Mukasurat

Selasa, 30 Mac 2021

MAGENE T300 - Mesin ajaib 'smart trainer' yang harus dimiliki!


Assalamualaikum dan Salam 1Basikal. Aku hampir terlupa yang aku ada blog. Asyik dengan Instagram dan Youtube buatkan aku terlupa tentang blog ini.

Jadi, hari ni aku nak bercerita tentang smart trainer yang aku beli pada bulan lepas. Ini smart trainer pertama aku sepanjang aku kayuh basikal. Sebelum ini bukannya tak nak beli, cuma harganya mahal buatkan aku malas nak fikir.

Korang bayangkan, nak kayuh dalam rumah pun aku kena beli satu mesin yang harganya beribu. Rasa macam dunia ni dah tak betul.

Bukan takde mesin yang ratus-ratus harganya yang dijual di Shopee. Ada je... Cuma jenis aku ni, kalau nak membeli, haruslah menang memakainya.

Aku tak nak beli yang mana aku tengok pun langsung tak bersemangat. Itu akulah. Kalau korang, aku tak tahu. Sesetengah orang tak kisah, asalkan ada.

Tapi aku bukan macam tu. Aku akan buat sasaran barang yang aku betul-betul nak, seterusnya simpan duit sampai cukup. Bila dah cukup, baru aku beli.

Treadmill tu langsung aku lipat sejak ada smart trainer.

Tapi disebabkan COVID 2.0 ni betul-betul buatkan aku terkesan. Nak kayuh kat luar pun terdedah dengan risiko jangkitan. Adakalanya juga diganggu orang yang tak betul kepalanya - menghimpit aku sewaktu berbasikal. Baik kereta mahu pun motor.

Selain tu juga, kalau aku jarang kayuh, ini akan mengganggu proses aku membuat vlog sewaktu berbasikal. Bila bercakap, heart rate tinggi dan ini membuatkan aku tak cukup nafas untuk bercakap. Dan dalam masa yang sama membuatkan oksigen tak cukup sampai ke otak membuatkan aku menjadi tidak kreatif.

Penyelesaiannya, aku harus ada sebuah mesin ajaib yang mampu milik dan kondisinya haruslah cukup memuaskan hati aku.

Aku letak bersebelahan treadmill.

Setelah membuat kajian smart trainer yang aku mampu hampir 3 bulan, akhirnya aku memilih Magene T300. Dan, sehingga aku menulis blog ini, aku cukup berpuas hati dapat memiliki smart trainer Magene T300 ini.

Tapi itulah... Setiap bulan aku perlu mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar aplikasi Zwift sekitar RM62. Kalau tidak, mesin ajaib buatan China ini boleh jadi tukun buruk. Kayuh tanpa Zwift akan buatkan kita kayuh tanpa motivasi.

Inilah Magene T300.

Selain Zwift, ada juga aplikasi yang lain seperti RGT Cycling, Rouvy, Bkool dan beberapa virtual cycling platform yang lain. Aku memilih Zwift sebab kebanyakannya daripada kita kat Malaysia ni memilih Zwift. Senang cakap, ramai kawan-kawan aku menggunakan Zwift. Manalah tahu aku nak kayuh dengan diorang ni dalam Zwift, anytime boleh.

Aku pernah cuba masuk dalam RGT Cycling, tapi yang kayuh waktu tu cuma puluh-puluh orang je. Bila aku masuk Zwift, nah... beribu orang tengah kayuh.

Tapi untuk sementara ni biar aku dengan Zwift dulu; sebelum bertukar kepada platform lain.

Aku guna karpet gym yang dibeli di shopee.
Aku takut jiran bawah dengar kuat sangat.

Oh ya, aku beli Magene T300 ni kat Shopee. Nama kedai yang aku beli tu Granfondo. Banyak juga barang yang aku beli kat kedai ni; Shimano Pro Stealth carbon rail saddle, Bryton 530, carbon bottle cage, aku beli kat kedai nilah.

Kebanyakannya harga yang dijualnya agak murah. Itu yang aku beli kat kedai dia.

Kalau korang nak beli dan mempunyai bajet yang sederhana, aku cadangkan korang beli yang macam aku punya. Harga set lengkap adalah RM3,000. Kalau tanpa cassette harganya akan murah sedikit.

Lepas aku banyak luangkan masa kayuh kat Zwift dengan menggunakan Magene T300 ni, aku akui yang ianya banyak membantu aku ketika bikevlogging. Bayangkan aku dah tak kayuh kat luar 2 bulan; dan terus kayuh 100km sekitar Putrajaya tanpa sebarang masalah.

