Mukasurat

Memaparkan catatan dengan label lenggeng. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lenggeng. Papar semua catatan

Selasa, 26 Februari 2019

Rocket Ride oleh Maxxis - Moh ke Lenggeng kite!


Pada Ahad baru-baru ini (24 Februari 2019) aku berpeluang sertai sekumpulan besar seramai 78 orang ke Lenggeng, Negeri Sembilan. Mereka semua ini terdiri daripada Pahlawan Basikal yang mempunyai kepakaran bertempur dalam hutan, jalan raya mahu pun bukit bukau.

Sebenarnya, aku pun gerun juga bila tiba di tapak perhimpunan pada pagi itu. Masing-masing dengan senjata canggih dan moden. Jika hendak dibandingkan dengan aku, handle bar pun serupa tukul besi — berat nak mampus!



Jemput tengok video di atas ini. Segala emosi berada di dalamnya.

Sebenarnya aku kekurangan informasi tentang kayuhan ini pada mulanya. Aku agak terkejut juga apabila terlihat di persekitaran pada waktu itu seakan ada mini event. Di situ terdapat mini booth memaparkan acara tersebut ditaja oleh MAXXIS. Seperti tersedia maklum, rata-ratanya tahu MAXXIS memang mengeluarkan produk tayar basikal yang lazat berkrim. Harganya pun boleh tahan jugalah.

Sedang melakukan demo mekanikal oleh kakitangan
MAXXIS bersama Dilla dari team Speedzone dan EZR.

Terkebil-kebil jugalah aku waktu itu.

Aku cuma ingatkan ini adalah kayuhan hujung minggu biasa-biasa yang sering EZR (Dahulu nama EZ Ride) buat. Rupa-rupanya ini adalah luar biasa pada aku. Aku lihat susun-atur acara nampak kemas dan memang dirancang rapi. Segalanya nampak teratur.

Dengan spontannya aku memberikan satu tabik hormat sebagai penghargaan. Semua orang memandang pelik. Tapi aku tidak kisah.

Gambar ini aku pinjam tanpa kebenaran daripada Mohd Shahrin.

Baiklah, acara ini diberi nama ROCKET RIDE by MAXXIS. Kumpulan-kumpulan basikal yang terlibat adalah EZR, SPEEDZONE, LSR, NOGLB, SPCC, XL TEAM, PSB dan juga SMC.

Di sini aku terkesan dengan seorang ahli Speedzone dan juga EZR ni; namanya Dilla. Aku pernah pos jemputan Charity Ride for Dilla dalam page Facebook Pahlawan Basikal pada November 19, 2018 lalu.

Walaupun aku tak pernah mengenali beliau secara peribadi, tapi bila tengok dia sihat 100% daripada kemalangan beberapa bulan lalu, aku pun tumpang seronok.

Dalam masa yang sama Charity Ride for Dilla juga menemukan aku dengan kawan-kawan lama yang kayuh laju-laju macam orang gila dalam Putrajaya suatu masa dahulu. Seperti yang sedia maklum, aku berhenti kayuh basikal tiga tahun. Jadi ini umpama jejak kasih untuk aku. Nasib baik tak masuk TV3...

Ok sambung balik cerita asal. Aku kalau sudah mula merepek, memang boleh terpesong akidah orang. Memang bahaya.

Setelah sedikit taklimat ringkas oleh wakil penganjur, kayuhan epik pun bermula sedikit lewat beberapa belas minit. Dalam masa yang sama aku takut le jugak kalau-kalau masuk 50 kilometer aku terus bonk.

Kali terakhir aku kayuh 100 kilometer adalah pada dua minggu lepas sewaktu ke Bagan Lalang. Waktu itu aku bonk. Boleh tengok buktinya di sini.

Disebabkan waktu ini ramai perempuan, tiba-tiba aku rasa macam James Bond pulak. Semangat aku jadi lain macam sikit. Tapi itulah... perasaan itu sekejap je — 30 minit kemudian nafas aku dah jadi pendek.

LEKAS Highway
Sebaik sahaja masuk ke LEKAS Highway, peloton di hadapan mula memecut. Aku sekadar tengok dari jauh sahaja. Kalau aku ikut diorang semua, cerita blog aku hari ni habis takat ini sahaja.

