Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label astro. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label astro. Papar semua catatan

Khamis, 1 Oktober 2020

Gementar Berhadapan dengan Tiga Lejen Pagi di Sinar FM


Assalamualaikum, Salam 1Basikal dan Selamat Pagi. Pos kali ini aku cuma nak bercerita tentang aku dijemput sebagai tetamu ke radio Sinar FM pada 30 September 2020; iaitu semalam pagi.

Terus terang aku langsung tak jangka benda ini berlaku dan benda inilah aku takut sejak dari dulu lagi. Dan, aku dah bersiap-siaga sejak dari sekolah lagi untuk menolak kalau-kalau ada mana-mana stesen komunikasi panggil aku untuk temuramah.


Sekeping ni je yang aku ada. Itu pun masa aku sorang-sorang kat lobby.

Masa aku baru mula nak beramah-mesra dengan channel Youtube, pernah juga aku berangan. Walau pun aku fikir sangatlah mustahil benda ini terjadi — dijemput oleh stesen penyiaran untuk temubual.

Aku paling takut kalau kena bersoal-jawab di hadapan orang ramai. Aku cukup tak selesa bila banyak mata memandang aku. Aku tak tahu kenapa, tapi aku memang takut betul benda ini.

Bila bercerita aku lupa yang aku tengah gementar. Habis cerita,
gementar datang balik. Cis!

Takut, tak selesa, tiba-tiba rasa nak demam dan macam-macam lagilah! Tak best betul!

Tapi macam biasalah, benda yang kita takut inilah akan datang kepada kita satu hari nanti. Dan, ini benar-benar terjadi kat aku sendiri.

Satu hari pada pagi hari Rabu lepas, ketika sedang bekerja di pejabat, aku dihubungi oleh Penerbit Sinar FM melalui Instagram. Aku sempatlah baca ayat pembukanya sedikit. Perenggan pertamanya sahaja membuatkan heart rate aku melonjak ke zon-4.

Waktu iklan (off air), aku banyak bersembang dengan Jep dan
Rahim tentang basikal juga. Angah pula sibuk mengendalikan
urusan di konti.

Lepas baca perenggan pertama, aku terus tutup Instagram. Aku sudah mula tak boleh duduk diam dan tidak boleh fokus kerja. Dalam kepala aku perbagai soalan datang. Apa dia nak dari aku? Kenapa dia mesej aku? Kalau dia nak aku interview aku, macam mana? Kalau itu kalau ini begitu begini...ahhhh!

Stress betul!

Lima minit kemudian aku memberanikan diri untuk membuka mesej tersebut. Aku baca sampai habis. Ah sudah! Apa yang aku takut selama ini benar-benar terjadi. Akal aku terus ligat berfikir untuk mencari jawapan yang sesuai.

Aku bagitau kawan aku kat sebelah, dia paksa aku pergi.

Aku mengambil masa dua jam lebih jugalah untuk mencari jawapan yang sesuai untuk dibalas.

Aku sebolehnya mahu bersikap adil kepada semua orang. Kalau orang mesej, aku cuba untuk balas. Kalau ada apa-apa permintaan, aku cuba untuk tunaikan. Tapi, permintaan kali ini memang berat.

Takpelah, aku ringkaskan cerita. Aku akhirnya membalas mesej tersebut dan bersetuju untuk masuk radio. Ini kerana aku faham, apabila melibatkan kerja dan seseorang itu menghantar mesej melibat urusan pekerjaannya, sudah pasti ianya penting kepada dirinya.

Bagi memudahkan kerjanya, aku tak banyak tanyalah. Dalam keadaan gementar, aku terima sahaja. Selebihnya aku berserah kepada Pencipta.


Disebabkan gementarlah aku tak terfikir untuk bergambar dengan Jep, Angan dan Rahim. Dan juga sepatutnya aku bergambar juga dengan Penerbit Sinar FM sekali iatu Zureen. Tapi, masa aku kat sana aku tak fikir semua tu. Dalam kepala aku apa yang ada cuma, 'lepas ini soalan apa bakal ditanya, dan lepas ni diorang nak buat apa'.

Itu sahaja.