Katakanlah apabila Selangor diumumkan PKPP sama macam Putrajaya, aku akan terus ikut kumpulan basikal dan kayuh 100 km ke atas seperti biasa tanpa bonk.


Sambil kayuh, aku boleh tonton Netflix bersebelahan Zwift.

Kalau dulu aku terpaksa ambil masa 2 minggu untuk bina kecergasan semula sebelum ikut mana-mana kumpulan basikal. Tapi kali ni, tak payah. Tamat je PKPB, aku terus ikut diorang kayuh beratus km. Nak kayuh kat mana, cakap je. Amerika, Zimbabwe, Kepulauan Cayman, Bermuda, Bagan Lalang, hah cakap je.

Itulah kelebihan apabila ada smart trainer yang dihubungkan kepada aplikasi Zwift. Mungkin apa yang aku ceritakan ini mampu membuatkan korang memilih apa yang terbaik untuk diri korang.

Baiklah, aku berhenti setakat ini sahaja untuk topik smart trainer. Sebab aku nak sambung cerita topik lain pulak. Nantikan pos akan datang.

Sehingga kita bertemu kembali. Adios!

PS: Aku nak buat meet up dengan subscribers kat Zwift nanti. Tapi tak tahu macam mana ha-ha!

Sabtu, 2 Januari 2021

Selamat Tahun Baru 2021 — Aku tak nak lewat dah!


Wahhhh, kita sudah berada di tahun 2021 lah! Pada aku, tahun 2020 terlalu cepat berlalu. Dan macam-macam kejadian terjadi sepanjang tahun 2020 kat dunia kita ni. Tapi itu tak kisahlah. Apa yang penting, aku nak ucapkan kat korang semua SELAMAT TAHUN BARU 2021!

Terima kasih juga kerana berterusan menyokong aku hingga ke saat ini!

Kalau nak difikirkan perkara-perkara negatif, banyak jugak nak diceritakan. Tapi, itu kita tolak ke tepi. Kita cuma fokus yang positif sahaja; okey?!

Kat media sosial aku nampak ramai yang pos report card aktiviti fitness masing-masing. Semuanya mantap-mantap! Ada yang tahap fitness-nya sampai ke bulan — mencanak-canak!

Eh, aku pun nak juga turut sertalah... Walaupun taklah mantap, tapi nak jugak eksyen dengan korang semua.

Ini je yang mampu.

Tidaklah mantap macam yang lain-lain di luar sana. Tapi ini ajelah yang aku mampu luangkan masa kat atas basikal. Itu pun aku rasa libang-libu dibuatnya ha-ha!

Bukan senang woi!

Nak uruskan masa satu hal. Belum cerita uruskan hal-hal berkaitan Pahlawan Basikal yang lain. Bukan setakat video di channel Youtube, malah menguruskan media sosial pun mencabar jugak. Aku bukannya pandai sangat dalam hal-hal macam ni. Tapi, gigih jugaklah bagi menghiburkan korang semua.

Dalam kesibukan, dapat juga aku keluarkan jersi basikal
edisi Pahlawan Basikal.

Sebelum keluarkan jersi basikal, aku sempat hasilkan tshirt microfibre
dan juga cotton Pahlawan Basikal.

Kena pulak korang sentiasa menyokong aku, lagilah aku bersemangat untuk mengisi ruang hiburan dalam jiwa korang semua. Terima kasih ek!

Baiklah. Pos kali ini aku nak sentuh sedikit tentang 'masa'. Setiap daripada kita memang tak lari daripada masa dan setiap orang perlu menguruskan masa dengan berhati-hati.

Kalau korang tengok vlog aku, boleh kata semuanya lewat. Ini memang tidak bagus langsung. Tidak boleh dijadikan contoh yang baik. Ini korang boleh jadikan sempadan.

Progress Instagram Pahlawan Basikal.

Paling teruk, terlepas waktu berkumpul dan sudahnya kayuh sorang-sorang dalam Putrajaya.

Dulu aku taklah macam ni. Tapi sejak berpindah ke rumah baru, aku ada kesulitan untuk bawa kereta untuk ke tempat berkumpul. Masa aku tinggal di kuater kerajaan di 5R4 dulu, takde masalah sangat. Keluar pintu, terus kayuh.