Oh ye, sepanjang kayuhan kali ini ada kereta sokongan oleh Gin Huat. Sempat mereka bertanyakan samada aku okey atau pun tidak. Huh, nampak sangat aku bonk waktu itu. Rambut aku pun habis terkeluar dari lubang-lubang udara helmet. Patut le diorang tanya aku ok ke tak. Keadaan aku agak kritikal waktu itu.

Aku pun menumpang peloton yang terdiri daripada 5 orang Pahlawan Basikal untuk mengelakkan bonk berterusan.

Terima kasih banyak-banyak kepada mereka ini yang menerima
aku dalam peloton.

Tengok... Siap lambai kat aku. Sedangkan waktu ini aku sudah hampir
berputus asa.

Bukit Puyuh
Kali terakhir aku menaiki Bukit Puyuh kalau tak silap aku tahun 2013. Aku pun dah tak ingat bila. Aku agak sahaja. Bila menaiki bukit ini, aku tawakal ajelah sebab aku pun sudah tak berapa ingat berapa jauh aku perlu mendaki.

Eleh, rupa-rupanya tak sampai 2 kilometer pun. Rasa eksyen jugak le waktu tu. Ha-ha!

Lepas ni aku patut tukar nama Bukit Puyuh ini kepada Bukit Kacang.

Kat atas puncak berhenti sekejap sambil tunggu yang lain yang masih berusaha keras mendaki. Kemudian kami semua menyambung perjalanan yang berbaki beberapa kilometer sahaja untuk sampai ke gerai di Lenggeng.

Di gerai nasi lemak ini pihak penganjur membuat cabutan bertuah. Tahniah kepada mereka yang bertuah tersebut.

Cabutan bertuah di dalam gerai nasi lemak Lenggeng.

Setelah itu kami semua menyambung perjalanan untuk pulang ke Putrajaya. Yang menariknya, laluan melalui kampung sekitar Semenyih ini memang aku tidak pernah lalu. Kiri kanan pokok, memang menarik. Perang bendera antara parti Barisan Nasional dan parti Harapan memenuhi jalan kampung.

Sepanjang perjalanan aku cuma mengambil sikap berhati-hati. Meter sudah mencecah 85 kilometer dan risiko untuk cramp memang boleh terjadi bila-bila masa sahaja.

Jadi aku cuma duduk dalam peloton di tengah-tengah sahaja. Hinggalah tiba di Jenderam Hilir dan menghampiri Kampung Sungai Merab.

Nama bukit ini adalah Bukit Minang. Bukit ini memang aku paling menyampah. Aku tak tahu siapa punya idea lalu ikut sini. Mati-mati aku ingat lalu ikut jalan sewaktu pergi tadi - tanpa bukit dan boleh kayuh senang lenang. Sekali kena tempuh bukit yang paling aku menyampah - simpang lampu isyarat di Kampung Sungai Merab.

Cis!

Aku memang tak suka lalu ikut jalan ni.

Aku kayuh selaju mungkin agar kerja siksa ini habis secepat yang boleh. Aku rasa heart rate aku 100% lebih masa naik bukit ini. Nasib baik aku tak menolak waktu mendaki. Tiba-tiba eksyen datang kembali dalam jiwa aku. Iyalah, berjaya naik bukit tanpa cramp. Ha-ha!

Di sempadan simpang masuk daerah Putrajaya, kami singgah sebentar pekena air kelapa. Terus terang aku katakan air kelapa yang dijual di gerai tersebut rasanya paling teruk pernah aku minum. Tapi itulah, dalam keadaan panas mencecah 42° apa sangatlah yang boleh aku harap. Bersyukur seadanya...

Gembira sebab baru selesai minum air kelapa. Lagi 7 kilometer nak sampai
ke Palace of Justice, Putrajaya.

Alhamdulillah, aku berpecah dengan empat orang yang lain setibanya aku di Presint 5. Aku tak tahu nama mereka. Tapi aku rasakan mereka ini adalah dari keturunan orang yang baik-baik belaka.

Disebabkan aku kayuh dari rumah, aku dapat lebih kilometer iaitu 116 kilometer. Apa yang aku rasakan ketika ini? Tak lain tak bukan, memang aku rasa sangat puas hati. Rakan-rakan baru yang manis-manis keadaannya memberikan aku semangat untuk pulang ke rumah dengan maruah yang sedikit pun tak tercalar.


