Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label italy. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label italy. Papar semua catatan

Ahad, 22 Januari 2012

Resepi Hari Minggu: Pasta Ayajartup, Siap Dimasak Sedap Di Makan


Seingat aku, resepi yang pernah aku kongsikan dengan korang semua adalah pada tahun lepas iaitu tentang bagaimana membuat Bar Protein.

Hari ini aku kembali lagi untuk membawa anda ke dapur aku dan seterusnya berkongsi resepi Pasta Ayajartup. Resepi ini adalah asli turun temurun daripada keluarga aku yang berasal dari Itali dan Greek.

Untuk pengetahuan anda, Pasta Ayajartup adalah gabungan bahasa Itali dan Greek. Pasta adalah daripada bahasa Itali dan Ayajartup pula adalah daripada bahasa Greek yang bermaksud Putrajaya.

Beginilah rupanya Pasta Ayajartup.

Okey, sekarang korang sudah pun tahu sejarah resepi aku ini. Jadi, moleklah sekiranya kita teruskan sahaja agenda kita.

Bahan-bahannya adalah:
  • Pasta
  • Minyak Zaitun
  • Garam
  • Serbuk Keju
  • Sosej

Di bawah ni aku sertakan gambar untuk memudahkan korang cari kat pasaraya nanti:

Pasta jenama Liguori berharga sekitar RM5. Kalau tak silap
aku lah. Aku pun tak berapa ingat.

Minyak zaitun jenama Colavita berharga RM29.95.

Serbuk keju jenama Formaggio berharga sekitar RM8

Sosej jenama Ramly. Harga aku tak ingat pulak.

Bahan-bahannya mudah sahaja. Nak masak pun sangatlah senang. Caranya:

Rebus pasta dan sosej serentak dengan air bersih selama 10 - 15 minit (bergantung pada kekuatan api dapur). Bila nampak pasta tu dah kembang kiranya dah masaklah. Lepas tu buang air rebus tersebut dengan menggunakan penapis dan letakkan pasta dalam pinggan.

Taburkan secubit garam dan diikuti serbuk keju. Garam tu jangan banyak sangat, secubit pun dah cukup. Serbuk keju tu pun dalam 5 cubit pun dah ok.

Akhir sekali baru tuang minyak zaitun dan gaulkan dengan tangan hingga rata. Minyak zaitun tu pulak jangan tuang banyak sangat. Sekadar ratakan keseluruhan pasta pun sudah memandai.

Lepas tu dah boleh makan Pasta Ayajartup dengan penuh yakin.

Mudah kan? Kalau korang nak kayuh basikal atau marathon, elok sangat le. Korang boleh rasakan prestasi sama hebat dengan minyak Shell V-Power.

Selamat mencuba!

PS: Ramuan-ramuan tu semua aku beli kat Carrefour, Alamanda Putrajaya. Kalau kat kedai runcit mamak, tak ada kot.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...