Sebenarnya, sejak dari semalam aku sudah merancang sesuatu untuk channel Youtube aku. Aku nak rekod video mereka bertiga sedang berkata, "Kepada penonton channel Pahlawan Basikal, teruskan menyokong channel ini dan subscribe sekarang, like dan share video-video Pahlawan Basikal!".


Chewahhhhh. Sudahnya sampai ke sudah aku terlupa benda ini. Ha-ha-haaaaaaaa!

Alah, paling koman pun dapat bergambar pun jadilah untuk kenang-kenangan. Tapi semua ini takde. Lagi 500 tahun akan datang, cerita Pahlawan Basikal bertemu Jep, Angah, Rahim dan Penerbitnya iaitu Zureen menjadi satu mitos.

Dialog penduduk dunia pada 500 tahun akan datang mungkin berbunyi begini, "Aku pernah terdengar kisah Pahlawan Basikal masuk radio Sinar FM lima enam ratus tahun dulu. Tapi bukti takde. Yang ada cerita dari mulut ke mulut je. Alah, lebih kurang macam cerita Hang Tuah je ni. Entah wujud entahkan tidak."


Kalau benar benda ini bakal terjadi. Buat letih aku gementar dan mengelabah sepanjang 6 hari lepas. Bukan senang aku nak melawan perasaan ini. Kecewa betul!

Walau apa pun, aku berterima kasih dan bersyukur. Dalam gementar, secara jujurnya aku mengakui yang pengalaman ini amat menarik untuk aku. Aku ada satu cerita yang bukan semua orang boleh merasainya. Bukan semua orang dapat peluang macam ini. Walau pun aku kayuh basikal pun sekadar hobi, tapi peluang ini datang kepada aku.

Inilah dinamakan rezeki. Rezeki tak salah tempat, masa dan juga orangnya. Dan, akulah orangnya!

Terima kasih Sinar FM (terutama penerbitnya iaitu Zureen) kerana membuka satu ruang untuk aku berani melawan satu perkara yang aku paling takut sejak sekolah lagi.

Kepada yang mendengar temubual tersebut, terima kasih juga kerana sudi meluangkan masa anda. Minta maaf juga di atas kelemahan-kelemahan yang ada pada diri aku.

PS: Jep, Angah dan juga Rahim memang professional sepanjang segmen Pagi di Sinar . Diorang bertiga memang lejen. Tabik hormat!

Rabu, 29 Februari 2012

Eh, Mana Azizulhasni Awang?


Pada 3 hari lepas iaitu 26hb Februari 2012, aku berpeluang menjadi pelakon tambahan yang khabarnya untuk siri dokumentari Astro Discovery Channel tentang Azizulhasni Awang.

Pada awalnya, aku menolak pelawaan salah seorang ahli Tri Paku iaitu Awe. Tapi, bila dengarnya ramai jugak geng Tri Paku pun turut serta jadi pelakon tambahan, aku pun tak nak le lepaskan peluang ni.

Segala persiapan sangat rapi dan sudah tersedia pada
malam sebelumnya.

Aku keluar rumah awal dan hari masih gelap lagi.
Janji dengan Mawi kat jalan keluar Putrajaya jam 6:45 pagi.

Khabarnya jugak, hanya 7 orang sahaja diperlukan sebagai pelakon tambahan dan setiap seorang dibayar RM100. Yang menjadi kepalanya pula adalah Shah dan kami semua hanya mengikut telunjuknya sahaja.

Aku tak ambik port sangat bab RM100 tu. Janji aku dapat masuk TV. Seumur hidup aku, tak pernah merasa masuk TV. Jangankan kelibat, bunyi batuk aku pun tak pernah sama sekali.

Pengambaran dilakukan di Batu 18, Hulu Langat. Jadi, kesemua pelakon (chewahhhh) perlu berkumpul di Dewan Orang Ramai Batu 14 dan sama-sama menuju ke Sekolah Rendah Choon Hwa. Ini kerana semua orang yang terlibat telah pun menunggu kami semua di sekolah tersebut.

Jam sudah pukul 7:47 pagi. Kami semua perlu tiba di
Sekolah Rendah Choon Hwa jam 8:00 pagi.

Sedang menunggu Shah tiba sedangkan kami sudah berada
di hadapan sekolah tersebut.

Ini semua orang Tri Paku.