Ini Vlog yang sempat aku dokumentasikan sewaktu kayuhan.
Jemput subscribe channel Youtube aku sekali ya.

Terima kasih daun keladi. Ada masa, aku ikut korang lagi.

PS: Minggu ini aku mahu ke Broga dari Putrajaya. Tapi kali ni semua jantan belaka.

Khamis, 24 Januari 2019

Cerita Dua Minggu


Sekarang ni aku tengah sibuk fokus channel Youtube Pahlawan Basikal. Dalam 24 hari ini aku sudah terbit sebanyak 12 video. Isi kandungan videonya pula terdiri daripada vlog, ulasan produk berkaitan basikal dan juga aktiviti berbasikal aku.

Bagi waktu terdekat ini aku akan buat satu lagi kategori berkenaan tip berbasikal. Ini kerana dalam cerita-cerita aku yang lepas melalui blog ini mungkin agak terhad isi kandungan mahupun capaian khalayaknya. Maka, aku fikir ada baiknya aku perkembangkan bentuk penyampaiannya agar lebih luas dan santai — iaitu melalui video.

Sekarang ini ramai yang suka menonton Youtube. Aku sendiri pun macam tu, habis video Youtube aku geledah. Daripada video bagaimana mahu menternak ikan paus hinggalah cara-cara membaiki tombol pintu tandas.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna aku mahu tingalkan terus blog aku ini. Aku pun tak tahu berapa ramai yang membacanya, tapi blog ini ada sentimental value dalam hidup aku. Perlu diingatkan, tidak semua isi kandungan boleh dirakam melalui video. Adakalanya ia perlu dihadkan skopnya dan mungkin gaya penceritaanya lebih sesuai dalam bentuk teks.

Kepada yang belum menonton video-video di channel Youtube Pahlawan Basikal, aku berharap sangat agar sudi-sudilah menonton, like video-videonya dan subscribe. Tiga perkara tersebut mampu melonjakkan adrenalin aku agar terus berkarya secara percuma sambil berkongsi ilmu.

Jangan lupa subscribe ye:




Berbasikal ke Lenggeng, Negeri Sembilan
Pada 13hb Januari dua minggu lepas, aku dan seramai tujuh yang lain berbasikal ke Mukim Lenggeng terletak dalam Daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Aku sudah lama tak ke sini. Seingat aku kali terakhirnya adalah tahun 2013. Dah hampir 6 tahun beb haha! Aku pun sudah lupa macam mana keadaan bentuk muka buminya. Tapi apa yang pasti, berbekalkan pengalaman lampau, aku tidak boleh kayuh ikut sedap hati. Silap gaya boleh cramp.


Nanti aku buat vlog mengenai tip pemakanan sebagai persediaan aku ketika ke Lenggeng. Korang jangan lupa subscribe dan jenguk-jenguk channel aku tu nanti. Mana tau tip-tip yang bakal aku kongsikan nanti mampu melayakkan diri korang ke Le Tour de France tahun 2040 nanti...haha!

Apa yang pasti aku tak bonk. Agak okey juga ingatan aku ni...masih boleh ingat bagaimana persediaan dan pemakanan pada hari sebelumnya. Pada aku, persediaan amat penting. Kalau tidak ada persediaan yang cukup, silap-silap baru kayuh 50 kilometer terus bonk.



Berbasikal ke Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan
Pada 20hb Januari pula, aku dan bersama dua orang lain iaitu Faisal dan A'ar ke Negeri Sembilan sekali lagi. Kali ni ke Bandar Baru Enstek. Ianya cuma bersebelahan dengan KLIA sahaja. Aku cuma ikut sahaja pelan kayuh dua orang askar gerila ni. Aku sendiri tidak tahu pada awalnya apakah perancangan mereka berdua.

Setahu aku mahu ke KLIA sekali lagi. Entah macam masa, rancangan bertukar di saat akhir ketika kayuh pada pagi itu. Aku tak kisah. Ke mana pun sama sahaja. Pada aku, janji kayuh...hehehe...


