanikan diri untuk membuka mesej tersebut. Aku baca sampai habis. Ah sudah! Apa yang aku takut selama ini benar-benar terjadi. Akal aku terus ligat berfikir untuk mencari jawapan yang sesuai.

Aku bagitau kawan aku kat sebelah, dia paksa aku pergi.

Aku mengambil masa dua jam lebih jugalah untuk mencari jawapan yang sesuai untuk dibalas.

Aku sebolehnya mahu bersikap adil kepada semua orang. Kalau orang mesej, aku cuba untuk balas. Kalau ada apa-apa permintaan, aku cuba untuk tunaikan. Tapi, permintaan kali ini memang berat.

Takpelah, aku ringkaskan cerita. Aku akhirnya membalas mesej tersebut dan bersetuju untuk masuk radio. Ini kerana aku faham, apabila melibatkan kerja dan seseorang itu menghantar mesej melibat urusan pekerjaannya, sudah pasti ianya penting kepada dirinya.

Bagi memudahkan kerjanya, aku tak banyak tanyalah. Dalam keadaan gementar, aku terima sahaja. Selebihnya aku berserah kepada Pencipta.


Disebabkan gementarlah aku tak terfikir untuk bergambar dengan Jep, Angan dan Rahim. Dan juga sepatutnya aku bergambar juga dengan Penerbit Sinar FM sekali iatu Zureen. Tapi, masa aku kat sana aku tak fikir semua tu. Dalam kepala aku apa yang ada cuma, 'lepas ini soalan apa bakal ditanya, dan lepas ni diorang nak buat apa'.

Itu sahaja.

Sebenarnya, sejak dari semalam aku sudah merancang sesuatu untuk channel Youtube aku. Aku nak rekod video mereka bertiga sedang berkata, "Kepada penonton channel Pahlawan Basikal, teruskan menyokong channel ini dan subscribe sekarang, like dan share video-video Pahlawan Basikal!".


Chewahhhhh. Sudahnya sampai ke sudah aku terlupa benda ini. Ha-ha-haaaaaaaa!

Alah, paling koman pun dapat bergambar pun jadilah untuk kenang-kenangan. Tapi semua ini takde. Lagi 500 tahun akan datang, cerita Pahlawan Basikal bertemu Jep, Angah, Rahim dan Penerbitnya iaitu Zureen menjadi satu mitos.

Dialog penduduk dunia pada 500 tahun akan datang mungkin berbunyi begini, "Aku pernah terdengar kisah Pahlawan Basikal masuk radio Sinar FM lima enam ratus tahun dulu. Tapi bukti takde. Yang ada cerita dari mulut ke mulut je. Alah, lebih kurang macam cerita Hang Tuah je ni. Entah wujud entahkan tidak."


Kalau benar benda ini bakal terjadi. Buat letih aku gementar dan mengelabah sepanjang 6 hari lepas. Bukan senang aku nak melawan perasaan ini. Kecewa betul!

Walau apa pun, aku berterima kasih dan bersyukur. Dalam gementar, secara jujurnya aku mengakui yang pengalaman ini amat menarik untuk aku. Aku ada satu cerita yang bukan semua orang boleh merasainya. Bukan semua orang dapat peluang macam ini. Walau pun aku kayuh basikal pun sekadar hobi, tapi peluang ini datang kepada aku.

Inilah dinamakan rezeki. Rezeki tak salah tempat, masa dan juga orangnya. Dan, akulah orangnya!

Terima kasih Sinar FM (terutama penerbitnya iaitu Zureen) kerana membuka satu ruang untuk aku berani melawan satu perkara yang aku paling takut sejak sekolah lagi.

Kepada yang mendengar temubual tersebut, terima kasih juga kerana sudi meluangkan masa anda. Minta maaf juga di atas kelemahan-kelemahan yang ada pada diri aku.

PS: Jep, Angah dan juga Rahim memang professional sepanjang segmen Pagi di Sinar . Diorang bertiga memang lejen. Tabik hormat!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...