Apabila tiba di sekolah tersebut, kami semua dihidangkan sarapan nasik lemak, kuih-muih, air milo dan juga nescafe.

Mata aku tercari-cari manalah si Azizulhasni Awang. Tak ada pun. Oh, mungkin beliau sedang make up kot.

Rupa-rupanya, mana ada Azizulhasni Awang hari tersebut. Azizul dah pun selesai pengambarannya di Terengganu semalam. Aisehhhhhh salah info rupanya aku...

Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Choon Hwa di
Batu 18, Jalan Dusun Tua, Hulu Langat.

Kanak-kanak sekolah ini pun berlakon jugak. Diorang semua
jadi penyokong di tepi jalan.

Sarapan nasik lemak. Aku tak makan pun.

Makan sambil bersembang.

Tapi, tak apa lah. Tak ada Azizulhasni Awang pun tak apa. Janji dapat masuk TV.

Dalam 15 minit selepas itu, kami semua diberi arahan untuk mulakan pengambaran. Kami semua pun mengikut Shah dan pada yang sama ada beberapa rakan lain baru tiba. Ini menjadikan pelakon tambahan bertambah kepada 15 orang.

Seterusnya, kami menghala ke arah Genting Perez. Dan, di pertengahan jalan yang menghala ke Genting Perez lah pengambaran dilakukan.

Sedang menunggu arahan seterusnya daripada
Tuan Direktor.

Cikgu sedang memberi nasihat kepada anak-anak murid
supaya kelihatan sopan ketika sedang berlakon.

Sepanjang pengambaran itu, tak ada cerita yang menarik pun yang boleh diceritakan kat korang semua. Balik-balik buat benda yang sama.

Peranan kami semua hanya mengayuh basikal ke hulu ke hilir dan pada masa yang sama kamera mengambil aksi kami.

Tak ada lagak ngeri. Tak ada dialog. Hanya kayuh basikal. Itu sahaja.

Kononnya ketika itu adalah perlumbaan basikal yang sedang berlangsung dan kami semua adalah Pro Cyclist dari pelbagai negara.

Sedang menunggu babak seterusnya.

Masa ni semua dah rasa agak bosan dan tertanya-tanya
bila nak habis.

Aku rasa dalam sejam jugak le baru selesai pengambaran. Selepas Shah mengambil bayaran yang keseluruhannya RM700 dan kami semua terus menghala ke Bukit Hantu untuk manfaatkan masa yang berbaki.

Inilah pertama kalinya aku menghadap Bukit Hantu yang tingginya boleh dikatakan mencabar. Tapi, ianya tak sejauh Genting Perez dan ketinggian bukitnya agak mencanak jugak le berbanding Genting Perez.

Sepanjang mendaki, meter aku sekitar 11 - 12 km sejam. Aku tak tahu berapa kilometer perlu mendaki kerana ini pengalaman pertama aku. Jadi, aku tak berani nak tekan lebih-lebih.

Karang aku tekan macam naik Genting Perez, sekali 15 km jauhnya... Hah, naya!

Lepas mendaki dalam 15 minit dan turun sekitar 5 - 7 minit, kami semua tiba di Dewan Orang Ramai Batu 14 sekitar jam 10.55 pagi.

Shah sedang memberi kata penutup dan ucapan terima kasih
di atas kesungguhan kami ketika berlakon pagi tadi.

Waktu ini sedang menunggu duit daripada Shah.

Lepas masukkan basikal ke dalam kereta masing-masing, kami semua minum di gerai bersebelahan dewan dan Shah mula membahagikan wang hasil titik peluh berlakon pagi tadi.

Setiap orang dapat RM70 setelah diagihkan kepada para pelakon tambahan yang muncul di saat-saat akhir. Sejam berlakon dapat RM70 kira oklah. Cukup untuk isi minyak penuhkan tangki kancil aku dan makan tengahari Nasi Pakistan berlaukkan kambing.

Akhir sekali, diharapkan agar para pembaca aku dapat menjadikan cerita aku ini sebagai panduan iaitu Bagaimana Melibatkan Diri dalam Bidang Lakonan Secara Semulajadi.

PS: Harap-harap Yusuf Haslam melihat aku berlakon dalam dokumentari yang aku berlakon tu. Manalah tau kot-kot dia berminat dengan lakonan dengan aku ke.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...