Setakat ini aku boleh bertahan dengan kelajuan yang sederhana. Cuma tak berapa nak tahan dengan permukaan muka bumi yang berbukit yang mencanak. Kali ini A'ar yang menjadi jurupandu. Akibatnya beliau mengheret aku bersama mendaki bukit-bukau sepanjang perjalanan. Dajeiiiii sungguh!

Ada dua bukit memang meragut kejantanan aku kali ini - bukit di De Palma dan di simpang lampu isyarat menuju ke Kampung Sungai Merab Ulu. Kemudian ada hati pula bawa aku ke Kampung Limau Manis. Hahaha... memang taklah.


Sudahnya kami bertiga patah balik semula menuju ke Presint Diplomatik, Putrajaya melalui Kampung Sungai Merab. Walaupun permukaan jalannya berbukit, tetapi ianya agak landai (walaupun sedikit panjang). Berbanding dengan bukit-bukit sekitar Kampung Limau manis, yang ini memang hampeh — bukitnya terpacak-pacak.

Begitulah ceritanya sepanjang dua minggu ini. Tidaklah menarik seperti rakan-rakan yang lain waktu itu yang mengambil cabaran ke Frazer Hill sejauh 166 kilometer. Mereka pasti mempunyai cerita yang menarik dan penuh dramatik.

Gambar ni hak milik Norman yang aku cilok daripada Facebook beliau.
Ini waktu mereka ke Frazer Hill pada hari aku ke Enstek. Memang padu!

Akan tetapi, kayuhan ringkas ke Enstek yang aku cerita sebentar tadi benar-benar mengimbau waktu lalu yang tidak mungkin berulang kembali.

Laluan yang mempunyai 1001 kisah para Pahlawan Basikal dari mukim Putrajaya dan sekitarnya.

PS: Hujung minggu ni aku tak dapat kayuh basikal. Kena jaga anak-anak aku kat rumah. Kalau aku keluar kayuh, alamatnya diorang berdua mengadap PS4 hingga ke tengah hari. Bahaya!

Isnin, 5 Mac 2012

Kayuhan ke Lenggeng: Inilah Kekejangan yang Sebenar!


Kali terakhir aku kayuh adalah ketika pengambaran untuk dokumentari tentang Azizulhasni Awang pada Ahad minggu lepas. Itu pun hanya 37.29 km je.

Dah le Kuantan Century Ride lagi 2 minggu je; 160 km pulak tu. Patutnya mileage meningkat. Tapi sebaliknya makin menurun.

Tak boleh jadi ni...

Dan, pada semalam harinya iaitu 4hb Mac 2012, bertempat di Masjid Putra, Putrajaya, aku dan beberapa rakan lain turut sama bergabung dengan Kumpulan EnCC Enchal. Akibat penggabungan ini, jumlah keseluruhan yang menyertai kayuhan ini meningkat kepada 21 orang.

Dalam 9 orang antara kami berkumpul di Info Centre
berhadapan dengan bangunan MAMPU sebelum bergabung
dengan EnCC Enchal.

Bersedia untuk mulakan kayuhan.

Tepat jam 8.10, selepas membaca doa selamat yang dibaca oleh Alias, kami semua bergerak menuju ke Lenggeng, Negeri Sembilan.

Kayuhan tidaklah laju mana dan sepanjang kayuhan tersebut aku hanya melayan cadence — pakai crank kecik dan hanya menukar casette belakang mengikut rentak permukaan jalan. Memandangkan 7 hari aku tak kayuh basikal, jadi tak berani sangat nak pakai crank besar.

Sepanjang kayuhan, meter dalam lingkungan 30 - 35 km/j. Cuaca juga agak redup dan nyaman. Kalaulah cuaca macam gini sampai tengahari, alangkah mesra alamnya.

Berhenti sebentar di Jenderam Hulu untuk menunggu
7 orang lagi yang masih di belakang.

Tak lama lepas tu, cuaca makin terik dan tiba di Jenderam Hulu kami semua berhenti sekitar 5 minit untuk menunggu mereka yang terputus peloton.

Tak lama lepas tu, hanya 5 orang sahaja yang tiba. Lagi 2 orang rakan dah pun patah balik sebab ada masalah-masalah tertentu. Tinggallah 19 orang yang teruskan cabaran ke Lenggeng...