Tapi sejak berpindah ke rumah baru, aku dah tinggal di kayangan — bertingkat-tingkat dan perlu menunggu lif. Ini belum cerita lif rosak. Lepas turun lif, aku kena berjalan menuju ke blok sebelah untuk ke tapak parkir. Aras parkir pula bukan lower groud, tapi bertingkat jugaklah aku kena hadap.

Itu sebabnya aku tak nak naik kereta menuju ke tempat berkumpul. Bagi mengelak terlewat, aku perlu keluar awal. Tapi kalau keluar awal, aku kena hadap juga sakit perut.

Walau dengan menaiki kereta boleh tiba sedikit lebih awal. Tapi nak mengusung basikal dengan menaiki lif sambil bawa beg yang sarat dengan keperluan waktu kayuh nanti amatlah leceh. Bukan itu je. Tiba di kereta kena buka wheelset dan sumbat ke dalam kereta.

Ah, lecehlah!

Sakit Perut

Umur aku sudah menghampiri pertengahan 40-an dan tahap kecergasan aku pun tak macam di awal 30-an. Macam aku ada masalah pada bahagian perut. Setiap pagi memang aku kena selesaikan perkara ni dulu. Perut sensitif, tak boleh salah makan sewaktu carbo-loading bukanlah perkara yang mudah. Kalau nasib tak baik, bila-bila masa gastrik boleh menyerang. Kalau kena gastrik, nak berjalan pun sakit.

Tapi, alhamdulillah; gastrik sampai tak boleh berjalan dah lama tak kena. Aku jaga diet dan elak makan fast-food.

Kita kena ingat, makin umur meningkat, ada komplikasi dari segi kesihatan; samada kita sedar atau pun tidak. Kita kena beza hobi yang mendatangkan kesihatan atau pun memudaratkan. Dan ini kita sendiri yang pilih.

Tahajud

Bila sebut Tahajud, sudah tentu kita kena bangun awal setiap hari. Aku pun tak terlepas dari Tahajud. Pukul 4 pagi adalah waktu aku bangun tidur dan bertahajud. Paling lewat bangun tidur pun pukul 5 pagi. Tapi kalau pukul 5 pagi, masih sempat bertahajud dan aku akan terus tunggu sampai subuh.

Waktu begini, aku jarang sakit perut. Kena tunggu pukul 6 pagi ha-ha!

Cuma kalau aku bangun 4 pagi, aku akan terlelap sambil menunggu subuh. Paling ngeri aku terjaga jam 6:30. Hah, ini memang automatik aku solo dalam Putrajaya.

Tapi, aku tak kisah sebab bila dapat Tahajud, jiwa rasa lapang dan waktu kayuh basikal memang rasa seronok dan lebih bersemangat.


Kalau dulu, aku letak hobi basikal nombor satu. Bila usia makin menganjak, aku mula berpada-pada. Badan pun tak cergas macam dulu. Kalau aku nak cergas macam dulu, aku perlu berkorban banyak masa. Latihan kecerdasan memerlukan masa yang banyak dan disiplin yang tinggi. Tapi perlu ingat, masa itu emas. Kita kena berhati-hati menggunakan masa itu mengikut keperluan diri. Tak boleh ikut orang. Setiap orang, keperluannya serta objektifnya berbeza.

Waktu ni hidup macam atlet. Duit pun banyak habis.

Kalau kita mampu uruskan masa dengan bagus, itu satu kelebihan yang best. Macam aku, aku tak pandai uruskan masa. Urus masa pun cukup-cukup makan. Jadi, di sini ada give and take lah. Kalau aku tak pandai uruskan masa, aku kena menerimalah hasil seadanya.

Berbeza dengan seseorang yang mampu uruskan masanya, maka dia mampu mendapat hasil yang jauh lebih baik.

Okey, cukuplah cerita bagi pembuka Tahun Baru 2021. Aku sepatutnya lebih rajin menulis di blog ini di samping channel Youtube aku. Usia blog ini pun sudah 10 tahun. Dah sama umur anak bongsu aku!

Baiklah. Kepada korang aku nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kerana terus setia menyokong aku. Selagi korang terus menonton video-video yang aku muat-naik kat Youtube, selagi itulah aku akan terus menghiburkan korang semua. Tapi perlu diingatkan, walau apa pun yang korang tonton dalam video-video aku di Youtube tu, segalanya ada hiburan sahaja. Jangan ambil serius tau!

PS: Jalan yang mana satu, kita yang pilih. Dan, penghujungnya cuma ada dua destinasi sahaja.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...