Kelajuan masih kekal sekitar 30 - 35 km/j hinggalah tiba di Broga, Negeri Sembilan. Memandangkan peloton sudah pun terputus dua tanpa sedar, kami perlahankan sedikit kelajuan dalam beberapa minit dengan harapan dapat sambung balik peloton yg terputus tu.

Tapi, tak nampak bayang-bayang peloton yang terputus tu. Memandangkan ada lagi 3 km berbaki tiba di destinasi, kami meningkatkan sedikit kelajuan ketika mendaki bukit-bukit kecil sekitar Broga dan mengakibatkan terputusnya peloton menjadi 3 tanpa sedar.

Lagi 2 km nak sampai destinasi, kelajuan tiba-tiba meningkat dan aku terpaksa pakai crank besar dan nah, kelajuan mencecah 57 km/j!

Ketika ini, aku cuma berharapkan mereka yang berada di dalam peloton dapat turut sama drafting.

Lagi 500 meter hendak sampai, tengok belakang sapa pun tak ada. Hanya aku dan Mie Bulat je.

Dalam 3 minit lepas tu barulah peloton ke-2 muncul.

Biasanya aku akan bawa Power Gel untuk persediaan apabila
perlu.

Dalam 20 minit kemudian, muncul pula peloton ke-3.
*Gambar hak milik Azlan.

Memandangkan ada di antara kami perlu pulang awal kerana jemputan kenduri kawin dan kerja, kami seramai 6 orang bergerak pulang dahulu lalu meninggalkan 13 orang rakan yang lain di kedai kopi.

Kami bergerak pulang sekitar jam 11:30 pagi kalau tak silap. Tatkala ini matahari pulak makin memacak.

Kami berenam pulang awal.
*Gambar hak milik Azlan.

Ketika perjalanan pulang kelajuan sekitar 30 - 35 km/j juga. Angin agak kuat ketika ini.

Apabila perjalanan sudah mencecah 90 km, aku mula rasakan kemungkinan besar aku akan cramp. Tanda-tandanya sudah nampak:

Garam dalam badan sudah mula keluar dalam kuantiti yang
banyak.

Jadi, aku perlu mengawal kelajuan dan tidak memberi tekanan melampau pada kaki. Walaupun ketika itu aku rasakan badan aku masih cergas dan kaki tidak ada tanda-tanda akan kekejangan.

Lagi 15 km nak sampai putrajaya, salah seorang daripada kami iaitu Halim kekejangan betis dan kami berhenti sebentar di Dengkil.

Dan ketika sampai di Sungai Merab, peha aku pulak kena. Lebih menarik lagi, kedua-dua peha aku kekejangan serentak.

Lagi 7 km je nak sampai. Ahhhh, elok sangat le tu...

Inilah keadaan mereka ketika perjalanan pulang. Ketika ini,
kami berenam yang pulang awal sudah tiba sekitar Bangi.
*Gambar hak milik Azlan.

Nasib baik Halim singgah 7 Eleven di Sungai Merab tadi untuk membeli air mineral sejuk. Dengan air itulah Halim simbahkan ke peha aku untuk legakan kekejangan.

Fuhhh, nasib baik ada Halim bersama air sejuknya...

Kami sampai jam 1:10 tengahari di Info Centre, Putrajaya dan aku terpaksa meminta bantuan Halim untuk menghantar aku pulang dengan menaiki SUV beliau. Tak sanggup aku kayuh 7 km berbaki untuk pulang ke rumah dalam keadaan peha yang tak sihat.

Terima kasih Halim!

Basikal aku atas SUV Halim.

Apa yang boleh aku simpulkan di sini, kayuhan sejauh 111 km selama 4 jam 13 minit adalah sangat berselera. Walaupun kekejangan kedua-dua belah peha, ini tak bermakna kayuhan perlu dihentikan. Hanya peha sahaja sakit; bukannya semangat yang sakit.

Ketika sampai di hadapan PICC ketika Halim hantarkan aku pulang, terlihat rakan-rakan yang kami tinggalkan di kedai kopi Lenggeng di persimpangan lampu trafik sekitar jam 2 petang. Tahniah kepada mereka kerana berjaya habiskan kayuhan — walaupun dengar khabarnya salah seorang daripada mereka spoke nya patah ketika perjalanan pulang.

PS: Kuantan Century Ride makin hampir. Takut betul aku dengan perkataan cramp!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...